Bapa dua anak didakwa bunuh bekas isteri dan teman lelaki di Guar Chempedak. Seorang bapa kepada dua orang anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua tuduhan membunuh bekas isteri serta seorang lelaki dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak, yang berlaku kira-kira dua minggu lalu.
Bapa Dua Anak Didakwa Bunuh Bekas Isteri Dan Teman Lelaki Di Guar Chempedak
Memetik Sinar Harian tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, yang bekerja di sektor swasta, didakwa menyebabkan kematian Nurul Nur Syamira Khamis, 28, dan Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Syed Al Iqbal dituduh membunuh Ku Mohd Asraf, manakala pertuduhan kedua pula berkaitan dengan kematian Nurul Nur Syamira. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Nona antara jam 9 hingga 10 malam pada 11 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori. Sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, pesalah boleh dipenjara antara 30 hingga 40 tahun serta disebat tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.
Ads
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.
Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dan tiada sebarang tawaran jaminan diberikan.
Ads
Peguam bela, Abdul Hayyi, bagaimanapun memohon agar anak guamnya ditempatkan di Penjara Marang, Terengganu untuk memudahkan lawatan keluarga yang kini menjaga dua anak tertuduh berusia tiga dan enam tahun. Namun begitu, Majistret Anis Suraya Ahmad menjelaskan bahawa penempatan tertuduh adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara Malaysia.
Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ibu & anak meninggal dunia dalam kereta, lemas akibat terhidu gas karbon monoksida. Dua beranak, Zabanah Abu Hussin, 57 dan anak perempuannya, Intan Nur Syafiqah Othman, 25 ditemui sudah tidak bernyawa di dalam kenderaan Exora dipercayai lemas akibat terhidu gas karbon monoksida malam semalam.
Apa yang menyedihkan, kenderaan dinaiki dua beranak ini hanya berjarak 50 meter sahaja dari rumah anak saudara mangsa iaitu Khadijah Abu Bakar, 37 yang menjadi tempat dua beranak ini melepaskan penat setiap hari selepas bekerja di bekerja di sebuah kedai makan di Cheng, di sini.
Namun semalam, lebih 20 kali Khadijah menghubungi ibu saudaranya itu sejak dari jam 7 malam, mahu bertanya di mana keberadaan mereka untuk makan bersama namun malangnya pangggilan itu tidak berjawab hingga ke tengah malam.
“Lebih 20 kali saya menghubungi arwah tetapi tidak berjawab. Hampir setiap hari, arwah bersama Intan Nur Shafiqah akan datang ke rumah saya sekitar jam 7 malam untuk berehat sebelum pulang ke kediaman mereka di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah, kira-kira jam 10 malam.
“Malam tadi, kami menunggu untuk makan bersama tetapi mereka tidak juga sampai. Kami berasa pelik dan cuba menghubungi lebih 20 kali namun tidak berjawab.
“Hinggalah sekitar jam 11 malam, abang saya menelefon untuk memberitahu bahawa dua beranak itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta Proton Exora yang diparkir di tepi jalan, kira-kira 50 meter dari rumah saya di Paya Rumput,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.
Khadijah berkata, beliau terus bergegas ke lokasi dan mendapati anak lelaki arwah cuba memberi bantuan pernafasan tetapi tidak berjaya sebelum pegawai perubatan yang tiba kemudian mengesahkan Zabanah dan anak perempuannya telah meninggal dunia.
“Ketika kami cuba membantu arwah, memang terhidu bau gas sangat kuat dalam kereta itu dan brek tangan dalam keadaan ditarik.
“Ada orang kampung memberitahu yang mereka nampak kereta arwah diparkir di situ sejak jam 9 malam lagi,” katanya.
Beliau yang bersedih atas kejadian itu menganggap dua beranak itu sebagai keluarga kandung yang rapat dan mesra.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata polis menerima panggilan kecemasan pada jam 12.24 pagi daripada seorang orang awam yang memaklumkan dua wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kenderaan.
Pemeriksaan lanjut mendapati, ibu tunggal ini bersama anaknya dipercayai berehat dan berada di tempat duduk hadapan dalam keadaan terbaring. Hasil pemeriksaan lanjut pihak polis, tiada kesan kecederaan atau unsur jenayah ditemui dan polis percaya punca kematian ialah kebocoran gas dalam kenderaan yang menyebabkan kedua-duanya lemas.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut akan dijalankan selepas bedah siasat selesai dilaksanakan. Innalilahi wa inna ilahi rojiun. Moga roh keduanya ditempatkan di kalangan orang beriman. Sumber:- Berita Harian.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lelaki menangis di kubur dua beradik lemas – “Pakcik minta maaf tak dapat selamatkan, pakcik cuba, tapi pakcik tak boleh.”
Itulah kata-kata penuh sebak diluahkan oleh Ade Mos, 47, ketika menyaksikan detik pilu pengebumian dua beradik yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke Sungai Linggi, Tanjung Agas, minggu lalu.
Ade yang juga bapa kepada seorang anak perempuan berusia 10 tahun dilihat tidak mampu menahan air mata sepanjang proses pengkebumian berlangsung. Tangisannya tidak berhenti sejak jenazah diturunkan ke liang lahad hingga selesai bacaan doa, seakan-akan dirinya mempunyai pertalian darah dengan kedua-dua mangsa.
Hakikatnya, Ade hanya mengenali mereka dalam tempoh seminggu sebelum tragedi itu. Namun pertemuan singkat tersebut meninggalkan kesan begitu mendalam di hatinya.
“Kedua-dua arwah, terutama kanak-kanak perempuan itu, terlalu ceria dan membuatkan saya rasa dia sudah seperti anak kandung saya sendiri.
“Dia punya manja dan keletah itu membuatkan saya teringat-ingat. Disebabkan itulah walaupun perjumpaan saya dengan dia singkat, bagi saya ia sangat mendalam,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, Selasa lalu.
Buruh itu menjelaskan, dia sering melihat keluarga mangsa memancing di sungai berkenaan dan pernah berbual dengan bapa mereka. Dari situ, dia mula mesra dengan kanak-kanak perempuan terbabit.
“Yang perempuan itu sangat petah bercakap dan banyak bertanya kepada saya, itu yang membuatkan saya rapat dengannya.
Selain itu, nama arwah juga hampir sama dengan anak saya dan saya sudah sayang padanya,” ujarnya.
Ade mengakui rasa terkilan masih menyelubungi dirinya kerana gagal menyelamatkan kedua-duanya, meskipun dia berjaya menyelamatkan seorang wanita yang turut berada dalam kereta tersebut.
“Jadi bila saya dapat panggilan daripada seorang polis memaklumkan yang mangsa akan dikebumikan, saya tanpa berfikir panjang terus datang ke sini.
“Saya nak tengok mereka buat kali terakhir kerana saya dah rasa mereka macam anak sendiri, pada masa sama saya rasa ralat kerana tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya lagi.
Jenazah dua beradik itu akhirnya selamat dikebumikan sekitar jam 5.30 petang. Difahamkan, bapa mereka yang kini direman turut dibawa polis ke tanah perkuburan, namun hanya berada di dalam kenderaan sebelum dibawa pergi sebelum pengebumian selesai. Lelaki berusia 46 tahun itu sebelum itu sempat dibawa ke hospital untuk melihat anak-anaknya buat kali terakhir.
Tiada waris lain hadir, sebaliknya pengebumian diuruskan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dengan kehadiran penduduk kampung dan anggota polis. Turut kelihatan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udian serta Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Ruslan Mat Kib.
Dabra Sia buktikan cinta mendalam & mahu martabat budaya indah sabah ke mata dunia. Begitu mulia dan teguhnya cinta penyanyi wanita yang berasal dari Sabah, Dabra Sia, yang bekerja keras atas dasar cinta mendalam terhadap budaya di Sabah.
Pernah melakar pencapaian bermakna apabila dijemput membuat persembahan dalam dua acara berprestij di Singapura, iaitu Pesona Anggerik: Truly Asia Orchids dan Sabah Fest 2025 baru-baru ini. Paling penting dalam dirinya mahu mengangkat budaya Sabah lebih megah bukan setakat di Malaysia, tapi seluruh pelusuk dunia.
Dabra juga turut mengangkat kebudayaan di Sabah sebagai antara tarikan yang disampaikan di dalam lagu-lagunya. Malah Debra Sia telah menghiburkan pengunjung di Matta Fair, Lembaga Pelancongan Sabah baru-baru ini.
Dirinya juga telah membuat persembahan lagu-lagu popularnya di Matta Fair Kuala Lumpur sambil mengajak pengunjung menari bersama sebagai langkah mempromosi pelancongan di negeri dibawah bayu itu.
Salah satu lagunya yang dikenali ialah “Hanya Di Sabah” merupakan antara lagu popular yang memperkenalkan keindahan Sabah dalam usaha menarik orang ramai datang ke negeri itu. Lirik lagu ini menyebut pelbagai lokasi dan budaya Sabah seperti Bosou, Tuhau, Tawau, Keningau, serta perkataan serumpun seperti “Bah”. Lagu ini menonjolkan rasa bangga terhadap Sabah.
Dalam masa sama, Debra Sia turut mengangkat kebudayaan di Sabah sebagai antara tarikan yang disampaikan didalam lagu-lagunya.
Sabah sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai “Destinasi Kegemaran Malaysia” apabila menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung di Matta Fair Kuala Lumpur, sebuah pameran pelancongan pengguna terbesar yang berlangsung pada 5 hingga 7 September yang lalu.
Penyertaan 40 pengendali pelancongan dan penginapan dari Sabah telah mencatat jualan memberangsangkan sebanyak RM5.1 juta, sekaligus mencipta rekod baharu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14.2% berbanding penyertaan pada April 2025, dan 46.8% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada September 2024.
Acara dwi tahunan ini menyaksikan Sabah mengambil 94 ruang pameran di Dewan MITEC, Kuala Lumpur.
Delegasi utama Sabah diketuai oleh YB Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Dalam acara tersebut, Datuk Joniston telah melancarkan tiga pakej percutian baharu iaitu: Pakej Percutian Keluarga, Pakej Percutian Kudat, dan Pakej Percutian Tawau. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Surrendren Sathasivam, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Nigel Wong, Presiden MATTA; Datuk Tan Kok Liang, Pengerusi Penganjur Matta Fair dan Timbalan Pengerusi STB; Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif STB; serta Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Pengarah Kanan Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami amat berpuas hati dengan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Sabah di Matta Fair Kuala Lumpur. Acara ini membuktikan tarikan destinasi serta minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian tawaran pelancongan negeri Sabah. Dengan pelancaran pakej baharu ini, kami teruja untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan semula jadi, dan menyelami kekayaan budaya dan warisan Sabah yang penuh warna-warni,” kata Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah.
“Lembaga Pelancongan Sabah juga berbangga untuk mengukuhkan komitmen kami terhadap pelancongan lestari melalui penyertaan dalam Pavilion MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI). Di reruai ini, kami telah menampilkan pelbagai tarikan destinasi serta inisiatif Sabah, sekaligus menunjukkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan warisan, dan amalan pelancongan mampan. Usaha ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan dan kekayaan budaya Sabah melalui pendekatan bertanggungjawab terhadap pelancongan,” tambah beliau.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Pavilion Sabah, termasuk permainan tradisional, cabaran tarian tradisi, dan pengalaman Realiti Maya (VR). Sepanjang pameran, Lembaga Pelancongan Sabah turut menghiburkan pengunjung dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Era Budaya. Turut diumumkan dalam pameran itu ialah penganjuran Flamewave Music Festival, sebuah acara muzik yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 25 hingga 26 Oktober 2025, yang dianjurkan oleh Olumis Consulting and Technology Sdn Bhd.
Tarikan ikonik Sabah seperti Kundasang, Semporna dan Kota Kinabalu kekal menjadi pilihan utama pelancong. Negeri ini terus menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang mencari keindahan alam semula jadi yang luar biasa, kepelbagaian budaya yang kaya, serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Para pelawat digalakkan untuk terus meneroka, merasai dan menikmati Sabah bukan hanya sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai satu pengalaman.
Ibu bapa anak kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta semalam dilihat sukar mengawal perasaan dan hanya menangis ketika menunggu jenazah anak di Unit Forensik Hospital Rembau.