Ketika anak masih bayi itulah kita belai, tatang bagai minyak yang penuh. Hatta digigit nyamuk pun mak ayah tak benarkan. Apabila bayi lelaki berusia setahun 11 bulan ini ada 89 kesan lebam, lecur malah calar lama dan baru.. kita mengucap panjang.
Mengapa hingga tergamak mencederakan tubuh anak kecil yang tidak tahu melawan itu. Itulah realiti kematian bayi lelaki ini, yang dipercayai didera. Dan kesan deraan itu ada di seluruh tubuhnya.
Lebih detail dikongsikan doktor yang merawatnya, ada kesan luka pada bahagian dagu dan atas kening sebelah kanan mangsa. Bengkak dan luka pada kemaluan dan ada kesan lebam pada bahagian badan.
Ada Lebih 80 Kesan Deraan
Kesan parut pada kedua tangan dan kaki. Kematian bayi lelaki itu, hasil bedah siasat mendapati berpunca dari kecederaan di pinggul dan hati akibat hentakan objek tumpul dan keras.
Bayi lelaki itu anak bongsu daripada empat beradik. Dan pihak polis sudah pun mengambil keterangan daripada adik-beradik yang lain.
Ads
Kes dilaporkan oleh doktor di Hospital Serdang pada 4 November lalu, yang mana Jabatan Kecemasan hospital menerima pesakit bayi lelaki terbabit selepas di bawa ibu bapanya dalam keadaan tiada tanda-tanda hidup.
Biarpun doktor cuba memberi bantuan kepada bayi, tiada tindak balas. Pada 7.20 pagi, bayi itu disahkan meninggal dunia.
Ibu Bapa Bayi Lelaki Ditahan Reman
Rentetan kematian itu, sepasang suami isteri berusia 42 dan 37 tahun, yang juga ibu bapa mangsa ditahan di perkarangan Hospital Serdang pada 5 November lalu.
Ads
Keduanya menetap di Sungai Merab dan bekerja sebagai penjawat awam.
Seorang lagi wanita berusia 33 tahun, rakan serumah ibu bayi berkenaan ditahan pada 8 November dekat Putrajaya. Wanita ini juga bekerja sebagai pencawat awam.
Ads
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, hasil siasatan turut mendapati ibu mangsa mengalami masalah kemurungan.
Dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, beliau memaklumkan ibu bapa mangsa akan direman hingga 18 November ini, manakala seorang lagi suspek wanita direman hingga 15 November bagi membantu siasatan.
MW : Allahu.. semakin menakutkan emosi mak ayah akhir zaman ini. Kemurungan itu penyakit senyap yang bahaya. Bila ada tandanya segeralah minta bantuan. Jangan diam-diam sendiri. Rawat sebelum melarat.
Suatu ketika dahulu, kerjaya jururawat bukan pilihan wanita berasal dari utara tanah air ini. Namun setelah tahun demi tahun berlalu, dirinya bersyukur ke hadrat Ilahi atas segala ketentuan-Nya. Malahan terbit rasa bangga pabila dilahirkan sebagai jururawat, seterusnya diberi peluang untuk berbakti kepada masyarakat dan ahli keluarga.
Sesungguhnya Hayana Johan, 51 tahun yang kini memegang jawatan Pengajar Jururawat (U41) di Institut Latihan Kementerian Malaysia (ILKKM) Kangar Perlis amat terharu dengan pelbagai pengalaman yang dikutip sepanjang perkhidmatannya.
Secara tidak langsung, setelah bergelar Pengajar Kejururawatan, ia menjadikan kerjaya Hayana cukup sempurna. Pengalaman bertahun- tahun ketika menjadi jururawat dapat digunapakai dan segala ilmu yang ditimba dapat dicurahkan kepada generasi baru yang bakal bergelar jururawat.
“Menjadi seorang jururawat ni bukanlah pilihan utama saya mahu pun cita-cita saya. Secara suka-suka mengisi borang SPA ketika di tingkatan enam kerana menurut kawan-kawan lain yang turut sama mengisi. Alhamdulillah, setelah menjalani sesi interview, saya dipanggil untuk mengikuti latihan kejururawatan.
“Walaupun berat hati, tetapi setelah dipaksa ayah, saya akur walaupun hati tak berapa suka. Maka Julai 1989 bermula la dunia baru saya dalam bidang jururawat. Habis training pada Julai 1991, bermulalah mengalas tugas sebagai jururawat di Hospital Pulau Pinang.
“Selepas itu pada tahun 1992 mengikut suami bertugas di Hospital Kangar, Perlis dan akhirnya 1998 bertugas di tempat sendiri iaitu di Hospital Langkawi. Di tempat sendirilah kerjaya saya sebagai jururawat mula berkembang. Mendapat sokongan dari pihak atasan memberanikan saya menghadiri kursus Kebidanan 1 pada tahun 2005 selama setahun di Kolej Jururawat Alor Setar.
“Manakala 2007 pula sekali saya menyambung belajar dalam Public Health Nurse di Institut Kesihatan Umum, Bangsar Kuala Lumpur selama setahun,” ungkapnya yang telah menamatkan pelajarn di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan Kepujian di Open University (2011).
Jelas anak kelahiran Pulau Langkawi, Kedah, untuk menjadi seorang jururawat yang berilmu, sebaiknya perlu terus maju ke hadapan dan sama sekali tidak akan menoleh kebelakang. Selain itu, sokongan yang kuat dari insan terdekat termasuklah ketua jabatan, kawan-kawan, suami serta ibu dan ayah mak ayah menjadi tulang belakang kejayaannya.
Pada pertengahan 2012, Hayana mendapat panggilan temuduga daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai Pengajar U41 dan akhirnya Mei 2013, dirinya mula melapor diri sebagai Pengajar U41. Memulakan tugas di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Negeri Sarawak dan kemudian balik ke Semenanjung pada Disember 2013 dan bertugas di negeri Perlis sehingga sekarang.
“Sebenarnya, kerjaya menjadi pengajar jururawat dikategori dalam kumpulan pengurusan dan professional di KKM. Oleh itu setiap daripanya mestilah mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kepujian. KKM sentiasa memberi peluang untuk kami menyambung belajar ke peringkat master dan PhD.
“Disebabkan bilangan kami sebagai pengajar diseluruh Malaysia tidaklah ramai membuatkan kerjaya kami tidak terlalu menonjol. Oleh itu, saya selalu menasihati pelatih saya supaya sambung belajar ke peringkat lebih tinggi setelah mula bekerja nanti.
“Jika ada peluang, rebutlah peluang mengikuti latihan-latihan post basic dan tanamlah azam serta cita-cita untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi kerana kerjaya jururawat sentiasa menjadi rebutan di pasaran. Kalau hendak dibandingkan tugas menjadi jururawat dengan tugas sebagai pengajar sama-sama mencabar.
“Masing-masing tugas memerlukan kesabaran yang tinggi. Seperti yang semua tahu, tugas jururawat bermula tatkala berhadapan dengan pesakit, keluarga mereka dan orang awam. Manakala bagi pengajar adalah apabila kita berhadapan dengan pelatih,” ungkapnya yang mengakui setiap karier ada cabarannya.
Jelas Hayana lagi, tugasnya sebagai pengajar meliputi kepada pembangunan dan perkembangan akademik pelatih, urusan latihan dan amali di kawasan klinikal dan bertanggungjawab dalam hal-hal pentadbiran serta pengurusan berkaitan pelatih.
Tambahnya lagi, setelah bergelar pengajar jururawat, fokus utamanya adalah dalam melahirkan bakal-bakal jururawat yang bukan sekadar lulus peperiksaan semata, tetapi dalam masa yang sama menjadi jururawat yang berilmu, bertanggungjawab, prihatin serta komited terhadap tugas mereka.
Berpengalaman lebih daripada 20 tahun sudah tentu banyak memberi pengalaman manis buat diri Hayana. Setelah menjadi pengajar, dihargai oleh pihak atasan dan pelatih sudah memadai buatnya.
“Setiap kali pelatih lulus cemerlang, ia juga cukup bermakna dan buat saya tersenyum bangga. Lebih manis apabila dapat melahirkan beribu-ribu jururawat yang boleh memberi khidmat yang ikhlas kepada masyarakat juga menjadi pengalaman cukup indah dan manis buat saya.
