Jodoh adalah rahsia Allah. Kita tak tahu siapakah jodoh kita. Kadangkala, jodoh itu dengan individu yang usianya lebih separuh daripada usia kita sendiri!
Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang telah bertemu jodoh dengan lelaki yang berusia 22 tahun lebih muda daripada dirinya dan mendapat tentangan hebat daripada keluarga si lelaki terutama mak mentua. Ikuti pengakuannya kepada Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor dan juga penulis tetap ruangan YA TUHAN di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah sentiasa. Sukar untuk saya kongsikan kisah peribadi saya ini namun saya gagahi jua untuk berkongsi agar menjadi panduan untuk wanita di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama dengan saya. Setahun lepas, saya bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang 22 tahun lebih muda dan ini menimbulkan konflik apabila saya tak diterima oleh keluarga mentua terutama maknya.
Saya berusia 47 tahun dan memiliki sepasang cahaya mata yang kini berusia 23 dan 21 tahun. Saya memiliki perniagaan sendiri dan syukur, ia melebihi daripada mencukupi untuk menampung kehidupan saya dan anak-anak.
Warisan Suami
Saya balu kematian suami, sebelum bertemu jodoh dengan suami sekarang. Perniagaan yang saya miliki juga sebenarnya adalah perniagaan yang saya bangunkan bersama arwah suami dahulu. Kini salah seorang anak saya turut serta dalam mengendalikan syarikat tersebut.
Sepuluh tahun lalu, suami meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit jantung dan ia tamparan hebat buat diri saya kerana kami sangat rapat. Ke mana saja berdua. Nasib baik ada anak-anak yang menjadi kekuatan untuk saya teruskan hidup. Selepas kematian arwah suami, fokus saya pada bisnes dan anak-anak.
Bukan sedikit lelaki yang cuba mendampingi namun saya tolak mentah-mentah. Mana taknya, kebanyakan mereka bergelar suami orang dan prinsip diri saya, takkan sesekali mengambil hak orang atau berkongsi kasih dengan wanita lain.
Apabila anak-anak semakin dewasa dan perniagaan pun stabil, saya mula ada masa untuk libatkan diri dalam aktiviti yang saya suka. Antaranya, saya kembali aktif membuat aktiviti lasak iaitu hiking. Mulanya anak kedua (lelaki) yang kenalkan saya dengan hobi ini bila saya sibuk nak buat aktiviti sihat.
Perkenalan
Saat itulah juga saya kenal dengan seorang pemuda, M, yang merupakan rakan hiking anak. Dia bekerja di sektor awam. Pada mulanya dia memanggil saya ‘auntie’ kerana saya mak kepada rakannya (anak saya) namun saya tak tahu sejak bila, panggilan itu bertukar menjadi ‘awak’ dan ‘saya’. Katanya saya tak nampak tua malah kali pertama bersua, dia ingatkan saya ini kakak kepada anak saya.
Sikap M yang sangat ambil berat dan penyayang membuatkan saya selesa bersamanya. Namun saya tetap ‘sedar diri’ akan jarak usia kami dan pendamkan saja rasa suka yang mula bercambah. Saya rasa tak layak untuk dirinya yang baru berusia 25 tahun, lebih kurang sebaya anak saya!
Ternyata takdir tersurat, dia juga sukakan saya dalam diam dan telah luahkan isi hatinya saat kami sama-sama hiking menawan Gunung Ledang. Waktu itu, saya seakan tak percaya dan minta dia beri saya masa.
Ads
Terima
Berbulan juga saya berfikir dan buat solat istikharah. Akhirnya pintu hati saya terbuka untuk menerima dirinya walau saya sedar macam-macam rintangan akan datang. Namun, saya bersyukur kerana anak-anak dapat terima kehadiran papa baru mereka dan itu juga alasan utama saya terima M.
Masalah paling perit apabila keluarga M terutama maknya tak dapat terima saya sebagai menantu sehingga kami tekad berkahwin diam-diam di utara tanah air. Kini, selepas setahun, maknya masih tidak dapat terima saya. Hanya ayah dan adik beradik M (M anak sulung) sudah mula terima. Sebab itu juga saya tak pernah balik ke rumah M tapi saya sentiasa galakkan M balik dan jalankan tanggungjawab sebagai anak.
Saya sedar bukan mudah mak mentua saya nak terima janda berusia seperti saya sebagai menantu untuk anak bujangnya. Apatah lagi kami sebenarnya sebaya. Namun, saya tak dapat putarkan masa dan sayangkan M. Saya nak rumah tangga ini berkekalan. Apa pandangan puan untuk saya mengambil hati ibu mentua saya?
Puan K, Setiawangsa.
Jawapan:
Dengan Nama Alllah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Kata orang jodoh pertemuan di tangan Allah… tua, muda, cantik, kurang cantik, kurus, gemuk, hitam, putih, semuanya tidak terbatas apabila jodoh telah sampai dengan ketentuan Allah. Kadang-kadang ada orang tidak menjangka jodohnya dengan seseorang yang jauh beza umurnya.
Jadi Bualan
Jika lelaki lebih tua berbanding wanita, itu mungkin biasa. Namun jika sebaliknya iaitu wanita lebih jauh berusia dari lelaki, ianya akan jadi bualan orang. Pada hal, nabi sendiri berkahwin dengan Siti Khadijah yang jauh lebih berusia daripadanya dan isteri yang paling dicintai nabi.
Puan yang dirahmati Allah. Tidak dinafikan siapa sahaja yang bergelar ibu bapa mahukan jodoh yang terbaik untuk anaknya. Tidak kira anak lelaki mahupun perempuan, majoriti ibu bapa mahukan kebahagiaan bukan sahaja untuk anak mereka, tetapi “bahagia” di mata mereka.
Ads
Erti Bahagia
Mungkin bahagia pada mereka tidak sama dengan bahagia buat anak. Malah mereka cukup mengambil kira pandangan orang terhadap menantu yang bakal dipilih oleh anaknya. Bagaimana rupanya, akhlaknya, kedudukannya, harta yang dimilikinya, latar belakang diri dan keluarganya, semuanya dilihat sebagai kayu pengukur kepuasan atau kebahagiaan ibu bapa.
Kriteria Pilihan
Jika pilihan anaknya menghampiri kriteria idaman ibu bapa, maka tidaklah berlaku krisis antara anak dan menantu. Namun jika sebaliknya, maka keadaan itu boleh jadi berpanjangan yang memerlukan kebijaksanaan pihak anak dan menantu untuk menguruskan keadaan.
Jika dilihat dalam perspektif yang lebih jauh, pastinya seorang ibu mahukan zuriat daripada anaknya sendiri, iaitu cucu dari darah dagingnya. Ini adalah antara kemuncak kebahagiaan seorang ibu dan bapa apabila dapat bergelar nenek dan datuk.
Letak Diri
Jika puan dapat meletakkan diri puan dalam situasi ibu mentua puan, pastinya puan dapat merasakan betapa kecewanya hati seorang ibu. Jika puan dapat membayangkan ini terjadi kepada puan, bagaimana andai ditakdirkan anak puan yang lelaki berusia 23 tahun mendapat jodoh yang berusia lewat 40-an. Bagaimana perasaan puan?
Bagaimana puan dapat memberitahu orang lain bahawa menantu puan adalah wanita yang hampir sebaya dengan puan? Bolehkah puan menerima hakikat itu. Rasa saya siapa sahaja yang bergelar ibu berkemungkinan mengalami kekecewaan.
Faham Situasi
Jika puan dapat memahami situasi yang saya paparkan di atas, maka puan boleh menerima hakikat bahawa mentua puan masih belum menerima puan. Sekurang-kurangnya ini boleh memberi kelegaan kepada diri puan.
Untuk memenangi hati mentua bukan sesuatu yang mudah. Namun, sekurang-kurangnya puan bersyukur kerana ramai yang telah dapat menerima puan – bapa mertua dan adik beradik suami, malah anak-anak puan telah dapat menerima pilihan puan.
Ads
Tak Mudah
Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk memenangi hati ibu mentua puan, namun beberapa pendekatan boleh puan gunakan bukan untuk memenangi hatinya, tetapi puan melakukan yang terbaik untuk ibu mentua.
Mungkin puan ada melakukan ini, namun, berterusanlah berbuat baik dengannya. Pertama selalu belikan hadiah di hari ulang tahunnya, ulang tahun perkahwinan, Hari Ibu, Hari Wanita, menyambut Ramadan dan menyambut Syawal.
Hadiahkan melalui suami jika puan merasakan dia masih belum menerima kehadiran puan. Jika hadiah puan tidak sudi diterimanya, jangan mudah putus asa, anggapkan puan telah bersedekah untuk mertua. Pahala bersedekah tetap mengalir. Teruskan berbuat baik dan mengambil berat tentangnya melalui suami. Jika keadaan mengizinkan barulah puan menziarahinya.
Mohon Pertolongan Allah SWT
Kedua, banyakkan solat malam dan memohon pertolongan Allah agar dilembutkan hatinya untuk menerima kehadiran puan. Banyakkan zikir Ya Latiff dan niat agar Allah lembutkan hatinya untuk menerima puan.
Ingat, kita tidak mampu mengubah hati manusia dengan usaha yang kita lakukan, namun, Allah sahaja yang boleh melembutkan hati manusia. Ketiga, selalu ingat setiap yang Allah takdirkan dalam hidup kita ada hikmahnya yang kita tidak tahu. Allah hantar orang yang paling dekat dalam hidup kita tetapi tidak menyukai kita. Apa hikmahnya?
Tingkatkan Keimanan
Ya, Allah mahu kita berusaha berbuat baik walaupun orang tidak menyukai kita kerana Allah mahu meningkatkan keimanan kita. Allah mahu kita akan sentiasa berdoa dan mendekati-Nya memohon pertolongan. Sebab itu Allah bagi banyak ujian kepada Nabi dan kepada orang-orang terpilih kerana Allah mahu mengujinya.
Jika kita sebagai hamba menerima ujian itu dengan berlapang dada, selalu bermunajat dengan Allah untuk atasi masalah hubungan dengan orang itu, maka usaha kita mendekati Allah itulah hikmah yang kita tidak nampak. Bayangkan jika tiada ujian ini dalam hidup.
Tak Bersungguh-sungguh
Mungkin kita tidak bersungguh-sungguh berdoa , solat malam dan melakukan malan-amalan yang mendekatkan diri dengan Allah bukan? Lazimnya begitulah…. Jika tiada ujian dalam hidup kita, mungkin kita akan leka dengan kehidupan dunia, menjalani hidup yang biasa-biasa sahaja tanpa menyelami erti kehidupan yang sebenar.
Rajin-rajin mengikuti kuliah agama, bersedekah dan mendekati orang-orang miskin dan kurang upaya. Maka kita akan dapati Allah hanya menguji kita sedikit sahaja berbanding orang lain yang lebih jauh melalui kesukaran dan kesusahan dalam hidup.
Jika Allah izinkan, Dia akan lembutkan hati ibu mertua puan untuk menerima puan. Jika belum masanya, maka teruskan berdoa dan berbuat baik terhadapnya. Mudah-mudahan Allah memakbulkan doa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan mudah sebenarnya bagi sesorang lelaki bergelar suami untuk meluahkan rasa hati dan penghargaan buat isteri tersayang melalui kata-kata.Ramai suami yang lebih suka menzahirkannya melalui perbuatan dan isteri kena ‘faham-faham’ sendiri je lah.
Namun tidak bagi Encik Shazli Shots ini. Perkongsian nota ringkas dan penghargaan beliau buat isteri tersayang,Puan Mazlin Mahmod sempena Hari Lahir lalu membuatkan ramai yang terharu.
Berikut merupakan perongsian tersebut;
ITU ISTERI SAYA
Ada ramai perempuan di muka bumi ini, tapi takkan sama macam isteri saya…
Bila saya pandu kereta, dia akan membebel pasal pemanduan saya, sehingga kami tiba ke destinasi yang nak di tuju.
Bila dia memandu, saya tegur pasal pemanduan dia, dia terus berhentikan kereta tepi jalan, suruh saya pandu, dia bukak pintu keluar gi dok sebelah. Saya tokleh kata ape sebab Itu Isteri saya.
Setiap pagi lepas dia solat subuh, dia akan kejutkan anak-anak untuk gi skolah, kalo saya terlewat bangun, dia akan pasang semua lampu dan tutup bukak puntu almari yang ada dalam bilik supaya saya terjaga..( saya tok leh tidor / terjaga kalo lampu menyala) saya tokleh kata ape sebab Itu Isteri saya.
Saya pagi hantar Syahmin 12thn gi skolah, dia sebelum gi keje, sidai kain dulu, pastu keluar antar Qisya 6thn gi tadika, sambil bawak sekali plastik penuh sampah gi buang sekali.
Dia balik kerja, singki penuh pinggan cawan, dengan baju keja dia terus gi basuh, pastu siang ikan/ayam untuk masak makan malam. Lepas masak, dia gi mandi, solat maghrib, pastu ajak semua orang makan, pastu hantar anak gi tuisyen kul 8malam .
Pastu dia balik umah dok atas sofa depan tv lipat baju. Sofa depan tv, kami tokleh duduk sebab penuh dengan baju yang dia dah lipat, so saya ngan Qisya dok atas karpet.. saya tokleh kata ape sebab Itu Isteri saya.
Kul 10mlm dia keluar gi amik anak tuisyen, saya kat komputer buat album klien wedding.
Sampai rumah dia bebel kat semua yang makan tak nak basuh pinggan sambil dia basuh semua..saya sekali kena..saya tok leh kata ape sebab Itu Isteri saya.
Pastu dia baring kt katil sambil tengok tepon bukak Fb dan IG.. tak pun dia gi vacuum 1 rumah, pastu solat, pastu tido..
Saya masih hadap komputer sambil fb/youtube/video..pastu suh anak tido.
Kul 1am atau 3am baru aku masuk tido..
Itulah rutin harian saya dan isteri.
Nampak tak ape kerja yang saya buat dan dia buat?
Ramai Perempuan Cantik TAPI..
Memang ramai pompuan cantik kat Malaysia ni, tapi belum tentu sanggup hidup dengan saya dan buat macam apa yang dia buat..
Dia mengadungkan 3 anak saya.
Dia lahirkan anak-anak saya.
Dia sanggup kahwini saya walaupon masa tu saya pakai motor cup buruk dan dia pakai kancil.
Dia sanggup makan nasi lauk ikan kering.
Dia tahan perangai saya.
Dia tak kisah saya botak.
Dia tak kisah saya boroi.
Dia lap badan saya bila saya terlantar sakit.
Dia tetap tidor sebelah saya walaupon saya berdengkur tanpa komplen.
Dia basuh spender saya.
Dia picit badan saya bila saya lenguh.
Dia selimutkan saya bila saya tertidur kat katil time dia tgh bercakap.
Dia dengar ape yang saya cakap masa mengigau (kalau ada sebut nama pompuan, dia akan wassap dan tanya sape pompuan tu masa kt opis nnti)
Dia basuh dan lipat baju.
Dia kemas rumah.
Dia gosok baju skolah anak dan baju saya
Dia memasak.
Dia ceduk nasi utk saya.
Dia buat air minuman.
Dia buat susu anak.
Dia gi sekolah amik report kad anak.
Dia bawak anak-anak gi berenang.
Dia bwk anak-anak gi jenjalan hujung minggu time saya keluar shoot wedding.
Dia ajar anak buat cup cake.
Dia ajar anak ngaji.
Firasat dia, selalunya betul.
Dia pandu kereta manual selama 19 tahun, bulan lepas baru bawak kereta auto.
Dia tak kisah dapat hadiah hari jadi ke tak.
Hebat kan Allah cipta makhluk bernama perempuan ni.. macam-macam dia bole buat.
Dia mungkin tak cantik di mata kamu, tapi dia cantik zahir dan batin di hati dan kehidupan saya. Tanpa dia, agak sukar untuk saya hadapi kehidupan harian.
Dia suka membebel kalau ada yang tak kena tap itu memang perangai pompuan yang Allah jadikan dan itulah jodoh terbaik yang Dia dah tentukan.. selebihnya sikap dan nafsu kamu yang tentukan sejauh mana kamu boleh pelihara hubungan suami isteri tu. Terima kasih Ya Allah kerana bagi aku isteri ini.
Hari ni 10 Julai 2017 ialah harijadi dia..
SELAMAT HARI LAHIR MAZLIN MAHMOD
Semoga sihat, panjang umur dan diluaskan rezeki.
Itu je yang saya nak cerita. Terima kasih kerana membaca.
Dalam tempoh nak membesarkan anak-anak, macam-macam perangai yang boleh uji kesabaran mak-mak. Lebih-lebih lagi, bila anak lasak, ada saja akalnya sampaikan boleh hilang sabar mak-mak.
Walau bagaimanapun, anak lasak itu memang lumrahnya. Ini belum lagi ada anak yang melekat dengan mak 24 jam. Sampaikan mak nak buat kerja rumah pun tak boleh. Nak dukung, temankan depan televisyen dan pantang hilang saja mesti menangis.
Aduh, geram dan boleh stres mak-mak kalau jenis anak lasak dan melekat dengan mak setiap masa.
Tak perlu nak marah atau stres tapi sebagai mak kita raikan cara anak kita. Baginya tiada orang lain dan kitalah dunia buat anak-anak. Raikan perkembangan anak-anak sebab bila anak dah besar, kita pasti akan merindui momen ini.
Inilah yang dikongsikan oleh Maryam Jamadi tentang anak lasak dan suka melekat 24 jam. Ada nasihat terbaik yangboleh mak-mak hadamkan supaya tidak stres, sebaliknya raikan anak kita.
Semalam, saya mengadu dekat suami yang saya “burnout”.
Lagi-lagi anak kedua saya, Yuu umur 1 tahun lebih yang nak melekat 24 jam sebab masih fasa “separation anxiety”.
Saya pergi tandas sekejap, anak menangis macam kena dera. Nak bangun ke dapur, anak merengek. Saya masuk bilik ambil barang, dia buat drama sedih dekat depan pintu, Bila saya keluar beli barang sekejap, dia menangis cari saya keliling rumah. Kalau tidur siang sekejap-sekejap terjaga cari saya dan kalau saya tak ada habislah drama lagi.
Jika boleh nak saya duduk setempat melepet sahaja. Itu belum lagi dia melasak, memanjat sana sini dan memunggah barang
Suami saya kata, “Apa yang awak rasa stress, itulah yang I nak”
Iyalah, 2 orang anak semua melekat dengan saya.
Nak tidur cari saya, Bila nak makan cari saya, Sakit cari saya.
Bukan suami tak uruskan atau tak main dengan anak, tapi entahlah mungkin sebab menyusu badan penuh. Jadi, rapatnya lain macam sikit .
Suami saya teringin nak anak tidur dengan dia, nak anak menangis ikut ke tandas, masalahnya anak-anak hanya nak suami bila beliau dukung berdiri.
Nasihat Terbaik Buat Mak
Itulah, kadang-kadang bila setiap hari kita menghadap rutin yang sama, lagi-lagi bila dah jadi ibu, jadual kita terikat dengan anak-anak. Waktu anak makan, mandi, tidur, main-main, belajar, sekarang ini lagilah anak yang bersekolah PdPR.
Otak orang perempuan pula “complicated”, baju salah lipat pun nak stress.
Lagi bila tengok group deco, rumah cantik terkemas. Bila tengok rumah sendiri, merata-rata ada mainan. Anak umur 1 tahun, fasa suka punggah-punggah barang.
Kalau di rumah saya, semua kabinet ada ruang khas untuk barang selamat untuk dipunggah dan dibongkar. Jadi, bila waktu mengemas memang saya sumbat aje semua barang dalam ruang khas tersebut sebab tahu tak tahan lama pun. 30 minit lepas itu kena bongkar balik.
Anak siapa yang macam ini juga?
Jadi, ini nasihat untuk diri saya dan ibu-ibu yang lain:
1. Anak melekat dengan kita sebab dia sayang kita dan kitalah dunia bagi mereka.
2. Jangan bandingkan kehidupan kita dengan orang lain di media sosial sebab kita tak tahu ujian dan cabaran mereka.
3. Kita akan stres bila terlampau kejar kesempurnaan. Belajar lantakkan lipatan baju tak cantik, dah siap lipat pun dah elok sangat!
4. Ibu stres, anak stres
5. Raikan proses perkembangan anak, anak suka buat sepah juga adalah proses.
6. Suatu masa nanti kita akan merindui saat-saat ini bersama anak.
Kalau sebelum ini, bila stres boleh tengok kalendar dan menghitung hari untuk jalan-jalan, melancong atau cari makanan sedap. Sekurang-kurangnya dapatlah lupakan urusan rumah.
Tapi kali ini memang menguji kesabaran betul, dengan PKP yang tak nampak penghujungnya. Banyak sangat perkara tidak pasti.
Saya harap semua ibu-ibu dapat kekalkan kewarasan masing-masing. Agak-agak nak bertukar warna hijau, bebelkan sahaja dekat suami. Semalam saya baru sahaja bebel pasal politik, pkp, SOP dll.
Tak pasal-pasal anak saya cakap “lets not fight” sebab ingat kami bergaduh. Padahal tengah geram dengan perkara lain.
Semoga kita semua dikurniakan kesabaran dan kewarasan dalam menghadapi segala perkara yang mendatang.
*Inilah dia “koala bear” saya, macam kena dera kan?
Mingguan Wanita : Betul tu bila tengok rumah orang lain cantik kemas berbanding rumah kita, memang boleh stres. Buat ‘dono’ saja sebab masing-masing ada kehidupan tersendiri.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
Tidak dinafikan, sesetengah isteri yang bekerja memang jarang masak di rumah. Bukan tidak mahu memasak untuk suami dan anak-anak tetapi semuanya disebabkan faktor masa. Bagi isteri yang amalkan rutin memasak walaupun bekerja, itu sudah cukup membanggakan.
Bayangkan, seawal pagi menguruskan anak-anak, ke tempat kerja dan petangnya pula ‘bersilat’ untuk menyiapkan makanan keluarga. Kalau jenis isteri yang ‘buat kerja cepat’ dalam setengaj jam sudah terhidang makanan. Bagaimana pula kalau isteri yang ambil masa lama untuk siapkan hidangan. Mahu masuk angin suami dan anak-anak menunggu.
Walau bagaimanapun, jangan salahkan isteri. Sebaiknya isteri ingin berikan yang terbaik untuk suami dan keluarga. Mungkin ada juga suami lebih selesa untuk membeli makanan di luar bagi menyenangkan isteri. Mungkin sebab itu juga isteri pun jarang masak.
Pernah orang tua cakap, kalau isteri tidak masak, suami dan anak-anak tak dapatlah merasa ‘air tangan isteri atau ibu’.
Walau bagaimana pun, dengan keadaan sekarang ini yang mana isteri turut sama bekerja membantu suami, sedikit sebanyak memberi kekangan untuk isteri memasak di rumah.
Ada yang berfikiran, kalau memasak mungkin ambil masa sedikit. Sedangkan, beli makanan di luar, balik rumah terus boleh makan. Tak adalah suami dan anak-anak menunggu lama.
Waima, jarang memasak, beli makan di luar, semuanya bergantung kepada budi bicara pasangan masing-masing yang boleh menerimanya. Jangan pula kata isteri tak masak, suami ambil kesempatan lain pun.
Seperti perkongsian daripada Fadzli Aziz ini. Isteri masak atau beli di luar langsung tidak memudarkan cinta mereka. Apa yang penting suami kena ada toleransi dan lihatlah penat lelah isteri juga.
