mak ayah tegur

Masa darah muda, mak ayah tegur sikit pun dah sentap. Itu belum lagi ambil kira kes mak ayah denda, ada anak-anak sanggup lari dari rumah sebab memberontak.

Kesannya bila dah besar panjang, nak kahwin pun jenis payah nak terima teguran suami. Agak-agak rumahtangga boleh bahagia?

Haa… Sebab itu masa kita jadi anak-anak, kita kena hadam nasihat orang tua. Tegur bukan niat nak sakitkan hati tapi dengan niat nak bentuk jadi ‘orang’.

Nak lagi mudah, jemput berlapang dada dengan perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini.

Mak Ayah Tegur Ada Sebab

Dulu masa bujang, ustazah selalu pesan, jadi anak yang baik kepada kedua ibubapa itu antara cara untuk berlatih jadi isteri yang baik.

Bila ayah nasihatkan, jangan menjawab.
Bila mak tegur, jangan melenting.

Walau dalam hati penuh rasa tak puas hati.

Rasa nak buat sesuatu tetapi mak ayah tidak benarkan, jangan ingkar dan taatlah. Ia mengajar untuk tetap mentaati dan menghormati kunci syurga kita walau hati penuh persoalan.

IKLAN

Ini semua latihan untuk menjadi isteri yang taat, bertimbang rasa dan kelak matang menimbal balik pandangan dan keputusan suami. Tak cepat melenting, serta tetap menjaga adab walau hati tak puas hati.

Tak Patuh Arahan Mak Ayah

Kalau masa bujang ayah suruh solat, tutup aurat, toksah couple-couple, jangan keluar sampai lewat malam pun kemain degil teramat, kita yakinkah bila bernikah nanti suami tuntut itu ini yang bukan nafsu kita suka, kita dapat mentaatinya?

Kalau masa bujang mak minta buat kerja rumahtangga pun malas, bangun pun tengahari tahu menyingkap tudung saji untuk makan, yakinkah kelak pukul 12 malam waktu mata mengantuk dan letih sangat suami suruh masakkan dia makanan, kita boleh taat?

Tepuk dada, tanya iman. You know yourself better.

IKLAN

Ujian Dalam Perkahwinan Pasti Ada

Pernikahan bukanlah tentang keindahan sahaja, bukan hanya bab seronok-seronok. Yang indah itu memang hadiah Allah buat pasangan suami isteri, namun jangan lupa hal mujahadah menguji kesabaran dan ketahanan mental bahkan lebih banyak juga.

Waktu kita saling kesat air mata, saling berpelukan untuk ‘meminjam’ kekuatan bahkan kita berkorban banyak kepentingan diri demi kemaslahatan rumahtangga pasti akan tiba.

Konflik akan selalu ada, samada ia ditangani dengan bijak dan hikmah untuk menguatkan hubungan atau masing-masing masih dalam denial mementingkan diri dan memusnahkan ikatan yang baru dibina.

Dulu Mak Ayah, Kemudian Suami

Berkahwin bukanlah escapism dari ‘cengkaman’ ibubapa, bahkan adalah ‘peralihan’ ketaatan dan pemegang kunci syurga kita.

IKLAN

Dulu bujang redha mak ayah, kunci keredhaan Allah pada kita. Sudah berkahwin, kunci keredhaan Tuhan adalah bila suami redha dan senang hati dengan kita.

Maka, bersediakah untuk menggalas amanah berat ini?

Kalau dengan mak ayah, yang kita berhutang dengannya darah, keringat, jasa dan air mata sukar untuk kita taati dan muliakan, bagaimana hati yang keras dan liat itu akan lunak pada tangan seorang lelaki yang tiada kena mengena langsung dengan kita, melainkan ikatan akad nikah itu?

Berubahlah Jadi Isteri Solehah

Wahai wanita, sabda Nabi SAW, “dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita (isteri) yang solehah,”

Iya, betul, mujahadah ini tak mudah. Ego perlu dijinakkan sejinaknya kerana syurga Allah itu lebih kita cintai.

Mana-mana lelaki yang menikahi wanita yang solehah, menyejukkan pandangan mata, menenangkan hati nurani adalah manusia yang sangat beruntung.

Jom, fokus untuk masuk syurga dengan insan yang kita cintai. May Allah ease everything.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI