
Bulan ramadan merupakan bulan penuh keberkatan dan anugerah daripada yang Maha Esa. Setiap amalan dapat dilipat gandakan lagi ganjaran yang hanya dapat diperolehi didalam bulan ini. Berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan dapat menghapuskan dosa-dosa terdahulu malah turut diberikan dengan nikmat kebahagiaan yang tiada tandingannya.
عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ
Dari Abu Shalih Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah (R.A) berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Allah ‘azza wajalla telah berfirman;
“Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang.Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa.’
“Demi Allah, yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya.Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi.”
“Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia merasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya juga kerana puasanya.”
(HR Muslim No: 1944) Status: Hadis Sahih
Pengajaran daripada Hadis ini;
1. Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.
2. Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perkara yang dilarang serta melaksanakan sesuatu yang diperintah.
3. Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan yang kotor, lucah dan buruk serta hina.
4. Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diserang, maka katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa.
5. Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.
6. Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kebahagiaan:
a. Gembira ketika berbuka puasa.
b. Gembira ketika berjumpa dengan Allah kerana ibadat puasanya.
Sementara itu, berpuasa di bulan ramadan yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan juga dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”.
HR Bukhari No: 37. Status: Hadis Sahih
Semoga Perkongsian ini bermanfaat!
MW: Semoga Ramadan pada tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal soleh yang bertambah. Berusahalah dalam melakukan amalan terbaik sepanjang bulan ini dan andaikan bahawa Ramadan tahun ini terakhir buat kita.
Sumber: Telegram Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sedekahlah Setiap Hari Walaupun Kita Hampir Tiada Apa-Apa. Besar Hikmahnya

Pernah tak terfikir, kita ingin bersedekah tetapi mengenankan kita pun hampir tiada apa-apa, jadi hasrat itu dilupakan. Sedangkan kita tidak tahu mungkin dengan sedekah itu menjadi asbab untuk kita memperolehi rezeki yang lebih baik.
Ada juga kisah orang yang bersedekah walaupun tidak mempunyai apa-apa. Sekali takdir Allah, dia memperolehi rezeki yang tidak disangka-sangka. Hebatnya bersedekah.
Begitu juga dengan bacaan Al Fatihah, jangan ingat kita membacanya ketika solat sahaja. Doakan mak ayah, untuk anak-anak dan sebagainya, mulakan dengan membaca Al Fatihah. Moga-moga ia dapat membantu kita untuk jadi lebih baik lagi.
Perkongsian daripada Busseroa Abd Jalil ini boleh dijadikan panduan untuk kita semua.
Sedekah Setiap Hari
Kata Puan Noraini pengasas produk Nurraiysa, hidupnya berubah 100% selepas beliau amalkan nasihat daripada seseorang iaitu:
“Kita mesti bersedekah setiap hari”.
Kata seorang ustaz pula dalam satu kuliah, sedekah yang paling bermakna adalah sedekah di saat kita pun hampir tiada apa-apa.
Dalam sebuah buku yang saya baca pula berkata, berilah sedekah tanpa mengira walau sesiapapun penerimanya kerana jika si miskin yang menerima kita membantunya. Jika yang menerima itu si kaya maka kita memberinya idea untuk turut bersedekah. Dari segi besar atau kecil pahala yang diterima itu reward daripada “Dia” dan pastinya bukan urusan kita.
Baca Artikel Lagi Menarik Di Sini Orang Suka BERSEDEKAH, Janji Allah Harta Tak Akan Berkurang Tetapi Makin Bertambah!
Sedekah Terbaik Adalah Sedekah Pada Keluarga. Jangan Abai Nafkah Isteri Dan Anak
Info Lebih Menarik DI SINI
Kita Boleh Buat
Jadi, untuk combined ketiga-tiga teori ini bukan mudah. Sedekah setiap hari, sedekah walaupun kita susah dan sedekah tanpa melihat siapa. Maka apa yang saya buat?
1. Jika saya melihat sesuatu makanan terutamanya dan saya tahu makanan itu digemari oleh seseorang pasti saya akan membelikan untuknya walaupun sedikit. Misalnya ikan bawal putih dalam gambar di bawah. Saya dan famili tak minat ikan tersebut tetapi kalau terjumpa ikan tersebut saya akan beli untuk uncle cina di sebelah rumah saya. Uncle tinggal berdua dengan isteri, jadi beli 2 ekor pun dah banyak.
Setiap kali saya bagi mesti uncle cakap…
Aya Era… ini ikan manyak mahal… You susah2 saja…
Dari sudut lain, kurang sikit malu saya tatkala kami sefamili asyik rembat pelam, cili, daun pisang dan macam-macam lagi yang uncle tanam di depan rumah walaupun sering dipelawa.
2. Nak sedekah besar-besar saya belum mampu. Sikit-sikit bolehlah. Jadi setiap kali saya beratur untuk membayar harga sesuatu barangan yang saya beli sama ada di pasaraya, kedai, restoran atau gerai di tepi jalan saya akan menoleh kepada pembeli yang beratur di belakang saya.
Kadang2 di belakang saya itu seorang pak cik sedang beratur untuk membayar harga sekampit beras yang sedang dipeluknya. Kadang-kadang pula ada 2-3 orang budak² tahfiz sedang pegang sebungkus dua maggi dan biskut di tangan. Ada ketika saya lihat seorang lelaki berhenti motor dan membeli hanya dua biji kuih di gerai di tepi jalan.
Tatkala melihat situasi sebegitu saya mesti bayarkan. Percayalah selepas anda membayar untuk mereka, pasti ada sirna luar biasa dari mata mereka yang tak mampu diucap dengan kata-kata.
3. Jika terlintas seseorang di minda saya, terus saya hadiahkan al-Fatihah untuknya semoga semua urusannya dimudahkan. Sekiranya dia orang yang telah menyakiti hati saya, maka saya berdoa dia tidak singgah lagi di minda saya. Dan Jika dia bukan muslim saya mengharapkan yang terbaik untuknya.
Buat apa share semua ni?
Sebab kita belum sehebat Ustaz Ebit untuk menggembirakan orang lain dalam kapasiti yang besar.
Namun syukurlah jika kita sama2 dapat mulakan dengan new normal yang kecil dahulu.
MW: Moga ia memberi panduan dan pengajaran untuk kita semua. Jangan berkira-kira kalau nak memberi.
Sumber: Busseroa Abd Jalil
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berpisah Demi Agama Allah, Kini Julia Bahagia Dengan Kehidupan Baru

Hasratnya untuk memeluk agama Islam ditentang hebat oleh bekas suami, sehingga dirinya terpaksa berpisah dengan insan yang pernah bertakhta di hati. Namun cintanya terhadap agama suci Allah melebihi segalanya, lantas keputusan untuk tidak lagi bersama diambil untuk meneruskan niat kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.
Nur Juliana Atiqah Sahfiyah Bte Bannei, 34, sudah lama berhasrat untuk memeluk Islam. Bermimpi memakai tudung dan mengucap kalimah syahadah antara petunjuk Allah buat wanita yang berasal dari Bintulu Sarawak ini. Mesra dengan panggilan Julia, keputusannya untuk memeluk Islam memberikan lebih ketenangan dalam kehidupannya berbeza dengan apa yang dilaluinya sebelum ini.
“Selepas tamat sekolah saya pernah bekerja di sebuah pasar raya di Sarawak. Saya tinggal menyewa di satu rumah bersama rakan-rakan yang kebanyakannya muslim. Bila tengok rakan-rakan solat dan membaca al-Quran saya rasa seronok, tapi waktu itu tidak pernah terniat untuk memeluk Islam. Bila dah bekerja tetap dan pindah ke Semenanjung Malaysia, saya lebih banyak bergaul dengan rakan muslim dan sering bertanya tentang agama Islam. Namun ketika itu saya masih mengamalkan ajaran Kristian yang sangat kuat,” ujar Julia bagaimana dia mula mengenali Islam.
Hati Mula Dijentik
Bertemu jodoh dengan lelaki pilihan hati, Julia aktif dengan agama Kristian yang dianutinya. Sering ke gereja dan mengamalkan cara hidup agama tersebut, suatu hari, wanita ini disapa dengan hidayah yang membawanya kembali ke agama Allah walaupun terpaksa melalui perit getir dan berpisah dengan anakanda tersayang.
“Pada tahun 2005, saya telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Dulu saya memang sangat aktif dengan ajaran Kristian. Jarang sekali tidak hadir ke gereja. Sampai satu masa, hidayah datang menjelma, kalau tak silap saya ia berlaku sekitar tahun 2009. Ada satu malam saya telah bermimpi mengucap dua kalimah syahadah.

“ Malam berikutnya saya didatangi lagi mimpi, kali ini saya bermimpi memakai tudung pula. Begitu juga dengan malam seterusnya dan ia berlanjutan selama beberapa malam dengan mimpi yang sama. Kebetulan pula rumah saya ketika itu bersebelahan dengan masjid. Setiap kali azan berkumandang hati terasa tenang sangat, tak dapat digambarkan dengan kata-kata apa yang saya rasa.
“Saya pernah nyatakan hasrat ingin memeluk Islam pada suami ketika itu, tetapi telah ditentang dan dihalang. Malah dia menyalahkan rakan-rakan terdekat dan dikatakan menjadi punca dan penyebab hasrat tersebut. Sejak daripada itu, ramai sahabat-sahabat dari gereja datang untuk menasihati supaya membatalkan hasrat tersebut. Tapi saya masih nekad dengan niat saya.
“ Bermacam dugaan yang telah saya lalui ketika itu sehingga akhirnya kami berpisah dan suami meletakkan syarat, anak akan dijaga olehnya. Itulah saat paling sukar buat saya, tapi saya perlu memilih keputusan dengan tepat…anak atau agama. Akhirnya saya memilih agama, tetapi Alhamdulillahlah saya tetap diberi ruang oleh mahkamah untuk datang melawat anak,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini mengenang kembali saat dirinya mengambil satu keputusan besar dalam hidupnya.
Bukan sahaja mendapat tentangan daripada bekas suami, malah ibunya juga turut menentang hasratnya yang murni itu.
“Sebelumnya saya terlebih dahulu menyampaikan hasrat ingin bertukar agama pada ibu tapi turut ditentang. Menurut ibu, keputusan itu seolah-olah saya mahu meninggalkan keluarga. Saya ambil masa dalam beberapa bulan untuk beritahu semula kepada ibu tentang hasrat tersebut.

“ Adik saya terlebih dahulu memeluk Islam daripada saya. Setelah setahun adik saya memeluk Islam, tiba masanya saya menceritakan semula hasrat tersebut dan oleh kerana saya telah menetapkan tarikh untuk mengucap syahadah iaitu dalam masa tiga hari daripada Tarikh tersebut, saya beranikan diri. Saya rasa tak tenang kalau tidak beritahu perkara sebenar.
“ Alhamdulillah, ibu terima niat saya walaupun dengan hati yang berat. Adik beradik juga dapat terima dengan hati terbuka tetapi keluarga makcik pakcik dan sepupu masih ada yang belum menerima sepenuhnya. Tetapi itu tidak menjadi masalah untuk saya meneruskan niat saya. Ingatan saya pada mereka tetap sama walaupun kami tidak lagi seagama,” tambah Julia.
Dipermudahkan
Tanggal 1 Ogos 2013 secara rasminya Julia bergelar seorang muslim setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk memeluk agama suci ini. Meskipun terpaksa berpisah dengan anak tersayang, itu semua tidak menjadi halangan buat wanita yang merupakan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Lumut, Perak.
Mengaku kehidupannya lebih tenang setelah memeluk agama Islam, wanita yang pernah dikenali dengan nama Juliana Anak Bannei ini mendalami ilmu agama dengan banyak cara. Syukur semuanya dipermudahkan Allah yang memilih dirinya untuk sebuah hidayah yang cukup indah.
“Bagi saya Islam adalah agama yang sangat tenang. Ada perkara yang kita buat dalam Islam tidak pernah saya buat ketika agama terdahulu walaupun ia satu amalan yang baik. Contohnya, memeluk ibu bapa, bersalaman dengan rakan dan orang tua yang kita jumpa. Tetapi selepas memeluk Islam saya telah belajar semua itu dan melihat daripada apa yang sahabat-sahabat muslim saya lakukan. Setiap kali melangkah keluar rumah atau ketika ingin melakukan sesuatu tugas dimulakan dengan kalimah ‘Bismillahirohmanirahim’, agar setiap tugas diberkati. Agama Islam agama yang teratur serta mudah.
“Sebelum saya memeluk Islam, saya banyak membuka youtube dan menonton kisah-kisah saudara baru. Setelah memeluk Islam, saya mula belajar Iqra dengan seorang ustazah di tempat kerja. Pada sebelah malamnya pula mengaji di sekitar blok. Saya juga telah dihantar kursus di luar kawasan yang mengambil masa seminggu bersama-sama dengan mualaf yang lain yang kebanyakannya dari kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Di situ kami tekah bertukar-bertukar cerita dan pendapat antara satu sama lain. Pendek kata, saya banyak mendalami Islam melalui rakan-rakan, ustaz dan ustazah di tempat kerja. Jika ada masa terluang di waktu rehat saya akan pergi ke surau untuk belajar dengan ustazah.

“ Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, sedikit demi sedikit saya belajar benda baharu. Saya nak terus dalami ilmu agama dan berusaha menjadi seorang muslim yang taat kepada suruhan-suruhan Yang Maha Pencipta,” tambahnya penuh semangat.
Bertemu jodoh baru
Jodoh pertemuan, ajal maut itu semua ketentuan Ilahi, meskipun pernah gagal dalam perkahwinan yang terdahulu kerana ingin memeluk Islam, betapa Allah itu Maha Pengasih, dihadirkan pula seorang lelaki yang kini menjadi raja di hati Julia. Akur dengan status Julia sebelum ini, suaminya banyak membimbing malah keluarganya juga dapat menerima Julia seadanya.
“ Dua tahun yang lalu saya bertemu jodoh baru. Suami sayalah yang banyak bantu dan bimbing saya untuk terus mendalami agama Allah ini. perlahan-lahan dia ajar apa yang saya tidak tahu. Malah keluarganya juga menerima saya seadanya. Begitu Allah menyayangi saya, kini saya bahagia dengan suami dan seorang cahaya. Mungkin tiada jodoh yang dulu bukan bermakna pengakhiran kehidupan.
“ Hidup dikelilingi suami, keluarga, sahabat-sahabat yang menjadi penguat dan doa dari ibu walaupun dulu ibu seperti tidak merelakan. Alhamdulillah sekarang ibu terima seadanya. Walaupun berpisah dengan anak yang sulung dan sudah hampir empat tahun tidak berjumpa, saya sentiasa doakan anak yang jauh di mata. Bohonglah kalau seorang ibu tidak rindukan anaknya. Hanya melalui aplikasi Whatsapp kami berhubung. Alhamdulillah, segala urusan sekarang ini banyak dipermudahkan,”akhiri Julia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isteri Tak Bagi Suami Berpoligami, Berdosa Atau Tidak, Ketahui Hukumnya

Isteri tidak beri izin kepada suami untuk berpoligami, ramai yang tertanya-tanya sama ada isteri itu berdosa atau pun tidak. Bab poligami memang menjadi satu topik yang ‘hangat’ untuk diperkatakan.
Sebenarnya tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya. Hanya perkara yang dilarang oleh hukum syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Isteri Tak Bagi Suami Berpoligami
Jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan. Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu. Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka! Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Berkata Imam Ibn Hajar al-Asqalani: “Dan sebab padanya (larangan ke atas Ali untuk berpoligami semasa pernikahan dengan Fatimah) seperti mana yang telah disebut dahulunya dalam (bab) manaqib (Fatimah) bahawa beliau telah ditimpa (ujian) kehilangan ibunya (Khadijah) kemudian saudari-saudari perempuannya, seorang demi seorang, sehingga tiada siapa yang tinggal untuk beliau mengadukan isu-isu kerahsiaan (rumah tangga) supaya melegakan perasaan akibat cemburu.”
Ibn Hajar juga membawa riwayat al-Zuhri yang menyebut sabda Rasulullah ﷺ:
وَأَنَا أَتَخَوَّفُ أَنْ تُفْتَنَ فِي دِينِهَا يَعْنِي أَنَّهَا لَا تَصْبِرُ عَلَى الْغَيْرَةِ فَيَقَعُ مِنْهَا فِي حَقِّ زَوْجِهَا فِي حَالِ الْغَضَبِ مَا لَا يَلِيقُ بِحَالِهَا فِي الدِّينِ
Maksudnya: “Dan aku risau bahawa agamanya (yakni Fatimah) akan ditimpa ujian fitnah,” yakni Fatimah menjadi tidak sabar kerana cemburu lalu berlaku sesuatu yang tidak layak pada darjat beliau pada agama daripada beliau semasa marah.” Rujuk Fath al-Bari (9/329)
Dalam hadis riwayat Muslim menyebut bahawa Ali bin Talib telah meminang anak Abu Jahal (yang sudah Islam), sedangkan beliau telah bernikah dengan Fatimah, anak perempuan Rasulullah ﷺ. Apabila Fatimah mendengar hal itu, beliau berjumpa Nabi ﷺ dan berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kaummu telah mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anakmu, apabila Ali bernikah dengan anak Abu Jahal.” Berkata Miswar (perawi hadis): Lalu Nabi ﷺ bangkit dan aku mendengar baginda bersyahadah kemudian berkhutbah:
أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَنْكَحْتُ أَبَا الْعَاصِ بْنَ الرَّبِيعِ، فَحَدَّثَنِي، فَصَدَقَنِي وَإِنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ مُضْغَةٌ مِنِّي، وَإِنَّمَا أَكْرَهُ أَنْ يَفْتِنُوهَا، وَإِنَّهَا، وَاللهِ لَا تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللهِ وَبِنْتُ عَدُوِّ اللهِ عِنْدَ رَجُلٍ وَاحِدٍ أَبَدًا
Maksudnya: “Amma ba’du, sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-`Aas bin al-Rabi’ (suami Zainab) lalu memberitahuku dan membenarkanku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah segumpal daging dariku, dan sesungguhnya aku benci apa sahaja yang membawa fitnah kepadanya. Demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.”
Berdosa Atau Tidak, Ketahui Hukumnya

Berkata al-Miswar: lalu Ali meninggalkan pinangannya. Riwayat Muslim (2449)
Dalam riwayat al-Bukhari disebut:
وَإِنِّي لَسْتُ أُحَرِّمُ حَلاَلًا، وَلاَ أُحِلُّ حَرَامًا، وَلَكِنْ وَاللَّهِ لاَ تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَبِنْتُ عَدُوِّ اللَّهِ أَبَدًا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak mengharamkan apa yang halal dan tidak menghalalkan apa yang haram, tetapi demi Allah, tidak akan berhimpun anak Rasulullah dengan anak musuh Allah di sisi seorang lelaki selama-lamanya.” Riwayat al-Bukhari (no. 3110)
Berkata Imam al-Nawawi: “Ertinya aku tidak ada berkata suatu perkara yang bertentangan dengan hukum Allah, maka apabila Allah hukumkan perkara itu adalah halal maka aku tidak akan mengharamkannya, dan jika perkara itu Allah haramkan aku aku tidak akan menghalalkan dan aku tidak akan diam daripada mengharamkannya kerana diamnya aku adalah penghalalan baginya. Dan menjadilah daripada kalangan wanita yang diharamkan berkahwin ialah menghimpunkan antara anak Nabi Allah dan musuh Allah.” Rujuk al-Minhaj Syarh al-Nawawi `ala Muslim (4/15-16)
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga (Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/25-26;
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya. Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya. Juga kerana terdapat kemungkinan berlakunya mudarat ke atas isteri-isteri kerana tidak mampu berlaku adil. Berkata Imam al-Khatib al-Syirbini: “Dan disunatkan untuk tidak menambah isteri lebih satu tanpa ada keperluan yang zahir.“ Rujuk Mughni al-Muhtaj (3/127).
Diharamkan:Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh mendatangkan mudarat dan membalas mudarat dengan mudarat yang lain.”
Riwayat Malik (31) dalam al-Muwatto’
Ini sesuai dengan firman Allah ﷻ:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُو
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah al-Nisa’: 3)
Maksud “keadilan” yang dijadikan kriteria di atas ini adalah tanggungjawab ke atas lelaki dalam keadilan dan sama rata dalam pemberian nafkah, tempat tinggal, kehidupan bersama yang berkualiti, dan menunaikan hak-hak isteri. Manakala soal hati dan perasaan adalah perkara yang relatif dan sukar dikawal. Oleh itu, perbezaan dalam hal emosi tidak membawa kepada dosa, sekiranya dijaga aspek zahir dan tidak membawa kepada kezaliman dan penganiayaan.
Ini yang dimaksudkan dalam firman Allah ﷻ:
وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 129)
Oleh sebab itu, Rasulullah ﷺ sendiri adalah seorang yang paling adil terhadap isteri-isteri baginda pada memberi mereka pembahagian hari dan muamalat yang baik, namun baginda lebih menyayangi Aisyah R.Anha.
Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ، فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ
Maksudnya: “Ya Allah, inilah pembagianku yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela aku pada sesuatu yang Engkau mampu dan tidak aku mampu.” Riwayat Abu Daud (1822). Beliau berkata; “iaitu hati.”
Apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan. Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak.

Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami. Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain. Hak kebebasan berpendapat dalam sistem Syura ini dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah ﷺ:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran: 159)
Berkata Syeikh Muhammad Tohir Ibn Asyur: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat ini di sini adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:
وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ
Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;” (Surah al-Syura: 38)
dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:
فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ
Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya);”
(Surah al-Baqarah: 233)
Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.”
Hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya.
Ini pesanan Rasulullah ﷺ dalam khutbah terakhir beliau yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA:
اتَّقُوا اللهَ فِي النِّسَاءِ، فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانَةِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ، وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah tentang urusan wanita, sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah, dan telah halal bermesraan secara seksual bagi kaum dengan kalimah Allah… dan ke menjadi tanggungjawab kamu untuk memberikan nafkah rezeki kepada mereka dan pakaian dengan ukuran yang makruf.” Riwayat al-Nasaie (no. 9135)
Sumber: Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Artikel berkaitan: “Poligami ‘Dicontentkan’ Sebegitu Rupa, To Me Its Clearly Wrong,” Dr Say
Poligami Tanpa Kebenaran Isteri Dibenarkan?
Polling Sembang Wanita: Nak Poligami? Ini Syarat Bini
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

