
Jenama fesyen tempatan, Bayu Somerset terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri fesyen tanah air menerusi pembukaan cawangan terbaharu di 118 Mall, Merdeka 118, Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan outletnya sebanyak 25 buah.
Pembukaan cawangan berkeluasan 2,640 kaki persegi itu merupakan sebahagian daripada strategi pengembangan jenama berkenaan untuk memperluas kehadirannya di lokasi komersial utama, selain menyasarkan pembukaan 32 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Baca artikel: 7 Jenama Baju Nikah Ready-to-Wear Untuk Bakal Pengantin
Sepanjang lima tahun dalam industri, Bayu Somerset berjaya membina identitinya menerusi rekaan fesyen kontemporari yang menampilkan rona ceria, motif cetakan tersendiri serta koleksi pakaian sedia pakai pada harga mampu milik.
Pembukaan Di Merdeka 118 Jadi Pencapaian Bermakna

Menurut Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul Arifin, pembukaan cawangan di Merdeka 118 merupakan pencapaian bermakna buat jenama itu, lebih-lebih lagi bersempena ulang tahun kelima mereka dalam industri.
Jelasnya, pembukaan outlet di lokasi ikonik berkenaan bukan sahaja bertujuan memperkukuh kehadiran fizikal jenama, malah memberi peluang untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan serta menarik lebih ramai pengguna daripada pelbagai segmen pasaran.
Kekalkan Identiti Fesyen Berani Dan Ekspresif

Mengulas mengenai identiti jenama, Dania berkata Bayu Somerset sentiasa percaya bahawa fesyen bukan sekadar pakaian, sebaliknya menjadi medium untuk wanita berasa yakin, selesa dan bebas mengekspresikan diri.
Justeru, cawangan terbaharu itu turut direka bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeluruh, selain membolehkan pelanggan meneroka pelbagai pilihan rekaan dan koleksi cetakan eksklusif yang ditawarkan.
Walaupun terus mengembangkan perniagaan,jenama tempatan terkemuka ini tetap mengekalkan identiti asalnya yang berteraskan rekaan berani dan ekspresif, harga mampu milik serta hubungan erat dengan komuniti pelanggan setia.
Sasar Pasaran Asia Tenggara Sebagai Langkah Seterusnya
Bukan sekadar tertumpu kepada pasaran domestik, jenama itu turut melihat Asia Tenggara sebagai destinasi seterusnya dalam perancangan pengembangan perniagaan pada masa akan datang.
Anda mungkin berminat dengan
Bagi meraikan pembukaan cawangan terbaharu itu, mereka turut mengadakan majlis pelancaran yang diserikan dengan pertunjukan koleksi khas, persembahan tarian kebudayaan oleh Akar Seni Malaysia serta persembahan penyanyi tempatan, Iman Troye dan Aufahanie.
Cawangan terbaharu Bayu Somerset terletak di Tingkat 3, Lot 30 dan 31, 118 Mall, Merdeka 118, Kuala Lumpur.
Sumber: Bayu Somerset

download sekarang!
