Bekas isteri Safee Sali lega dapat hak penjagaan anak, selesai secara damai. Perasaan syukur dan kelegaan menyelubungi Fitria Elfina Maharip, 44, apabila mahkamah memutuskan hak penjagaan anak diberikan kepadanya.
Bekas isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali itu kini sah mendapat penjagaan ke atas dua anak perempuan hasil persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.
Fitria memaklumkan bahawa perbincangan mengenai hal tersebut telah berlangsung sejak Mac lalu, dan kedua-duanya berjaya mencapai persetujuan tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
“Syukur Alhamdulillah, akhirnya saya diberi hak untuk menjaga anak-anak. Segalanya telah diuruskan oleh peguam, kini tanggungjawab penuh menjaga anak-anak berada di bahu saya,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Warganegara Indonesia itu sebelum ini memfailkan tuntutan hak penjagaan ke atas dua anak mereka — Shanika Salsabilah, 10, dan Shania Safina, 8 — pada Mac tahun lalu.
Hakim Syarie Salehan Yatim membuat keputusan berdasarkan dokumen perjanjian yang ditandatangani kedua-dua belah pihak. Berdasarkan keputusan tersebut, Fitria diberikan hak penjagaan penuh manakala Safee dibenarkan melawat anak-anaknya sekali sebulan bermula hari ini.
Dalam prosiding tersebut, Fitria diwakili peguam Nur Sabrina Abdul Rahim dan Putri Ummi Kartini Abd Latiff. Manakala Safee diwakili peguam Noor Azlina Che Hasan.
Menurut Putri Ummi Kartini, kes ini bukan soal menang atau kalah, sebaliknya melibatkan amanah terhadap anak-anak.
“Kedua-dua pihak telah mencapai kesepakatan dengan baik tanpa sebarang isu besar. Terma perjanjian tidak boleh didedahkan, namun hak penjagaan diberikan kepada ibu dan bapa pula mendapat hak lawatan yang dipersetujui bersama.
“Isu penjagaan anak tidak seharusnya dilihat sebagai perebutan. Walaupun satu pihak diberi hak jagaan, pihak satu lagi tetap diberi hak lawatan. Anak adalah amanah Tuhan, maka kedua-dua ibu bapa harus bertanggungjawab,” jelas beliau.
Sementara itu, cubaan wartawan untuk mendapatkan reaksi daripada Safee tidak berhasil apabila beliau memilih untuk tidak memberi sebarang komen dan terus meninggalkan mahkamah selepas prosiding berakhir.
Sumber: Harian Metro dan Kosmo
Baca artikel lain juga: Isteri Safee Sali Rindu Anak, “Saya Tak Tahu Di Mana Mereka Lepas Dibawa Keluar Rumah 6 Februari Lalu…
Kakak Safee Sali Tampil Bela Adik Ipar, “Dia Bukan Penyondol, Saya Kena Betulkan Apa Yang Salah…”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE