Apabila bergelar seorang isteri dan ibu, tidak dinafikan kita inginkan rumahtangga dan anak-anak segalanya diuruskan dengan sempurna. Adakala apabila terlalu inginkan ‘kesempurnaan’ itu, segalanya ingin diuruskan seorang diri tanpa mengharapkan bantuan. Ia membuatkan diri sendiri rasa cukup penat dan lelah.
Kesannya, mulalah diri rasa tertekan, jiwa terbit kemurungan dan hilang kebahagiaan dalam diri demi memastikan segalanya memenuhi kesempurnaan yang diinginkan.
Jika mak-mak mempunyai sikap begini, seeloknya hentikanlah. Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Jemput hayati perkongsian nukilan oleh Puan Najibah Mustaffa ini;
Selalu kita dengar orang cakap, bila perempuan ini pandai serba serbi. Untunglah suami dan anak-anaknya. Bahagialah keluarganya. Pandai memasak sedap, hebat mengemas, menghias rumah, berdandan berhias pun tak kalah. Didik anak-anak pun mantap. Cantik pulak tu. Ewah.
Saya pun di awal perkahwinan cuba untuk jadi begitu. Anak seorang OK lagi, masa tu boleh je buat sendiri semua. Hatta kalau gas habis pun, boleh je pergi kedai beli dan angkat masuk rumah. Haha dia punya power.
Bukan suami tak tolong, diri sendiri yang tak pandai minta tolong. Sebabnya acah acah mahu jadi sempurna semuanya. Terbiasa berdikari pun sama. Rumah mesti kemas, kain mesti berlipat, baju kerja suami siap bergosok, makan minum siap hidang terjaga semuanya. Masak tu mesti meriah lauk. Ewah lah sangat.
Bila anak sudah bertambah, dari satu jadi dua, tiga dan kini empat. Lama kelamaan, badan jadi sangat penat. Usia pun semakin meningkat. 4 tahun sahaja lagi nak cecah 40 tahun. Sakit pun dah terasa sana sini.
Tambah lagi bila saya mula berniaga. Mana nak tengok WhatsApp, coaching team, pantau outlet, guide staf, buat marketing, bla bla dengan senarainya yang panjang.
Penat.
Ads
Fasa Penat
Perempuan bila tenang gembira dia sangat comel macam teddy bear atau hello kitty. Tapi bila penat dia akan jadi orang lain. Kadang tu singa, harimau, hantu kak limah segala.
Saya pernah lalui fasa penat dan tertekan ini selepas melahirkan anak keempat. Dengan dia susah nak tidur, nak menyusu sahaja. Melekat dengan ibu. Tak boleh langsung ibu jauh. Masa tu saya tak rasa seronok pun duduk rumah sendiri. Tak rasa kasih pun tengok suami dan anak-anak. Serabut.
Sebabnya? Penat. Penat ni boleh jadi pintu masuk Syaitan hasut itu ini. Mengeluh, mengungkit, sedih, kecewa bla bla yang negatif. Bila penat solat pun tak khusyuk. Huhu.
Mujurlah saya tersedar yang ini bukan kehidupan yang saya cari. Saya tak boleh biar berterusan dengan penat. Cari ilmu, baca perkongsian di FB.
Berhenti Jadi Sempurna
Tahulah saya jawapannya. Saya perlu berhenti jadi sempurna. Hanya perlu jadi bahagia. Saya perlu mula belajar minta tolong ahli keluarga dan orang lain.
Ads
Seminggu sekali saya ambil bibik. Dia kemas rumah, lipat kain, tukar cadar, kadang tu basuh langsir, sental tandas, mop lantai semua. Complete satu rumah dikemas.
Hari hari lainnya saya mengemas 2 kali sehari sahaja. Pagi sebelum anak bangun, petang sebelum Maghrib. Kemas pun sekadar pastikan rumah tidak berselerak sangat sebab ada anak anak kecil yang suka bawa mainan sana sini, lantai disapu, dan dapur bersih dari pinggan mangkuk tak berbasuh dan sampah.
Kain baju berbakul, kalau larat dan sempat, lipat. Kalau tak pejam mata tunggu bibik datang minggu depan.
Saya selalu sahaja sebut kepada suami dan anak-anak, ibu penat, ibu nak rehat. Tak mahu paksa diri berlebihan.
Yang saya jaga sangat hanyalah makan minum keluarga. Memang memasak 2-3 kali sehari. Itupun ringkas sahaja. Ada karbo, protein, sayur cukup. Syukur yang penting kenyang. Sebab saya selalu percaya, masakan mengikat kasih sayang keluarga dengan sangat indah. Ada juga lah hari beli je lauk bila tak sempat atau tak ada bahan basah dalam peti. Hihi.
Ads
Malam malam berehat sahaja. Bergolek dengar cerita anak-anak.
Pilih Untuk Bahagia
Sudah tua tua begini. Saya mahu lebih masa untuk tambah ilmu, baiki ibadah. Mahu lama lama di tikar sejadah, mahu tadabbur alquran, mahu baca buku banyak-banyak dan buat apa yang menggembirakan.
Benar, khidmat kepada rumahtangga adalah medan pahala. Namun janganlah sampai menekan diri. Ramai ibu hari ini tertekan. Bacalah banyak kisah yang berlegar di media sosial.
Kita pilih untuk bahagia dulu. Barulah semuanya terlihat sempurna pada mata kita. Walaupun tidak pada mata orang lain.
Dan para suami, bantulah isteri anda bahagia dengan kurangkan rasa penatnya. Sebab bila ibu gembira dan bahagia, seisi keluarganya turut berbahagia.
Najibah Mustaffa
Catatan sementara tidurkan anak.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita.Berhentilah jadi isteri dan ibu yang sempurna,sebaliknya pilihlah untuk bahagiakan diri sendiri dahulu.
Suami ‘nampak’ isteri dah tak cantik macam sebelum kahwin. Dalam sesebuah rumah tangga, persepsi terhadap pasangan boleh berubah seiring masa. Salah satu isu yang sering timbul, tetapi jarang dibincangkan secara terbuka, ialah apabila seorang suami merasakan isterinya sudah tidak secantik dahulu, seperti sebelum perkahwinan.
Suami ‘Nampak’ Isteri Dah Tak Cantik Macam Sebelum Kahwin
Kenapa perkara ini berlaku, dan apa sebenarnya yang tersirat di sebaliknya? Mari kita fahami isu ini dari sudut pandang rumah tangga – bukan sekadar fizikal, tetapi emosi, tanggungjawab, dan komunikasi.
1. Perubahan Fizikal Adalah Realiti, Bukan Kecacatan
Selepas berkahwin – lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak – tubuh wanita mengalami banyak perubahan. Badan yang dahulu ramping mungkin menjadi lebih berisi, kulit tidak lagi tegang seperti dulu, dan wajah mungkin kelihatan lebih letih. Namun, perubahan ini bukan kerana isteri “mengabaikan diri” tetapi kerana tubuhnya telah melalui perjalanan panjang: mengandung, melahirkan, berjaga malam, menyusukan anak, mengurus rumah dan suami.
Kecantikan sebenar isteri selepas kahwin bukanlah terletak pada rupa semata-mata, tetapi pada pengorbanan yang dia lakukan setiap hari.
2. Kecantikan Itu Subjektif – Tapi Penghargaan Itu Objektif
Apa yang suami rasa bukan semata-mata tentang rupa. Kadang-kadang, rasa isteri dah tak cantik itu datang dari hati yang mulai jauh. Jika hubungan suami isteri renggang, komunikasi berkurang, atau masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, kasih sayang boleh pudar – dan ini akan menjejaskan bagaimana seseorang melihat pasangannya.
Dalam keadaan begini, bukan rupa isteri yang berubah, tetapi cara suami melihat isteri itu sudah tidak sama. Bila hati tidak lagi menghargai, mata pun hilang kemampuan untuk melihat kecantikan yang masih ada.
3. Media Sosial Dan Standard Kecantikan Tidak Realistik
Zaman sekarang, kita dihujani imej wanita sempurna di media sosial: tubuh langsing, kulit flawless, sentiasa tersenyum dan bergaya. Tanpa sedar, suami mungkin mula membandingkan isterinya dengan wanita-wanita ini – walaupun realitinya gambar-gambar itu melalui banyak lapisan edit, filter, dan bukan mencerminkan kehidupan sebenar.
Perbandingan yang tidak adil ini membuatkan suami lupa siapa isterinya yang sebenar: wanita yang bangun setiap pagi, berkorban untuk keluarga, dan menyayangi tanpa syarat.
4. Isteri Pun Perlukan Ruang Untuk Menjaga Diri
Dalam rumah tangga, sering kali isteri terlalu fokus pada tanggungjawab, sampai tiada masa untuk diri sendiri. Bila suami tidak membantu atau tidak menghargai, isteri makin tertekan dan hilang semangat untuk menjaga penampilan.
Jika suami ingin melihat isteri “seperti dulu”, mungkin dia juga perlu bertanya: Adakah aku memberi dia ruang untuk menjadi dirinya semula? Adakah aku menyokong, membantu, dan menyayangi dia sebagaimana aku pernah lakukan dulu?
5. Kembali Kepada Asas – Cinta Dan Kasih Sayang
Perkahwinan bukan hanya tentang rupa paras, tetapi tentang cinta yang matang, kasih sayang yang ikhlas, dan saling menghormati. Jika suami rasa isteri dah tak cantik, mungkin sudah tiba masa untuk membuka mata hati, bukan sekadar mata zahir.
Cantik itu akan luntur, tetapi kasih sayang yang dijaga – itulah yang akan membuatkan pasangan tetap memandang satu sama lain dengan cinta, walau rambut sudah beruban dan kulit sudah berkedut.
Perasaan suami bahawa isteri sudah “tak cantik” mungkin satu isyarat bahawa hubungan itu perlukan perhatian. Ia bukan salah isteri semata-mata. Dalam rumah tangga, kecantikan bukan sekadar apa yang dilihat, tetapi apa yang dirasai – dan apa yang dipelihara bersama.
Mungkin soalan sebenar yang patut ditanya oleh suami bukanlah “kenapa isteri dah tak cantik?”, tetapi “apa yang aku dah lupa tentang dia yang dulu aku cintai?”
Ada isteri jadi makan hati sebab bertahun kahwin, suami tetap tak nak bantu buat kerja rumah. Bukan minta suami buat semua, dapat bantu sikit-sikit pun jadilah. Bukan bab kerja rumah saja, dalam hal-hal lain misalnya duit belanja pun kadang isteri segan nak minta. Lagi-lagi bila suami seorang yang bekerja.
Tapi, bila isteri tak luah. Pendam sendirian, manalah suami nak tahu isi hati isteri itu. Sebab itulah, suami ini, Eddie Dieana sarankan agar isteri belajar berterus terang dengan suami. Nanti mudah suami nak faham.
Isteri Kena Luah, Berterus Terang Dengan Suaminya
Kepada isteri dan bakal isteri di luar sana.
Selalu lah berterus terang tentang apa yang anda inginkan.
Kerana tak semua lelaki mampu untuk memahami segala kehendak wanita dan hanya sesetengah lelaki sahaja yang betul-betul niat nak cuba fahami hati wanita..
contoh anda tengah penat dan mengharapkan suami anda bantu.
Anda perlu luah.
Jangan diam.
Sebab lelaki ni dia tak sensitif.
Melainkan diketuk macam paku.
Baru dia bergerak sikit.
Kalau ada yang faham pun saya boleh kira dengan jari.
Mostly mereka beranggapan mereka dah keluar pergi kerja.
Mereka dah berkorban segalanya dalam keluarga.
Tapi mereka tak sedar yang isteri lebih penat sebab kerja 24 jam tanpa gaji uruskan rumah.
Kalau Nak Minta Suami Bantu, Cakap Elok-elok
Dan kalau nak minta bantu tu, cakap elok-elok.
