Kadang-kadang dalam hidup kita tidak lari daripada berasa cemburu dengan kehidupan orang lain. Mak, ayah cemburu apabila kawan-kawan memiliki kerjaya, rumah besar dan berkereta mewah.
Dalam hati mulalah merintih yang kehidupan mak,ayah tidak senang seperti mereka dan timbullah iri hati. Sebenarnya cemburu melihat kehidupan orang lain tidak ada masalah.
Namun jika sampai pada satu tahap mak,ayah membandingkan hidup sendiri dengan orang lain. Itu maknanya mak, ayah tidak bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan. Sedangkan sebelum lahir lagi segalanya telah tertulis.
Untuk merasa cemburu dengan kehidupan orang lain itu normal, tapi untuk membandingkan kehidupan sendiri dengan kehidupan orang lain itu tidak normal…
Kita manusia, deep inside mesti akan tercuit dan terasa sedikit bila mana kita tengok kehidupan orang lain lebih baik daripada kita… Ini adalah pada pandangan kitalah…
Ads
Kita tengok wanita yang bekerja, seronok, ada duit sendiri, boleh membeli sesuka hati… Kita yang jadi suri rumah ini hanya mengharapkan duit suami untuk membeli apa-apa yang diingini…
Kita tengok mereka yang bekerja goverment, nanti tua ada duit pencen, tak perlu sudah bekerja di usia senja tapi kita yang bekerja di sektor swasta ini, sudah tentu perlu bekerja sampai mati…
Kita tengok wanita yang bersuamikan orang yang berkemampuan, ada kereta hebat, tinggal di rumah yang besar… Mesti bahagia kehidupannya. Kita ini hanya mampu tinggal di rumah flat lima tingkat yang lif pun tidak ada, kena naik tangga hari-hari…
Ads
Beruntungnya mereka, bertuahnya mereka, bernasib baiknya mereka…
Adakah Kita Bernasib Malang
Jadi, adakah kita ini tidak beruntung? Malang dan tidak bernasib baik?
Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian bahawa kehidupan kita di dunia ini sudah ditulis Allah dalam catatan-Nya sebelum kita lahir lagi… Dengan siapa kita akan berkahwin, di mana kita akan tinggal, berapa bilangan anak yang kita akan dapat, apa rezeki kita, bila kita akan mati dan sebagainya…
Ads
Kita selalu saja beranggapan dan mengandaikan bahawa hidup kita mesti akan menjadi lebih baik sekiranya kita di tempat mereka walhal yang meletakkan kita di tempat sekarang adalah hasil daripada perancangan Allah SWT. Bukankah sebaik-baik perancangan itu adalah daripada Allah SWT? Sudah tentu ada hikmah-Nya disebalik semua ini…
Apa yang kita suka, mungkin bukan yang terbaik untuk kita dan apa yang kita benci, mungkin itulah yang sebenar-benarnya terbaik untuk kita…
Tengok sekeliling dan bersyukurlah walaupun sedikit dengan kehidupan yang kita sudah pun ada…
Doa merupakan salah satu jambatan perhubungan kita dengan Yang Maha Esa. Ia menjadi simbol kehambaan dan pengharapan yang tinggi kepada-Nya. Sebagai hamba, tiada satu perkara pun yang mampu kita lakukan tanpa bantuan dan perkenan Allah.
Apatah lagi dalam hal mendidik permata hati, ia adalah tanggungjawab yang besar maka kepada Dialah kita seharusnya bergantung harap dan meminta bantuan. Selaku hamba, doa tidak seharusnya berlaku mengikut konteks tertentu bahkan ia seharusnya menjadi umpama perbualan harian kita dengan-Nya.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Universiti Sains Islam Malaysia, juga penulis tetap ruangan PERMATA HATI di dalam Majalah Mingguan Wanita.https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Justeru, ia sudah tentu untuk mengembalikan hamba kepada pengakuan Penciptanya, iaitu untuk menjadi hamba dan khalifahnya yang soleh. Jadi inilah yang seharusnya menjadi inti pati utama doa kita sehari-harian. Oleh itu, sudah menjadi kemestian untuk mendoakan anak-anak kita menjadi hamba dan khalifah Allah yang soleh.
Doa ini harus sentiasa diucapkan agar ia dapat membentuk sebuah kerangka khusus dalam minda kita untuk menyediakan sebuah pendidikan yang bakal menyiapkan anak-anak kita ke arahnya.
Bukan itu sahaja, ucapan yang dilakukan acap kali ini akan mempengaruhi tindakan dan tingkah laku kita untuk melakukan perkara tersebut. Misalnya, menyediakan persekitaran yang baik agar potensi fitrahnya dapat dikembangkan.
Ini kerana potensi fitrah ini adalah potensi yang baik dan menghala kepada hakikat kejadian manusia iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya yang soleh.
