‘Berharganya Satu Rim A4 Bagi Guru..’ Ini Senarai Hadiah Relevan Kegunaan Kelas Anak

Mak ayah yang nak ke sekolah untuk dapatkan result anak, Guru Bimbingan dan Keunseling, Kementerian Pelajaran Malaysia, Abdul Muiez Ruslee ini beri cadangan. Agar hadiahkan antaranya rim A4 pada pihak sekolah untuk kegunaan kelas anak-anak.

Dan ada juga senarai hadiah lain yang mak ayah tak terfikir pun nak beli. Rupanya benda-benda sebegini penting untuk kelas anak-anak kita. Kalau mak ayah memberi secara berjemaah, tentu hasilnya lebih baik untuk kelas anak mak ayah.

Betapa Berharganya Satu Rim A4 Bagi Guru Guru

Minggu lepas, saya telah menghadiri majlis temu mesra di sekolah anak. Sebelum pergi, isteri sempat berpesan. “Abang. Belilah kertas A4 dua rim. Bagi dekat guru kelas anak-anak kita.”

Pada awalnya, rasa malas pula nak singgah kedai bagai. Ya lah. Setakat 2 rim, apa sangatlah yang boleh dibantu. Agaknya mereka pun tak kisah dengan 2 rim tu. Celah gigi saja. Tapi memikirkan biar sedikit daripada tak ada, saya beli jugalah.

Bila saya serahkan kertas A4 itu kepada guru kelas anak-anak saya, masyaAllah, betapa cerianya wajah mereka. Senyuman menggula. Tak henti-henti ucapan terima kasih meluncur daripada mulut mereka.

Baru saya sedar, betapa berharganya satu rim A4 bagi guru-guru.

IKLAN

 

‘Berharganya Satu Rim A4 Bagi Guru..’ Ini Senarai Hadiah Relevan Kegunaan Kelas Anak
Nah. Kalau nak beli kertas A4, Tesco tengah buat jualan murah.

Cadangan Senarai Hadiah Untuk Guru Kelas Anak Anda

Kepada rakan-rakan yang akan menghadiri majlis temu mesra dengan guru kelas anak masing-masing, saya nak cadangkan beberapa barangan yang boleh kalian beli sebagai hadiah kepada pihak sekolah ataupun untuk kegunaan kelas anak kalian.

1. Kertas A4

Penggunaan kertas A4 sangat kritikal di sekolah. Banyak benda yang perlu dicetak. Terutamanya kertas soalan peperiksaan, ujian mahupun kerja rumah. Semasa ibu saya berkerja dahulu, katanya di sekolah beliau, kertas A4 selori dihantar oleh pembekal. Itu pun masih tak cukup. Jadi, 1 rim kertas A4 yang kita sumbangkan, saya yakin, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban sekolah.

IKLAN

2. Pen Marker

Kalau kalian rasa kertas A4 itu mampu mengancam kemusnahan pokok di dunia, kalian boleh cuba beri pen marker. Pen marker itu diletak di dalam kelas, kemudian akan diguna oleh semua guru yang mengajar. Saya biasa mendapat jadual guru ganti untuk masuk ke kelas. Antara kelemahan saya ialah selalu terlupa membawa pen marker. Terpaksalah guna pelajar punya. Kalau ada pen marker wakaf, sekurang-kurangnya dapat membantu guru pelupa macam saya.

3. Pemadam Pen Marker

Bila dah ada pen marker, seeloknya berikan sekali pemadamnya. Senang.

4. Penyapu

Selain itu, kalian juga boleh hadiahkan penyapu. Memang sekolah ada sediakan penyapu untuk setiap kelas. Tapi hanya pada awal tahun saja. Bila dah masuk bulan 4 atau 5, biasanya penyapu dah hilang. Kelas lain rembat. Kalau tak hilang pun, penyapu tu dah berbentuk misai. Bila menyapu, bahagian tepi sahaja yang bersih. Tengah dah berlubang.

IKLAN

5. Penyodok

Oh ya. Pasangan penyapu ialah penyodok. Disebabkan penyodok ini diperbuat daripada plastik, jangka hayatnya biasa tak lama. Sama ada pecah atau sudah tak sempurna. Kena rembat dengan kelas sebelah pun satu hal juga. Macam mana penyodok boleh pecah? Sebab, budak-budak perempuan akan jadikan senjata untuk serang budak lelaki yang sering mengacau mereka. Dikejarnya budak tu dengan penyodok. Tak dapat, dibaling pula benda alah tu. Mana tak pecahnya.

6. Stapler Gun

Ini juga antara barangan hot yang kerap dipinjam. Masalahnya ialah, bila pinjam tak reti nak pulang. Jadi, selalu hilang. Apa kata mak ayah bagi satu stapler gun untuk kelas. Senang.

Rasanya, itu saja kot barang yang relevan untuk dihadiahkan kepada guru kelas anak kita. Alah, berapa sen sangat pun. Kan?

Teringat kisah burung kecil yang membawa air dalam paruh kecil untuk memadam api yang membakar Nabi Ibrahim. Allah tak lihat berapa banyak yang boleh kita sumbang, tapi Allah nak tengok apa yang kita dah buat. Hasilnya bukan manusia yang tentukan, semuanya kembali kepada iradat Allah jua.

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI