Dalam keadaan ekonomi sekarang, kos hidup setiap bulan bukan satu jumlah yang boleh buat orang bertenang. Perkongsian Professional Engineer, Ir Abdul Rahman Bahasabetapa mak ayah sanggup ketepikan kehendak diri sendiri demi anak adalah satu kiraan yang real.
Betapa struggle nya kehidupan sekarang ya mak ayah. Belanjawan ini adalah milik Puan R yang mana dia suri rumah sepenuh masa, suami bekerja dengan pendapatan bersih RM6000 dengan jumlah 4 orang anak.
DEMI ANAK, SAYA SANGGUP KETEPIKAN KEHENDAK SAYA
Assalamualaikum Tuan. Saya tergerak nak share belanjawan keluarga saya bulan ni. Sekadar nak berkongsi ekonomi keluarga saya dan betapa strugglenya kehidupan sekarang.
Itu DM Puan R kepada saya. Saya go through belanjawan keluarga Puan R.
YA! Memang struggle! Kenapa saya katakan begitu?
Ads
Ini latar belakang keluarga Puan R:
Punca pendapatan: Suami sahaja bekerja. Puan R suri rumah sepenuh masa.
Gaji Suami: RM 8,000
Gaji Bersih Suami: RM 6,000 (approx. sahaja. Jumlah tak tentu, bergantung kepada OT untuk pendapatan tambahan)
Jumlah Anggota Keluarga: 6 orang
Jumlah Anak: 4 orang (3 bersekolah, 1 anak masih berumur 4 tahun.
Lokasi tempat tinggal: Lembah Klang
Jenis Rumah: Apartment (Dibeli 18 tahun yang lalu)
Kereta: Proton Exora (Disebabkan keluarga ramai)
Ini Pecahan Belanjawan Bulanan Puan R sekeluarga:
Ads
KOS HIDUP UNTUK ANAK & BELANJA ASAS KELUARGA
Kereta: RM850
Rumah: RM600
Barang Dapur Kering: RM450
Barang Dapur Basah (termasuk pampers anak dan susu): RM900
SSPN ANAK: RM200
Van Sekolah ANAK: RM100
Yuran Ngaji ANAK: RM60
Yuran Tusyen ANAK: RM200
Belanja sekolah ANAK: RM624 Total: RM3,984
UTILITI
Coway: RM130
Elektrik: RM80
Air (bayar untuk meter pukal): RM40
Astro: RM90
Petrol: RM200
Unifi: RM150 Total: RM690
BELANJA UNTUK MASA HADAPAN
Duit kutu (simpanan paksa untuk bayar road tax and insuran Exora): RM200
Hibah: RM200 Total: RM400
BAKTI PADA IBU BAPA
Ibu Bapa (Both keluarga sendiri dan mertua): RM400
HUTANG LUAR JANGKA
Pinjam sebab bulan lepas defisit: RM300
LEBIHAN: RM226
Ads
Kesimpulannya, dari pendapatan bersih RM6,000 keluarga Puan R: 66.4% digunakan untuk Anak dan Keluarga 11.5% digunakan untuk Utiliti 6.7% digunakan untuk Masa Hadapan 6.7% digunakan untuk Ibu Bapa 5% digunakan untuk Hutang Luar Jangka Lebihan??? Hanya 3.7%.
Total: 100%
Ini Cerita Survival.. Bila Mana Kehendak Diri Ketepikan
Maka saya bertanya kepada Puan R.
Saya: Herm. Nampak nya belanjawan Puan lebih kepada ANAK dan BARANG ASAS keluarga ni Puan. Memang struggle. Lebihan pun tak nampak macam lebihan. Macam mana dengan Tol, Parking, Bill Handphone?
Puan R: Tu lah Tuan..Nak tak nak. Suami kena buat OT. Kalau ada OT ada lah lebihan sedikit. Kalau tak ada? Jawabnya kena meminjam lah macam bulan lepas.
Sambung Puan R lagi..
Ni cerita nak survive je Tuan. Macam mana dengan kehendak saya dan suami? Memang kami kena lupakan… DEMI ANAK, SAYA SANGGUP KETEPIKAN KEHENDAK SAYA
MasyaAllah..Begitulah hakikat kehidupan sekarang.. Zaman kita Zaman Struggle..
Fikir-fikirkanlah…
MW : Boleh bayangkan macam mana pula keluarga B40 meneruskan survival hidup keluarga. Lagi-lagi yang ada anak ramai.
Anak-anak adalah permata keluarga yang amat indah. Keletah mereka sewaktu kecil amat menghiburkan. Manakala keindahan budi bicara dan ingatannya ketika menginjak ke usia yang lebih dewasa pula menjadi penyejuk hati. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM), juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita.https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Doa Anak Untuk Mak Ayah
Adapun, doa anak-anak ketika kita di barzakh amat membahagiakan. Begitulah anak, amat besar sumbangannya kepada kita jika dapat dididik dengan baik. Pokok pangkalnya di tangan kita sendiri selaku ibu bapa yang mencorak kehidupannya.
Kepada Ilahi harus sentiasa dipanjatkan doa dan pengharapan agar diberikan bantuan dan izin untuk memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka sehingga dengannya kelak semakin kukuh iman dan amal mereka hanya untuk-Nya.
Dalam meniti hari-hari membesarkan dan menitipkan pendidikan ini kepada anak-anak. Pelbagai jenis emosi harus dihadapi. Selaku orang dewasa, kita mempunyai beban dan tanggungjawab yang amat berat untuk dilangsaikan. Walaupun begitu, kita harus dapat menilai tanggungjawab dan amanah yang hakiki dan bersifat sekunder agar mudah dibuat pilihan andai kedua-duanya menuntut komitemen.
Anak adalah amanah Allah
Ya, mereka amanah yang harus dijaga dan dipenuhi segala komponen dirinya agar fitrahnya dapat dioptimumkan kehebatannya. Oleh yang demikian, bagi ibu-ibu peranan ini harus diletakkan dalam ranking yang awal dalam senarai tugasan kita. Walau sejauhmana kita melangkah tanggungjawab ini seharusnya dititik beratkan.
Dalam menghadapi dunia yang menuntut komitemen yang tinggi dalam pekerjaan. Kita seharusnya tidak tertipu dengan persekitaran. Impaknya nanti bukan sahaja dalam keluarga malah melibatkan masyarakat keseluruhannya. Jika kita berjaya membentuk anak-anak dengan baik maka insya-Allah dengan izin-Nya keseluruhan masyarakat juga akan harmoni dan dirahmati.
Oleh yang demikian, komitmen ini harus dipikul secara bersama dalam ruang lingkup yang Allah telah berikan kepada kita. Jagalah amanah ini dengan sebaik mungkin dan sedaya mungkin.
Usah jadikan alasan tekanan di tempat kerja untuk menolak ajakan mereka untuk bermain bersama kerana keperluan emosinya harus kita penuhi. Jika tidak perkembangan emosinya pasti terganggu dan menyebabkan implikasi yang lebih parah seperti tidak yakin diri, perahsia, sukar mempercayai dan sebagainya.
Jangan jadi Anak Mangsa Lepaskan Tekanan
Usah juga meletakkan anak sebagai mangsa untuk dimarahi dan diherdik sesuka hati kerana mereka perlukan belaian dan senyuman manis ibu dan ayah untuk mereka. Hakikatnya, apa yang kita tonjolkan dan lakukan terhadap mereka pada usia kecil ini amat memberikan kesan terhadap pembentukan persepsi dalam minda mereka.
Bagaimana mereka melihat dunia kehadapan dan diri mereka sendiri amat bergantung kepada apa yang kita tunjukkan kepada mereka. Mereka akan menjadi memberontak, agresif dan sukar dikawal jika keadaan emosi yang ibu dan ayah tunjukkan sewaktu mereka kecil adalah emosi sedemikian.
Sebaliknya mereka akan jadi tenang, mudah berbincang dan menghiburkan jika watak itu juga yang sering mereka lihat daripada ibu dan ayah sewaktu kecil. Jadi benarlah kata Nabi saw, “ibu bapa lah yang akan membentuk anak-anak mereka samada menjadi yahudi, nasrani atau majusi”. Mafhumnnya dapatlah difahami, pada tangan kitalah anak-anak ini akan dicorakkan masa depan mereka termasuklah keperibadian mereka.
Kalau Marah, Tegur Elok-Elok
Oleh itu, masa ini amat penting bagi anak-anak kita mendapat sepenuh perhatian daripada kita ibu bapa. Jika berasa marah sekalipun, gunakanlah cara yang terbaik bagi menegur dan memberitahu kesilapan mereka berdasarkan umur mereka. Usah benarkan diri kita memberikan hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Masakan mereka melakukan sesuatu itu jika mereka tahu bahawa perkara itu menyakitkan?
Kitalah yang seharusnya dapat membuat keputusan yang lebih baik ke atas sesuatu perkara yang mereka lakukan samada ia memerlukan hukuman atau tidak dan bagaimana seharusnya kita bertindak. Ini kerana kita adalah orang dewasa yang memiliki akal yang matang untuk berfikir dengan baik. Cuma usah menarik nafsu dan emosi untuk turut sama berfikir sudah pasti natijahnya menjadi kurang wajar.
Justeru, mintalah pada Allah cara yang terbaik untuk mendidik anak-anak. Pergantungan yang padu kepada-Nya akan lebih menenangkan dan memberikan panduan yang lebih tepat lagi dalam langkah-langkah yang akan kita ambil untuk mendidik anak-anak. Wallahuallam.
Dalam rumahtangga amat memerlukan kerjasama diantara suami isteri, baik dalam urusan kerja rumah mahupun anak-anak. Lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang ramai dan masih kecil-kecil.Pertolongan dan bantuan daripada suami sendiri amatlah diharapkan.Keletihan dan kepenatan tidak dapat digambarkan buat wanita yang bergelar isteri dan ibu jika terpaksa menguruskannya sendiri seorang diri.
Sesuatu yang perlu di semat dalam fikiran para suami ialah anak ramai bukanlah bukti kelakian. Mohon jangan ‘mendera’ emosi isteri, inginkan anak ramai namun tidak sedikit pun ingin membantu membuat kerja rumah apatah lagi mengupah pembantu. Isteri bukan ‘robot’, bila jiwanya sangat penat mahupun dalam keadaan tekanan dan kemurungan, boleh menyebabkan bertindak diluar batasan.
Semoga perkongsian pengakuan kisah benar ini, memberi pengajaran buat kita.
Anak Ramai Bukan Bukti Kelelakian
Aku nak buat confession mengenai sesuatu yang aku lakukan 3 tahun lepas. Aku tau aku akan dikecam, mungkin ada insan baik hati yang akan bagi kata nasihat, ada insan yang kesian akan doakan yang baik-baik. Tapi aku redha kalau dikecam. Sebab apa aku dah buat memang berdosa tapi aku terpaksa. Confession aku buat sebab viral ada seorang ustaz cakap anak ramai bukti kelakian dan kesuburan wanita. Aku tak setuju sangat.
8 Tahun Berkahwin 6 Anak
Aku buat perkenalan dulu supaya kalian dapat menghakimi aku secara keseluruhan. Aku seorang wanita berumur pertengahan 30an dan beranak 6. Aku dah masuk 8 tahun kahwin. Maksudnya aku beranak 1 tahun sekali.
Dulu aku kerja. Gaji boleh tahan la. Aku dulu sekolah asrama, belajar sampai degree. Dapat anak kedua, suami aku suruh aku berhenti kerja jaga anak. Sebab bayaran pengasuh mahal, katanya. Dia suruh duduk rumah, jaga, susukan anak, banyak dapat jimat duit. Dia mampu. Dia janji akan bagi aku nafkah, apa saja aku nak. Awal-awal memang dia tunaikan janji. Masuk anak keempat, janji mula dilupakan. Bila aku minta duit, macam peminta sedekah. Kena bebel dulu. Baru bagi. Itupun setengah daripada apa yang aku minta.
Baju baru? Baju dalam baru? Kasut baru? Dah lama aku tak bau barang baru. Kulit muka pon menggerutu sebab aku tak ingat bila terkakhir aku buat facial. Dulu masa bergaji aku selalu pergi spa dan facial. Suami aku kerja sendiri. Gaji ikut rezeki. Tak tetap. Tapi dia memang rajin cari duit. Bawak lori, tolong kawan niaga pasar malam, bazar. Tapi akibatnya keluar kerja sebelum matahari naik. Balik kerja bila dah tenggelam.
Suami Tak Tolong Urusan Kerja Rumah
Bab jaga anak, dia boleh diharap. Tapi bab tolong buat kerja rumah, dia memang tak sentuh langsung. Semua aku buat sendiri. Tapi dia tak bising kalau baju berlonggok, rumah sepah. Cuma aku yang sakit mata. Jadi aku gagahkan diri buat. Malam-malam kalau suami dah balik, dia layan anak-anak. masa tu aku ambil untuk uruskan hal rumah.
