
Seperti mana yang dipetik menerusi Bernama dan SinarPlus, bekas suami penyanyi terkenal Ziana Zain, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dihukum penjara lapan bulan kerana merotan tangan anak lelakinya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman bagi kesalahan itu.

Artikel Berkaitan: Bekas Suami Ziana Zain Failkan Rayuan Kes Rotan Anak
Bekas Suami Ziana Zain, Armin Zaharin
Peguam, Amir Farid Mohd Nawawi yang mewakili Armin Zaharin, 55, memberitahu Bernama, rayuan itu difailkan pada tarikh sama anak guamnya dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Majistret Shah Alam iaitu 28 September lepas.
Beliau berkata, rayuan itu sepatutnya ditetapkan pada 4 November untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Azizah Jaafar, namun ditangguh berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sehingga 9 November ini.
Katanya, mahkamah menetapkan 19 November sebagai tarikh pengurusan kes yang baharu di hadapan Nur Azizah.
Majistret Sabreena Bakar @ Bahari menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Armin Zaharin bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan luka dan lebam di bahagian tangan anak lelakinya yang berumur 9 tahun menggunakan sebatang rotan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam antara 8 malam dan 10.30 malam pada 24 Februari 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sabreena bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Armin Zaharin ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM5,000 kepada RM8,000.
Bekas ketua pramugara itu ditangkap pada 2 Mac 2018 selepas Ziana, 52, atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin membuat laporan polis pada 27 Februari 2018.
Ziana dan Armin Zaharin sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.
Penyanyi yang popular dengan lagu Madah Berhelah dan Putus Terpaksa itu memfailkan tuntutan perceraian pada 3 April 2018 selepas Armin Zaharin enggan melafazkan cerai terhadapnya.
Pasangan sensasi itu mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 11 hingga 20 tahun.
Sumber Foto: Astro Awani & Instagram Ziana Zain
Sumber: Bernama & https://sinarplus.sinarharian.com.my/
Bagi mendapatkan lebih banyak kisah menarik sila ke Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rasa Seperti Dihiris Pisau Pada Payudara Bila Kanser Menyerang. Sakitnya!

Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Tidak Boleh Terima Kenyataan Hidap Kanser
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Buat Rawatan Rekonstruktif
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.

Jalani Rawatan Dengan Tenang
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Sama Seperti Dahulu
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Belajar Kaedah ‘Merancang Sendiri’, Prof Dr Imelda Terangkan Caranya

Buat mak-mak yang baru melahirkan anak, adalah amat penting merancang jarak kehamilan anak seterusnya. Lebih-lebih lagi jika proses bersalin dilakukan secara pembedahan. Ini kerana badan perlukan rehat, kesihatan dan luka dalaman perlu dipulihkan terlebih dahulu, sebelum bersedia untuk melalui proses kehamilan dan bersalin sekali lagi.
Pelbagai kaedah boleh dicuba bagi merancang kehamilan seperti pengambilan pil perancang keluarga, susuk implant berhormon, suntikan cegah kehamilan, penggunaan kondom mahupun rancang secara sendiri (Natural method).
Menurut perkongsian ilmu oleh Prof Dr Imelda Balchin, yang juga merupakan Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine, beliau berkongsi rahsia dah kaedah merancang dengan sendiri (Natural method) sebagai panduan bagi pasangan suami isteri yang ingin mencuba kaedah ini.
Mesti Baca: Bayi Lelaki Baru Lahir Genggam Alat Cegah Hamil IUD Ibu
Berikut antara perkongsian tersebut;
Setiap minggu di klinik antenatal, saya mesti berjumpa dengan ibu-ibu hamil yang malu-malu menyatakan yang mereka merancang ‘sendiri-sendiri’. Ramai yang memilih menggunakan kaedah perancang keluarga yang dikatakan ‘Sunnah’, seperti ‘al-azl’ dimana suami mengeluarkan air mani di luar, atau si isteri ‘merancang sendiri-sendiri’ iaitu menggunakan kaedah ‘natural method’, atau menggabungkan kedua-dua sekali.
Tidak ramai wanita Malaysia yang mendapat sokongan mempelajari kaedah ‘natural method’ dengan betul kerana memberi tunjuk-ajar caranya mengambil masa yang lebih lama, dan di Malaysia lebih senang bagi doktor dan jururawat mencadangkan kaedah lain yang lebih berkesan.Tetapi dengan ilmu pengetahuan, dan motivasi, ada caranya membolehkan kita merancang sendiri.
Jika suami isteri di Malaysia nak belajar kaedah ini, kita patut menghormati pilihan mereka, dan memberi sokongan dan tunjuk ajar.
Kaedah ‘natural method’ ni bukan senang, tetapi kalau ingin mencuba, ada syarat-syaratnya:
1. Motivasi yang tinggi dan kerjasama dari kedua-dua suami isteri.
2. Bersetuju memberi sekurang-kurangnya TIGA BULAN untuk memahami caranya, SEBELUM memulakan kaedah ini. Dalam masa 3 bulan ini, suami hendaklah bersetuju menggunakan kondom lelaki sehingga isteri cukup mahir menggunakan kaedah yang natural.
3. Haid yang teratur setiap bulan. Jika haid berubah dan tidak teratur, hendaklah bertukar menggunakan kaedah yang lebih berkesan.
4. Supaya ia berkesan, hendaklah bersetuju menggabungkan penggunaan kaedah alami ini dengan penggunaan kondom lelaki semasa waktu subur, atau tidak membuat hubungan kelamin semasa waktu subur.
Jika nak belajar, Saya akan teruskan….
Ada 3 cara natural method.
Sebaik-baiknya menggunakan lebih daripada 1 cara supaya berkesan.
- Kalendar kesuburan
- Suhu badan
- Lendir Cervix
SPERMA SUAMI:
Selepas keluar ke dalam faraj, boleh hidup 3-7 hari. Memerlukan bantuan lendir beralkali yang cair yang datangnya dari cervix (pangkal rahim) untuk masuk ke dalam rahim.
ISTERI:
Kenali diri sendiri dalam masa 3 bulan untuk mengetahui bila masanya ovulasi berlaku. Catat dalam kalendar kesuburan. Hari pertama ialah hari permulaan haid. Haid yang teratur datangnya setiap 24 – 35 hari. (Jika >35 hari, kaedah ini kurang berkesan. Cari lah kaedah yang lain). Ovulasi boleh berlaku sekali, di antara hari ke 7 – 21, dan ini boleh bertukar setiap bulan.
Bilakah peringkat subur:
Bermula dari 6 hari sebelum ovulasi (sebab sperma boleh tunggu disitu) sehingga 2 hari selepas ovulasi (sebab ovum hanya boleh hidup 24 jam).
Membuat hubungan kelamin di peringkat subur ini tidak digalakkan atau pakailah condom lelaki.
Bilakah peringkat TIDAK subur:
3 hari selepas ovulasi sampai datangnya haid. Tak perlukan apa-apa perlindungan jika membuat hubungan kelamin di peringkat ini. Al-Azl pun tak payah.
1. Kalendar Kesuburan
Catatkan bila datangnya haid pada 3 bulan berturut-turut.
Hari pertama kesuburan = bulan yang paling pendek ditolak 20 hari.
Hari terakhir kesuburan = bulan yang paling panjang ditolak 10 hari.
Contohnya, jika dalam 3 bulan itu, haid datang setiap 28 hari, kemudian 31 hari, dan kemudian 32 hari. Bulan terpendek = 28 hari, Bulan terpanjang = 32 hari.
Hari pertama kesuburan = 28-tolak 20 hari = 8.
Hari terakhir kesuburan = 32-tolak 10 hari = 22.
Jadi TIDAK digalakkan membuat hubungan kelamin daripada hari 8-22 tanpa menggunakan kondom.
2. Suhu Badan:
Beli lah digital thermometer yang menunjukkan bacaan dengan skala 0.1C.
Setiap pagi bila terjaga pagi, sebelum bangun dari katil, catatlah bacaan suhu badan. Selepas ovulasi, suhu badan akan naik > 0.2C untuk 3 hari berturut-turut.
