Iinilah realiti yang dikongsikan Akhtar Syamirtentang suami-suami kaki game; jasad suami ada di depan mata anak isteri tapi bagaikan tak bernyawa.
Para suami yang terjebak dengan ketagihan ini, eloklah segera sedarkan diri. Agar tidak berlebih-lebihan bila menghadap telefon bimbit anda melayan game.
Ambil perhatian, dan jaga-jaga bila suami ada 8 tanda ini. Hakikatnya, anda sedang melebihkan GAME itu dari anak isteri.
Suami Ketagihan Game
Saya pernah jadi seperti ini. Telefon sentiasa di tangan. Masa sentiasa tidak cukup. Semua benda atau perkara lain adalah gangguan.
Whatsapp dari isteri dirasakan leceh. Apatah lagi video call. Hati rasa benda itu sangat mengganggu. Nak tak nak terpaksa jugak jawab. Bila jawab dengan keadaan sebegini, perbualan selalunya akan menjadi ringkas dan tidak berkualiti. Selalu juga akan berakhir dengan ketidakpuasan si isteri atau pergaduhan kecil.
Kadang – kala isteri call untuk bertanya khabar, bermanja atau sekadar melepaskan kerinduan serta kebosanan di rumah. Tetapi dibalas dengan dingin. Ditanya sepatah, jawab pun sepatah. Mana taknya, hati dah panas kerana permainan terganggu.
Bila di rumah pula, anak – anak perlukan perhatian, bantuan kerja sekolah atau sekadar bermanja, anda menjadi rimas dan terganggu. Semuanya kalau boleh tangguhkan, “nanti – nantilah ayah tengok, ayah sibuk ni”. Padahal sibuk dengan game.
Berhenti membohongi diri anda. Memang ini yang anda rasa. Inilah realitinya dan kenapa ianya adalah satu penyakit yang semakin merebak dan membahayakan rumahtangga.
Kenapa Kaki Game Mengeluh Tak Cukup Masa
Game is fun. Permainan itu suatu yang menyeronokkan. Ianya menjadi satu kepuasan apabila kita berjaya di dalam objektif game itu sama ada, mendapat chicken dinner di dalam PUBG, memenangi perlawanan di dalam Mobile Legends atau karektor yang semakin kuat dan hebat di dalam game MMORPG (massively multiplayer online, Role Playing Game) seperti Lineage 2, AxE dan lain – lain.
Game itu sendiri secara dasarnya tidak salah. Tetapi apabila ianya mengambil masa yang terlalu lama untuk bermain, di sini datangnya masalah itu.
Kita semua ada 24 jam di dalam sehari. Seorang yang normal memerlukan 8 jam untuk mendapat tidur yang cukup. Baki 16 jam akan ditolak lagi sebanyak 9 bekerja dan 1 jam perjalanan pergi balik ke tempat kerja (lebih kurang). Pada penghujung hari, tinggallah 6 jam untuk membuat perkara lain dan bersama keluarga.
Di sini datangnya masalah. Masa yang tinggal itu akan direbut dan ditagih oleh ahli keluarga. Tetapi bagaimana pula kalau masa itu juga dihabiskan dengan bermain game?
Seringkali penggemar game akan sentiasa mengeluh tentang tiadanya masa yang cukup untuk diri sendiri. Mereka juga akan menegaskan yang mereka juga ada hobi dan bermain game inilah hobi mereka. Jadi, isteri dan anak – anak wajib faham dan beri ruang yang secukupnya.
Apalah Gunanya Jasad Depan Mata, Tapi Tak Bernyawa
Tak sedar lagi? Baca semula perenggan di atas dan sedarlah yang anda dah letak game itu lebih tinggi dari keluarga. Masa dengan keluarga tidak akan kembali. Jika anda terlepas masa itu, jangan harap anda akan dapatkannya semula.
Ads
Berhenti gunakan ayat, “mujurlah abang tak melepak sana sini, main perempuan dan lain – lain, sekurang – kurangnya abang sentiasa ada kat rumah”. Ayat ni teramat tidak cerdik. Apalah gunanya jasad di depan mata tetapi tidak bernyawa? Tiada gunanya. Percayalah.