“Sepanjang saya berkhidmat, tiada istilah pengalaman pahit dalam hidup saya kerana setiap kejadian yang berlaku mempunyai hikmah dan pengajaran untuk kita terus bermahasabah diri ke arah yang lebih baik,” katanya yang telah mendirikan rumahtangga dengan Mohd Sobree Kamarudin dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Di samping itu, menurut Hayana, untuk berada di tahap sekarang dirinya banyak berkorban. Selain wang ringgit, masa bersama keluarga juga perlu dihadkan kerana sehingga sekarang, dia hidup berjauhan dengan suami dan anak-anaknya.
“Ini pengorbanan terbesar yang saya lakukan adalah hanya dapat bertemu suami hanya di hujung minggu. Tetapi masing-masing terikat dengan karier sendiri, jadi hidup berjauhan adalah pilihan yang ada. Apa-apa pun demi khidmat untuk kerajaan, saya dan suami akur.
“Menjadi harapan dan impian saya untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana pada tahun 2020. Dalam masa yang sama, saya berdoa agar Allah berikan kesihatan yang baik untuk meneruskan karier menjadi pengajar jururawat dan dapat melahirkan ramai bakal-bakal jururawat yang berilmu, berahlak, berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seorang DJ radio menemu ramah saya dalam satu segmen motivasi. Berikut lebih kurang dialognya; Ini soalan berkaitan cinta dan jodoh, daripada saya sendiri Dr. Saya berputus asa kerana kerap kali digagalkan dengan begitu teruk sekali. Setiap kali saya bercinta dengan orang yang benar-benar saya ingini itu, acap kali saya digagalkan. Apa nasihat Dr.?
TakTahu…
Jawab saya pada En. DJ (juga untuk orang lain yang dalam situasi sama), dalam hal yang kita tak tahu, kita tak boleh berputus asa. Tahukah kita dengan siapa kita akan berkahwin? Kita mungkin bercinta dengan sepuluh orang tapi tahukah kita yang mana satukah akhirnya benar-benar menjadi pasangan hidup kita? Tak tahu kan? Sebab tak tahu itulah kita tidak boleh berputus asa. Kalau kita tahu, kita boleh berputus asa sebab dah tahu dah. Masalahnya sekarang kita tak tahu. Dek kerana tak tahu itulah, kita kena terus berusaha.
Macam juga soal mati, tahukah kita bilakah kita akan mati, bilakah kita akan mati dan bagaimanakah cara kita mati? Tak tahu, kan? Disebabkan tak tahu itulah kita kena berusaha berbuat baik supaya apabila kita mati kita dalam keadaan baik. Mana boleh berputus asa dalam memohon rahmat Allah.
Kena Berusaha
Dalam soal jodoh, kita kena terus berusaha sampai kita dapat. Macam mana kalau gagal?Itu bukan tiket untuk kita berhenti berusaha. Kita kena terus berusaha sampailah kita dapat. Kalau tak dapat? Kalau dapat kita syukur, kalau tak dapat kita sabar. Dalam kata lain kita reda. Kita reda apa juga keputusan Allah.
Kalau kita gagal, apakah semestinya ia buruk kepada kita?Tak tahu juga kan? Sebab ramai orang kahwin hujungnya kena dera, hujungnya kena tumbuk, malah yang kena bunuh pun ada. Jadi, mestikah bertemu jodoh itu baik? Kita tak tahu kan? Disebabkan kita tak tahulah kita tak boleh berputus asa. Kalau kita tahu kalau begini jadi begitu, kalau begitu jadi begini, senang. Masalahnya kita tak pernah tahu. Sekali lagi, dek disebabkan tak tahu itulah kita mesti terus berusaha dan jangan sesekali putus asa.
.
Hak Allah
Meskipun hak memasukkan seseorang itu ke syurga atau ke neraka adalah hak Allah semata-mata, dan seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga oleh rahmat Allah, bukan oleh amal ibadah yang dia lakukan, kita masih tetap wajib berusaha, sebab hanya itu yang kita ada. Soal dapat atau tidak kita serahlah kepada kebijaksanaan Allah, tapi oleh usaha bersungguh-sungguh yang kita lakukan sementara hidup di dunia adalah jalannya untuk ke sana.
