Kaki sakit dan anda sangat memerlukan sepasang kasut baru. Anda pun membuat keputusan untuk membeli-belah dan mencari sepasang kasut yang selesa dan sesudah sahaja anda sampai ke kedai kasut, anda sangat terpesona akan kasut yang jurujual di kedai itu tujukan kepada anda kerana kasutnya khas untuk memulihkan postur belakang, tebal, nyaman dan mempunyai sokongan lengkungan.

Nah, apa lagi? Tanpa berfikir panjang, anda terus mengambilnya dan pergi ke kaunter. Tahukah anda bahawa sesetengah syarikat besar menggunakan taktik ini sebagai satu gimik untuk mengelirukan anda?

Sebenarnya, kasut-kasut tersebut yang mempunyai sokongan lengkungan tidak akan memberikan perbezaan kepada keseimbangan postur, risiko kecederaan, ataupun apa-apa penyembuhan seperti yang telah dibuktikan oleh RunRepeat!

Pakar Bedah Ortopedik dari Hospital Pantai Penang, Dr. Chua Hwa Sen, berkata bahawa terdapat ramai orang yang telah terpedaya dengan pengeluar kasut-kasut yang memberikan janji-janji palsu dan manfaat kasut-kasut tersebut tanpa sebarang konsultasi doktor.

Katanya, “Sekarang, kita telah melihat satu trend, pesakit-pesakit akan datang untuk mendapatkan rawatan setelah membeli kasut-kasut tersebut yang sememangnya tidak membantu dan malangnya, mereka datang semasa mereka berada di tahap yang kritikal,” ujarnya.

Cara Mengekalkan Postur Tubuh

Ya, anda pasti mahukan yang terbaik bagi kesihatan tulang belakang,  lutut dan kaki bagi mengelakkan diri daripada mengalami sakit tulang belakang, lutut dan juga kaki. Dr. Chua  menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah tulang belakang, postur lutut dan pinggul adalah dengan melalui rutin senaman dan mengubah tabiat harian.

IKLAN
Sentiasa Berjalan dan Berdiri Tegak

Tahukah anda bahawa bentuk semula jadi tubuh memudahkan seseorang untuk berjalan tetapi jika seseorang tidak berjalan dan berdiri dengan betul, ia boleh menyebabkan postur badan menjadi lemah, letih, sendi-sendi kaku dan otot-otot ketat?

Anda seharusnya cuba berdiri tegak dan berjalan tinggi seolah-olah ada tali yang diikatkan di kepala anda dan menarik anda ke atas. Jika anda berdiri dengan cara yang betul, ia bermakna mata anda menjurus ke hadapan anda, bahu tegak dan lurus serta berat kedua-kedua kaki anda rasa seimbang.

Tidur Menghadap ke Atas

Anda mungkin mempunyai posisi kegemaran semasa tidur tetapi tahukah anda bahawa ia sangat merbahaya bagi kesihatan jika anda tidur dengan posisi yang sama setiap hari?

IKLAN

Jika anda sakit tulang belakang, cuba anda tidur dengan dada dan muka menghadap ke atas. Dengan cara ini, saraf tunjang pada bahagian tulang belakang anda akan mendapat sokongan yang baik.

Posisi tidur yang salah akan memberi kesan sakit kepada punggung manakala jika anda tidur mengiring atau di atas perut, anda berisiko untuk mengalami kerosakan di sistem saraf dan tulang belakang.

Jenis bantal juga memainkan peranan yang penting kepada postur anda. Jangan pilih bantal yang terlalu lembut dan terlalu keras. Bantal yang bentuknya sama rata adalah yang terbaik bagi tulang belakang anda.

IKLAN

Pastikan anda meletakkan bantal di bawah kepala dan leher dan bukan di bawah bahu. Jika anda ingin mengurangkan kesakitan di kawasan lumbar kaki anda, anda boleh meletakkan bantal di bawah lutut.

Lupakan Kasut Tumit Tinggi

Sudah semestinya kasut tumit tinggi menjadi pilihan ramai wanita tetapi ia boleh menjejaskan postur badan. Jika tumit tinggi dipakai untuk masa yang berlarutan, ia boleh menyebabkan rasa kesakitan kepada tulang belakang, pergelangan kaki, pinggul, lutut dan kaki yang boleh mengganggu sikap dan gaya hidup.

Pemakaian kasut tumit tinggi juga dapat meninggalkan kesan negatif kepada badan seperti masalah kinetik di kaki, lutut, pinggul, dan tulang belakang serta gangguan postural seperti anteversion pelvis dan lutut valgus.

Bergerak Setelah Duduk Lama

Ia memang tidak dapat dinafikan bahawa kita sering lupa untuk berdiri selepas berhadapan dengan komputer berjam-jam. Jika anda duduk dalam kedudukan yang sama di dalam jangka masa yang panjang, ia boleh menyebabkan anda sakit leher, tulang belakang, dan membuat anda rasa tegang.

Sama seperti alat-alat gajet dan komputer anda, badan anda perlu mengecas semula dirinya. Anda haruslah cuba berdiri, regangkan badan dan lakukan sedikit latihan selama sekurang-kurangnya lima minit setelah duduk selama sejam.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI