Bukan mudah untuk menerima sesuatu ujian yang diberikan olehNya. Lebih-lebih lagi ujian melibatkan orang tersayang, baik anak-anak mahupun suami. Tak tertanggung rasanya, segalanya beban dan jiwa resah di hati.
Hakikatnya, apabila diuji belajarlah untuk redha dan sabar menerima dengan hati terbuka diatas segala yang ditakdirkan, kerana ia adalah salah satu pintu yang boleh memberikan ketenangan hati.
Fahamkan perkongsian penuh bermakna daripada Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan bila ditimpa ujian;
SENI UJIAN
Kita akan DIUJI dengan apa yang kita SAYANG sehingga terduduk tak berdaya. Lalu kita SEDAR bahawa tiada kebahagiaan melainkan melalui jalan SABAR dan REDHA menerima ketetapan dan keputusan Allah swt.
Selagi TIDAK REDHA nescaya kita akan LELAH berpindah dari satu usaha ke satu usaha. Dari zikir ke zikir. Dari doa ke doa. Dari air penawar ke air penawar. Dari umrah ke umrah. Dari solat ke solat. Dari sedekah ke sedekah.
REDHA adalah langkah pertama menuju jalan penyelesaian. Anak kunci kepada pintu KETENANGAN.
Buatlah pengakuan yang tulus dihadapan Allah. Ikhlas daripada hati yang dalam,
“Ya Allah… AKU REDHA bahawa isteri/suami/anak/pekerjaan/bos/perniagaan dan lain-lain sebagai satu UJIAN dan RAHMAT daripadaMu untuk aku mendapat REDHAMU dan SYURGAMU, Aku Redha ya ALLAH. Aku Redha ya Allah. Aku hambaMu yang sangat lemah, tidak ada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu. Bantulah aku untuk melalui dan menghadapi Ujian ini. Tunjukilah aku jalan-jalan kebenaranMu, bantulah aku untuk menjadi hambaMu yang sentiasa yakin dan bersangka baik denganMU”.
Bila Allah memberi kita ujian, Allah juga sedang memerhatikan tindakbalas kita. Berhentilah memaksa Allah untuk mengikuti kehendak dan impian kita, kita akan terus kecewa.
Hayati Hadis Nabi dibawah :
Ads
“Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka akan DIUJI. Barang sesiapa REDHA menerima UJIAN itu, Allah REDHA pula kepadanya. Dan barang siapa yang MARAH, maka Allah murka (MARAH) kepadanya.” (Hadith riwayat at Tarmizi)
Apakah tanda kita dah REDHA dengan ujian tersebut?
Apabila kita mula berhenti mengeluh, menangis, membentak, menyendiri dan kemurungan dengan ujian tersebut.
Lalu kita bangkit kerana Allah, dan menjadi hamba yang lebih dekat dengan Allah, mentaati perintah dan meninggalkan laranganNya. Kita berusaha menunaikan solat dengan sempurna, menyarungkan pakaian yang menutup aurat dan menukarkan majlis maksiat kepada majlis ibadat.
Selepas itu, yakinlah satu persatu UJIAN akan diberi JALAN KELUAR, dan mendapati bahawa RAHMAT ALLAH lebih luas daripada besarnya UJIAN tersebut.
UJIAN yang mendekatkan kita dengan Allah adalah satu RAHMAT.
UJIAN yang menjauhkan kita dengan Allah adalah MUSIBAH.
Ads
Selalu saya ditanya,
“Apa lagi yang patut saya buat ustazah? Semua usaha dah buat, pelbagai doa dan zikir diamalkan. Berapa kali pergi umrah berdoa depan Kaabah. Saya rasa dah penat”
Puan dah redha dengan Allah?
“Iya.. Saya redha. Memang saya redha”
Ads
Mudahnya mengucap redha. Iya bukan hanya dengan lidah, iya menuntut pembuktian.
Peringatan dan nasihat untuk diri sendiri. Sentiasa berjuang untuk redha dan diredhai.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bila ditimpa ujian, belajarlah untuk menerima dengan sabar dan redha kerana ia kunci kepada segala ketenangan hati.Yakinlah satu persatu UJIAN akan diberi JALAN KELUAR, dan mendapati bahawa RAHMAT ALLAH lebih luas daripada besarnya UJIAN tersebut.
WAJIB Solat Walaupun Dalam KAPAL TERBANG, Jangan Ambil Ringan Begini Caranya! Solat merupakan satu kewajipan walau dimana sahaja kita berada. Namun apabila dalam keadaan bermusafir dan tempoh perjalanan yang jauh, ramai yang mengambil mudah tidak menunaikan solat pada waktunya atas pelbagai alasan. Tidak kurang yang tidak tahu cara untuk menunaikannya lebih-lebih lagi jika berada di dalam kapal terbang yang mempunyai ruang terhad dan pelbagai keterbatasannya.
Untuk faham lebih lanjut baca perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harunini sebagai rujukan;
RAMAI YANG TAK TAHU ATAU TAK NAK AMBIL TAHU?
TATACARA SOLAT FARDHU ATAS KAPAL TERBANG YANG RAMAI ORANG TERLEPAS PANDANG
Sepanjang musafir dari Malaysia ke Turki, kami perlu transit di Jeddah dahulu sebelum sampai ke destinasi misi. Penerbangan yang mengambil masa sekitar 13 jam pastinya ada waktu solat yang perlu kami laksanakan di atas kapal terbang. Alhamdulillah, syukur di dalam penerbangan Saudia Airlines ini ada disediakan ruang solat yang sangat selesa.
Ramai yang saya perasan mengambil ringan tentang solat sewaktu bermusafir. Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menaiki kapal terbang. Malah, ada yang meninggalkan solat kerana tidak tahu cara sebenar untuk menunaikannya.
Sahabat, kita WAJIB menunaikan ibadah solat walau dimanapun kita berada. Tidak ada yang terkecuali daripada menyahut panggilan seruan illahi melainkan mereka yang mati sahaja, bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ajar tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.
Lebih menyedihkan, ramai yang abaikan solat fardhu, ada yang tidak berwuduk sebelum solat sedangkan kemudahan air boleh didapati dengan mudah, ada yang solat duduk tanpa usaha mencari tempat-tempat kosong luas dibelakang bahagian kapal dan lebih menyedihkan ada yang tidak solat dengan alasan akan qadha’ sesudah sampai.
Firman Allah SWT :
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Tatacara Solat Di atas Kapal Terbang
Di sini saya ingin kongsikan tatacara solat di atas kapal terbang, mudah-mudahan ia bermanfaat semasa kita sedang musafir dalam perjalanan yang panjang. Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.
Imam Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab:
أَمَّا الرَّاكِبُ فِي سَفِينَةٍ فَيَلْزَمُهُ الْإِسْتِقْبَالُ وَ اِتْمَامُ الْأَرْكَانِ سَوَاءٌ كَانَتْ وَاقِفَةً أَوْ سَائِرَةً لِأَنَّهُ لَا مَشَقَّةَ فِيهِ وَهٰذَا مُتَّفَقٌ عَلَيهِ
Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”
Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.
Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat. Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.
ADAKAH BOLEH SOLAT HORMAT WAKTU DALAM KAPAL TERBANG?
Maksudnya: “Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”
Keadaan solatnya diperincikan dalam dua keadaan:
a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qadha solatnya.
b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qadha solat menurut kesepakatan para ulama.”
Abu Bakar Al-Hishni menuturkan di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar:
يَجُوزُ لِلْمُسَافِرِ التَنَقُّلُ رَاكِبًا وَمَاشِيًا إِلَى جِهَة مَقْصِدِهِ فِي السَّفَرِ الطَّوِيلِ وَالقَصِيرِ عَلَى الْمَذْهَبِ
Maksudnya: “Dibolehkan bagi seorang musafir sama ada dengan kenderaan atau berjalan kaki melakukan solat sunat dengan menghadap ke arah tempat tujuannya, di dalam perjalanan yang panjang (yang boleh mengqasar solat) dan di dalam perjalanan yang pendek (yang tidak dibolehkan mengqasar solat) menurut pendapat dalam mazhab (Syafi’e).”
Pendapat di atas bertepatan dengan satu hadis, daripada Jabir bin Abdillah r.a.:
كَانَ رَسُول اللَّهِ يُصَلِّي عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ فَإِذَا أَرَادَ الْفَرِيضَةَ نَزَل فَاسْتَقْبَل الْقِبْلَةَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW solat di atas kenderaannya menghadap ke mana pun kenderaannya itu menghadap. Namun bila Baginda hendak solat fardhu, maka baginda turun dan solat menghadap kiblat.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Kesimpulannya, walau apa jua keadaan sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Berdasarkan dalil di atas, WAJIB kita qadha solat semula bagi solat fardhu.
APAKAH HUKUM BAGI YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA?
Solat merupakan satu pertalian antara hamba-Nya dengan Tuhan-Nya. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan penciptanya dikira berdosa besar. Apatah lagi mengingkari suruhan-Nya.
Firman Allah SWT:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)
BAGAIMANA CARA MENGETAHUI WAKTU SOLAT KETIKA BERADA DI ATAS KAPAL TERBANG?
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang. Tuan puan boleh juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.
Maksudnya: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
Kemudian, bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib.Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.
Tuan puan,
Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa. Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat. Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua, silakan share kepada yang lain juga ya.
Saudaramu,
Asma’ binti Harun
Rujukan:
1. Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Imam Nawawi
2. Mughni al Muhtaj, Syeikh Khatib Syarbini
3. Taqrirat as-Sadidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim
4. Kifayatul Akhyar, Abu Bakar Al-Hishni
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat terutamanya buat yang selalu ‘travel’ dalam perjalanan yang jauh. Menunaikan solat itu satu kewajipan, tak kiralah di mana sahaja kita berada.
Suami memberi perlu diketahui isteri! Takut dalam bersedekah nafkah keluarga sendiri terjejas. Jika isteri tak redha bila suami memberi lebih pada dirinya, haram hukumnya.
Oleh itu wahai suami berhati-hatilah dalam memberi selain kepada anak serta isteri. Setelah lunaskan pemberian nafkah pada keluarga dengan sempurna, barulah datangnya sedekah kepada orang lain.
Ikuti perkongsian Peguam Syarie ini, Puan Rabiatul Adawiyah Ramli dan hadam baik-baik penjelasannya.
Suami MEMBERI Perlu DiKetahui Isteri
Ada dua hal yang perlu isteri tahu dari suami :
1. Pendapatan Suami
2. Hutang Suami
Dan ada dua hal yang sebaiknya dilakukan oleh suami dan isteri :
1. Suami memberi perlu diketahui isteri,
2. Isteri bersedekah perlu diketahui suami lebih-lebih lagi jika itu dari duit suami.
Paling penting part suami memberi perlu diketahui isteri.
Kenapa penting???
Agar si isteri tahu bahagian diri dan anaknya tidak berkurangan dan tidak menjejaskan haknya sebagai seorang isteri.
Sebagai contoh :
Suami memberi sedekah/membantu orang lain melebihi kadar nafkah yang sepatutnya diperolehi oleh anak dan isteri tanpa pengetahuan isteri. Jika isteri tidak redha maka haram hukumnya.
Apatah lagi jika suami itu telah tidak memperuntukkan Nafkah Anak dan Isteri tanpa sebarang alasan dan perbincangan yang munasabah. Maka hukumnya tetap haram.
Jika gagal berbuat demikian, ia akan dianggap hutang yang wajib dibayar.
Jika mengikut amalan di mahkamah, mahkamah boleh membenarkan tuntutan fasakh si isteri yang menggunakan alasan suami gagal memperuntukan nafkah yang mencukupi walaupun telah diganti.
Kerana Mahkamah menggunakan hukum yang menyatakan isteri itu perlu dinafkahi pada saat ia perlu dinafkahi, bukan menafkahi isteri saat nafkah itu telah menjadi hutang.
Sebagai contoh. Isteri patut diberi makan pada waktu itu, saat itu, hari itu, tetapi tidak diberi makan walaupun jumlahnya telah diganti ia tidak akan menjadikan nilai yang sama kerana jika ditakdirkan Allah isteri itu mati pada saat tidak diberi nafkah itu, maka sebarang gantian pada hari yang lain tidak lagi bermakna.
Wahai suami, jadilah hero buat isteri,
Wahai isteri, jadilah penyejuk mata buat suami,
Namun jika kamu tidak lagi mampu menjadi hero buat isteri, jangan disalahkan pula isteri menjadi asbab tidak menjadi penyejuk mata buatmu wahai suami.
Formula mudah dari saya dari dulu sehingga kini “Perkahwinan tidak akan wujud tanpa lafaz akad suami, jika kalian sudah mampu berakad (janji) sepatutnya kalian kotakan janji, kerana di hadapan saksi dan isteri, hanya kalian seorang yang melafazkan janji “.
Pakai apa yang selesa bukan untuk menunjuk, kalau nak bahagia buang sikap membanding. Barulah hidup mak, ayah lebih tenang dan ketahuilah itu kebahagiaan yang sebenar.
Dalam hidup jika ada sifat suka membanding memang payah, segalanya hendak dibanding memanglah susah nak bahagia.
Ikuti perkongsian Annur Nida dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Pakai Apa Yang Selesa
Kemas-kemas bilik belakang, terjumpa handbag saya ini.
Sedih, sebab sudah menggelupas. Padahal saya letak elok dalam beg sarung.
Handbag ni, boleh kira berapa kali je saya guna.
Tak pakai sangat mungkin sebab warna merah.
Dan saya ni tak ke mana sangat pun.
Saya sendiri yang pilih handbag ni. Ingat lagi masa itu beli di Plaza Aman Central, Alor Setar. Beg ni ada cerita dia sendiri. Masa saya beli handbag ini, saya masih belum kenal bahagia yang sebenar.
Balik rumah mak di Kuantan, saya tengok kakak ipar saya yang doktor itu pakai handbag elok. Jenama terkenal.
Nampak pulak handbag adik saya, dia cikgu, pun elok handbag dia. Saya tengok handbag saya. Mulalah saya bercakap dengan diri. Handbag aku ini tak mahal sangat macam depa (mereka).
Apalah ada pada sebuah handbag berjenama. (Kredit foto : Facebook Annur Nida).
Tak sudah tengok handbag, eh saya tengok pulak sandal depa. Pun sama jenis yang mahal.
Bila saya sudah ada perasan membanding gitu, segala benda hendak banding. Nampak pulak anak-anak sedara pakai baju semua branded, saya pun eh tak mau kalah.
Mula datang cemburu. Malah, mula datang kenapa aku tak beli yang mahal jenama terkenal. Mula datang rasa tak mampu sangat ke aku ini dan bermulalah fikir pelik-pelik.
Padahal adik-beradik dan ipar tidak ada pun kisahkan hal macam ini. Kami bergaul, bergurau senda, bercakap, beramah-tamah macam biasa saja.
Kalau Nak Bahagia
Dan masa pun berlalu. Saya membaca, saya dengar kuliah, saya melihat keadaan sekeliling, saya memerhati.
Lalu saya berfikir. Kalau nak bahagia, kena buang sikap suka membanding. Terutamanya kalau membandingkan hal keduniaan ni.
Padahal yang lebih utama hendak memiliki bahagia adalah kena mensyukuri nikmat yang sedikit mahupun nikmat yang besar.
Kalau hendak cari siapa yang paling cantik, paling banyak pakai barangan mewah, memang tak akan jumpa.
Sebabnya, bila dah jumpa yang cantik, yang mewah, eh ada lagi yang lebih cantik.
Dan bila dah jumpa yang lebih cantik, yang mewah tu, eh ada lagi yang lebih cantik dari yang lebih cantik dan mewah itu.
Buang Sikap Membanding
Justeru apa?
Saya mula paksa diri tidak membanding.
Saya beli, saya pakai, apa yang selesa untuk diri sendiri, bukan untuk menunjuk pada orang lain. Tak kisah mahal atau murah, yang penting bukan nak banding membanding.
Bila saya buang sikap membanding, maka saya mulai rasa bahagia, rasa gembira. Tak sesak dada nak tengok siapa lebih hebat.
Bahagia tu bukan pada apa yang dimiliki, tapi bagaimana kita meraikan apa yang dimiliki.
Teringat yang Nabi Yusof tenang dan bahagia di dalam penjara.
Tak lain tak bukan kerana Allah jualah yang mendatangkan bahagia itu.
*mohon baca keseluruhan konteks penulisan saya ini.
Saya tidak langsung fokus terhadap brand handbag.
Saya fokus terhadap learning proses yang saya dapat dalam hidup saya.
Sekian terima kasih
Mingguan Wanita : Bersederhanalah dalam hidup, cari kebahagiaan mengikut acuan kita sendiri tanpa perlu menyukat kehidupan orang lain. Insyallah suatu hari bahagia akan menjadi milik mak, ayah.
Pemergian Roslina Yusof, isteri peniaga air balang yang tabah melawan diabetes, menyentuh hati ramai. Suami setia, Ah Yauddin Ahmad, reda isteri pergi selepas sempat mengucapkan kata cinta terakhir.