Mungkin tidak ramai di antara kita yang tahu akan sihir pelalau. Malahan setengahnya pula tidak faham pun apa istilah sebenar sihir pelalau. Sebenarnya sihir pelalau ialah sihir yang dihantar kepada seseorang sama ada sebelum atau selepas perkahwinan.

Sekiranya sihir itu dihantar sebelum seseorang itu berkahwin, ianya adalah bertujuan untuk menangguhkan perkahwinan atau melambatkan jodoh seseorang.

Jika sihir pelalau dihantar sesudah perkahwinan semata-mata ingin melihat kehancuran sesebuah rumah tangga. Pendek kata jika pasangan sedang bahagia melayari alam rumah tangga, sihir ini dihantar dengan tujuan agar mereka bercerai.

Kali ini Mingguan Wanita Talkshow menerusi slot Cerita Dalam Kain mengupas tajuk panas iaitu “Penangan Sihir Pelalau”. Di samping Norman Hakim, Siti Elizad dan Erra Fazira, perkongsian Emma Akma yang terkena sihir pelalau juga menarik perhatian penonton.

Pelakon dan selebriti, Emma Akma yang memulakan karier lakonan pada tahun 1993 antara mangsa terkena sihir pelalau. Siapa sangka asbab terjatuh di set pengambaran, tangannya retak.

Akibat Sihir, Emma Pernah Lumpuh

“Bermula tahun 1997, saya mula terkena sihir. Saya pernah jatuh ketika  sesi penggambaran, pernah juga tiba-tiba tidak sedarkan diri. Paling teruk saya alami lumpuh dan perut membusung.

“Pengalaman-pengalaman ini buat saya trauma, sudahlah kita sakit dan ketika itu juga saya kahwin, cerai dan kemudian kahwin dan bercerai lagi. Orang tak tahu keadaan kita, jadi ramai yang mengecam saya macam-macam.

“Percayalah keadaan itu memang sukar, kerana sudahlah sakit dan dalam masa yang sama dicerca dengan benda-benda negatif. Oleh sebab itu ada masanya saya diamkan diri dari mendedahkan keadaan saya kepada orang luar,” katanya yang menerima perubatan tradisional, perawatan Islam dan perubatan moden.

Pendek kata, setelah terkena sihir bermula 1997 hingga tahun 2004, Emma terbuka menerima apa sahaja rawatan. Pantang orang cadangkan tempat untuk berubat, pasti dia akan sampai.

Manakala seorang lagi mangsa terkena sihir pelalau ialah Yuliana. Menurutnya ketika terkena sihir dirinya langsung tidak berminat pada lelaki. Alhamdullilah kini keadaannya bertambah baik dan menjadi perawat perubatan Islam.

Lambat Jodoh Sebab Sihir

Pengamal Perubatan Islam, Ustaz Sharhan Shafie menjelaskan bahawa para ulama sendiri mengkelaskan terdapat sembilan jenis sihir dan sihir pelalau adalah salah satunya.

Jelasnya, antara tanda-tanda sihir pelalau adalah:

  1. Mudah marah pada pasangan, kebiasaannya benda kecil dibesar-besarkan.
  2. Sentiasa merasa menyampah dan benci pada pasangan.
  3. Terasa sakit di bahagian ari-ari pada waktu senja atau hampir waktu solat maghrib.
  4. Selalu alami mimpi terjatuh daripada tempat yang tinggi.
  5. Selalu bermimpi dipatuk ular
  6. Ada kesan cakaran pada anggota badan sebaik bangun daripada tidur dan banyak lagi.

Bagi yang ketinggalan menonton MWTalkshow tadi, jangan lupa saksikan siaran ulangan pada jam 5 petang di Astro Prima 105 dan Prima HD, 121.