“Abang, sayang tak sempat nak masak hari ni sebab ada online meeting”.
“Tak apa, foodpanda kan ada. Nak makan apa? Abang orderkan”.
Saya ni jenis tak kisah, isteri masak atau makan kat restoran ataupun grabfood. Dulu betul saya memang nak isteri masakkan untuk saya.
Tetapi bila melihat dia bekerjaya, banyak hal yang perlu diuruskan, maka saya mudahkan apa yang boleh.
Sampaikan jiran saya tegur.
“Abang dah nampak kalau foodpanda tu mesti datang rumah kau. Aku rasa kau ni penyumbang terbesar foodpanda kat kawasan ni.
Kami gelak sama-sama.
Perasan tak kenapa orang lelaki suka tanya isteri dia nak makan apa?
Sebab dia tak kisah dirinya. Suami utamakan pasangannya walaupun hanya hal yang berkaitan makan.
Dia nak isterinya bahagia dengan dirinya dan dia tak nak susahkan isterinya. Bahkan dia cuba permudah dan ikut kehendak isterinya.
Namun pada sesetengah lelaki tradisional, bab makan, isteri mesti masak. Bab makan tanggungjawab isteri sepenuhnya. Bangun pagi sarapan semua mesti sudah tersedia. Itu tanda hormat.
“Kau kalau nak suami sayang, kau kena bagi suami makan air tangan kau”.
Ini pesan orang dulu-dulu. Tak salah pesan ni. Bahkan ada kelebihannya.
Tapi adakah bila asyik makan kat luar cinta tak berkembang dan mendalam?
Kalau tanya saya, saya tetap semakin sayang dan cinta walaupun banyak makan di luar berbanding dirumah.
Suami Kena Toleransi
Bab memasak di rumah, bertoleransi lah kita. Sebab kalau dalam situasi isteri tidak bekerja dan merupakan suri rumah sepenuh masa, mungkin itu tiada masalah.
Tapi kalau isteri bekerja, maka ia sesuatu yang sangat memerlukan toleransi. Terkadang isteri balik kerja penat-penat, terus bergegas ke dapur nak masak. Suami masuk je rumah, terus capai remote tv.
Nak order foodpanda, suami tak nak. Nak rasa air tangan isteri. Maka isteri berhempas pulas siapkan makanan dan hidangkan.
Lepas je makan sama-sama, suami bangun terus terpacak depan tv, sambung tengok movie. Isteri tadi terus angkat pinggan mangkuk bawak ke dapur dan basuhkan. Kemaskan dapur dan lap.
Selepas solat isyak isteri sambung lagi kemas rumah dan setelkan hal berkaitan kerja esok. Pukul 10.30 bersiap-siap nak tidur.
Suami? Masih duk tengok tv. Pukul 11.30 masuk bilik, kejutkan isteri kerana nak ‘bersama’. Isteri dah terlena kerana sangat penat. Tapi bila dikejutkan, bangunlah isteri melayan kehendak suaminya.
Sebab dah penat, melayan suaminya sekadarnya sahaja. Suaminya tak puas hati. Lalu mengadu pada kawan-kawan dan perempuan lain.
“Isteri i ni tak pandai layan. Dah lah susah nak layan i, pastu macam patung je. I rasa i nak poligami lah”
Akhirnya rumah tangga jadi semakin pudar, hilang seri, hambar kerana cycle ini berulang-ulang.
Si isteri menjadi bingung kerana suami curang. Sedangkan dia dah jalankan semua tanggungjawab semampu mungkin.
Kadang-kadang sebagai suami kita suka menyalahkan pasangan kerana kita rasa kita jadi mangsa. Rupa-rupa kita lupa terkadang kitalah puncanya keadaan menjadi sebegitu.
Wallahuaalam
MW: Sebenarnya, isteri pun lebih suka memasak untuk suami dan anak-anak makan. Tapi kalau suami tak ada tolerasni dalam membantu, boleh jadi penat isteri. Untunglah kalau suami jenis yang memahami, siap orderkan makanan untuk keluarga lagi.
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...