Hanya boleh membuat hubungan kelamin tanpa perlindungan selepas 3 hari berturut-turut suhu badan naik sebanyak 0.2C, jika dibandingkan dengan suhu badan pada 6 hari sebelumnya.
3. Lendir Cervix:
Selepas ovulasi, ovari mula mengeluarkan hormon progesterone yang menyebabkan lendir Cervix menjadi pekat dan melekit. Sebelum ovulasi lendir cervix cair tidak melekit seperti telur putih mentah. Bila lendir cervix tidak lagi cair dan menjadi melekit (atau TIDAK ADA LENDIR) selama 3 hari berturut-turut, selepas 3 hari ini boleh membuat hubungan kelamin tanpa perlindungan sehingga datangnya haid.
Masukkan jari ke dalam faraj sampai ke Cervix untuk mencalit sedikit lendir di jari, dan kemudian lihat samada melekit atau cair. Gabungkan ketiga-tiga cara supaya paling berkesan.
Kalau mengikut seperti di atas, mulakan menggunakan condom pada hari ke 8 (hari kesuburan pertama) sehingga 3 hari suhu badan naik dan 3 hari tidak ada lendir Cervix. Selepas itu tidak perlukan perlindungan sehingga datangnya haid.
Kaedah Al-Azl kurang berkesan jika dibandingkan dengan menggunakan kondom. Ada wanita yang belajar menggunakan condom wanita (diaphragm), yang itu boleh tunjuk-ajar di klinik sahaja. Untuk paling berkesan, hanya membuat hubungan kelamin selepas 3 hari suhu badan naik dan 3 hari tidak ada lendir Cervix, iaitu masa yang tidak subur.
Yang penting, belajar supaya tahu sendiri bilakah peringkat yang subur untuk badan anda dan bilakah tidak subur. Setiap wanita lain, setiap bulan mungkin lain. Kalau ada motivasi dan disiplin, dan kerjasama suami untuk menggunakan kaedah alami/natural supaya berjaya merancang sendiri, silakan lah.
Selalunya lepas penat saya mengajar bagaimana nak berjaya menggunakan kaedah natural method ni, patient saya kata, “oooooooo terimakasih , saya telan pil sajalah doc!” =)
Prof Dr Imelda
Consultant Obstetrician & Gynaecologist
Subspecialist Maternal & Fetal Medicine
KPJ Damansara Specialist Hospital
MW: Semoga perkongsian tunjuk ajar daripada Prof Dr Imelda ini bermanfaat buat pasangan suami isteri yang ingin mencuba merancang menggunakan kaedah semula jadi. Apa yang penting, ‘kerjasama’ dan kegigihan kedua-dua pihak suami dan isteri untuk memastikan kaedah ini berjaya dilaksanakan.
Sumber: Imelda Balchin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Kalau Jumpa Kain Kuning, Buanglah Aku Di Sungai..” Perintah Jin Yang Dihantar Ke Rumah Kelamin Terkena Sihir Pemisah

Jejak saja di rumah, pasangan kelamin ini terus rasa tak puas hati. Ada saja perkara yang nak diungkit. Yang tak patut dibincang pun semua terkeluar habis. Panaslah hubungan suami isteri ini tanpa mereka sedar, yang diri mereka sudahpun dihantar sihir pemisah.
Gara-gara tak manu lihat hubungan suami isteri ini bahagia. Inilah yang berlaku pada pesakit Ustaz Mujahidin Al Banjari dari Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin. Perhatikan juga 27 tanda-tanda ini yang menunjukkan gangguan makhluk halus dalam rumah tangga anda
9 Tahun Kahwin Belum Juga Hamil, Rupanya..
Bila masuk rumah je sepasang suami isteri ini mesti kerap bergaduh..Walaupun hal kecil-kecil mudah sangat terasa nak bergaduh. Bila keluar rumah pergi kerja dan berjauhan masing-masing merasa rindu.
Begitulah berlaku pada pesakit saya ini. Pasangan ini sudah mendirikan rumahtangga dah 9 tahun. Masih belum dikurniakan cahaya mata. Pergi buat pemeriksaan menyeluruh, keduanya suami isteri normal tiada apa masalah.
