Kalau anda salah seorang yang mengikuti kes Aisya atau nama penuhnya Nur Aisyah Hazmizan yang diculik hampir 15 jam sewaktu bersahur, ini sedikit luahan hati ibunya, Siti Noorfadilah Yusofe, 30 sekali gus menjawab semua pertanyaan dan 1001 komen netizen di laman media sosial.
Yes, saya sebagai mama Aisya pun tak dapat beri kenyataan lebih. Kita serahkan kepada pihak polis ya, mereka lebih layak jalankan tugas.
Percaya lah saya dan suami serta keluarga sangat terkesan dengan kejadian ini tapi siapa kita untuk lawan takdir? Saya tak pinta kejadian seperti ini berlaku. Anak-anak saya nyawa saya, janganlah hukum sebarangan dan janganlah membawang sebarangan.
Kenapa Tak Sedar Langsung Waktu Tidur
Untuk jawab soalan pakcik halia dan makcik halia. Ya, kami sememangnya dah kunci pintu.
Kenapa tak sedar ketika orang masuk rumah anak kena ambil? Saya tidur pukul 3 pagi, sepanjang bulan puasa saya jarang tido. Normal tido selepas subuh. Dan sebelum kejadian saya letih urusan kerja jadi mungkin saya benar-benar letih sehingga beliau ambil Aisya pun saya tak sedar. Yesss saya amat-amat menyesal tidur pada hari kejadian!
Ads
Tak Bergaduh Laki Bini Pun
Saya dan suami tidak bergaduh dan saya hanya ada SEORANG suami sahaja tiada istilah EX suami bagai. Dia suami saya sejak 12 tahun lepas dan dia kekasih hati saya sejak 15 tahun lepas.
Saya/suami suspek utama? Hanya tuhan sahaja tahu betapa sayangnya kami kepada anak-anak kecil. Jika bukan anak saya pun saya akan menangis kerana melibatkan seorang kanak-kanak. Kami adalah pencinta kanak-kanak bukan pendera kanak-kanak.
Moga dengan post ini buat anda berpuas hati dan nak tahu lebih lanjut boleh ke IPD muar tanya dengan polis yang bertugas ya.
Ads
Jika anda rasa anda hebat berspekulasi boleh suarakan kehebatan anda kepada pihak polis.
“Salam jumaat dari mama Aisya. Doakanlah Aisya kembali pulih dari apa yang terjadi, beliau masih trauma.”
Menjawab Soalan Kenapa Aisya Nampak Teruk
Ramai bertanya tentang Aisya. Saya menjawab semua persoalan anda disini. Sekejap lagi sembayang jumaat saya mohon doakan anak saya kembali sihat, hilang trauma yang dia hidapi kini dan hilangkan kesakitan yang di alami.
Alhamdullilah perlaku tak pukul Aisya dari xray yang dibuat. Tapi aisya jadi seperti ini kesan adari gigitan semut, nyamuk dan binatang-bintang kecil.
Ads
Gambar 1st keadaan aisya sekarang bibir dan sekitar mulut bernanah, mata keluar nanah, sekitar leher bernanah.
Alhamdullilah dia kembali kepada saya dalam keadaan bernyawa walaupun begini rupa, saya sangat beryukur.
Doa anda semua moga Allah membalas segalanya. Terima kasih kerana prihatin kepada kami.
Sedikit penjelasan dari pihak keluarga adik Aisya, moga orang ramai boleh stop kecam keluarga ini. Dari pihak team Mingguan Wanita sendiri, moga Puan Diela Yusofe tabah telan ujian dan didoakan moga adik Aisya cepat-cepat sembuh. Aamiin..
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dorongan ibu menjadikan Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35, berusaha keras hingga berjaya melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik Pegawai Memerintah Kapal di negara ini. Beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) pada Februari yang lalu.
Kejayaannya yang dikecapi disifatkan sebagai memenuhi impian ibunya yang inginkan dirinya meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform yang sebelum ini bertugas selaku Pegawai Waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya amat rapat dengan arwah bapa dan sebagai anak sulung ibu mahu saya mengikut jejak bapa. Sejujurnya saya sememangnya menyimpan impian untuk bergelar pegawai memerintah namun tidak sangka ia secepat ini,” ujarnya memulakan bicara.
Cabaran Bekerja Dalam Bidang Dimonopoli Lelaki
Mengakui peranan ibunya yang banyak mendorong tanpa jemu untuk berkhidmat dalam pasukan Maritim, Aida yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih bekerja dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat pembinaan kapal sebelum beralih arah.
Mula menyertai Maritim Malaysia pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah, pelbagai pengalaman sebagai wanita yang bertugas di atas kapal pernah dilalui wanita ini. Aida membuktikan tiada halangan buat seorang wanita sepertinya untuk turut sama bekerja dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Ketika penglibatan awal sebagai pegawai Maritim, Leftenan Aida pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir, Pegawai Pensenjataan, menjadi Pegawai Navigasi di Kapal KM Banggi, Pegawai Navigasi di Kapal KM Arau sehinggalah dirinya dilantik sebagai Pegawai Memerintah di Kapal KM Nyalau baru-baru ini.
“Sepanjang lima tahun saya bergelar seorang Pegawai Maritim, tugas-tugas yang saya sandang semuanya berbeza-beza. Ketika menjadi Pegawai Tadbir saya banyak membuat kerja-kerja pentadbiran kapal, bermain dengan kertas, surat dan sebagainya.
“Untuk tugas Pegawai Persenjataan pula saya fokus kepada menjaga senjata, membuat latihan menembak dan sebagainya yang berkaitan dengan senjata. Menjadi Pegawai Navigasi pula tugas saya biasanya di Anjungan iaitu bahagian menggemudi kapal dan biasanya Pegawai Navigasi lah yang akan membantu Pegawai Memerintah sebagai penunjuk arah.
“Sebelum saya menyertai Maritim, saya pernah bekerja dengan syarikat perkapalan yang mana majoriti kakitangan di sana adalah lelaki. Persekitaran itu telah terbina sejak pekerjaan saya yang lama lagi, jadi bila masuk Maritim, saya tiada masalah dengan perkara tersebut. Cuma cabarannya, status saya yang bujang dan perlu bekerja dengan krew lelaki yang sudah berkahwin.
“Alhamdulliah saya mendapat rakan-rakan sekerja yang baik dan memberi kerjasama yang baik untuk saya. sepanjang bertugas memang saya tiada masalah. Antara pendekatan lain yang saya buat, saya turut berkenalan dengan keluarga mereka, saya maklumkan status saya kepada keluarga krew lain untuk memudahkan tugas saya pada masa hadapan. Kebanyakan mereka kenal dengan saya jadi semua itu semua tidak timbul masalah,”ujarnya Leftenan Aida lagi.
Sudah Biasa ‘Berkampung’ Di Laut
Dengan jawatan sebagai Pegawai Memerintah yang baru disandangnya sejak Februari yang lalu, pasti bidang tugas Leftenan Aida berbeza daripada sebelumnya. Leftenan Aida turut berkongsi bagaimana dirinya sebagai seorang wanita menjadi ketua kepada krew lain yang kebanyakannya adalah lelaki.
“ Kapal KM Nyalau merupakan kapal ketiga tempat saya berkhidmat. Sebelum ini saya pernah bertugas di atas Kapal KM Banggi dan juga KM Arau yang berpengkalan di Kota Kinabalu, Sabah. kedua kapal sebelum ini bersaiz lebih besar daripada Kapal KM Nyalau, bidang tugas saya juga kini berbeza daripada dahulu.
“Kalau dahulu kapal besar dan sekarang saiznya lebih kecil, jadi pengendaliannya juga berbeza. Dahulu saya menerima arahan daripada ketua tetapi kini saya yang perlu memberi arahan kepada anak kapal. selain itu saya juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas aset kerajaan yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Bukan sahaja kapal yang perlu saya jaga tapi anak-anak kapal juga saya perlu ambil tahu.
“Kapal KM Nyalau biasanya setiap kali beroperasi akan mengambil masa lima hari di laut. Namun jika tidak ke laut untuk operasi biasanya kami tetap berada di atas kapal tapi bezanya kapal hanya berlabuh dan tidak bergerak. Ketika berlabuh saya dan krew akan melakukan penyelengaraan kapal dan juga urusan pentadbiran yang lain.
“Dalam KM Nyalau, selain dianggotai krew-krew lelaki, saya juga ada pegawai perempuan bersama, memang bukan mudah untuk saya pada mulanya menjadi seorang ketua kepada anak-anak kapal yang majoriti lelaki.
“Namun itu sudah menjadi tugas saya dan dalam apa jua keadaan sebagai seorang ketua apa yang penting dalam menjalankan tugas adalah kita kena tegas. Bagi saya ketegasan itu perlu ada sebagai seorang ketua supaya anak-anak kapal tidak memandang remeh dan ambil kesempatan ke atas kebaikan kita sebagai seorang ketua walaupun saya seorang wanita,”katanya.
Jelasnya juga pengalaman bekerja di atas kapal yang lebih besar dengan krew kapal lelaki melebihi 50 orang turut digunakan sebagai persediaan untuk perjalanan tugas yang lancar.
“Bagi saya kalau di kapal besar pun saya boleh bekerjasama dengan krew lelaki, saya pasti di kapal KM Nyalau juga saya boleh lakukan perkara yang sama.”
Beraya Atas Kapal
Lima tahun bergelar seorang Pegawai Maritim, berpuasa dan berhari raya dilautan menjadi asam garam buat wanita yang kini bergelar Pegawai Memerintah Kapal KM Nyalau ini. Namun pengalaman yang ada menjadikan diri Leftenan Aida lebih matang dalam kehidupannya.
“Pada tahun lepas, bulan Mei 2017. Saya dan 25 orang krew kapal yang lain membawa pulang kapal KM Arau dari Jepun Ke Malaysia. Saya satu-satunya pegawai wanita yang mengikuti pelayaran itu. Kebetulan pada waktu kami belayar itu adalah pada bulan Ramadan.
“Pengalaman berpuasa di negara orang yang mana kami perlu berpuasa di lautan lebih daripada 16 jam dan juga perlu melalui perubahan masa dari satu negara ke satu negara yang lain yang mempunyai perbezaan waktu untuk berbuka memang satu pengalaman yang berharga buat saya. Keadaan laut pada ketika itu juga bergelora dan ditemani pula oleh krew kapal dari Jepun yang berumur antara 62 hingga 75 tahun membuatkan pelayaran kami satu pengalaman yang tak akan saya perolehi di mana-mana,” ujar anak kelahiran Perlis ini.
Sepanjang berkhidmat sudah dua kali Leftenan Aida menyambut Syawal di lautan. berjauhan dengan keluarga hanya ditemani krew kapal dan juga lautan tentunya buat hati terasa sayu. Namun kerana tugas untuk negara, tanggungjawab yang dipikul perlu digalas tanpa rasa sesal.
“Pengalaman saya beraya di laut pertama kali adalah ketika menjalani latihan di kapal KM Banggi yang berpengkalan di Kota Kinabalu. Pada pagi raya saya dan krew kapal yang lain menyediakan juadah raya secara beramai-ramai di dalam kapal. Sebelum ini tak pernah saya masak beria untuk hari raya, cuma tolong-tolong sahaja emak dan nenek. Tapi kerana perlu bertugas dihari raya saya belajar masak juadah yang biasa ada dir rumah pada hari raya. ketupat rendang semuanya kami masak di atas kapal.
“Pengalaman beraya kali kedua di laut pula ketika beroperasi di Tawau. Pegawai Memerintah kami mengambil inisiatif dengan berlabuh sebentar di Jeti Pelabuhan Tawau untuk sembahyang raya. selepas solat kami meneruskan pelayaran untuk meneruskan operasi. Suasana memang sangat berbeza dengan sambutan perayaan di rumah atau dikampung, yang ada hanya anak-anak kapal dan juga juadah raya yang kami masak sendiri. kebiasaannya memanglah tidak semeriah beraya di daratan, kami masak menu yang mudah disediakan seperti nasi impit, kuah kacang, mihun sup. ketupat lemang semua kami bawa yang segera dan rebus sahaja,”ceritanya tentang pengalaman beraya di lautan.
Ternyata bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti yang dikecapi oleh Leftenan Aida. harapan Aida kejayaannya itu akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk sama-sama menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ibu-ibu kadangkala merungut anak-anak mula tak mendengar kata. Tak mahu lagi ikut apa yang ibu minta anak lakukan. Ibu jadi sedih kerana anak degil tak nak dengar kata. Mulalah fikir anak dah salah laku. Hakikatnya, anak kecil mula rasa sesuatu dengan hubungan antara dia dan ibu.
Dalam perkongsian Puan Nadia Bakar, wahai ibu anda sebenarnya cuma perlukan 10 minit sehari untuk mengembalikan rasa percaya anak pada ibu. Buat anak kembali dengar kata. Cuma semudah itu. Baca selanjutnya untuk lebih faham.
Benda ni simple je.
Namun dia punya kesan, Masya Allah amazing! Memang Dr Siti sungguh-sungguh kempen dalam setiap talk beliau.
Dr Siti selalu pesan buat benda ni dengan anak-anak. Tak lama pun, 10 minit sehari je.
10 minit sehari ni kena peruntukkan setiap hari.
Kena CARI MASA tu sendiri. Bukan tunggu bila free.
Tutup TV, handphone dan semua gajet yang ada.
Hanya ada kita, anak, kertas dan pensel sahaja.
Kita betul-betul fokus pada anak waktu tu.
Apa kesannya?
Anak akan lebih bonding dengan kita. Anak akan lebih percaya pada kita.
Kita juga dapat kenalpasti kebolehan anak.
Kalau anak boleh duduk diam-diam,
Dengan kertas tu anak boleh tulis ABC, tulis cerita, Insya Allah anak jenis boleh fokus di sekolah.
Kalau anak suka lukis melukis,
Anak lebih mudah dengan konsep mind-mapping.
Kalau dengan kertas tu jadi kapal terbang, anak melompat sana sini,
Anak jenis kinestatik.
Silalah dapatkan trampolin untuk anak lepaskan tenaganya yang super power itu.
Yang dah tak tahu nak buat apa bila setiap pagi asyik berperang dengan anak yang meragam tak nak pergi sekolah.
“Anak you tak percayakan you ni.”
Bammm!!
Memang pada awalnya tak boleh terima juga bila Dr Siti komen macam tu.
Namun, bagus ibu hebat ni.
Walau ada rasa ragu-ragu, tapi beliau buat 10 minit setiap hari dengan anak. Tanpa gagal.
Apa salahnya cuba benda yang baik walau logik akal tak nak terima benda ni kan?
Nak tahu? Selang beberapa lama kemudian, beliau maklumkan pada Dr Siti anaknya semakin gembira untuk ke sekolah. Tiada lagi drama “Anakku Meragam di Pagi Hari.”
Dengan usaha 10 minit setiap hari kita fokus pada anak sahaja dapat mengembalikan bonding dan kepercayaan anak pada kita.
Anak yang percayakan kita Insya Allah lebih tenang dan lebih mudah untuk urus emosinya sendiri.
Bila ada yang kata sibuk sangat sampai tak ada masa 10 minit,
Faham tu. Siang kerja, malam sibuk dengan urusan rumah dan anak-anak pula.
Lalu Dr Siti tanya satu soalan je.
“Ada Facebook?”
Kita scroll FB setiap hari pun dah lebih 30 minit.
Belum lagi campur dengan dok geram-geram baca gosip kontroversi.
Insya Allah boleh sangat cari 10 minit untuk anak-anak, kan?
Mel Robbins ada cakap,
Facebook ni ialah tempat “hal orang lain“, cuma dia cakap versi menusuk kalbu sikit,
“other people’s shit”.
Jadi, berhenti letak hal online ni sebagai priority.
Yang lebih utama ialah jaga anak-anak kita dulu sebab Tuhan bagi khas dan istimewa untuk kita jaga. Solely buat kita sahaja.
Maksudnya Tuhan tahu kita mampu buat yang terbaik untuk pegang tanggungjawab sebagai ibu ni sebab tu kita dipilih.
Ibu-ibu,
Bina bonding dan kepercayaan anak sejak kecil lagi sebab kita nak anak yang sentiasa percayakan kita kan? Yang emosinya lebih stabil dan terpenuh gitu. Yang bila besar dahulukan kita, bukan orang luar. CARI MASA 10 minit untuk mereka.
Ada cita-cita nak bekal doa anak yang soleh bila mati nanti kan?
Sekarang, ini salah satu tindakan kita untuk capai gol tu.
Kongsi dengan ibu-ibu hebat yang kita sayangi. Mungkin mereka juga memerlukan ini.
Cabaran mak ayah dalam membesarkan anak-anak zaman sekarang adalah mendidik mereka menjadi manusia berguna.Namun, tidak dapat dinafikan terdapat segelintir mak ayah yang terlalu berlembut dengan anak-anak dan terlampau memanjakan mereka. Ini mampu memberi kesan negatif dalam diri anak-anak bila mereka menginjak dewasa. Melahirkan anak-anak yang bersikap ‘tuan’ sekaligus ‘menghambakan’ mak ayah sendiri.
Karshinah Rostam atau lebih dikenali sebagai Nani Rostam yang juga merupakan mak kepada selebriti Hanis Zalikha ada berkongsi luahan pandangannya dan pesanan buat mak ayah dalam mendidik anak-anak. Memiliki 7 orang anak yang telah memasuki usia dewasa, Nani Rostam berkongsi pandangan ini didalam status instagramnya.
Didiklah Anak Sebagai ‘Hamba’ Dari Sekarang Supaya Kelak Tidak Menjadi ‘Tuan’. Didik anak sebagai ‘hamba’. Tajuk memang nampak seperti tidak berperikemanusiaan, tapi itulah hakikat mendidik anak zaman sekarang. Mungkin tak ramai setuju dengan kenyataan ini. Terutama ibu bapa yang melihat bahawa anak tersebut perlu dicurah kasih sayang bak menatang minyak yang penuh.
Pernah tak anda melihat senario di mana si ibu sibuk membuat kerja-kerja di rumah, seperti membasuh, mengemop lantai, memasak malah mengemas bilik si anak. Walhal, si ibu ada dua tiga orang anak dara yang duduk bersenang lenang di depan TV, atau mengadap smartphone atau berchating depan laptop?
Nah .. apabila disuruh untuk tolong, terus merungut, tak reti, malas dan ada yang buat cincai-cincai sebab terpaksa. Lagi teruk, ada yang angkat kaki .. merajuk dan tarik muka .. hanya kerana meminta untuk tutup air jerangan di dapur. Uhh .. kepala digeleng sepuluh kali pun tak jadi apa… hurmmm.. Tak kurang juga anak lelaki, mana mahu nak buat kerja-kerja yang selalu dilakukan oleh perempuan? Hilanglah macho .. rasa macam kelakian kena sagat kat atas tar jalanraya .. erkk.
Budaya anak menjadi raja semakin berleluasa sekarang. Sebab apa?. Sebab mereka tidak dididik menjadi ‘hamba’ sejak dari kecil. Ramai pasangan ibu bapa yang terlalu manjakan anak. Kehendak anak semua dituruti.
Mereka tidak diajar untuk mengerti kesusahan dan kepayahan ibu bapa mereka. Ya ibu bapa kaya berharta, tapi nak sampai berjaya begitu.bukan mudah. Ada anak-anak ni ambil tahu?
Bila ada beritahu .. jangan manjakan anak. Ini alasan mereka..
“Kesian anak tu kecik lagi..”, “Tengok Timah tu, nak dera anak ke apa?” “Ish, janganlah bagi budak tu buat, dah jadi macam orang gaji je..”
Jika beginilah alasannya, bersiap sedialah untuk menjadi “hamba” kepada anak sampai ke tua?
Bukan itu sahaja…Ada anak yang dah kahwin beranak pinak pun masih menyusahkan mak pak. Benda ni berlaku, dan saya sendiri dah banyak kali lihat dengan mata kepala sendiri.Betul. Ini terjadi dalam dunia masa kini .. baju laki bini anak beranak si emak yang basuh. Umur dah jangkau 30 tahun kot.
Ada benarnya apa yang diluahkan oleh Nani Rostam ni. Ada segelintir mak ayah yang terlalu memanjakan anak-anak dalam membesarkan mereka. Ini mengakibatkan anak-anak akan’naik lemak’, malas, tidak pandai berdikari serta bersikap kurang ajar dengan mak ayah sendiri. Semoga perkongsian ini bermanfaat memberi pengajaran buat kita sebagai mak ayah, agar tidak melakukan ‘kesilapan’ ini dalam mendidik anak-anak.
Raih 11A+ SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), anak penjual pisang goreng dan laksa buat ramai rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai sebagai seorang pelajar.