Hasratnya untuk memeluk agama Islam ditentang hebat oleh bekas suami, sehingga dirinya terpaksa berpisah dengan insan yang pernah bertakhta di hati. Namun cintanya terhadap agama suci Allah melebihi segalanya, lantas keputusan untuk tidak lagi bersama diambil untuk meneruskan niat kembali kepada agama fitrah iaitu Islam.
Nur Juliana Atiqah Sahfiyah Bte Bannei, 34, sudah lama berhasrat untuk memeluk Islam. Bermimpi memakai tudung dan mengucap kalimah syahadah antara petunjuk Allah buat wanita yang berasal dari Bintulu Sarawak ini. Mesra dengan panggilan Julia, keputusannya untuk memeluk Islam memberikan lebih ketenangan dalam kehidupannya berbeza dengan apa yang dilaluinya sebelum ini.
“Selepas tamat sekolah saya pernah bekerja di sebuah pasar raya di Sarawak. Saya tinggal menyewa di satu rumah bersama rakan-rakan yang kebanyakannya muslim. Bila tengok rakan-rakan solat dan membaca al-Quran saya rasa seronok, tapi waktu itu tidak pernah terniat untuk memeluk Islam. Bila dah bekerja tetap dan pindah ke Semenanjung Malaysia, saya lebih banyak bergaul dengan rakan muslim dan sering bertanya tentang agama Islam. Namun ketika itu saya masih mengamalkan ajaran Kristian yang sangat kuat,” ujar Julia bagaimana dia mula mengenali Islam.
Hati Mula Dijentik
Bertemu jodoh dengan lelaki pilihan hati, Julia aktif dengan agama Kristian yang dianutinya. Sering ke gereja dan mengamalkan cara hidup agama tersebut, suatu hari, wanita ini disapa dengan hidayah yang membawanya kembali ke agama Allah walaupun terpaksa melalui perit getir dan berpisah dengan anakanda tersayang.
“Pada tahun 2005, saya telah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata. Dulu saya memang sangat aktif dengan ajaran Kristian. Jarang sekali tidak hadir ke gereja. Sampai satu masa, hidayah datang menjelma, kalau tak silap saya ia berlaku sekitar tahun 2009. Ada satu malam saya telah bermimpi mengucap dua kalimah syahadah.
Julia mengikuti kelas Tadarus bersama rakan-rakan yang lain
“ Malam berikutnya saya didatangi lagi mimpi, kali ini saya bermimpi memakai tudung pula. Begitu juga dengan malam seterusnya dan ia berlanjutan selama beberapa malam dengan mimpi yang sama. Kebetulan pula rumah saya ketika itu bersebelahan dengan masjid. Setiap kali azan berkumandang hati terasa tenang sangat, tak dapat digambarkan dengan kata-kata apa yang saya rasa.
“Saya pernah nyatakan hasrat ingin memeluk Islam pada suami ketika itu, tetapi telah ditentang dan dihalang. Malah dia menyalahkan rakan-rakan terdekat dan dikatakan menjadi punca dan penyebab hasrat tersebut. Sejak daripada itu, ramai sahabat-sahabat dari gereja datang untuk menasihati supaya membatalkan hasrat tersebut. Tapi saya masih nekad dengan niat saya.
Ads
“ Bermacam dugaan yang telah saya lalui ketika itu sehingga akhirnya kami berpisah dan suami meletakkan syarat, anak akan dijaga olehnya. Itulah saat paling sukar buat saya, tapi saya perlu memilih keputusan dengan tepat…anak atau agama. Akhirnya saya memilih agama, tetapi Alhamdulillahlah saya tetap diberi ruang oleh mahkamah untuk datang melawat anak,” ujar ibu kepada dua cahaya mata ini mengenang kembali saat dirinya mengambil satu keputusan besar dalam hidupnya.
Bukan sahaja mendapat tentangan daripada bekas suami, malah ibunya juga turut menentang hasratnya yang murni itu.
“Sebelumnya saya terlebih dahulu menyampaikan hasrat ingin bertukar agama pada ibu tapi turut ditentang. Menurut ibu, keputusan itu seolah-olah saya mahu meninggalkan keluarga. Saya ambil masa dalam beberapa bulan untuk beritahu semula kepada ibu tentang hasrat tersebut.
Bersama keluarga yang kini dapat menerima penghijrahan Julia
“ Adik saya terlebih dahulu memeluk Islam daripada saya. Setelah setahun adik saya memeluk Islam, tiba masanya saya menceritakan semula hasrat tersebut dan oleh kerana saya telah menetapkan tarikh untuk mengucap syahadah iaitu dalam masa tiga hari daripada Tarikh tersebut, saya beranikan diri. Saya rasa tak tenang kalau tidak beritahu perkara sebenar.
Ads
“ Alhamdulillah, ibu terima niat saya walaupun dengan hati yang berat. Adik beradik juga dapat terima dengan hati terbuka tetapi keluarga makcik pakcik dan sepupu masih ada yang belum menerima sepenuhnya. Tetapi itu tidak menjadi masalah untuk saya meneruskan niat saya. Ingatan saya pada mereka tetap sama walaupun kami tidak lagi seagama,” tambah Julia.
Dipermudahkan
Tanggal 1 Ogos 2013 secara rasminya Julia bergelar seorang muslim setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk memeluk agama suci ini. Meskipun terpaksa berpisah dengan anak tersayang, itu semua tidak menjadi halangan buat wanita yang merupakan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang bertugas di Lumut, Perak.
Mengaku kehidupannya lebih tenang setelah memeluk agama Islam, wanita yang pernah dikenali dengan nama Juliana Anak Bannei ini mendalami ilmu agama dengan banyak cara. Syukur semuanya dipermudahkan Allah yang memilih dirinya untuk sebuah hidayah yang cukup indah.
Ads
“Bagi saya Islam adalah agama yang sangat tenang. Ada perkara yang kita buat dalam Islam tidak pernah saya buat ketika agama terdahulu walaupun ia satu amalan yang baik. Contohnya, memeluk ibu bapa, bersalaman dengan rakan dan orang tua yang kita jumpa. Tetapi selepas memeluk Islam saya telah belajar semua itu dan melihat daripada apa yang sahabat-sahabat muslim saya lakukan. Setiap kali melangkah keluar rumah atau ketika ingin melakukan sesuatu tugas dimulakan dengan kalimah ‘Bismillahirohmanirahim’, agar setiap tugas diberkati. Agama Islam agama yang teratur serta mudah.
“Sebelum saya memeluk Islam, saya banyak membuka youtube dan menonton kisah-kisah saudara baru. Setelah memeluk Islam, saya mula belajar Iqra dengan seorang ustazah di tempat kerja. Pada sebelah malamnya pula mengaji di sekitar blok. Saya juga telah dihantar kursus di luar kawasan yang mengambil masa seminggu bersama-sama dengan mualaf yang lain yang kebanyakannya dari kalangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Di situ kami tekah bertukar-bertukar cerita dan pendapat antara satu sama lain. Pendek kata, saya banyak mendalami Islam melalui rakan-rakan, ustaz dan ustazah di tempat kerja. Jika ada masa terluang di waktu rehat saya akan pergi ke surau untuk belajar dengan ustazah.
Julia ikuti kelas bersama saudara baru yang juga anggota ATM
“ Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, sedikit demi sedikit saya belajar benda baharu. Saya nak terus dalami ilmu agama dan berusaha menjadi seorang muslim yang taat kepada suruhan-suruhan Yang Maha Pencipta,” tambahnya penuh semangat.
Bertemu jodoh baru
Jodoh pertemuan, ajal maut itu semua ketentuan Ilahi, meskipun pernah gagal dalam perkahwinan yang terdahulu kerana ingin memeluk Islam, betapa Allah itu Maha Pengasih, dihadirkan pula seorang lelaki yang kini menjadi raja di hati Julia. Akur dengan status Julia sebelum ini, suaminya banyak membimbing malah keluarganya juga dapat menerima Julia seadanya.
“ Dua tahun yang lalu saya bertemu jodoh baru. Suami sayalah yang banyak bantu dan bimbing saya untuk terus mendalami agama Allah ini. perlahan-lahan dia ajar apa yang saya tidak tahu. Malah keluarganya juga menerima saya seadanya. Begitu Allah menyayangi saya, kini saya bahagia dengan suami dan seorang cahaya. Mungkin tiada jodoh yang dulu bukan bermakna pengakhiran kehidupan.