Isteri anda akan rasa tidak dihargai, diabaikan, dirasakan tidak penting, tidak dihormati, tidak disayangi dan tidak dipedulikan.
Jika anda rasa melampau si isteri rasa macam tu, anda sebenarnya dah terlalu jauh mengabaikan isteri anda untuk tidak lagi memahami perasaan isteri.
Isteri Perhatikan Ini Tanda-tanda Suami Anda Ketagihan Game
“Ahhh, aku main game nie suka – suka je, bukan ketagih pun.” Jom kita tengok tanda – tanda suami ketagihan game.
√ Bila suami nampak lebih gembira bermain game berbanding menghabiskan masa dengan orang lain atau ahli keluarga.
√ Bila suami sangat keberatan untuk keluar berjumpa ahli keluarga lain atau saudara mara dan lebih suka tidak keluar dari rumah untuk bermain game.
√ Bila suami menghabiskan masa berjam – jam dengan bermain game sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan sentiasa tidak mengendahkan kerja – kerja di rumah.
Ads
√ Bila suami secara konsisten akan bermain game setiap petang atau malam.
√ Prestasi kerja suami semakin menurun. Mereka sering lewat ke tempat kerja, sentiasa mengantuk dan tidak cukup tidur akibat bermain game.
√ Suami tidak lagi berminat untuk bersukan atau ke taman berjalan bersama anak dan isteri.
√ Sahabat handai dan saudara mara terdekat seringkali bercakap mengenai betapa suami sering bermain game.
√ Suami sering menipu mengenai berapa lama mereka bermain game dan sentiasa berjanji yang ianya tidak akan lama dan seringkali bertukar kepada berjam – jam lamanya.
Jika anda atau suami ada tanda – tanda seperti di atas, berhentilah menipu diri sendiri dan mengakulah yang anda adalah seorang penagih game.
Sebelum Parah, Bantu Suami Dengan..
Bagaimana nak mengatasi masalah ini?
1. Jangan terjebak sekali dengan masalah suami dengan bermain game bersama. Mungkin anda akan rasa anda meluangkan masa berdua, sebenarnya tidak dan ianya menjadi bertambah buruk jika pasangan sudah mempunyai anak.
2. Mengabaikan masalah tu atau membiarkan suami dengan ketagihan game hanya akan memburukkan lagi masalah. Jangan abaikan, teruskan menasihati. Teruskan cuba mencuri masanya. Jangan putus asa sehinggalah dia sedar yang game itu tidak akan membantu apa – apa.
Ads
3. Katakan pada suami yang anda mencintainya, anda risaukan ketagihan gamenya, anda rindukan masa bersama, terangkan yang ketagihan itu telah membuatkan suasana yang tidak baik di rumah dan akhirnya, berterus teranglah kepada suami yang ketagihan game dia bakal membuatkan rumahtangga anda retak.
4. Jangan sekali – kali letakkan diri di bawah game ataupun kurang penting dari game. Anda lebih penting, anda lebih utama. Dapatkan semula suami anda ! Jangan biarkan suami utamakan game dari anda dan anak – anak.
5. Jika suami tetap tidak mahu berubah, cadangkan untuk bertemu dengan pakar kaunseling rumah tangga.
6. Dan di pengakhirannya, berikan kata dua, game atau anak dan isteri?
Suami Fikirlah! Game Lebih Berbaloi Ke.. Anak Isteri
Kepada suami, fikirkan semula, berbaloi ke? Berbaloi ke lebihkan game berbanding kehidupan yang dipenuhi kegembiraan yang benar dan nyata? Insaflah. Bila sudah berkeluarga ini, masa sepatutnya dihabiskan bersama mereka kerana apabila kita terlantar di katil hospital nanti, bukan game yang akan menjaga kita, bukan game yang akan menyuapkan nasi ketika kita sudah tidak mampu makan sendiri, bukan game juga yang akan duduk di tepi katil berdoa dan memberi semangat apabila nyawa kita berada di penghujungnya nanti.
Buanglah ketagihan itu. Kembalilah kepada keluarga. Anak dan isteri anda sangat merindui anda.
Kepada si isteri, terimalah kenyataan yang suami anda mempunyai masalah. Bantulah dia, kembalikan matanya kepada anda dan keluarga.
Sebelum saya terlupa, berhenti mengungkit tentang pengorbanan anda sebagai seorang ayah atau suami setiap kali ditegur pasal game. Itu bukan alasan untuk menghadap telefon berjam – jam dan bukan anda seorang sahaja yang berkorban untuk keluarga.
Game itu menyeronokkan. Tetapi ketagihan game itu adalah masalah yang boleh membawa kepada keretakan rumah tangga.
Kepada yang belum berkahwin, bawak – bawaklah berhenti bermain game. Nanti sedar tak sedar anda dah 30an dan masih tinggal seorang diri. Berhentilah dari membuang masa.
Semoga bermanfaat.
Silakan kongsi penulisan ini supaya ia dapat membuka lebih banyak mata mengenai permasalahan ini.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, yang selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa. BroOhsem.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebenarnya, rezeki suami isteri bukanlah terletak pada gaji hasil mereka bekerja. Kadang-kadang, ia datang dalam banyak bentuk. Anak yang ramai, tidak kedekut dengan keluarga dan bersedekah.
Ini mungkin menjadi salah satu rezeki semakin bertambah. Malah, tidak mustahi, gaji yang banyak boleh habis sekelip mata sehinggakan kita sendiri tidak tahu ke mana perginya.
Jika keadaan di mana, suami isteri merasa rezeki selalu tidak cukup, kena tengok kembali apakah hubungan kita dengan pasangan, anak-anak dan orang terdekat. Mungkin inilah yang boleh menjadi kaitan tentang hal ini.
Salah satu hilang rezeki suami isteri mungkin boleh dikatakan kerana selalu gaduh. Kita anggap ini mungkin perkara kecil tapi ia turut dikaitkan juga. Ada beberapa lagi perkara yang turut dikongsikan oleh megat naif. Moga ia memberi manfaat dan panduan untuk kita.
Sebenarnya, ramai ustaz, ustazah & pakar perunding keluarga berkongsi tentang hal ini untuk peringatan bersama.
Jadinya, sebagai seorang suami, ayah & juga anak tiba-tiba rasa terpanggil nak berkongsi perkara yang sama supaya ramai yang dapat manfaat. Saya cuba kongsikan 7 perkara tersebut.
1. Selalu Bergaduh
Jangan gaduh-gaduh suami isteri. Lebih-lebih lagi hal duit. Bawa berbincang & duit boleh dicari. Bila suami isteri tidak ada persefahaman maka rezeki susah nak masuk.
2. Mengeluh & merasakan anak-anak sebagai beban hidup.
Anak-anak merupakan rezeki dari Allah. Ada orang tiada rezeki peroleh anak walaupun sudah lama berkahwin. Kita yang dah ada anak ni?
Anggap anak sebagai beban pula. Sepatutnya, kita sebagai ibubapalah yang perlu berusaha mencari rezeki untuk anak-anak. Ingat, doa anak-anak soleh & solehah membawa kita ke syurga.
3. Bakhil dengan isteri & anak-anak
Janganlah terlalu berkira untuk keluarga. Kena ada persefahaman. Rezeki kita bukanlah semuanya hal kita.
Sebahagiannya adalah rezeki anak dan isteri kita. Sebahagian lagi rezeki orang lain juga contohnya zakat, sedekah dan lain-lain. Allah beri rezeki untuk dikongsi bersama.
4. Gagal kawal emosi & suka marah
Pakar pesan, gunakan kata-kata & nada yang baik, lembut bila bersama suami, isteri & anak-anak. Ingat mereka inilah punca rezeki kita luas.
Tanam sifat kasih sayang dan layanan mesra bersama keluarga tercinta.
5. Lagi-lagi mengeluh dengan apa yang tidak dimiliki
Banyakkan bersyukur dengan apa yang kita ada & apa yang kita terima kerana syukur kunci pintu rezeki berganda.
6. Kurang sabar atau panas baran
Banyakkan bersabar dalam menangani karenah & perangai suami, isteri & anak-anak. Cuba fahami keadaan mereka.
Mungkin stress kerja, belajar atau lain-lain. Cuba cari jalan damai. Pasti boleh.
7. Kurang berdoa
Berdoalah kerana doa itu senjata mukmin. Doakan yang baik-baik untuk diri & keluarga. Saling ingat sesama keluarga yang doa itu penting. Berdoalah! Mohon hajat.
Sekian,
Terima kasih
Si suami, ayah & anak
#MegatNaifShare
#MegatNaif
MW: Salah satu yang suami isteri kena ambil noted, tentang suka marah dan kawal emosi. Kadang-kadang, anak tak dengar dan buat perangai mulalah mak ayah naik darah. Inilah juga kena perbetulkan. Anak-anak ni, mereka sengaja cari pasal sebab nak perhatian daripada kita. Kena jaga-jaga mak ayah.
Kisah isteri setia disamping suami ketika sakit mungkin perkara biasa. Tapi kisah suami yang setia disisi isteri disaat suri hati mempunyai penyakit jarang sekali berlaku. Apatah lagi penyakit kronik yang tidak diketahui kesembuhannya, ia boleh dianggap pengorbanan yang luar biasa.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang terpaksa dihadapi Nurliyana Abdul Raziff, 32 apabila dia disahkan menghidap penyakit Hiper Tiroid sejak dua tahun lalu.Namun Nurliyana dianggap wanita dan isteri yang bertuah apabila dikurniakan seorang suami,Mohd Taufiq Abdullah, 42, yang cukup setia menjaga, menjadi tulang belakang dan menemani disisi.
“Di saat dia (isteri) menderita akibat penyakit ini, saya perlu setia dan menjadi tulang belakangnya. Saya mahu dia terus bersemangat dan cekal menghadapi ujian hidup.
“Mungkin ini semua daripada Allah SWT untuk menguji keimanan hamba-Nya, selepas dia berikan saya hidayah memeluk Islam,” kata Mohd Taufiq
Tulang Rahang Membesar
Perasaan sebak dan belas pasti menusuk di sanubari sesiapa saja yang melihat Nurliyana Abdul Raziff, 32, berikutan penyakit Hiper Tiroid dialami wanita ini. Penderitaan jelas terpapar pada wajahnya apabila tulang rahangnya kini membesar sehingga menyebabkan mulut terkeluar dan turut menjejaskan penglihatannya. Lebih memilukan, berat badannya juga menyusut daripada 55 kilogram hingga kini hanya 23 kilogram, malah ketinggiannya turut menurun daripada 1.5 meter kepada 1.3 meter.
“Saya tidak lagi mampu mengunyah kerana ketumbuhan tiroid dalam mulut semakin membesar hingga menutup saluran rongga. Berat badan yang menurun secara mendadak turut membuatkan fizikal saya semakin rendah,” kata Nurliyana dengan nada yang kurang jelas dan tersekat-sekat.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Liyana berkata, doktor pakar tidak mengesyorkan dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan tiroid kerana perlu mencari kaedah sesuai berikutan wanita itu menghidap masalah buah pinggang dan jantung. Masalah kesihatan itu menyukarkan doktor pakar untuk menjalankan pembedahan kerana Nurliyana tidak boleh disuntik ubat bius atau diberikan ubat tidur berikutan keadaan jantungnya yang lemah.
Ketabahan dan kesetiaan Mohd Taufiq menjaga Liyana sejak dua tahun lalu membuatkan ramai netizen kagum terhadap pengorbanan yang dilakukan selepas penderitaan isterinya itu disiarkan Harian Metro, kelmarin.
Tahu Lebih Awal
Mohd Taufiq berkata, sebelum mengambil keputusan melamar Nurliyana, isterinya itu sudah memaklumkan kepadanya mengenai masalah kesihatan dialami.
“Usia perkahwinan kami sekarang sembilan tahun. Kami berkenalan pada 2008 ketika bekerja di sebuah kilang sama di Nilai, Negeri Sembilan dan berkahwin pada 1 Januari 2011.
“Sebelum berkahwin Nurliyana beritahu saya dia ada masalah buah pinggang dan mula menjalani rawatan dialisis di Hospital Serdang sejak 2009 lagi. Tapi saya tetap terima Nurliyana dan sedia menjaganya,” katanya.
Dia yang berketurunan suku Kadazan, Sabah berkata, keputusan untuk bergelar lelaki Muslim dibuat selepas tertarik dengan keindahan ajaran agama Islam. Katanya, apa yang dipelajari dalam Islam sepanjang bergelar lelaki Muslim menjadikan dirinya seorang yang lebih tabah dan cekal menempuh ujian.
“Apa yang kami tempuhi sekarang ini saya anggap sebagai takdir. Saya tetap bersyukur di sebalik kepayahan ini, syukur ramai yang tampil beri sokongan moral dan sumbangan bagi meringankan beban kami,” katanya.
Buat suami isteri jadikan kisah ini sebagai satu sumber inspirasi agar tetap bersama-sama pasangan dalam mengharungi susah senang. Tempuhi saat manis dan sukar bersama, bukan hanya memerlukan dikala sihat dan ditinggalkan ketika sakit.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan kongsikan agar lebih ramai pasangan suami isteri yang turut mendapat iktibar daripada kisah ini.
Isteri suruh buat itu ini, suami ikut. Minta apa saja suami bagi. Jika merajuk cepat suami pujuk. Sakit sikit pun suami prihatin, semua kerja rumah kongsi buat bersama, duit nafkah tak pernah terunggak, layanan batin isteri diutamakan. Tetapi, kenapa isteri masih tak puas hati?
Sama halnya dengan sesetengah suami, walaupun isteri pandai berhias, masih juga nakal mencari yang lebih ‘merecik’ kononnya.
Isteri di rumah taat, tak pernah tinggikan suara, ikut segala titah perintah.
Tak pernah mengungkit, diam dan reda bila dimarah.
Tak pernah menolak layanan batin tak kira dia letih atau sakit dikuatkan juga jiwa raganya.
Anak-anak dan rumah diurus jaga dengan baik semua demi kepuasan suami.
Tetapi masih juga isteri yang salah, yang tak pandai layan, yang menjadi punca musibah dan bala dalam keluarga. Maka di manakah kan dicari rasa yang bernama ‘kepuasan’?
Allah SWT mencipta manusia dalam keadaan sentiasa tak pernah berpuas hati, suka merungut dan tamak.
Sifat-sifat ini merupakan tabiat semula jadi insan yang penuh kelemahan.
Al-Quran menyatakan perkara ini satu persatu.
Dalam Surah Al-Ma’arij ayat: 20 Allah berfirman: “Apabila dia (manusia) ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah”.
Ada banyak lagi sifat negatif manusia yang dirungkaikan dalam al-Quran. Contohnya suami yang tak adil dan mahu menang sendiri. Apa saja yang dilakukannya sentiasa betul, isteri sentiasa salah.
Dia mahu dilayan lebih tapi tak mahu melayan dengan baik.
Dia mahu mengambil tetapi tak mahu memberi.
Dia mahu kepuasan tapi tak mahu memuaskan.
Bukankah Al-Quran berkata kepada kita: ”Celakalah orang-orang yang curang dalam sukatan. Iaitu apabila mereka mengambil sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan sebaliknya apabila mereka menimbang sukatan orang lain mereka kurangi.” (Surah al-Muthaffifin ayat: 1-3)
Oleh itu sentiasalah saling menilai dan menyoal, “apakah aku telah berbuat tidak adil kepada pasanganku? Jika aku menghendaki sesuatu apakah aku juga telah memberi apa yang pasanganku mahu?”