Kalau mertua dan ipar, mereka dinegeri lain. Mereka tak campur sangat urusan kami sekeluarga. Tapi mereka keluarga besar. Suami ku ada 8 adik beradik. Ibu bapa aku dan meninggal dunia masa aku ada anak 1. Sakit tua. Mula-mula ayah, lepas tu ibu. Aku ada seorang adik lelaki, dia sekarang ambil master. Belum kahwin. Kami tak rapat. Biasa-biasa je.
Mengandung Anak Ketujuh
Aku tak pakai apa-apa penghalang kehamilan. Aku mahu. Tapi suami tak izinkan. Dia suka anak ramai. Meriah, katanya. Lagipun dia rajin layan anak. Aku sungguh penat tapi aku bodoh, ikut kata suami membabi buta. Sampailah takdir, aku mengandung anak ke-7.Tepat anak ke-enam ku 1 tahun 2 bulan. Aku mengandung lagi.
Aku nangis. Aku tak sanggup. Aku letih sangat. Aku baru 30-an tapi aku nampak macam nenek orang. Aku dah beruban. Aku rayu suamiku supaya bagi aku masa untuk diri aku tapi ayat dia ’mak saya dulu boleh je. Besar elok je saya adik beradik. Takde siapa takde urut lah orang dulu-dulu’. Aku stress. Aku rindu kawan-kawan aku yang sekarang dah lost contact. Aku takde orang nak luah. Aku pernah juga luah aku penat kepada suami. Aku minta dia ingat janji-janji dia masa aku berhenti kerja. Dia tuduh aku tak bersyukur. Tak bersyukur dia masih lagi setia, balik rumah setiap malam walaupun selepas penat seharian kerja. Dia kata aku tak reti berterima kasih sebab muka aku tak pernah senyum.
Aku sedih. Aku bagitahu, aku penat. Senyum pun tak larat. Bukan aku tak bersyukur. Tapi tolong la. Aku penat. Dia diam je. Setiap kali lepas gaduh, dia akan diam. Takde penambahbaikan. Naikkan sikit duit rumah pon dia tak buat. Dia tak bagi aku uruskan duit. Barang dapur, dia beli. Yuran tadika anak, dia bayar. Pampers, dia beli. Aku tak ada duit. Aku buat sedikit online bisnes, jadi agent doorship, hasil tu aku buat main kutu, dan simpan sikit-sikit.
Aku mengandung anak ke 7. Aku menangis melihat urine test yang aku curi-curi suruh jiran ahmoi aku beli. Aku kira-kira bila last period, maksudnya baru mengandung 5 minggu. Aku tiba-tiba jadi moody sangat. Dengan anak-anak aku jadi garang sangat. Dengan suami aku dah pandai gaduh lempar barang. Aku tak bagitau aku mengandung. Aku tak bagitau sesiapa aku mengandung. Hari-hari aku lompat bintang, naik turun tangga, tak makan, supaya badan aku lemah dan tak mampu mengandungkan anak ini. Aku jadi benci dengan semua orang. Termasuk diri aku. Aku pernah menangis pukul 2 pagi diluar rumah sambil pukul-pukul perut.
Nekad Gugurkan Kandungan
Selepas 2 minggu. Aku tak tahan. Aku tengok duit simpanan aku ada 3 ribu. Aku simpan diam-diam hasil doorship, kutu. Dengan duit tu aku beli baju dalam baru, spender baru, aku jimat-jimat. Satu hari, aku tekad. Aku nak gugurkan kandungan ini. Aku ada jiran cina yang sosial. Aku panggil dia ahmoi. Aku tahu sebab dia selalu bawa laki lain-lain balik rumah. Dia je manusia yang berborak dengan aku ditaman ni. Wanita-wanita lain semua jenis membawang. Aku taknak kisah hidup aku jadi bahan bawang mereka.
Aku beranikan diri tanya dia pernah gugurkan kandungan tak. Dia tanya kenapa tanya soalan pelik. Aku terus terduduk depan dia, nangis macam orang tak siuman. Aku meraung-raung cakap aku dah taknak anak. Aku tak larat. Aku penat.. Suami aku tak faham. Tau nak anak banyak tapi semua aku yang buat. Dia pujuk aku. Dia bagi aku satu alamat. Dia kesian tengok aku menangis. Dia kata dia tolong.
