
Dunia fesyen sering menjadi medium untuk menyampaikan cerita. Namun, penampilan Miss World Uganda kali ini mencuri perhatian apabila sebuah gaun couture unik diinspirasikan daripada pengalaman bersalin C-section.
Gaun bertajuk Layers of Life itu direka oleh pereka fesyen Keesha Abdallah untuk World Designer Award.
Apa yang membuatkan rekaan ini cukup istimewa, ia membawa konsep tujuh lapisan yang dikaitkan dengan perjalanan bersalin C-section, daripada bahagian luar tubuh sehingga ke tempat bermulanya kehidupan baharu.
Baca artikel: Tomei Lancar Syiling Emas MY Flora, Guna Emas Kitar Semula Untuk Sokong Pemuliharaan
Menurut konsep rekaan tersebut, setiap lapisan membawa simbolik tersendiri.
Lapisan pertama mewakili kulit sebagai pelindung tubuh. Lapisan kedua pula melambangkan lemak, diikuti fascia atau tisu penghubung yang menyokong struktur tubuh.
Lapisan keempat mewakili otot, simbol kepada kekuatan dan ketahanan seorang wanita.
Seterusnya, lapisan kelima menggambarkan peritoneum, iaitu lapisan pelindung di dalam abdomen.
Lapisan keenam pula mewakili rahim, tempat bayi membesar sepanjang kehamilan. Lapisan terakhir ialah kantung amnion yang melindungi bayi sebelum dilahirkan.
Kesemua elemen ini diterjemahkan ke dalam sebuah gaun couture, menjadikan konsep bersalin C-section sebagai asas kepada keseluruhan rekaan.
Bagi Keesha Abdallah, idea tersebut bukan sekadar tentang menghasilkan rekaan yang luar biasa.
Inspirasi gaun itu turut datang daripada pengalaman peribadinya sebagai seorang ibu baharu.
Beliau mula meneroka pelbagai idea berkaitan kehamilan dan kelahiran sebelum tertarik dengan gambaran lapisan yang terlibat dalam proses bersalin C-section.
Daripada situ, tercetus idea untuk mengubah konsep perubatan kepada sebuah karya fesyen yang membawa makna lebih mendalam.
Bagi pereka itu, rekaan tersebut adalah satu penghormatan kepada perjalanan wanita membawa kehidupan ke dunia.
Proses menghasilkan gaun itu juga bukan mudah.
Daripada lakaran awal hingga pemilihan warna, Keesha dan pasukannya melalui beberapa percubaan untuk memastikan konsep tujuh lapisan dapat diterjemahkan kepada rekaan yang boleh dipakai di pentas.
Hasil akhirnya, Layers of Life bukan sekadar sebuah gaun pertandingan ratu cantik.
Ia membawa kisah tentang kekuatan, perlindungan, pertumbuhan dan permulaan kehidupan.
Di sebalik kemewahan gaun couture itu, tersimpan penghormatan terhadap pengalaman bersalin C-section dan perjalanan fizikal seorang ibu yang tidak selalu dapat dilihat oleh mata.
Baca juga artikel: KL Fashion Week 2026 Kembali Dengan Tema ‘Destinasi: Tanah Air’, Himpunkan Lebih 50 Pereka Fesyen Tempatan
Sumber: Fashion Times UK