“ Hidup dikelilingi suami, keluarga, sahabat-sahabat yang menjadi penguat dan doa dari ibu walaupun dulu ibu seperti tidak merelakan. Alhamdulillah sekarang ibu terima seadanya. Walaupun berpisah dengan anak yang sulung dan sudah hampir empat tahun tidak berjumpa, saya sentiasa doakan anak yang jauh di mata. Bohonglah kalau seorang ibu tidak rindukan anaknya. Hanya melalui aplikasi Whatsapp kami berhubung. Alhamdulillah, segala urusan sekarang ini banyak dipermudahkan,”akhiri Julia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ya…Jangan main-main dengan sedekah. Sedekah itu, banyak keajaibannya. Hanya orang yang biasa bersedekah sahaja yang dapat merasainya.
Hulur RM50, Dapat RM1,500
Pernah berlaku, seorang sahabat saya memberi sedekah RM50 kepada seorang lelaki yang kelaparan bersama anaknya. Padahal, masa itu di dalam kocek sahabat saya itu, hanya itulah duit yang dia ada. Tapi, dia jenis orang yang tidak boleh nampak orang lain susah. Dirogoh juga saku seluarnya. Dia pejamkan mata lalu RM50 pun bertukar tangan.
Sedekah suburkan rezeki.
Selepas itu, sahabat saya pun meneruskan niatnya. Mengunjungi seorang kenalan yang sedang sakit di hospital. Di sanalah keajaiban itu bermula.
“Lan, engkau ada apa-apa urusan ke lepas ini?”
Seorang kenalan kepada sahabat saya yang sama-sama mengunjungi sahabat yang sakit di hospital bertanya kepada sahabat saya. “Tak ada. Aku free…” Balas sahabat baik saya itu. “Okay. Aku nak jumpa seorang kawan di restoran . Jika engkau free, jom ikut aku.”
Pelawa lelaki berkenaan kepada sahabat saya itu.
Ringkas cerita, sahabat saya pun mengikutinya. Di restoran itu, berlakulah keajaiban seterusnya.
“Saya memang sedang mencari mana-mana akauntan yang boleh buat audit dan akaun syarikat saya. Tuan ada kenal mana-mana akauntan yang bertauliah?”
Lelaki yang ditemui di restoran berkenaan bertanya kepada kenalan sahabat saya. “Apa susah-susah. Ini ha, sahabat baik saya ini, si Razlan. Dia memang akauntan bertauliah, malah juruaudit terlatih lagi.”
Balas kenalan sahabat saya.
“Wah…Alhamdulillah. Jika begitu, saya minta tuan sahajalah uruskan akaun saya. Boleh?” Ujarnya lagi, dengan wajah ceria dan mengharap.
Lalu di saat inilah, berlakunya keajaiban ketiga. Ya, hari itu sahabat baik saya telah mendapat sekeping cek bernilai RM1,500.00. Jumlah itu adalah pendahuluan untuk kerja-kerja yang baharu sahaja dia dapatkan.
Sedekah mengajar kita untuk lebih bersyukur.
Kisah Benar Keajaiban Sedekah
Ada satu lagi kisah benar. Ia berlaku ke atas diri saya sendiri. Tahun 2013, saya mendapat tawaran dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mengerjakan umrah. Melonjak rasanya hati. Suatu hari, saya ke Kaunter Zakat Selangor di Selayang. Tujuannya, untuk menunaikan sebahagian zakat.
Pulang daripada menunaikan zakat, saya keletihan lalu tidur. Tidak lama, isteri datang mengejutkan. “Abang, tadi orang daripada wakil kesihatan datang. Mereka buat pemeriksaan jentik-jentik mengejut…” “Habis tu…” Saya terkejut, bingkas duduk, memotong sebelum sempat isteri saya menamatkan cerita. “Mereka jumpa jentik-jentik, bang. Ikutkan boleh kena denda. Tapi, mereka bagi amaran sahaja dan juga ubat jentik-jentik.” Isteri saya terus menerangkan.
Saya termanggu. Kata isteri saya, jika diikutkan kami boleh didenda sehingga ratusan ringgit. Namun, kebaikan hati pihak berkuasa berkenaan telah meringankan dengan diberikan amaran dan juga ubat pemati jentik-jentik.
Yakin
Hakikatnya, saya yakin. Itulah keajaiban sedekah. Bukankah pagi tadi, saya baharu sahaja menunaikan zakat. Zakat adalah sedekah wajib. Tidak mustahil, itulah punca mereka menjadi baik hati.
Bayangkan. Saya mahu ke Mekah mengerjakan umrah. Pasti saya memerlukan wang yang banyak. Didenda pula kerana ‘memelihara’ jentik-jentik. Tentu ia mengganggu saya. Mengganggu kewangan saya.
Moral daripada cerita di atas apa? Ya, jangan main-main dengan sedekah. Jangan takut untuk bersedekah. Ia adalah cara paling mudah menjemput rezeki. Jika tidak yakin, maka bertaubatlah. Kerana bersedekah dan berzakat, memang dijamin Allah. Kelak jika ada kesempatan, saya akan berkongsi lagi mengenai tip bersedekah. Wallahuallam.
**Artikel ini dikongsikan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), yang disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang ada benarnya, benda baik yang kita buat dengan niat dapat menggerakkan hati orang lain untuk turut melakukannya tiada salahnya. Namun menjadi kebiasaanya apabila posting berkaitan perkara baik terutamanya bab agama seringkali dianggap ‘riak’, menunjuk baik dan diberi kata sindiran berbanding perkongsian perkara yang sia-sia.
Jika ini berterusan berlaku, tak mustahil orang ‘takut’ untuk kongsikan posting perkara berkaitan kebaikan, agama di media sosial.
Baru-baru ini, pelakon Emma Maembong ada kongsikan video dirinya sedang memakai telekung sambil menunggu Solat Isyak di samping suami yang sedang membaca Al Quran.
Berikut luahan yang dikongsikan pelakon ini;
“Sementara tunggu Isyak with my husband @shazli.a dan ayah mentua. Pelik zaman sekarang. Kalau post tiktok takpe jadi trend ramai-ramai akan ikut. Bila post bab agama mesti ada comment “Nak tunjuk la tu” “Nak perli-perli”.
“Bagi Emma kalau benda baik kita buat boleh gerakkan hati orang lain buat sekali apa salahnya? Kenapa bab agama je kene simpan diam-diam tak boleh war-warkan?”
“So please jangan negative sangat. Ada orang post sedekah pon kene kecam. Dengan tengok orang post sedekah buat kita tergerak hati nak sedekah sekali or teringat kan kita untuk sedekah kan bagus.”
“Jangan bila orang post agama je nak kecam. Lama-lama semua orang takot nak post. Last-last pasal agama semua dah senyap di IG. Hanya tinggal challenge-challenge yang merepek untuk di viral or menari-menari tiktok 😅 Please always positive.”
MW: Ada benarnya.Pedulikan sahaja kata-kata negatif ini. Siapa kita untuk menilai hati orang yang melakukannya, paling penting bersihkan hati sendiri. Tak mampu buat baik, jangan pandang hina dan pandang negatif orang lain yang berbuat kebaikan.
Memang ada benarnya, suami yang ‘gentlemen’ atau budiman itu sebenarnya yang mampu menjaga syariat dan memelihara maruah isteri. Sebaik mungkin melindungi maruah anak dan isteri, serta memastikan mereka menutup aurat dengan sempurna.Bukan apa, wanita zaman sekarang apabila bab jaga aurat dan maruah diri, ramai yang lebih teruk daripada orang sawan!
Baca perkongsian kisahnya daripada Tuan Ahmad Fairoz ini sebagai rujukan;
Suami Gentlemen adalah Yang Memelihara Maruah Isteri.
Petang tadi isteri saya kongsikan pada saya berkaitan satu video seorang lelaki yang dikatakan sebagai suami yang ‘gentleman’ kerana memarahi seseorang yang menegur pakaian isterinya yang ‘seksa’ barangkali.
Walau bagaimanapun katanya ramai yang tidak menyokong tindakan tersebut kerana menurut mereka memang patut pun ditegur jika sudah jelas-jelas seksi.
Jaga Maruah Isteri dan Anak Perempuan
Entahlah. Saya tak ikuti dengan jelas perihal tu cuma teringat satu pesan daripada Ustaz Mohd Rifqi Myiddin dalam kuliah beliau.
Kata Ustaz,
“Orang perempuan sekarang ramai yang tak sedar mereka telah kehilangan maruah. Kita ahli-ahli masjid ni yang ada isteri dan kalaulah ada anak perempuan, tolonglah jaga maruah isteri dan anak-anak perempuan kita.”
Jangan beri mereka keluar dari rumah seandainya tidak menutup aurat dengan sempurna. Apalah erti kita sebagai seorang suami atau ayah seandainya kita tak mampu memelihara maruah insan-insan yang kita sayangi.”
Wanita Ahli Syurga
Tak silap saya ketika tu Ustaz ada ceritakan satu kisah tentang wanita yang dihinggapi sawan pada zaman Nabi SAW.Kisah yang diriwayatkan daripada ‘Ata’ bin Abi Rabah itu menceritakan bahawa suatu hari Ibnu Abbas radiallahu anhu bertanya kepada beliau,
“Mahukah awak, saya tunjukkan ahli syurga?”
Dia menjawab, “Mahu.”
Ibn Abbas menunjukkan kepada beliau seorang wanita sambil berkata,
“Itu wanita hitam yang telah menghadap Rasulullah shalallahu ‘alaihi wassalam.
Dia mengadu yang dia mengidap penyakit sawan dan setiap kali sawannya datang dia berada dalam keadaan tidak sedar biarpun ketika itu auratnya terbuka. Lalu dia mohon Rasulullah saw mendoakan untuk beliau.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam memberinya pilihan dengan jawapan,
“Jika awak bersabar (dengan penyakit itu) , maka bagimu syurga. Tetapi jika awak mahu, saya akan mendoakan sehingga Dia menyembuhkan awak”
Maknanya jika dia bersabar ganjaran yang diperoleh adalah syurga namun jika dia mahu Baginda boleh sahaja memdoakan agar dia diberikan kesembuhan.
Lalu wanita itu memilih untuk bersabar cuma beliau memohon Rasulullah saw mendoakan agar auratnya terpelihara ketika penyakit sawannya datang.
Kemudian rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam mendoakannya. [Sahih al-Bukhari, (كتاب المرضى) Kitab Pesakit, (باب فَضْلِ مَنْ يُصْرَعُ مِنَ الرِّيحِ)
Bab Kelebihan Orang Menghidap Penyakit Sawan, hadis no : 5220]
Dikhabarkan wanita tersebut bernama Ummu Zufar.
Lalu kata ustaz lagi selepas menceritakan kisah ini,
“Hebatnya wanita zaman Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam, ada penyakit sawan kemudian sangat khuatir kalau terdedah aurat dan tidak terpelihara maruah ketika terkena sawan. Padahal ada kemaafan di situ kerana pada waktu itu dia dalam keadaan tidak sedarkan diri.”
“Berbeza wanita zaman sekarang ni, ramai sahaja yang sihat-sihat tetapi lebih teruk daripada orang yang sawan dalam pada bab menjaga aurat dan memelihara maruah diri sebagai seorang wanita.”
Realitinya memang saya bimbang juga memerhatikan keadaan sekarang ini. Tahap kebimbangan saya tu sampai termimpi-mimpi isteri saya melahirkan anak perempuan.
Lepas bangun tu langsung bertambah kerisauannya apabila memikirkan betapa teruknya cabaran dalam menangani kecenderungan anak-anak perempuan. Allahuakbar…
Tugas berat menjadi seorang suami dan juga seorang ayah di akhir zaman.
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang berat peranan dan tangguangjawab suami. Pesanan buat para suami dan ayah, jadilah lelaki yang ‘gentleman’ yang berusaha memelihara maruah serta menjaga aurat anak-anak dan isteri.
Datuk Aaron Aziz terkejut & kecewa! Sebelum ini heboh tentang konflik antara keluarga Aaron dan pempengaruh media sosial, Sharina Richiei ianya bermula selepas tular...