Aku guna duit simpanan aku upah satu bibik harian untuk seminggu. Kebetulan suami aku ada job bawa lori ke Kelantan. Katanya tak balik 2-3 hari. Lepas tu aku dengan ahmoi pergi klinik tu. Aku berdebar, tapi aku tekad. Doktor tu scan, ada janin berusia 7 minggu, dia pon bagitau prosedur (aku tak nak cerita details) apa dia akan buat. Dan harga. Harga tu aku mampu bayar jadi aku setuju je.
gambar hiasan
Cukuplah kalian tahu aku menangis teruk sambil minta maaf semasa prosedur. Aku cakap aku tak mampu. Ayah dia tak menolong. Aku penat, aku stress. Semua selesai.
Suami aku balik, aku cakap aku period pain. Bibik tu aku pakat dengan dia tipu suami aku cakap tu bibik jiran, bercuti tak bawa bibik. Bagi pinjam seminggu. Suami aku diam je. Tapi dia tak selesa ada bibik kat rumah. Dia keluar dengan kawan pergi memancing (ni sebab dia taknak upahkan aku bibik. Dia tak selesa ada orang asing dalam rumah).
Pakai Alat Pencegah Kehamilan Senyap-Senyap
Seminggu lepas procedur tu, doktor ada suruh datang untuk check betul ke dah takde. Aku angkut semua anak-anak dan ahmoi ke klinik. Anak-anak aku bising dalam klinik, ahmoi tolong jaga sementara aku check dengan doktor. Doktor kata dah takde. Aku nangis lagi. Dia kata dia faham. Bukan kali pertama ada wanita datang kata tak ready pregnant sebab anak kecik, suami tak menolong, atau tak mampu. Aku diam je. Dia suruh aku pakai alat pencegah kehamilan. Aku kira-kira duit aku ada lagi. Aku setuju. Aku pakai alat. Doktor kata tahan 5 tahun.
Hal ni 3 tahun lepas. Sekarang anak-anak aku dah besar sikit. Aku pon boleh simpan duit lebih banyak sebab boleh buat lebih banyak kerja. aku berniaga online. Tak harap suami lagi. Dia tau aku berniaga, lagi lah dia jadi kedekut. Aku dengan suami dingin. Aku bosan dengan dia. Hubungan kami atas katil je. Aku tak risau lagi sebab dah pakai alat. Dia tak berubah langsung. Masih ditampuk lama.
Aku sampai sekarang sedih dengan apa aku buat. Rasa dosa. Tapi kalau aku tak buat, aku yang meroyan. Aku hari-hari minta ampun. Semoga Allah ampunkan aku. Aku sayang anak-anak yang aku ada. Biarlah ayah mereka macam tu. Aku nak didik mereka supaya tak jadi macam ayah mereka.
Anak Ramai Bukan Ukuran Kelakian Atau Kesuburan
Akhir kata, anak ramai bukan ukuran kelakian atau kesuburan. Tapi tanggungjawab. Tanggungjawab bukan hanya bagi sperma. Tapi membesarkan, didik, nafkah. Isteri pon manusia. Kami bukan kilang anak. Lepas tu harap semua kami buat semua. Aku kadang-kadang rasa benci dengan suami. Tapi aku sabarkan diri dengan alasan sekurang-kurangnya dia tak pukul aku dan anak-anak. Tahan je la selagi nyawa dikandung badan. Aku harap wanita diluar sana lebih bijak. suami tak izinkan pakai pencegah kehamilan tu, lantakkan. Bukan badan mereka yang penat. Pakai je senyap-senyap.
Harap kalian tolong doakan dosa aku diampunkan. Suami aku berubah. Anak-anak aku membesar jadi manusia bertanggungjawab.
– Insan Berdosa
Mingguan Wanita mengharapkan semoga para suami,mendapat pengajaran daripada perkongsian ini. Bantulah isteri yang kepenatan, sama-samalah menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri yang berada dalam keadaan sangat kepenatan dan kemurungan mampu bertindak diluar batasan dan akal fikiran. Buat wanita ini, menggugurkan kandungan tetap satu dosa.Apa pun teruslah berdoa dan meminta keampunan daripadaNya.Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dan menguruskan keluarga dan anak-anak.
Sekali-sekala suami izinkanlah isteri untuk ber’me-time’ bersama adik beradiknya. Secara tidak langsung ia mampu meredakan stres yang dialami oleh isteri. Suami pula janganlah sampai gunakan kuasa veto anda untuk mengawal isteri berlebihan.
Izin suami perlu isteri dapatkan sebelum melakukan sesuatu perkara walau pun sekadar hendak pergi berkunjung ke rumah mak ayah sendiri. Bagi wanita Islam, izin suami wajib diperoleh, jika tidak boleh jatuh haram. Asalkan isteri keluar bukan melakukan perbuatan maksiat, takkan tak boleh bagi izin.
Suami Berilah Izin Isteri Ber ‘Me Time’ Dengan Adik Beradik
Tugas menjaga keluarga bukan mudah. Tidak kira bagi isteri yang bekerja atau pun yang bergelar suri rumah tangga. Tugas mereka tak habis-habis. Penat fizikal dan penat mental. Tapi mereka melakukan dengan ikhlas kerana sedar itu adalah tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Suami perlu faham, kalau asyik fokus dengan keluarga saja boleh buat isteri stres. Balik kerja, uruskan anak-anak dan rumah. Suami pula sebaliknya ada masa nak ‘ngopi’ dengan kawan, nak keluar jogging dan sebagainya.
Terapi Untuk Stres
Balik Kampung
Memang tak adil kalau suami hanya fikirkan dirinya saja. Bagaimana dengan isteri. Tidakkah terfikir isteri juga perlukan waktu untuk dirinya sendiri. Sebab itu, suami yang prihatin akan izin isteri untuk keluar melakukan aktiviti yang disukainya. Ada yang suka keluar bersenam, shopping dan sebagainya.
Tapi, pernah tak suami terfikir untuk izinkan isteri ber’me time’ dengan adik beradik dan ipar duai perempuan, bila kebetulan semua balik kampung? Kena ingat, bila bersama suami dan anak-anak, isteri biasanya takkan fokus pada dirinya. Masing-masing sibuk dengan anak-anak. Tapi kalau jumpa di luar, tentu berbeza. Mereka bebas berbual tanpa perku memantau anak-anak atau melayan suami yang minta itu dan ini.
Sesekali apa salahnya suami benarkan ‘geng isteri’ ini keluar bersama. Selain memberi ruang isteri melepaskan tekanan, dapat juga mengeratkan silaturahim dengan adik beradik dan ipar duai. Soal anak suamilah yang ambil alih buat beberapa jam. Takkan itu pun tak mampu bukan?
Buat aktiviti bersama
Untuk isteri, usulkan pada suami rancangan anda itu lebih awal. Jadi suami ada masa untuk mengatur aktivitinya juga. Biasalah, kadangkala suami pun ada aktiviti sendiri, nak jumpa kawan lama dan sebagainya. Tapi, sebelum keluar rumah, pastikan masak dan bereskan segala kerja rumah terlebih dahulu. Pastikan anak-anak masing-masing sudah sedia mandi dan wangi.
Suami hanya perlu tolong tengokkan anak-anak. Tapi suami pula janganlah suruh isteri bawa bersama tiga empat orang anak. Itu bukan ‘me time’ namanya. Kecualilah ada bayi yang masih menyusu. Bolehlah isteri bawa sekali. Kalau anak-anak ikut bersama, sudah tak jadi ‘me time’.
Mungkin suami-suami tak tahu, bila izinkan isteri mereka keluar, ia satu perkara yang amat dihargai oleh isteri. Contohnya adik beradik perempuan yang biasanya hubungan lebih erat sejak kecil.
Mereka sedar, bila sudah beranak pinak, susah nak keluar bersama macam zaman remaja. Jadi, bila suami benarkan mereka keluar bersama, ia membangkitkan kenangan lama. Tentu mereka gembira menghabiskan masa bersama tanpa gangguan. Tak kisahlah walau sekadar pergi ke spa, jalan-jalan di pasar raya atau sekadar pergi cuci mata di kedai emas.
Bila balik, pasti mood isteri akan berubah ceria. Walau pun sekejap, percayalah ia sudah buat mereka gembira. Mereka sangat menghargai peluang yang diberikan itu kerana sedar ia sukar nak diraih lebih-lebih lagi bila saling berjauhan dan komitmen pada keluarga masing-masing. Tak percaya? Cubalah.
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...