Dah puas ikhtiar di hospital sehingga buat IVF masih juga belum ada rezeki mereka mendapat cahaya mata. Di atas nasihat kawan-kawan beliau datang berjumpa saya.
Bila rawat suami di ruqyah keluar muntah banyak sangat-sangat. Selesai rawat suami rawat isteri pula. Isteri pula tidak sedarkan diri kerasukan. Menjerit kesakitan bila di ruqyah oleh saya.
Bila ditanya dan dibaca dengan ayat suci Al Quran jin tersebut mengalah. Jin tersebut bercakap :
“Baik aku keluar, balik nanti kamu lihat bawah pasu depan pintu rumah Tuan aku letak barang di situ, jika kamu dapat kain kuning tu buang la aku di sungai atau bakar sahaja baru aku dapat pergi dari rumah tu “
Kain Kuning Bawah Pasu Depan Pintu Rumah
Balik dari rumah memang benar ada kain kuning bawah pasu depan pintu rumah di balut dengan abu habuk bau busuk.
Pasangan ini terkena sihir pemisah. Tujuan datang untuk rawatan ikhtiar zuriat rupanya tanpa mereka sedar mereka terkena sihir pemisah.
Saya doakan agar abang dan isteri pasangan ini lebih bahagia lepas ini dan dimurah kan rezeki mendapat cahaya mata yang pertama in shaa Allah.
Sekiranya anda mengalami seperti di atas nasihat saya segeralah dapatkan rawatan Islam berhampiran. Ramai bertanya saya macam mana nak tahu gangguan dalam badan ustaz?
Nak tahu gangguan dalam badan cuba lihat tanda-tanda dibawah saya senaraikan, jika anda banyak tanda-tanda di bawah dapatkanlah rawatan Islam berhampiran. Jangan terlambat sebelum keadaan makin teruk dan parah.
27 Tanda-tanda Gangguan Makhluk Halus, Saka, Santau & Sihir
Tanda-tanda tersebut adalah:
1. Kerap sakit belakang, bahu tengkuk urat belikat kerap sakit
2. Kerap sesak nafas sakit dada ulu hati.
3. Kerap rasa resah, gelisah, berdebar-debar tanpa sebab terutama waktu Asar ke atas.
4. Kerap sakit kepala, makan ubat tetap sakit.
5. Kerap kembung perut sedawa angin.
6. Kerap rasa berdenyut-denyut, di bawah uri wanita.
7. Kitaran haid tak normal.
8. Lambat mendapat zuriat.
9. Menjadi rimas lemas cepat nak marah bila berdepan suami atau isteri.
10. Kerap bergaduh besar walaupun perkara-perkara kecil.
11. Ketika marah kerap meminta cerai.
12. Tidak suka tidur bersama.
13. Nafsu tiada terhadap suami atau Isteri.
14. Tercium bau badan busuk hanyir, nafas berbau pada tubuh suami atau isteri.
15. Suka bersendiri di dalam bilik.
16. Tidak suka tempat-tempat yang bising.
17. Sukar tidur malam.
18. Kerap mimpi baby, menyusu dan bermain dengan baby.
19. Kerap mimpi ular, kala jengking daan binatang berbisa.
20. Kerap mimpi pasangan kita curang.
21. Perasaan curiga cemburu buta yang kuat.
22. Kerap bermimpi tempat kotor busuk.
23. Kerap terbau kemenyan, colok setanggi.
24. Bila berjauhan dengan pasangan perasan rindu sayang amat-amat menebal.
25. Kerap teringat merindui seseorang yang tidak dikenali dan dikenali.
26. Menjadi resah gelisah terdengar azan dan ayat suci Al Quran
27. Kerap bermimpi bersetubuh dengan orang lain.
Di atas adalah serba sedikit Bagi orang yang terkena gangguan makhluk halus. Sekiranya anda banyak tanda di atas dapatkanlah rawatan Islam berhampiran dengan anda, jangan sampai terlambat ya.
Jika anda rasa bermanfaat silakan share.
Moga dapat memberi manfaat pada mereka yang memerlukan in shaa Allah Aamiin.
Sumber/Foto : Pusat Perubatan Islam Al-Mujahidin
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI