Melihat pasangan ini sudah tentu terdetik di hati kita, bagaimanalah sang isteri menjalani kehidupannya bersama seorang lelaki yang hanya memiliki ketinggian 100 sentimeter.
Dari mata kasar, mungkin perbezaan ini terlalu ketara. Namun siapa kita untuk bersangka buruk kerana mereka juga makhluk Allah yang miliki naluri untuk merasa bahagia dan kasih sayang.
Kemesraan yang terpancar di wajah mereka dan kehadiran permata hati, Anas Wafiy, 10 bulan, melengkapkan keluarga kecil ini. Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun, yang berasal dari Sungai Udang, Melaka ini dilahirkan tidak normal seperti orang lain.
Perkara ini membuatkan Mohd Sukur Ibrahim, 35 tahun jadi rendah diri dan pemalu. Seringkali timbul rasa kurang yakin untuk berhadapan dengan orang luar. Tetapi persepsi itu mula berubah apabila melihat ibu ayahnya yang redha dengan ujian ini. Mereka juga tidak pernah jemu memberi dorongan kepada Sukur untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain.
Jelas Wan Nurul Syazwani atau mesra dengan panggilan Wani, dirinya mula mengenali suaminya, Sukur, sejak di zaman universiti lagi. Ketika itu Wan Nurul Syazwani menuntut di Univeristi Putra Malaysia (UPM) manakala Sukur pula menuntut di UKM. Kala itu kenal atas dasar kawan dan hanya bertukar nombor telefon.
Sebenarnya ketika itu Wani bukanlah seorang yang gemar berkawan. Dirinya selesa menyendiri. Tetapi apabila melihat keyakinan dan keberanian Sukur, dia mula mengagumi Sukur dalam diam.
Keperibadian Sukur sangat berbeza. Sukur tidak bertindak seperti rakan senasib yang lain. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja yang dia mahukan tanpa batasan, malahan dia juga bijak membawa diri.
Kehadiran cahaya mata mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan dua hati ini.
Kagum Dengan Sikap Sukur
Ads
Sikap berdikari itu membuatkan Wani mula selesa dan seronok untuk berkawan dengan Sukur. Pada mulanya memang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadikan Sukur sebagai teman hidup.
“Kami berkawan dalam tempoh yang agak lama, dari zaman belajar hinggalah Sukur mula menjalankan perniagaan. Wani memang melihat jatuh, bangun dan kegagalan Sukur dalam bidang perniagaan sejak awal lagi.
“Perniagaan dan perkhidmatan pemasangan karpet ini merupakan perniagaan ke-empat yang dicuba Sukur setelah tiga pernigaannya sebelum itu gagal. Ketika dia ingin memulakan perniagaan ini, dia mengajak Wani untuk menjadi rakan kongsinya.
“Saya memang serahkan segalanya pada Allah dan saya sama sekali tidak sangka bahawa Sukur adalah jodoh saya. Saya hanya mengikut aturan Allah dengan melalui perjalanan hidup yang telah ditentukan-Nya. Oleh sebab itu ketika Sukur mengajak saya menjadi rakan kongsinya, saya terima tawaran tersebut.
“Kami mulakan bisnes bersama-sama termasuklah mendaftar perniagaan, walaupun ketika itu, saya masih berkerja. Maklumlah modal Sukur telah habis untuk perniagaan sebelum ini, jadi sayalah menjadi penyumbang modal kerana masih memiliki pekerjaan tetap.
Ads
“Walaupun pelbagai ujian yang kami lalui pada peringkat awal perniagaan, tetapi Sukur tetap sabar. Kerajinan dan usaha Sukur tanpa jemu buatkan saya terfikir dialah orangnya iaitu lelaki yang mampu menjadi kawan dan suami yang baik.
“Pernah suatu hari dia keluar bekerja jam 9 pagi dan hanya pulang pada jam 5 pagi. Kemudian keluar semula pada 9 pagi hari berikutnya, dia macam tak kenal erti penat.Kadang-kadang saya rasakan Sukur boleh dapat lebih apa yang dia ada hari ini kerana usahanya itu,” kata Wani satu-persatu.
Lama-kelamaan apabila perniagaan mereka berdua stabil, Sukur meminta Wani untuk berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuh masa kepada perniagaan. Peluang ini memang telah lama Wani nantikan, jadi dia bersetuju.
Jodoh Bersama
Setelah berkerja bersama tanpa disangka timbul beberapa isu kerana apabila ke mana-mana, mereka perlu berdua. Apabila menghantar Sukur, dia yang perlu masuk rumah terlebih membantu Sukur membuka suis lampu dan sebagainya kerana ketika itu mereka tidak mempunyai staf.
Ads
Begitu juga apabila Sukur telah mulai dapat jemputan sebagai penceramah, menjadi masalah buat mereka apabila ke luar daerah perlu menempah dua bilik. Perkara-perkara ini membuatkan hati Wani terdetik bahawa telah tiba masanya untuk mereka berkahwin. Perkahwinan mereka akan menyelesaikan banyak masalah.
Jelas Wani, tanpa sedar selama ini dia tidak pernah membuka pintu hatinya kepada lelaki lain. Saat itu, Wani rasakan sikap Sukur membuatkan dia sangat yakin Sukur adalah orangnya. Ketika itu juga Wani hanya terfikir, dirinya ingin menjaga Sukur dan Sukur menjaganya. Jadi masing-masing meluahkan rasa untuk bernikah sahaja.
Pada mulanya, Wani memberanikan diri meluahkan hasratnya pada ibu. Alhamdulillah ibunya bersetuju namun berbeza pula dengan ayahnya. Selama ini memang kedua ibu bapanya tahu bahawa Sukur adalah kawan kepada anak mereka. Sudah tentu ayahnya tidak menjangka hubungan itu lebih dari sekadar kawan.
Sukur tidak pernah meletakkan kekurangan diri sebagai alasan untuk berjaya.
Empat Tahun Memujuk
“Bukan sehari dua kami memujuk ayah saya untuk benarkan kami berkahwin tetapi hampir empat tahun. Dalam tempoh itu juga pelbagai usaha saya dan Sukur lakukan untuk tambat hati ayah. Ada juga rasa putus asa, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Sebenarnya bisnes yang menyatukan kami, bergaduh macam mana pun bisnes karpet ini akan temukan dan buatkan kami berbaik semula apabila ada klien yang ingin dapatkan perkhidmatan kami. Bisnes ini juga merupakan lambang kebangkitan Sukur.
“Kami memang tak mampu nak berpisah kerana sekiranya berpisah bagaimana perniagaan yang telah kami bina sama-sama ini. Jadi kami rasa perlu juga berusaha memujuk ayah saya. Walaupun banyak kali Sukur kecewa dengan sikap ayah saya, tetapi dia tetap juga ambil hati. Pernah Sukur datang, ayah saya tak balik-balik. Akhirnya Sukur balik begitu sahaja,” ceritanya satu-persatu.
Tambah Wani, hatinya cukup tersentuh apabila Sukur meluahkan rasa terharu apabila Wani mahu menerimanya sebagai suami. Sejujurnya Sukur tidak pernah memasang impian dan menyangka ada insan yang sudi berkahwin dengan keadaannya yang serba kekurangan. Oleh sebab itu dia tidak pernah putus asa untuk berusaha mendapatkan Wani dengan apa cara sekali pun.
“Sebenarnya apa yang Wani rasakan, ketika itu ayahnya bukanlah membenci Sukur cuba dia bimbang Sukur tidak mampu untuk menjaganya seterusnya menjaga keluarga yang bakal dibina kelak. Malahan ayahnya juga risau tentang persepsi orang sekeliling terhadap Sukur. Sudah pasti dia mahukan calon menantu terbaik untuk anak perempuannya.
“Allah Maha Besar, ketika Sukur menunaikan umrah dan meminta pendapat ustaz di sana yakni tentang cara terbaik untuk menambat hati bakal mentuanya, Allah mula membuka jalan-Nya. Malahan ketika itu Sukur juga meminta semua jemaah mendoakan dirinya agar jalannya untuk mendapatkan Wani menjadi lebih mudah,” kata Wani tentang pembuka jalan untuk mereka bersatu.
Ternyata hati ini milik Allah, ketika sambutan kelahiran Wani yang ke-28, ayahnya bersetuju dengan permintaannya. Setelah dia meluahkan rasa kecewa kerana tidak mampu bersatu dengan Sukur kerana ayahnya menghalang walaupun pelbagai cara telah dilakukan.
Sebulan selepas itu, setelah melalui empat hari orientasi, Sukur berjaya melayakkan dirinya untuk menjadi suami kepada Wani setelah dinilai. Melihat skill survive Sukur untuk uruskan hidup sendiri membuatkan keluarga Wani menerimanya. Kini pasangan ini bahagia hidup bersama.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sesungguhnya, anak bukan sekadar rezeki, tetapi amanah yang besar tanggungannya pada mak, ayah.
