Bila sudah ada anak, janganlah lepaskan aksi belai anak sebelum tidur. Ketepikan rasa ego dan usah biarkan anak terlelap tanpa ucapan kasih sayang kita. Kadang ada yang balik-balik dari tempat kerja, anak sudah lena, namun itu bukan alasan untuk kita jadi mak ayah yang kasih pada anak. Untuk suntik rasa sayang pada anak, ulanglah perbuatan seperti yang dikongsikan saudara Muhammad Ahmad ini. In shaa Allah, kita mampu berubah demi sebuah kebahagiaan…
Tuan puan. Kita semua sayang anak kan?
Sebelum mereka tidur panggil mereka sekejap atau pergi ke bilik mereka. Sebab mungkin ada di antara kita hari ini Jerit,cubit anak 2-4 tahun sebab sepahkan rumah, Sepahkan baju yang baru kita lipat,pakaian yang baru kita gosok dan buatkan kita letih sebab nak mengempeng sepanjang hari.
Rotan anak dengan amarah sebab mereka merokok,malas solat,malas mengaji,malas kemaskan rumah dan basuh pinggan,malas baca buku,malas pergi sekolah. Boleh jadi ada yang rotan mereka sehingga berbirat sebab telah memalukan kita dengan perangai mereka.
“Malam ini sebelum tidur pergilah kepada mereka. Pergilah dengan penuh kasih sayang dan rasa cinta kepada mereka. Turunkan amarah dan ego kita. Pegang tangan mereka. Minta maaf kepada mereka diatas apa yang telah kita lalukan.”
Jika anak dewasa peluk mereka,cium dahi mereka,terangkan kepada mereka dengan nada yang sayu kenapa kita pukul dan marah mereka. Zahirkan dengan kata-kata betapa kita terlalu sayangkan mereka. Betapa kita mengambil berat tentang mereka.
Ads
“Abi minta maaf rotan muhammad sebab tidak solat tadi. Abi sayang muhammad lebih dari diri abi,jika muhammad tidak solat,siapa akan bantu abi jika abi mati malam ini,siapa nak bantu umi jika umi mati malam ini”
Tuan puan. Bayangkan mangsa-mangsa kebakaran itu adalah anak kita. Bagaimana untuk lalui kehidupan malam ini dan hari-hari akan datang tanpa suara mereka,tanpa kerenah mereka,tanpa perangai ‘nakal’mereka. Tanpa perangai merajuk mereka.
Ads
Mulai esok tiada siapa lagi minta duit dari kita,tiada lagi yang ajak kita pergi mall,beli permainan yang mereka suka. Tiada lagi gelak tawa dan suara jeritan memanggil kita untuk ajak bermain. Mulai esok tiada lagi yang melompat-lompat atas katil kita,atas sofa dalam rumah kita.
mulai esok tiada siapa lagi sepahkan rumah, Mulai esok tiada lagi orang yang panjat belakang kita. Mulai esok bau bantal mereka,selimut mereka mulai pudar dari deria kita. Mulai esok tiada lagi yang cium pipi,tangan kita,peluk tubuh kita dengan erat. Mulai esok tiada lagi orang yang akan ajak kita keluar makan.
Ads
Tuan puan saya pernah kehilangan seorang anak. Anak yang pernah memanggil nama saya,pernah tarik janggut saya,pernah kencing atas ribaan saya. Pernah gigit jari saya. Pernah air liurnya masuk kedalam mulut saya. Itu saya,belum ibunya lagi.siang malam penat untuknya,sakit untuknya.
Namun anak ini telah pergi buat selamanya,anak ini sedang bergembira bersama tuhannya.
Tuan puan,hargai mereka,sayangilah mereka. Jadilah pendengar yang setia setiap keluhan mereka,jadilah rakan dan tempat senda gurau mereka. Peluk dan ciumlah mereka malam ini.
Didiklah mereka dengan sepenuh kasih sayang,jangan sekali naik tangan ke muka mereka kerana ini dilarang oleh Rasul kita. Sayangi dan cintai mereka Kerana Allah dan Rasul.
Moga mereka akan jadi anak yang soleh dan solehah yang akan menyelamatkan kita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bukan semua suami itu tidak berguna, dan bukan semua isteri dan mentua itu bagai bidadari sikapnya. Ada suami yang terdera hati dan perasaan dengan layanan ibu mentua. Tapi nama pun lelaki, tidaklah dihiraukan sangat semua itu. Tragis kisah duda ini apabila 2 tahun lamanya dia dipulau isteri dan ibu mentuanya sendiri.
Pedihnya jadi berganda apabila isteri pun sama naik dengan ibunya. Mengambil sikap acuh tak acuh ketika melayani suami. Dan hairannya suami ini ambil masa sampai dua tahun bertahan dengan penderaan emosi oleh isteri dan ibu mentuanya sendiri.
Kau Cuma Mahu Ketika Senangku
Kasih dan sayang yang dibina ingin dibawa hingga ke hujung nyawa. Malah, kehidupan berkeluarga yang diharapkan akan berkekalan hanyalah impian sahaja.
Tatkala angin bertiup, terus akar pokok goyah, seakan-akan ingin tumbang. Begitulah juga dengan goyahnya rumah tangga yang aku bina bersama isteri tercinta tidak mampu dipertahankan lagi.
Aku berkahwin atas dasar suka sama suka. Itu pun berkenalan aku dengan Ayu sangat singkat, Cuma 6 bulan dan terus aku mengambil keputusan untuk berkahwin. Keputusan berkahwin dalam masa terdekat ini juga bukanlah kerana aku terlalu terdesak untuk berumah tangga.
Boleh dikatakan di tempat kerja ada juga gadis-gadis yang datang berhimpit untuk berkawan dengan aku. Namun, semuanya aku tolak dengan cara yang baik.
Bukan memilih tetapi kebanyakan gadis yang datang itu hanyalah ingin mengambil kesempatan dan kesenangan yang aku ada. Maklum sahaja, pada usia sekarang ini, aku sudah memiliki rumah yang cukup lengkap, kereta dan berkerjaya.
Isteriku Anak Tunggal Yang Manja
Perkenalan aku dengan Ayu tidak dirancang. Bertemu di sebuah restoran kegemaran aku ketika sama-sama membeli makanan. Dari situlah bermulanya bibit-bibit cinta. Diringkaskan cerita, aku di bawa berjumpa dengan ibu Ayu.
Aku lihat, Ayu cukup manja dengan ibunya. Apatah lagi, dia anak tunggal dan ayahnya sudah lama meninggal dunia. Segala suka duka dikongsi bersama ibunya.
Aku beruntung kerana ibu Ayu setuju dengan lamaran aku pada anak tunggalnya dan meminta aku supaya menjaga Ayu dengan baik sekali. Maklum sahaja, Ayu satu-satunya pewaris yang dia ada.
Majlis perkahwinan aku dengan Ayu, cukup meriah. Baik ahli keluarga aku dan saudara mara keluarga Ayu datang meraikan kami sebagai raja sehari. Memandangkan Ayu anak tunggal, emaknya meminta aku berpindah ke rumah mereka dan aku mengikut sahaja demi sayang aku pada Ayu. Rumah aku hanya balik seminggu sekali sahaja.
Ayu Jadi Isteri Derhaka
Lima bulan kemudian, Ayu disahkan mengandung. Aku dan ibunya tentunya gembira dengan bakal kehadiran orang baru dalam keluarga. Bermula dari situlah, aku nampak perubahan pada Ayu dan ibunya.
Biasalah, hamil anak sulung macam-macam ragam dan alahan. Itu aku tak kisah dan aku turut sahaja apa yang Ayu mahu. Kiranya, setiap permintaan, sebolehnya aku tunaikan demi anak dalam kandungan.
