Berat Manapun Konflik, Ini Sebab Tak Boleh Kongsi Masalah Rumah Tangga Di Media Sosial!

Dalam membina rumah tangga bahagia, pancaroba pasti akan datang sebagai pengacau. Ia akan mengasak sama ada dari luar atau dalam rumah tangga itu sendiri.

Tugas si pengacau ini adalah untuk menguji iman pasangan, sejauh mana mereka mampu bertahan atau menyerah kalah sebelum usaha yang sebenar-benarnya dilakukan.

Saya percaya, dalam arus dunia makin menekan dan zaman dunia tanpa sempadan ini, dugaan dan pancarobanya makin mengganas. Ia tidak seperti era 20 tahun lalu.

Hari ini, orang boleh melenyapkan keutuhan rumah tangga hanya melalui hujung jari. Hati pasangan mudah rapuh jika tersilap melayan keyboard atau papan kekunci.

Sekarang ini setiap kali menghadiri majlis-majlis perkahwinan pasangan muda, di dalam hati saya berdoa dengan sesungguhnya, agar rumah tangga yang dilayari mereka akan kekal bahagia.

Agar mereka mampu mempertahankan diri daripada sebarang ancaman dalam rumah tangga dengan hati yang dingin dan fikiran matang. Ini kerana usahkan rumah tangga pasangan muda, rumah tangga pasangan yang sudah didirikan lebih dari 15 tahun kuat digoda cabaran.

Mengadu Masalah Di Ruang Terbuka, Seolah Membuka Ruang Terima Pendapat Yang Salah

Kalau dulu kita jarang mendengar rumah tangga pasangan berusia hancur di tengah jalan, tetapi hari ini ia sudah jadi biasa, walaupun mereka bukan daripada golongan pasangan popular.

Hati yang mudah terjebak, adalah punca segala masalah. Selalu mengadu masalah pada ruang terbuka, membuka ruang untuk mereka mudah menerima pendapat yang keliru sehingga masing-masing lebih banyak menggunakan emosi dalam pertimbangkan urusan rumah tangga.

Memberi ruang orang lain menjadi juri pada rumah tangga sendiri akan mengundangkan petaka jika juri itu juga jenis orang yang sukar mengawal perasaan dan tidak mampu membendung emosi pada sesuatu perkara. Ada yang menjadikan diri mereka sebagai contoh sebuah ketidakadilan dalam rumah tangga.

Saya pernah diberitahu oleh seorang wanita lewat 30-an, dia menggadaikan masa depan rumah tangganya di tempat yang salah apabila sudah tidak mampu menahan hati oleh sebab kecurangan suami dan campur tangan ipar duai.

Emosi pemberi nasihat mempengaruhi dirinya sehingga dia mengambil keputusan meninggalkan suami dan memfailkan perceraian, sedangkan masalahnya masih boleh diperbaiki kerana terbukti suaminya masih sayangkan dirinya dan rumah tangga mereka.

IKLAN

Jiwa sedang kacau ini, jangan dibelenggu lagi dengan asakan atau campur tangan orang lain, jika mahu perbaiki keadaan.

Bila Duit Dah Banyak, Cari Perempuan Lain

Seorang wanita lain pula bercerita, dia terpaksa mencari `ubat guna-guna’ untuk menjinakkan suami yang semakin liar bila poket sudah penuh kerana projek yang dijalankan mencapai kejayaan.

“Bila duit dah banyak, cari perempuan lain lebih cantik dan muda. Masa susah dulu, akulah yang dikepit. Ke sana sini bersama, mencari pinjaman bank dan pinjaman orang persendirian.

“Rumah kami yang sebuah dan tanah sekangkang kera itulah dijadikan jaminan. Bila dah berjaya dan maju, aku dah tak boleh ikut ke sana sini lagi. Suruh duduk rumah jaga anak-anak dan jaga rumah tangga je.

“Dia keluar kononnya dengan pembantu, last-last ada skandal… Awak rasa patut ke dia buat macam tu?”

Jujurnya, saya rasa memang tak patut si suami buat hal macam tu. Masa susah bersama isteri, bila dah senang cari pula orang lain.

IKLAN

Tapi gunakan ubat guna-guna untuk tundukkan suami pun salah juga kerana selain dilarang di sisi agama, ia juga belum tentu menjamin kebahagiaan dapat dicipta semula tanpa keredhaan.

Mempercayai ubat guna-guna mampu `membeli’ semula kasih sayang dan mampu menundukkan perasaan orang lain, seolah-olah kita sudah hilang keyakinan pada diri sendiri dan kepercayaan pada Allah, dalam membentuk kebahagiaan rumah tangga.

Jangan Ajar Hati Menjadi Jahat

Jangan ajar hati menjadi `jahat’! Kerana sifat inilah yang membentuk diri seseorang untuk tersasar tujuan. Sejauh mana kita dapat menentukan perkara-perkara khurafat itu mampu `membeli’ semula kasih sayang seorang suami?

Pada pendapat saya, membeli hati seorang suami adalah dengan hati juga. Sekiranya, kita mampu `menundukkan’ hatinya dengan kasih sayang yang jujur, kebahagiaan itu bukan sahaja dapat kita kecapi di dunia ini tetapi akan membawa terus ke akhirat kelak.

Ada pelbagai cara dan usaha boleh dibuat dalam memenangi hati suami tanpa melibatkan orang yang tidak bertauliah atau berharap pada pertolongan ilmu yang salah.

Banyak panduan telah diberikan untuk diamalkan. Seorang isteri yang setia, sentiasa mengutamakan keinginan suami, memberikan kepercayaan dan menghormati suami serta menjaga tingkah laku dengan baik. Memiliki sifat-sifat seperti ini pastinya si isteri itu akan menjadi idola suami.

IKLAN

Jangan Mudah Melenting Ketika Diuji Masalah

Suami juga manusia biasa. Dia dilahirkan dengan segala kelebihan dan kelemahan. Menerima kelebihan dan kelemahan suami, akan membuatkan kita menyiasat diri sendiri, bahawa kita juga tidak sempurna sebagai seorang isteri.

Jadi sebaik-baiknya kita berkongsilah kelebihan masing-masing dan saling tegur-menegur dengan kelemahan yang ada, dalam mengeratkan kasih sayang.

Jangan  mudah melenting atau mengikut perasaan jika dilanda masalah. Menarik semula hatinya harus seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Seorang suami pula jangan terlalu mengikut perasaan ego atau terlalu mementingkan diri sendiri sehingga isteri tidak tertahan dengan tingkah laku anda.

Rasa tertekan itulah kadangkala menjadi punca seorang isteri bertindak di luar kebiasaannya. Suami adalah pembimbing dan pelindung. Dan akan ditanya di akhirat kelak, jika gagal melaksanakan tanggungjawab penting ini.

Jangan belitkan isteri dengan derita sedangkan di hadapan tok kadi dulu anda berjanji untuk menjaga dan melindunginya.

Dalam rumah tangga, apa yang penting adalah masing-masing menjaga hati kerana kejayaan menjaga hati adalah punca penyelesai banyak masalah, baik di dunia mahupun akhirat.

Satu pesanan, jangan terlalu terdedah atau mendedahkan masalah rumah tangga di laman sosial kerana benda yang terdedah akan mengundang bahaya. Lindunginya dari menjadi bahan perdebatan., atau bahan tarikan `mangsa’…

Penulis : Nuri Supian, kolumnis ruangan Elok Budi majalah Mingguan Wanita

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI