Lebih baik setelah berkahwin tumpukan perhatian sepenuhnya pada keluarga, bukannya orang luar yang ada masa senang. Ini tidak dengan orang luar bukan main nampak bahagia, bila balik ke rumah hilang seri di muka.
Seolah-olah isteri dan anak-anak tak penting lagi membebankan. Padahal isteri dan anak-anaklah yang ada di sisi di kala susah dan senang. Bukan kawan-kawan yang menjadi teman melepak.
Ikuti perkongsian Cikgu Nurul Haslinda ini dan hadam baik-baik ya:
Mendapat pasangan yang selalu membantu adalah satu rahmat. Lebih-lebih lagi yang tidak berkira wang, tenaga dan masa. Kesetiaan juga sangat penting di mana ia adalah kekuatan dalam rumah tangga. Berlaku jujurlah supaya tidak terjadinya kecurangan.
Hidup berumah tangga kena selalu bertolak ansur. Jangan pentingkan diri sendiri. Jangan lebihkan orang lain dari keluarga sendiri. Tak semua orang suka tengok sebuah rumah tangga orang lain bahagia.
Walaupun luarannya kita nampak mereka seolah tumpang gembira dengan kebahagiaan kita. Hakikatnya dalam hati hanya Allah yang tahu.
Bila Berkahwin Tumpukan Perhatian Pada Keluarga
Jangan terlalu sombong dalam kehidupan berumah tangga. Tutur katapun jika sedang marah jangan sampai keterlaluan kepada pasangan dan anak-anak.
Kerana walaupun kita mudah sangat melupakan kata-kata kesat kita kepada pasangan dan anak-anak kita namun bagi mereka ianya memberi kesan yang sangat menyakitkan.
Luangkan masa bersama keluarga. Ambil tahu apa masalah dan aktiviti harian mereka.
Jangan sekadar membuat rumah itu tempat persinggahan hanya mandi dan menukar baju sahaja. Selebihnya masa di luar bersama-sama orang lain sehingga lewat malam.
Bayangkan jika Allah takdirkan kita diuji dengan pasangan yang tidak sihat? Sanggupkah kita tinggalkan dia dengan anak-anak kita yang sedang meningkat dewasa? Sedangkan kita bergembira bersama kawan-kawan. Sangat kejam tindakan itu.
Kena ingat! Kita tidak selamanya muda dan kita juga tidak selamanya sihat. Jika kita sakit dan terlantar adakah kawan-kawan kita yang selalu kita luangkan masa itu akan menjaga kita? Tidak sama sekali.
Jangan sombong mengatakan boleh mengupah orang itu, ini boleh menjaga kita sedangkan kita sendiri banyak hutang.
Ambillah peluang yang ada dengan meluangkan masa bersama keluarga. Lebih- lebih lagi anak-anak kita. Ajak solat berjemaah, bersembang bertanya khabar.
Tanya khabar pasangan kita. Mungkin dia juga penat mengurus kerjaya dan rumah. Jangan jadi kejam dan pentingkan diri.
Keluarga Sentiasa Ada Masa Senang & Susah
Mereka inilah yang sentiasa ada di saat susah dan senang kita. Sanggup susah dan senang bersama kita. Bukan kawan-kawan kita! Mereka hanya datang bila kita ni boleh memberi manfaat kepada mereka. Jika tidak, hai hai bye bye lah.
Rugi bagi kita kerana terlalu melebihkan orang lain dari keluarga. Suatu hari nanti pasti kita akan menyesal. Sekarang mungkin tidak rasa lagi. Tunggulah bila anak-anak sudah besar.
Apa yang kita bagi itu yang kita dapat. Hidup dengan kesombongan dan memikirkan diri sendiri sahaja. Sedangkan keluarga kita memendam rasa dan makan hati.
Bila Berkahwin Buat Cara Berkahwin, Ada Keluarga
Oleh itu jika ingin hidup berumah tangga, belajar dulu ilmu tentang rumah tangga. Tumpulah perhatian pada keluarga kerana mereka itu adalah amanah.
Jangan hidup seperti orang bujang. Zaman tu sudah lama berlalu. Kasihan pada pasangan kita.
Sesungguhnya pasangan dan anak-anak inilah amanah Allah pada kita. Kita patut bersyukur Allah beri juga kita keluarga. Berubahlah selagi masa masih ada.
MW: Bersyukurlah dengan pasangan dan anak-anak yang Allah SWT kurniakan, jaga amanah sebaiknya. Hari ini kita mengambil ringan akan amanah yang diberi, di hari tua nanti menyesal tiada berguna.
Kalau isteri selalunya bila dah terlalu penat, akan terkeluar juga keluhan daripada mulutnya. Yang Tak syoknya, bila macam tu, suami tuduh isteri tak ikhlas pulak jalankan tanggungjawab uruskan keluarga. Alahai, bukan tak ikhlas ye. Tapi ada masanya isteri nak luahkan apa yang dia rasa je. Biar suami faham dan kalau ada hati dan perasaan, tolonglah mana yang patut!
Jangan salah faham, semua isteri tahu akan tanggungjawab masing-masing, tak kira yang bekerja atau pun suri rumah sepenuh masa. Sedaya upaya mereka akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk rumah tangga dan keluarga. Kalau tidak, takkan rumah kemas, makanan untuk suami dan anak-anak tersedia, anak-anak elok terjaga. Ha…itu bermakna isteri memberikan komitmen penuh pada urusan rumah tangga.
Bagi isteri yang bekerja, mereka kena bijak uruskan dan bahagikan masa di antara karier dan keluarga. Sebab itu, biasanya isteri yang terkejar-kerjar balik kerja untuk sediakan makan malam. Belum lagi kalau isteri yang kena ambil anak di nurseri dan sekolah dulu. Suami? Ada Yang sanggup bagi alasan kerja OT sebab sebenarnya tak sanggup redah Kesesakan lalu lintas. Sanggup duduk ‘ngopi’ dengan rakan-rakan seopis dulu sementara tunggu jalan ‘clear’. Mengaku tak agaknya ye?
Kalau tengok isteri, 10 minit sebelum waktu kerja tamat, dah tergesa-gesa siapkan kerja kerana tak nak lewat ambil anak dan sampai rumah. Lambat sampai bermakna lambat masak. Nanti lambatlah anak-anak dan suami boleh makan. Nak beli makanan siap, suami tak nak. Katanya tak ada selera makan makanan kedai. Amboi!
Kena ingat, isteri bukan robot. Tekan butang, semua kerja settle. Isteri juga tahu penat hinggakan nak duduk rehat pun tak sempat sehinggalah tiba waktu tidur. Belum lagi kalau ada kerja opis yang belum beres, lepas anak-anak dah tidur, barulah buka laptop untuk sambung buat kerja. Esok pagi sebelum subuh dan bangun. Jadi, dapat tak bayangkan isteri tu penat ke tak agaknya?
Apa salahnya suami ambil sedikit tugas yang isteri buat. Tolong ambil anak di nurseri misalnya. Bila sampai rumah, mandikan anak. Sekurangnya isteri boleh fokus masak. Kemudian, bila makan malam dah siap, tolonglah suapkan anak-anak makan. Ini tak, lepas perut dia kenyang, melenggang ke ruang tamu tengok tv. Isteri pula masih sibuk suap anak makan dan dia sendiri pun belum makan. Tak kasihan agaknya suami pada isteri.
Kalau isteri merungut penat, suami dengar dan biarkan saja. Isteri hanya nak luahkan apa yang dia rasa. Kalau dia tak luahkan pada suami, nak luahkan pada siapa?
Kemudian seeloknya tawarkan diri untuk picit bahu isteri. Tentu lega rasa penat yang sedang dia rasa. Tak percaya? Cubalah.
Pendek kata, isteri merungut bukan dia tak ikhlas, tak reda dan tak suka dengan tanggungjawabnya sebagai isteri dan mak. Tapi kerana dia adalah manusia biasa yang ada masanya akan rasa down. Tentu dia akan luahkan dengan kata-kata. Jadi, suami, tolong fahami kepenatan isteri. Jangan bagi alasan dah penat kerja kerana isteri juga keluar bekerja kan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki kebanyakannya menganggap wang dan rupa dapat menawan hati wanita. Ye ke? Sejauh mana betulnya tu?
Saya diminta untuk berikan komen mengenai isu wanita kini yang rela hidup sendiri sama ada kekal bujang atau menjanda atau menjadi ibu tunggal, hanya kerana si lelaki bukan seorang yang kaya dan berharta. Benarkah?
Realitinya, biarpun wanita sinonim dengan hati yang rapuh, mudah dipujuk rayu dan terlalu cepat melatah emosi; terdapat lima tip utama untuk memenangi hati wanita yang mampu berikan kasih sayang yang ikhlas dan jujur kepada seorang lelaki.
Paling utama; anda perlu menjadi seorang lelaki sejati. Tak perlu tampil gagah perkasa tetapi sejati idaman wanita ialah anda berperwatakan menarik, sedap mata memandang, senang bergaul dan pandai mengambil hati.
Bukan dengan selalu memuji dan bukan juga tak boleh mengeji tetapi berpada-pada. Asasnya; katakan dan luahkan yang benar, bukan menyembunyikan fakta hingga akhir nanti yang dusta mewujudkan duka.
Sejati idaman wanita juga bermaksud anda mampu menjadi ketua; bukan mengarah itu ini sebaliknya ketua yang mampu melindungi. Fitrah wanita ingin dijaga kebajikan dirinya dan bukan dia yang perlu menjaga.
Wanita juga ingin didominasi oleh lelaki; bukan wanita yang perlu tentukan segala keputusan sehari-hari tetapi didominasi lelaki bukan sampai hak wanita untuk bersuara dikesampingkan. Lantaran, lelaki sejati idaman wanita ialah mampu bertoleransi, bersikap terbuka dan boleh menerima pendapat dan saranan daripada wanita juga.
Bukan saja lelaki, wanita juga tidak suka ditipu dan didusta. Ramai lelaki bersikap menipu tanpa niat atau ayat lebih hormat; bohong sunat. Elakkan bohong sunat ini tetapi secara berhikmah, ucapkanlah kebenaran. Biar kenyataan itu terlalu pahit; nyatakanlah ia kerana wanita boleh memaafkan kesilapan dan keterlanjuran tetapi takkan mudah menerima dan memaafkan sebuah penipuan dan pendustaan. Lantas, duhai lelaki, sentiasalah amalkan sikap jujur dan berterus terang.
Dalam hubungan perkahwinan; ramai suami yang tidak ambil berat isu berkata benar ini. Ramai yang memegang prinsip; daripada katakan yang benar boleh lukakan hati, biarlah berbohong sedikit. Masalah akan jadi lebih besar bila isteri mengetahui tentang pembohongan tersebut. Isteri sukar terima penipuan untuk menjaga hati sebab isteri percaya; jika suami benar ikhlas dan sayang; suami perlu berterus terang.
Sama juga dalam isu khianat kasih; bila si suami mempunyai orang ketiga. Isteri yang mengetahui secara tulus daripada si suami akan lebih bersedia memujuk hati dan menerima hasrat suami berbanding suami yang menduakan dirinya dalam diam.
Wanita akan mengenepikan rupa, pangkat atau harta sekiranya bertemu lelaki yang mengambil berat dan prihatin terhadap dirinya. Keprihatinan seorang lelaki akan membuatkan wanita rasa dihargai. Ambil berat tentang kesihatannya, emosinya, ujian kehidupannya, perkara kegemarannya malah cerita-cerita kelakarnya. Dia tak perlukan nasihat bagai kaunselor tetapi memadailah anda meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan hatinya.
Wanita ideal tidak dambakan hadiah berharga tetapi memadailah apabila hari-hari penting dalam hidupnya diingati. Ingatan anda cukup membuktikan anda mengambil berat dan prihatin.
Wanita ingin sentiasa didampingi; bukan berdampingan dari aspek fizikal semata-mata tetapi dampingi wanita secara emosi. Sentiasalah bertanya khabar dan jangan biarkan dirinya tertunggu-tunggu jawapan khabar daripada anda. Penantian tanpa sebarang maklumbalas daripada lelaki boleh membuatkan wanita beranggapan dirinya tidak diperlukan lagi.
Komunikasi unggul yang perlu dipraktikkan sebagai jaminan hati wanita ditakluki ialah wujudkan komunikasi tanpa batas iaitu sering berhubung walau sekadar satu mesej ringkas menanyakan khabar; juga sentiasa berterus terang – jika keadaan tidak izinkan untuk berbicara panjang, cukup sekadar maklumkan anda akan hubunginya sedikit masa lagi kerana tika itu, anda perlu lakukan sesuatu yang lebih penting.
Wanita suka dimanja tetapi bukan terlalu dimanjakan. Wanita suka diberikan kepercayaan dan kebebasan tetapi berpada-pada. Kepercayaan dan kebebasan tanpa batas boleh buatkan wanita merasakan dirinya tidak diperlukan.
Wanita sanggup melakukan apa saja atas nama cinta. Paling penting, terima dia seadanya. Jika ada kekurangan dirinya yang boleh diubah, lafazkan dengan penuh hikmah; bukan mencerca tetapi sebagai mendidik ke arah yang lebih baik.
Wanita sanggup berusaha sedaya upaya jika anda boleh menerima dirinya seadanya dan lakukan sedikit perubahan demi kebaikan bersama. Wanita tidak suka dibandingkan dengan wanita lain. Lantas, dalam usaha mendidik, jangan bandingkan dia dengan orang lain walau dengan ibu atau saudaranya sendiri.
Jika anda sanggup menerima wanita pilihan anda seadanya, anda akan jadi manusia paling bahagia dalam menjalani kehidupan ini, insya-Allah.
Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Kaunseling Keluarga Dan Syariah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nak anak berjaya, mak ayah turut main peranan besar. Mengapakah penting untuk kita menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak? Jawapannya, kerana kita adalah persekitaran yang terhampir dan paling dipercayai oleh anak-anak kita.
Apa sahaja tingkah laku dan pemikiran yang kita tunjukkan akan meresap ke dalam kehidupannya. Dia juga akan mempunyai pemikiran, perasaan dan tindakan yang sama atau hampir sama. Jadi sudah tentu kita nak anak-anak kita menjadi anak-anak yang baik dan memberi manfaat kepada semua orang.
Oleh yang demikian, kita terlebih dahulu harus memiliki pemikiran, perasaan dan tindakan yang sama sebagaimana yang kita harapkan kepada anak-anak kita. Ini kerana apa yang kita fikir dan rasa akan amat mempengaruhi apa yang kita bakal lakukan.
Pendek kata, setiap hasrat yang kita impikan untuk anak-anak harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan kita terlebih dahulu kerana persekitaran yang kita bina melalui tindakan kita dan keluarga itulah yang lebih hebat mempengaruhi tindakan anak-anak kita.
Contohnya, jika kita ingin melihat anak-anak rajin solat berjemaah, sudah pasti ia tidak hanya boleh melekat dalam dirinya dengan arahan dan kata-kata kita sahaja tanpa melihat dan merasai keseronokan solat berjemaah iaitu dengan pengalaman solat berjemaah yang dirasakan di rumah di samping ibu bapanya dan juga di masjid atau surau bersama jemaah yang lebih besar. Justeru, perkara itu haruslah dimulakan dan dicetuskan oleh kita terlebih dahulu selaku persekitaran anak-anak yang paling hampir.
Begitu juga jika kita inginkan anak-anak menjadi baik tutur bicaranya. Harus juga dimulakan daripada kita ibu bapanya. Cara kita bercakap dan cara kita memberikan reaksi terhadap sesuatu perkara semuanya itu dilihat dan masuk ke dalam minda bawah sedar mereka untuk diprogramkan.
Program ini akan dilancarkan secara semula jadi apabila wujud senario yang sama atau hampir sama dalam kehidupan mereka. Contohnya, jika anak-anak melihat, ibu sentiasa memberikan reaksi yang positif terhadap setiap isu yang dibangkitkan oleh ayah. Maka apabila dalam kehidupan anak, ada orang yang membangkitkan isu, dia juga akan memberikan reaksi yang positif juga sebagaimana yang telah dirakam daripada tindakan ibunya. Sudah pasti begitu juga sebaliknya.
Selain daripada itu, kita harus melihat kecenderungan anak-anak untuk memberikan dorongan dan menyediakan platform yang terbaik buat diri mereka. Hasrat yang kita impikan untuk mereka haruslah sesuai dengan kemampuan dan kekuatan yang dimiliki.
Kecenderungan mereka harus diraikan agar mereka rasa dihargai dan terpandu. Anak-anak yang masih kecil mungkin tidak dapat menyatakan apa yang mereka suka lakukan dan minat mereka secara jelas, namun selaku ibu bapa kita harus mengamati dan dapat memberikan mereka beberapa cadangan agar mereka dapat melihat kebolehan dan potensi yang ada pada diri mereka.
Di sinilah peranan kita untuk memberikan dorongan dan menggilap bakat mereka yang terpendam agar ia boleh ditonjolkan dan melatih anak untuk lebih berkeyakinan. Kadang-kadang mereka meminati sesuatu, namun tidak tahu bagaimana harus menonjolkannya dan ke mana harus di bawa minat itu.
Contohnya, anak-anak cekap menghafaz sesuatu, daripada kelebihan itu, kita boleh mendorongnya untuk menghafaz ayat-ayat suci al-Quran dengan menghantarnya ke kelas-kelas hafazan al-Quran, mengalakkannya mendengar CD al-Quran dan melibatkan diri untuk menjadi pentasmik (mendengar hafazan) anak.
Begitu juga dengan kebolehan yang lain. Saya pasti dengan sedikit masa yang kita peruntukan untuk bersama mereka kita dapat pastikan minat dan kecenderungan anak-anak kita, insya-Allah.
Akhirnya, ia amat penting untuk kita tidak hanya berharap kerana kita akan kecewa. Kita harus melakukan tindakan agar perancangan mencapai hasrat itu dapat dirasakan. Jika tidak berjaya sekali pun, usaha dan pengalaman yang mereka lalui sepanjang tempoh tersebut sudah pasti menjadi mutiara-mutiara indah yang membentuk jati diri mereka. Wallahuallam.
Artikel: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Opah Strawberi tampil memohon maaf selepas tular isu membalas komen netizen dengan perkataan kasar. Usahawan terkenal itu mengakui kesilapan dan berjanji lebih berhati-hati dalam komunikasi selepas ini.