Dalam konteks ini, kita juga akan berusaha untuk memperbaiki diri agar dapat menunjukkan contoh yang baik juga buat anak-anak.
Sejajar dengan itu, segala keperluan ke arah menyiapkan anak-anak menjadi anak yang soleh juga akan segera disiapkan seperti keperluan fardu ain iaitu solat, mengaji, menjaga aurat dan sebagainya di samping tuntutan fardu kifayah agar dia juga bersiap untuk menjadi khalifah yang baik.
Selain daripada itu, doa ini juga harus dikongsikan dengan anak-anak. Biarkan mereka mendengar dengan jelas doa yang kita titipkan buat dirinya. Ini kerana doa yang kita ucapkan tersebut akan membentuk persepsi dalam minda anak-anak tentang diri mereka.
Jika acap kali didengari, persepsi ini akan menjadi kepercayaan dalam minda bawah sedarnya dan mempengaruhi tingkah lakunya ke arah perkara yang diucapkan. Apatah lagi apalagi disokong dengan persekitaran yang seiring sudah pasti matlamat yang disasarkan akan lebih mudah dicapai dengan izin Allah SWT.
Antara situasi yang sesuai untuk mengungkapkan doa tersebut ialah ketika mereka bersiap untuk tidur, bangun pagi, ketika ke sekolah dan beberapa lagi situasi lain yang difikirkan sesuai. Boleh juga jika ingin memanggilnya dengan jolokan “anak soleh mama” contohnya kerana percakapan juga merupakan doa.
Oleh yang demikian, amat penting bagi kita untuk sentiasa mengucapkan perkara yang baik-baik di hadapan anak-anak dan memanggilnya dengan panggilan yang baik-baik kerana semua yang diungkapkan terutama oleh kita penjaga mereka merupakan sesuatu yang serius bagi diri mereka.
Ucapan atau gelaran tersebut akan diingati dan di simpan ke dalam minda bawah sedarnya dan membentuk persepsi tentang diri dan kehidupannya.
Kasihanilah mereka dengan mewujudkan persekitaran yang terbaik untuk perkembangan diri mereka, yang kini amat bergantung dengan kita dan persekitaran yang kita sediakan. Apa yang ada dalam persekitaran mereka kini bakal membentuk diri mereka kelak. Maka doakanlah dan berkatalah yang baik-baik agar matlamat mendidik anak-anak kita sejajar dengan tujuan penciptaan mereka yang telah pun dinyatakan oleh Allah. wallahualam.
Orang cakap segala kerja rumah tu adalah tanggungjawab isteri. Jadi, persoalannya, suami buat apa pula kat rumah. Hanya goyang kaki sahaja. Tengok televisyen dan tiba masa makan, mulalah buka tudung saji.
Pernah fikir tak? Isteri bekerja yang sama-sama untuk membantu menambahkan pendapatan keluarga. Kalau ikutkan, suami sahaja yang bekerja. Jadi, di manakal letaknya peranan suami sebagai ayah dan ketua keluarga?
Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat mengupas tentang perkara ini.
Suami tidak boleh berkata ‘ini tugas isteri saya’ dan bukan tugas saya. Seorang suami boleh menggunakan fungsinya untuk membantu isteri tanpa disuruh. Tugasan suami di rumah seperti membantu kerja isteri di rumah, tidak sesekali pun menjatuhkan martabat seorang suami.
Tidak dinafikan seorang suami mempunyai egonya yang tersendiri dan ia sangat berbeza. Ada suami meletakkan batasan dan membahagikan tugasan rumah. Ada sesetengah suami takut jika ada orang lain menganggap dia berada di bawah kawalan isteri dan malu untuk membantu isteri kerana itu bukan tugas suami. Anggapan suami, kerja-kerja rumah adalah kerja isteri. Suami hanya mencari nafkah untuk keluarga sahaja.
Seorang suami perlu mengambil langkah yang pro aktif dan tanpa disuruh untuk membantu isteri. Melihat isteri terkial-kial membuat kerja rumah, suami hendaklah segera membantu untuk meringankan kerja isteri.
Seorang isteri apabila tidak tercapai tugasan seharian akan rasa tertekan sehingga boleh menimbulkan leteran atau bebelan. Pertolongan yang diharapkan adalah dengan meringankan kerja isteri yang tidak terbuat. Setiap isteri memang inginkan bantuan suami untuk meringankan kerja isteri di rumah.
Seorang isteri akan lebih menghormati dan menyayangi, jika suami membantu dengan kerja rumah, walaupun dia tahu dan mampu lakukan sendiri. Ada suami yang tidak peduli walaupun dia tahu isterinya banyak tugasan yang harus dilakukan.
Suami yang tidak mahu membantu bukan akan hilang hormat dan kasih sayang dari seorang isteri. Isteri akan merasakan dirinya diperlakukan sebagai orang gaji untuk kesenangan suami dan keluarga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.