Kehadiran cahaya mata bukan sekadar penyeri hidup mak, ayah tetapi hadir bersama tanggungjawab dan amanah buat pasangan yang telah berkahwin.
Anak ibarat kain putih, mak ayah lah yang bertanggungjawab mencorakkan mereka. Kongsi Farizal Radzali, sudah-sudahlah mengatakan anak itu rezeki.
Anak BUKAN Sekadar REZEKI
Jika anak-anak itu rezeki, kenapa kebanyakan yang susah hidupnya itu, punyai anak yang ramai? Jika rezekinya pada anak-anak, bukankah lebih ramai anak lebih banyak rezekinya?
Dan akhirnya anak-anak yang ramai itu tak terbela nasibnya. Sekolah tak mampu. Kecil-kecil sudah bekerja cari duit poket sendiri. Malah, kecil-kecil lagi sudah ada yang jadi pencuri.
Kecil-kecil lagi sudah jadi samseng. Masuk usia remaja, hisap dadah. Jadi peragut. Sebab apa? Sebab tekanan hidup? Atau kurang kasih sayang kerana adik beradik ramai?
Mana kualiti anak-anak yang dikatakan rezeki itu?
Tetapi AMANAH Yang Besar
Anak itu adalah rezeki dari Allah SWT. Tak semua orang memilikinya. Itu pemberian Allah, sebab itu dipanggil rezeki.
Tapi untuk ibu ayah, anak itu bukan sekadar rezeki, anak itu amanah. Amanah itu besar tanggungannya.
Anak itu punca rezeki? Jangan sampai rezeki anak, kita yang gunakan untuk kepentingan diri. Jangan sampai amanah dan tangungjawab kepada anak, kita abaikan. Hanya bangga anak ramai, tak peduli bab amanah.
Tingkatkan kualiti, bukan kuantiti.
Dan di satu hari kelak, anak-anak akan menjadi seperti apa yang kita tanamkan dalam diri mereka.
Kita abaikan anak hari ini, nanti anak-anak abaikan kita. Masa itu pasti si anak dicop derhaka kepada mak ayah. Anak-anak sentiasa dilihat salah di mata masyarakat jika mengabaikan ibu ayah. Anak-anak yang jahat, kononnya seburuk manapun ibu ayah kita, mereka tetap insan yang melahirkan dan membesarkan.
Derhaka seorang anak kepada ibu, ayah adalah dosanya kepada ibu ayahnya.
Manakaka derhaka seorang ibu, ayah kepada anaknya adalah dosanya kepada Tuhannya.
Jangan bangga jika punyai anak yang ramai, tapi banggalah punyai anak yang berkualiti walau hanya seorang.
Tiada anak? Jangan sedih. Allah tak kata tiada anak tak masuk syurga. Tapi Allah kata, amanah anak yang tak dijaga, pasti ada hukuman untuknya.
Wallahua’lam.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita : Oleh sebab itu bagi sesetengah pasangan lebih rela memiliki anak yang sedikit kerana mereka memikirkan yang terbaik buat anak-anak, kemampuan mereka dari segi tanggungan dan juga tanggungjawab. Tidak salah beranak ramai, cumanya menjadi salah apabila kita tidak menghargai anak sebaik-baiknya.
Bangkit Wanita Mingguan Wanita
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan https://t.me/bangkitwanitaMW
Sebenarnya bila-bila masa, dekat mana, dalam bentuk apa pun cukup mudah untuk kita melakukan amalan ber sedekah. Tak perlu tunggu jadi kaya raya baru nak mula.
Zatika Izati Puade berkongsi cara mudah dan murahnya untuk mulakan langkah bersedekah. Tak perlu pun lakukan dalam bulan Ramadan saja, bulan-bulan lain pun elok diteruskan amalan mulia ini.
(Semoga bermanfaat untuk hari-hari terakhir Ramadan ini dan seterusnya boleh juga diamalkan pada bulan-bulan lain.)
1. Jika membeli kuih daripada peniaga tepi jalan, atau bazar Ramadan, hulurkan wang extra, dengan pesanan supaya peniaga berikan kuih percuma untuk pelanggan lain.
Atau jika mereka sanggup, hantarkan ke masjid atau surau untuk dibuat hidangan moreh.
Sahabat-sahabat saya yang berniaga makanan, boleh berikan details barang jualan dan lokasi dalam ruangan komen. Manalah tahu ada yang ingin berkongsi rezeki.
2. Jika masak memasak bukanlah kita punya forte, belikan buah untuk jiran-jiran tetangga. Terutama jika kita dapat membeli buah yang jarang dijumpai.