Sebaliknya berlaku pada Ayu, dia mula berubah sikap dengan bercakap kasar dengan aku, kerap tengking dan langsung tidak mempedulikan aku sebagai seorang suami. Fikiran aku, mungkin ini pembawakan anak gamaknya.
Begitu juga dengan ibu Ayu, aku lihat dia tidak begitu suka dengan apa yang telah aku lakukan untuk Ayu. Dia sebolehnya tidak mahu aku dekat dengan Ayu. Semua ini berlarutan sehinggalah
Ayu selamat melahirkan anak lelaki kami, Imran.
Dua Tahun Ku Cuba Bertahan
Pergolakan rumah tangga aku semakin ke kemuncak. Ayu langsung tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Bukan sahaja nafkah batin tetapi juga makan pakai aku langsung tidak dihiraukan.
Seolah-olah aku ini tidak wujud dalam hidupnya. Ibu mentua dan Ayu hanya memberi perhatian pada Imran sahaja.
Aku cuba menyuarakan rasa tidak puas hati dan selesaikan masalah yang dihadapi, namun sia-sia. Ayu lebih pentingkan anak kami dan ibunya sahaja. Hampir dua tahun aku bertahan dengan sikap Ayu dan ibunya.
Bila keadaan tidak berubah dan perangainya yang semakin menjadi-jadi, aku terus mengambil keputusan untuk berpisah. Aku balik semula ke rumah aku dan hanya hubunginya apabila ia melibatkan anak sahaja.
Nafkah untuk anak tunggal kami, tidak aku lupakan. Sejak dari itu, ada juga Ayu menghubungi aku dan ingin merujuk kembali demi anak tunggal kami.
Namun, aku masih belum mampu terima apa yang Ayu dan ibunya lakukan. Aku tidak mahu dianggap dayus dan mengikut telunjuk isteri. Biarlah aku sendirian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Diuji Rumah Tangga Musnah Di Tengah Jalan
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Alasan Sibuk Belajar
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Diuji Hadirnya Cinta Baru
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Diuji Suami Berkahwin Lagi
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Ibarat Roda
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Buat Analisis Dulu
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Ada Kekuatan
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mana-mana isteri pun tidak berniat untuk mengawal suami bila keluar lepak dan pulang lewat ke rumah. Bagaimanapun jika suami hari-hari keluar lepak dengan kawan-kawan sehingga awal pagi, isteri mana yang mampu bersabar.
Mulalah suami melabel isteri sebagai ‘queen control’ dan suka mengongkong. Kalau nak diikutkan, isteri bukan bermaksud nak kawal segala pergerakan suami. Tapi sebenarnya, mereka susah nak luahkan beberapa perkara ini.
5 SEBAB ISTERI MERAJUK KALAU SUAMI BALIK LEWAT & ASYIK LEPAK DENGAN KAWAN
Isteri Bukan Nak Kontrol, Suka-suka Tegur Bila Suami Keluar Lepak Dengan Kawan-kawan & Pulang Lewat
1. ISTERI ANDA SANGAT LETIH
Punca paling utama isteri kurang senang bila suami balik lewat ialah kerana mereka dah terlalu penat apabila seharian di rumah mengurus anak. Bagi surirumah terutamanya, hari mereka bermula seawal 5-6 pagi. Mereka ni bangun paling awal, tidur pula paling lewat. Nak siapkan anak ke sekolah, mengurus bayi, mengambil anak balik sekolah, menyediakan makan, mengemas, mencuci dan macam-macam lagi.
Suami kena faham, hari mereka tak pernah berenggang dengan rengekan dan ragam anak masing-masing. Seorang nak makan, seorang nak tidur, seorang nak berdukung, seorang nak ajak bermain. Selagi kita sendiri tak ‘hadap’ benda-benda ni, kita takkan faham kepenatan mental dan emosi yang dialami.
Bila suami baliklah baru dapat nak ‘bernafas’ sikit. Itupun sekadar memenuhi keperluan diri. Nak mandi, nak ke tandas, nak makan, nak minum kopi yang dari pagi tadi tak habis-habis. Letih. Terlalu letih.
2. ISTERI RASA SUNYI
Walaupun setiap masa ditemani anak-anak di rumah, isteri perlukan seorang dewasa untuk mendengar ceritanya, meluahkan apa yang terbuku di hati, berbincang mengenai anak-anak, urusan kerja rumah atau sekadar berbual kosong. Sebab itulah isteri boleh bercakap tanpa henti sebaik saja si suami melangkah masuk ke rumah. Mungkin si isteri tak bermaksud nak membebel, tapi dalam hatinya cuma nak berkongsi.
Bayangkan kalau kita di tempat kerja tanpa office mate yang ‘sekepala’ dengan kita, tentu mudah kita rasa tertekan dan stres di pejabat kan? Begitulah juga halnya dengan isteri anda. Cuba ingat semula, bila kali terakhir si isteri keluar bersama rakan-rakannya. Mungkin dah terlalu lama sampai isteri pun dah lost contact dengan mereka.
3. ISTERI DAH MASAKKAN SESUATU YANG ISTIMEWA
Bila isteri dah masakkan makanan kegemaran suami, tapi tahu-tahu dia ada rancangan lain. Tentu rasa sedikit ‘berkecai’ perasaan walaupun ia bukanlah disengajakan. Bukan senang nak cari barang memasak yang complete khas buat suami.
Nak tak nak terpaksalah simpan lauk dalam peti. Suami pula bukan jenis makan berulang. Setiap kali terpandang, nak memasak pun rasanya tak ada mood lagi.
4. KASIHANKAN ANAK-ANAK
Dari tadi asyik tanya “Papa mana?”, “Bila Papa balik?”. Sampai kita yang naik geram sebab dah banyak kali diberitahu.
Bayangkan kalau suami sampai rumah jam 6 petang dan anak masuk tidur lebih kurang jam 9-10 malam. Kasihan dengan anak-anak sebab masa bersama ayah cuma 3-4 jam setiap hari. Masa yang singkat itulah si anak-anak nakkan perhatian dan bermanja dengan ayahnya. Kalau yang jenis kerja luar dan tak tentu masa, lagilah kasihan…
5. RASA KURANG DIHARGAI
Walaupun menguruskan rumah dah menjadi sebahagian rutin isteri setiap hari, dah tentu ada hari-hari yang lebih mencabar buatnya. Contohnya kalau anak langsung tak nak tidur atau anak punya pe’el asyik nak berkepit hari ni.
Rasa tak boleh buat apa-apa sampaikan nak solat pun susah. Rasa teringin nak diajak shopping atau makan di luar. Tapi didiamkan saja sebab takut menyusahkan atau menjadi beban pada suami. Tapi tiba-tiba suami ada rancangan lain tanpa bertanyakan keadaan kita yang tunggang terbalik di rumah, manalah tak ‘makan hati’.
Suami kalau balik lewat tu, bawalah something untuk gembirakan isteri. Tapaulah makanan ‘favourite’ dia. Paling kurang kalau terlupa sangat pun belilah coklat dekat 7e tu. Bukannya susah. Itu kan tanda ingatan dan keprihatinan.
Selain itu, pertanyaan ringkas seperti “Awak dah makan?” atau “Anak-anak OK tak hari ni?” dah cukup membahagiakan. Kalau isteri nampak letih sangat, sesekali ‘offer’lah nak picit badan mereka. Mesti terus tak jadi marah!
BUKAN NAK MENGADA-NGADA
Sesekali kalau isteri merajuk tu pujuklah. Jangan anggap mereka mengada-ngada pula. Jauh sekali nak jadi ‘queen control’.
Isteri mana yang tak mahukan perhatian daripada suami, kan? Lagipun, dah nama pun orang perempuan. Merajuk itulah salah satu tanda dia sayang.
Siti pesan, Umairah jangan lupa mak ayah. Sebagai ibu saudara dan juga Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi nasihat cukup bermakna buat penyanyi...