Jika kita tak berlaku adil, Allah panggil kita dengan panggilan celaka seperti herdikan Allah di dalam ayat tadi.
Panggilan yang amat memalukan sekaligus menakutkan! Wahai suami celaka, wahai isteri celaka, alangkah buruknya panggilan!
Sesungguhnya merubah tabiat negatif menjadi positif dengan akhlak yang mulia tidaklah mustahil. Kita semua boleh berubah, atur strategi baru untuk mencapai impian menjadi pasangan yang soleh solehah.
3 Langkah Untuk Mengubah Diri Demi Kepuasan Pasangan
1. Reda Allah SWT Mengatasi Kepuasan Pasangan
Kelemahan seorang lelaki menjadi ujian untuk isteri begitu pula sebaliknya. Ujian itu mendatangkan pahala sabar.
Jadi janganlah sedih jika suami menyakiti kerana saat itu Allah sedang memenuhi kantong pahala kita sehingga penuh.
Mula-mula tanamkan reda kemudian usaha merubah keadaan dengan layanan yang baik.
Tidak menambah masalah dengan masalah baru, sentiasa tambahkan ilmu agama dan amalkannya, jangan cari kesempurnaan suami jika kita tak mampu menjadi isteri yang sempurna!
Jika kita mencari kesempurnaan dalam perkahwinan kita akan letih dan sakit, mustahil kita temui! Kita lupa Allah jadikan suami isteri banyak kelemahan untuk saling menguatkan, bukan mematahkan antara satu sama lain.
2. Kepuasan Letaknya Di Hati Yang Sihat
Memuaskan hati pasangan jangan hanya sekadar menggembirakannya dan mengikut apa saja kemahuannya.
Tetapi berikhtiar untuk mengajak pasangan kita membersihkan hati setiap hari.
Hati dikaratkan oleh dosa kerana meninggalkan kewajipan agama dan maksiat yang disengaja. Ia menjadi berkudis oleh sebab khianat kepada Allah dan bernanah kerana menyimpan dendam, dengki, riya dan permusuhan kepada manusia.
Jika suami sentiasa tak puas hati, mengamuk bila berada dalam tekanan, cepat-cepatlah ubati hatinya dengan mengingati Allah.
Kikis karat hati dengan ilmu kerana ia adalah cahaya Allah yang menerangi hati manusia.
Segala dosa yang besar atau kecil itu bermula dari jauhnya manusia dari pintu ilmu. Kerana Syaitan tahu ilmu itu cahaya Allah, sesiapa yang tidak mendapatkan cahayanya sesatlah dia selama-lamanya.
3. Berdamai Dengan Takdir
Pahit manis dalam berumah tangga hendaklah diyakini bahawa itu kehendak Allah, qada dan Qadar-Nya.
Kita akan merasai kedamain jika kita berdamai dengan takdir, mengakui segala takdir Allah itu baik dan tidak pernah bersangka buruk kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: Allah berfirman: “Aku sesuai dengan persangkaan hambaKu.” (Hadis muttafaqun ‘alaih) Rasulullah bersabda lagi: “Janganlah salah seorang kamu mati melainkan dia bersangka baik kepada Allah.” (Hadis Muslim)
Sangka baik kepada Allah akan menyuburkan semangat baru, pasangan kita yang semalam belum tentu sama ‘mood’ dan perangainya esok hari.
Apa yang terjadi semalam kita reda tanpa kita berputus asa untuk memperbaiki keadaan hari ini.
Mari puaskan pasangan dengan ilmu, bukan nafsu melulu!
Tulisan : Dato Dr Haji Juanda Haji Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam. Kedua-duanya merupakan kolumnis ruangan Keluarga Sakinah, majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Apabila aku dengar DPP bagitahu terdapat kesan air mani di dalam dubur anak aku .YA ALLAH gelapnya dunia .Tergamak kau buat anak aku yang baru 9 bulan. Kau tak layak dipanggil manusia!!! Kau memang binatang!!!