Doakan supaya Allah SWT kurniakan nikmat kesihatan buat mereka.
3. Beli sabun mandi cecair dalam botol besar begini dan tinggalkan di tempat wuduk surau RnR atau surau atau masjid yang kita singgah dalam perjalanan pulang ke kampung.
Ia lebih banyak kegunaan berbanding sabun basuh tangan dan lebih murah (cari house brand).
4. Tempahkan makanan yang mudah dan murah untuk jururawat yang bekerja shift malam di hospital untuk mereka bersahur.
Contoh: Ada sahabat saya menjual jagung lerai dan jagung dalam cawan.
Sahabat-sahabat lain yang nak berkongsi info, dipersilakan juga.
5. Sedekahkan tenaga dan wang untuk mesin dobi. Tolong cucikan telekung dan sejadah tempat-tempat awam seperti hospital, pusat beli belah, hypermarket.
6. Pekkan kit kebersihan untuk golongan gelandangan. Boleh buat bersama anak-anak. Antaranya berus gigi, ubat gigi, sepit kuku, sikat, bedak, tuala wanita, tuala kecil, sabun mandi.
7. Keep small changes in your pocket. Duit seringgit misalnya. Apabila terjumpa kanak-kanak, hadiahkan saja sebagai duit raya. Insya Allah dapat pahala kerana menggembirakan mereka.
Jika ada idea lagi, Tuan Puan boleh share dalam bahagian komen.
Setiap hari, celik-celik mata mak-mak sudah ligat berfikir dan terus ke dapur untuk siapkan sarapan untuk keluarga terutamanya anak-anaklah. Hari pertama, kedua dan ketiga mungkin mak-mak boleh susun pelbagai menu dari pagi hinggalah ke malam tanpa gagal.
Tetapi menjelang minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mak-mak semakin letih dan penat apatah lagi mereka yang masih bekerja dari rumah dan dalam masa menguruskan keluarga serentak. Memang mencabar sungguh.
Mak-mak perlu ingat, walaupun dapur rumah kita kecil tetapi ia sebenarnya menjadi medan mujahadah kita dalam menjana pahala. Jadi walaupun kecil, besar ganjarannya lagi-lagi time PKP ini sebab kita asyik keluar masuk dapur saja.
Lepas Subuh tadi dengar ceramah Ustazah Asma Harun tentang adab makan yang dipetik daripada Kitab Riyadussolihin. Selain tazkirah, ustazah buat demo masakan Laksa Lemak Terengganu Style.
Ya Allah terliurnya saya. Dan kagum dengan ustazah. Katanya sebelum ni ustazah biasa masak banyak-banyak laksa ini. Ambil tempahan, buat jamuan jemput jiran makan. Masyaallah.
Saya teringat beberapa perkara yang ustazah sebut. Dapur dalam rumah kita, biar pun ruangnya kecil sahaja. Ia adalah medan mujahadah, ruang bakti dan kasih sayang seorang ibu. Bila kita niatkan kerana Allah, ia akan menjadi sumber pahala. Begitu juga bila kita mengemas rumah semua tu.
Mulakan Dengan Bismillah
Subhanallah. Tiba-tiba saya rasa ringan sangat perasaan. Ya, ini kita ibu-ibu fahamkan. Waktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, anak-anak asyik lapar. Kita pun masak dan masak. Kadang-kadang itu teruji letih, hilang idea hendak masak apa. Lepas itu hendak mengemas pula.
Bila kita memasak ni, mulakan dengan Bismillah. Semua itu membawa banyaknya keberkatan pada hidangan. Yang menjadi darah daging keluarga. Mudah-mudahan asbab makan apa yang kita masak. Kasih sayang keluarga bertambah erat, anak-anak elok hatinya.
Begitulah. Terasa sebuah indah dalam hati bila dengar bicara ustazah. Lalu saya gigih menyiapkan Wanpaku versi Makcik Kiah, eh Makcik Jibah untuk sarapan pagi ini. Guna apa yang ada sahaja di rumah. Biarpun rupa tak berapa cantik, syukur ia rezeki pagi ini.
MW: Walaupun kadang-kadang buntu dan stres setiap hari nak fikirkan menu untuk anak-anak, tetapi ketahuilah setiap penat lelah mak-mak pahala ganjarannya. Insyallah… semoga PKP tidak dipanjangkan lagi iya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu bapa mentua kepada personaliti media sosial Prince Syed ditahan polis selepas insiden serangan di Klang. Pempengaruh itu tampil menjelaskan isu pembedahan bariatrik isterinya, Fatin Syazwani.