Jangan sindir-sindir. Sebab laki ni dia ada ego dia jugak.
Cakap elok-elok. Contohnya:-
“Abang, tolong saya buatkan susu anak..Saya nak masak ni.”
Bukan dengan menyindir seperti,
“Abang ni apa pun tak boleh nak tolong, tolonglah sikit-sikit ini tak asyik main handphone je.”
Bila ayat macam ni automatik orang laki tak suka.
Satu lagi.
Banyakkan berkomunikasi di rumah.
Komunikasi adalah elemen paling penting dalam rumah tangga.
Terutama ketika bersama di bilik.
Luahkan segala apa yang terpendam.
Jangan disimpan.
Agar suami anda tahu apa peranan lelaki dan apa yang bisa membuatkan anda bahagia.
Saya suka luangkan masa untuk mendengar apa sahaja luahan hati isteri saya.
sebab dengan mendengar luahan hatinya setiap hari.
Hubungan kami akan jadi lebih akrab.
Saya akan lebih memahami isi hati wanita dan setiap apa yang saya tulis di FB saya itu adalah apa yang saya dapat belajar dari seorang wanita.
Walaupun saya bukan lah lelaki handsome dan kaya.
tapi sekurang-kurangnya saya cuba jadi yang
terbaik di depan mata isteri saya.
MW : Ramai sebenarnya isteri yang pendam keinginannya dalam hati. Tak terluah.. sebab mungkin fikir luah pun belum tentu suami nak dengar.. jadi, beranilah belajar berterus terang.
Sesungguhnya Allah sebaik perancang ya mak ayah. Apabila sesuatu yang kita harapkan belum tertunai, jangan bersedih hati.
Sebab Dia sudah sediakan jalan terbaik untuk kita tempuh. Inilah yang dilalui ibu anak 4, Azura Abdullah. Bila mana anak ketiganya, Irsyad disahkan Sindrom Nefrotik.
Dan Irsyadlah satu-satunya harapan untuk ibu ini melihat anak menjejak kaki ke sekolah berasrama. Sayangnya, bukan itu ketentuanNya. Awalnya ibu ini sedih, sehingga Allah nampakkan hikmah yang dia tak lihat sebelum ini.
Dalam Diam Harapkan Irsyad Masuk Sekolah Berasrama
Saya ada terbaca debate bab sekolah berasrama penuh, MRSM dan sekolah harian yang melintas di timeline saya. Saya nak share sedikit pengalaman sendiri bab ni.
Pada Januari 2016 anak saya Irsyad disahkan mengidap Sindrom Nefrotik (kebocoran protein pada buah pinggang). Pada tahun ini juga Irsyad menduduki peperiksaan UPSR.
Dalam diam saya ada juga meletakkan harapan untuk Irsyad masuk ke sekolah berasrama kerana saya sendiri adalah produk sekolah berasrama.
Saya dapat lihat banyak manfaatnya dalam membina sahsiah diri dengan tinggal di asrama sekolah terpilih. Seperkara lagi harapan saya dalam diam itu barangkali kerana anak pertama dan kedua juga tidak bersekolah di sekolah berasrama.
Irfan berkeras tidak mahu mohon mana-mana sekolah berasrama selepas mendapat 7A peperiksaan PT3 kerana risaukan saya dengan keadaan kesihatan Abahnya tidak menentu.
MekNa memang awal-awal lagi tak mahu ke mana-mana, dok asrama tak boleh lepas gian buat kek katanya. Saya seolah-olah mahukan hasrat saya dipenuhi oleh anak ketiga pula iaitu Irsyad.
Anak Ketiga Ini Kerap Kali Keluar Masuk Hospital
Walaubagaimanapun semakin hari harapan saya semakin pudar. Irsyad begitu kerap keluar masuk hospital, sebanyak 6 kali pada tahun 2016 dan minima 2 minggu setiap kalinya.
Irsyad banyak terlepas kelas. 2 minggu sebelum peperiksaan UPSR Irsyad masih di wad Hospital USM.
Secara automatiknya saya tidak lagi meletakkan harapan. Semuanya sudah berubah. Apa yang penting ketika itu ialah kesihatan dahulu.
Saya beritahu Irsyad perkara yang sama juga. Kesihatan dahulu. Saya tidak mahu Irsyad bimbang hingga menjejaskan kesihatannya.
Keputusan peperiksaan UPSR keluar. Irsyad mendapat 5A1B. Tak terkata saya. Terkejut juga. Alhamdulillah. Guru-guru juga teruja kerana Irsyad terlalu banyak ketinggalan kelas.
Irsyad kemudiannya mendapat tawaran ke Sekolah Menengah Sains Machang dan temuduga ke MRSM Besut, kedua-duanya sekolah berasrama penuh.
Ianya ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Impian saya bakal menjadi nyata. Kami membuat keputusan untuk menerima tawaran ke SM Sains Machang dan persiapan dibuat.
Sekolah pula 10 minit sahaja dari rumah. Saya dah siap plan, setiap hari Jumaat akan bawa bekal makanan dan berjumpa Irsyad waktu Irsyad solat Jumaat di masjid berdekatan.
Perancangan kita adalah baik, tetapi perancangan Tuhan sentiasa yang terbaik.
Alami Pula Komplikasi Buah Pinggang
Beberapa hari sebelum hari melapur diri, Irsyad buat kali keenamnya pada tahun tersebut dimasukkan ke hospital lagi akibat komplikasi pada buah pinggang.
Doktor Pakar Nefro menyatakan rasa bimbang jika saya teruskan dengan perancangan saya untuk masukkan Irsyad ke sekolah berasrama penuh.
Diet Irsyad sukar dijaga. Antibodi Irsyad yang agak lemah akibat pengambilan steroid membuatkan risiko Irsyad mudah jatuh sakit adalah tinggi. Jadual asrama pula padat.
Saya akhirnya akur dengan nasihat doktor. Saya percaya Allah swt pasti ada aturanNya yang tersendiri yang saya tidak nampak. Redah sajalah.
Irsyad saya masukkan ke sekolah pilihan bersesuaian dengan keputusannya iaitu SMK Agama Wataniah Machang yang membenarkan pelajar duduk di rumah. Boleh tahan juga jaraknya dari rumah, 20 minit memandu. Kesihatan Irsyad semakin stabil, alhamdulillah.
Pada tahun berikutnya, Ogos 2017, suami saya diserang strok buat kali kelima dan memerlukan jagaan sepenuhnya dari penjaga.
Bulan April 2018 pula, anak sulung saya Irfan menerima tawaran belajar di Kolej Universiti Perubatan Antarabangsa Pusrawi dalam jurusan Sains Perubatan.
Fahamlah saya aturanNya.
Rupanya Allah Atur Dia Jadi Peneman Abah Ke Hospital
Kini Irsyadlah antara semangat saya di rumah menggantikan abangnya yang jauh di Kuala Lumpur. Irsyad bergilir dengan kakaknya MekNa dan adiknya Si Kenit menjaga Abah mereka di rumah dan juga bergilir mengambil cuti menemani saya membawa Abah mereka ke hospital untuk temujanji doktor.
Saya tidak dapat melakukannya sendirian kerana suami saya mempunyai impak mental dan penglihatan. Nak parking kereta, nak turunkan suami dan wheelchair dari kereta, nak ambil ubat, nak ke tandas dan sebagainya saya perlukan pembantu.
Anak-anaklah yang menjadi kekuatan saya. Ilmu kehidupan yang mereka kutip sekarang di rumah juga tidak kurang mahalnya untuk menjadikan mereka manusia yang menjadi, bukan ukuran akademik semata-mata.
Kadang-kadang kita terlalu merancang dan bimbang hingga lupa untuk live the present moment. InsyaAllah ada manisnya setiap kejadian jika dipandang dengan penuh hikmah. Jika negatif sahaja yang kita cari, negatif jugalah yang kita temui.
Tuhan beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita mahu.
MekZurots
Sumber/Foto : Azura Abdullah, www.mekzurots.com , redah sajalah Allah ada
Maklumah : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.