Kembali soal jodoh tadi, memang kita tidak tahu jodoh kita tetapi oleh usaha yang kita lakukan kita mungkin mendapat apa yang kita ingini. Bukan setakat dapat tapi menepati ciri-ciri yang kita mahukan itu; matanya bulat, kulitnya bersih, mukanya cantik, badannya solid. Kalau langsung tak berusaha? Kita mungkin mendapat tapi ketika itu kita kurang menghargainyalah. Maklumlah sesuatu yang kita tidak harapkan tiba-tiba datang, misalnya orang yang ditemukan jodoh sedang hati memang langsung tak berkenan, cara dia berkomunikasi pun lain.
Memilih
Janganlah terlalu memilih pula dalam soal jodoh ini. Mustahil kita akan mendapat ‘sebijik’ seperti yang kita mahukan, kalau dapat pun apabila masa beredar dia pasti berubah. Kalau dulu bodynya macam gitar double bass, sekarang tiada pinggang pun. Kalau dulu wajahnya bak sang puteri, hari ini ciri-ciri itu langsung telah pergi.
Dalam merealisasikan jodoh, usah terlalu meletakkan syarat, asalkan hati kecil berkenan, teruskan sahajalah. Biasanya suara hati kecil adalah tepat. Biar hati besar mengatakan tidak ingin wajah sedemikian, tetapi hati kecil selalu mengiakan perasaan cinta yang telah mula mekar.
Persefahaman
Apabila masa beredar semua kekurangan boleh diperbetulkan. Semua kelebihan sedia ada boleh dipertingkatkan. Yang penting ada persefahaman. Usah tidur sebantal tapi impiannya lain-lain. Seorang hendak ke bintang, seorang lagi hendak ke matahari. Hujungnya terawang-awang antara bumi dengan bulan.
Kalau asyik bertangguh, ingatlah umur semakin bertambah. Jangan dah bertemu jodoh ketika usia sudah banyak, anak lahir tatkala kita sudah tidak kuat bekerja, anak nak masuk universiti sedang kita terlantar di hospital. Fikir-fikirkanlah ye!
** Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj, penulis tetap ruangan Motivasi di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berkongsi minat yang serupa dengan bapanya, allahyarham Tuan Haji Yem Ismail merupakan bekas pensyarah pendidikan awal kanak-kanak, Nurunnawal mengikuti jejak langkahnya meneruskan karier sama seperti bapanya. Apa yang membanggakan, bapanya juga merupakan guru lelaki pendidikan kanak-kanak pertama di Malaysia satu masa dahulu.
Menyentuh mengenai profesionnya sebagai cikgu tadika…Nawal sudah terbiasa mendengar omongan orang yang memperlekehkan pekerjaannya. Ramai pula yang mengganggap kerjanya itu mudah dan hanya berurusan dengan kanak-kanak, tidak mencabar dan biasa-biasa sahaja. Jika punya upaya Nawal sebolehnya mahu menyahkan semua tanggapan skeptikal itu terutamanya apabila melibatkan profesionnya.
“Masih ramai yang mengganggap jadi cikgu tadika ni satu pekerjaan mudah dan senang. Tidak mencabar langsung. Persepsi masyarakat tentang guru pendidikan awal kanak-kanak, menyebabkan mereka tidak memandang serius atau menghormati profesion guru tadika, walaupun yang bertanya itu juga merupakan seorang guru juga. Di pandangan mereka guru tadika tugasnya, mudah dan senang.
“Sesungguhnya skop profesion perguruan itu luas. Seiring dengan perkembangan ilmu, dunia pendidikan awal tidak rigid, berbagai jenis pedagogi boleh diguna pakai di dalam kelas untuk membantu kanak-kanak mengembangkan kebolehan masing masing. Tidak ada kanak kanak yang sama. Semua mempunyai kebolehan, minat dan kecenderungan berbeza. Pendek kata selaku guru terawal dalam perkembangan anak-anak, kami memainkan peranan penting ataupun titik pertama untuk anak mengenali lebih mendalam asas pendidikan,”kongsinya yang memulakan profesionnya dalam bidang perguruan sejak tahun 2011.
Play is good
Mengajar di sebuah tadika antarabangsa menjadikan Nawal dapat melihat lebih dekat penerimaan pelajar daripada latar budaya dan negara berbeza.
Terdahulu Nawal pernah bertugas di Julia Gabriel Kuala Lumpur, The Alice Smith School Kuala Lumpur, Seven Skies Islamic International School, Petaling Jaya dan terkini di HELP International School, Shah Alam. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini menyambung pengajiannya di semester akhir Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak di SEGi College Subang Jaya, Selangor.
Mempunyai pengalaman menguruskan perkembangan awal pendidikan anak kecil sekitar usia empat ke enam tahun membuatkan Nawal selesa menggunakan pendekatan play is good. Menurutnya di usia sebegitu anak kecil lebih pantas belajar tanpa tekanan dan bermain sambil belajar.
“Sebagai guru tadikan pendekatan yang saya mahu ubah adalah salah faham mengenai bermain. Konsep play is good itu bagus. Di usia itu anak-anak memang cenderung untuk bermain dan ia bukan aktiviti membuang masa. Perkenalkan anak-anak dengan konsep bermain berbeza. Jika anak berkata mereka cuma main di skolah, itu tak bermakna mereka tak belajar perkara baru. School should be focused on learning, not teaching. Pendekatan yang terbaik adalah melalui bermain.
“Kaedah pendidikan barat juga menekankan konsep bermain sambil belajar. Sejujurnya sebagai guru erti kepuasan bagi saya adalah apabila melihat anak ini mampu menguasai kemahiran membaca, respons dengan perkara baru yang diajar.
“Selain itu melihat perkembangan mereka dari tidak pandai bergaul, kepada menguasai kemahiran bersosial, berkomunikasi dan mula berdikari. Sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab seorang guru membantu kanak kanak berkembangan kepada potensi maksimum melalui kaedah pembelajaran yang menarik dan menekankan elemen belajar sambil bermain,” jelasnya.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini lagi, isu yuran tadika mahal atau murah… tadika beraliran swasta, kerajaan mahupun antarabangsa masing-masing punya kelebihan dan kekurangannya. Isunya disini kualiti ilmu yang diperolehi anak-anak dan kebolehupayaan anak-anak menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira sebelum meninggalkan alam tadika.
“Sejujurnya, tadika mahal itu tak semestinya bagus. Tadika beryuran murah pula tidak semestinya tahapnya biasa-biasa sahaja. Sekalipun anak anda bersekolah di tadika yang murah yurannya, jika guru-guru disitu berdedikasi, komited dan bersungguh-sungguh mendidik pelajarnya…itu bonus buat anak dan ibu bapa. Apa yang ditekankan disini adalah pendekatan kualiti pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan kepada pelajar.
“Jadi guru tadika kesabaran adalah keutamaan terpaling atas. Disusuli dengan komited dan komitmen. Sabar…sabar dan sabar. Sabar bukan hanya ketika berdepan dengan ragam anak kecil sebaliknya apabila perlu menghadapan dengan ragam ibu bapa juga. Untuk menjadi guru tadika seseorang itu perlu memahami keperluan pelajar itu secara individu dan bukan menyeluruh.
“Seperkara lagi, tidak semua anak-anak mempunyai tahap kecerdasan otak yang sama. Yang penting, menjawat jawatan guru tadika perlu datang dengan pakej minat. Di mana sekalipun kedudukan mahupun jawatan kerja anda, lakukannya dengan seikhlas hati dan diiringi minat yang mendalam. Apabila kita minat…pastinya kita akan melakukan perkara yang kita suka sebaik mungkin,” luahnya mengenai profesionnya yang sering mendapat komentar pekerjaan remeh dan tidak susah di mata khalayak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
"Jangan sebarkan benda yang tak betul. Kalau tak tahu cerita baik diam. Jangan sebar fitnah kalau tahu tahu apa-apa," katanya yang mengakui kakaknya tersilap memberi ketiga-tiga anaknya ubat methadone.