Sememangnya ayah sepatutnya jadi lelaki pertama di hati anak perempuan, luangkan masa berdua untuk berdating agar hubungan anak perempuan dan ayah menjadi rapat.
Percayalah anak perempuan menjadi bangga apabila dapat menghabiskan masa bersama berdua dengan ayah tanpa orang lain.
Malahan perkara ini akan turut dicemburui jika dia mempunyai adik-beradik perempuan yang lain. Tak perlu selalu, tetapi wujudkan ruang waktu untuk ayah bersama anak perempuan kerana sangat penting untuk dia merasa sentiasa disayangi oleh ayahnya.
Ayah Sepatutnya Jadi Yang Pertama
Ikuti perkongsian Firdaus Mokhtar ini dan fahami sebaiknya mengapa kita perlu berbuat demikian:
Kawan-kawan yang baik, yang ada anak perempuan kalian kena jadi begini;
1. Ayah sepatutnya menjadi lelaki pertama yang hidup dalam hati anak perempuan. Lelaki pertama yang dia belajar untuk mencintai.
2. Lelaki yang menjadi idola kepada anak perempuan. Yang menjadi bahu tempat mereka menangis dan mengadu masalah. Menjadi hero dalam drama kehidupan anak perempuan.
3. Dialah lelaki paling kacak, paling mulut manis, paling pemurah, paling lemah lembut, paling sabar di mata anak.
4. Daripada ayah jugalah anak perempuan mengharapkan pujian. Memberi sokongan kepada apa sahaja yang anak perempuan cuba untuk buat.
Sebab itu kalau nak buat aksi lasak, terjun dalam kolam yang dalam, nak main basikal 2 roda untuk kali pertama, nak cuba turun gelongsor yang tinggi 2 tingkat bangunan, mesti kena ada ayah yang beritahu, “Kakak boleh buat.”
Cukup begitu, dia akan yakin untuk terus terjun.
Anak Perempuan Rasa Disayangi Bila Keluar Berdua
Semua ini yang anak suka nak lihat bila dia keluar berdua dengan kita. Bila ada adik beradik lain, dia tak rasa kita boleh beri perhatian ke dia seorang.
Timbullah perasaan dia tak disayangi. Dia bukan anak yang baik. Dia rasa dirinya tak cantik. Dan dia juga akan rasa tak pandai bercakap.
Hilang keyakinan diri.
Atau sebaliknya lebih teruk, dia sangat perlukan sokongan seorang lelaki, tapi tak dapat daripada ayah dia sendiri. Maka, dia akan cari lelaki lain yang boleh dijadikan sandaran.
Inilah bahaya.
Begitulah.
Oh ya, hari tu siap Ameenah ajak kami pergi hotel. Maksud dia nak ajak pergi bercuti. Tapi dia ajak tu hari Rabu.
“Eh, tak boleh. Esokkan ummi kerja,” saya kata ke dia. Ummi dekat sebelah pun mengangguk.
Tenang dia balas;
“Biarlah Inah pergi dengan walid je berdua.”
Hahaha. Dia ok je kalau pergi bercuti dengan walid saja.
Nampak tak?
MW: Anak perempuan sangat memerlukan sokongan daripada ayahnya, bukan hanya setakat kasih sayang. Jangan sampai anak perempuan selesa mencari lelaki lain di luar sana yang memberi perhatian “lebih” padanya. Itu sangat berbahaya.
Selalunya orang bercerita tentang anak lelaki. Karenah anak lelaki semasa kecil dan tanggungjawabnya bila meningkat dewasa. Jarang kita bercakap hal anak perempuan. Baik anak lelaki mahu pun anak perempuan, semuanya mempunyai cara yang berbeza dalam menjaganya.
Ada orang cakap beruntung dapat anak perempuan, esok-esok ada kawan temankan mak di dapur. Ramai anak lelaki pula, boleh jadikan satu team bola sepak. Bila peroleh anak perempuan, sudah tentu inginkan anak lelaki pula. Begitu juga bila ada anak lelaki, mahukan anak perempuan pula.
Ditakdirkan rezeki semua anak permpuan dan semua anak lelaki. Terimalah dengan redha sebab itu rezeki yang Allah berikan. Beruntungnya bila mak ayah mempunyai kedua-duannya. Dari situlah tahu macam mana peel dan perangai anak perempuan dan lelaki cukup berbeza.
Perkongsian daripada Nooraffia Abdullah cukup memberi kesan dan peringatan mak ayah di luar sana tentang cabaran menjaga anak perempuan dan anak lelaki yang memang berbeza.
MW: Begitulah bezanya besarkan anak perempuan dan anak lelaki. Sebagai mak ayah, kita kena peka sebab semua ini adalah tanggungjawab mak ayah yang akan ditanya esok nanti.
Membesarkan dan mendidik anak-anak memang tak mudah. Sementelah, apabila menjadi mak ayah ia tak membuatkan kita serba serbi betul dan sempurna. Pandangan dan suara hati daripada anak-anak terhadap kita juga harus diambil kira. Latih anak-anak agar berani suarakan apa yang ada dalam hati mereka, agar hubungan lebih rapat dan mesra, serta mak ayah dapat memperbaiki kekurangan yang ada.
Setiap bulan, saya akan bertanya kepada anak-anak apa yang mahu di buat menjelang weekend (Jumaat dan Sabtu). Tidaklah setiap hari, hanya hujung minggu.
Anak-anak akan request. Nak tidur lewat, nak makan mee hailam, nak spaghetti, nak moi sup, nak bermain basikal, nak menonton cartoon atau movie. Selalunya kami layankan je, ye la time ni ja masa untuk penuhi hajat anak-anak.
Cuma sejak PKP, anak kedua saya meminta sesuatu yang tidak pernah dia minta sebelum ini.
Zhafran meminta ‘Ummi jangan marah-marah tau’.
Saya terkejut. Saya renung muka Zhafran lama-lama. Beliau anak yang baik, sopan, tidak pernah bercakap kasar dan anak yang sangat manja.
Saya hanya membalas ‘ok sayang’.
Saya control emosi saya dan cuba penuhi permintaan itu. Saya ingatkan dah setel, tetapi setiap bulan Zhafran hanya ulangi permintaan yang sama.
“Ummi jangan marah-marah”.
Akhirnya saya tanya suami saya, “Saya kerap marah-marah ke sejak dua menjak ni? Saya rasa saya tak marah-marah.”
Owh.. Baru saya tersedar, itu yang saya terlupa ubah rupanya..
Iya, saya rasa saya tidak meninggikan suara, rupa-rupanya nada suara saya tegas, tidak mesra, tidak menasihati tetapi hanya memberi arahan, dingin dan mungkin bagi anak-anak, saya sudah tidak seperti dahulu.
Kadang-kadang kita tidak perlukan orang luar untuk menegur kita,hanya bertanya kepada keluarga kecil kita, mereka jujur memberi tahu segala-galanya.
Anak-anak atau pasangan, takkan pernah menjatuhkan kita. Merekalah orang yang paling telus dan mahukan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita.
Selalu juga saya terlupa, saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi saya tidak bertanya apa yang anak-anak inginkan dari saya.
Saya okey je sebenarnya kalau suami atau anak-anak tegur, macam mana saya mahu pasangan dan anak-anak mendengar apa yang saya nasihatkan, saya juga tidak kisah menerima permintaan mereka untuk saya mengubah sikap menjadi lebih baik dari sebelum ini.
Latih anak-anak kita untuk berani voice out apa yang ada di dalam hati mereka, dengarlah pendapat mereka tentang diri kita dan belajarlah menerima kekurangan kita serta perbaiki kelemahan kita.
Menjadi ibu bapa tidak membuatkan kita 100% betul dan sempurna.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat mak ayah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Sungguh, menjadi mak ayah bukanlah ‘tiket’ membuatkan kita betul dan sempurna serba serbi, ambil positif dengan teguran daripada anak dan belajar untuk terus memperbaiki diri agar menjadi lebih baik.
Diuji dengan pelbagai ujian adalah lumrah dalam kehidupan. Ujian tiao orag ak sama. Ikuti pengakuan seorang ibu tunggal yang dalam dilema bila mak dan ayahnya tak mengizinkannya menjadi isteri kedua.
Puan Maimunah Mohamad, seorang kaunselor telah memberikan sedikit pandangan berkenaan perkara ini.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya seorang ibu tunggal dan memiliki sepasang cahaya mata yang berusia 10 dan 8 tahun. Sudah hampir enam tahun saya bergelar janda setelah bercerai dengan bekas suami.
Kalau diikutkan, perkahwinan saya dan bekas suami dahulu, K, adalah atas aturan keluarga. Saya sebagai anak sulung daripada lima bersaudara hanya menurut kata keluarga. Bagi saya, pilihan mereka adalah yang terbaik.
Ternyata manusia hanya mampu merancang. Perkahwinan saya mula goyah selepas anak kedua lahir. Saya seorang yang sangat mementingkan akademik. Selepas berkahwin dan punya anak, saya tetap menyambung pelajaran hingga memiliki ijazah sarjana. Suami seorang pegawai bank. Saya beruntung kerana memiliki keluarga yang sangat supportive. Dua anak saya mereka yang uruskan bila saya fokus belajar. Lebih-lebih lagi itulah dua cucu pertama dalam keluarga waktu itu kerana adik-adik belum berkahwin.
Entah sejak bila sebenarnya suami berubah dan kesibukan saya membuatkan dia juga makin ‘langkah panjang’. Asyik kerja hujung minggu dan out station. Saya yang sibuk belajar tak pernah syak apa-apa hinggalah terbongkar rahsia dia curang di belakang saya.
Dia menuduh saya abaikan dia kerana sibuk belajar dan ia membuatkan saya murung dan rasa bersalah. K salahkan saya atas apa yang berlaku sedangkan sebelum kahwin saya sudah tetapkan syarat, bahawa saya akan cuba menyambung pengajian sehingga ke peringkat yang saya mampu. Tapi, selepas kahwin lain pula jadinya.
Dipendekkan cerita, kami bercerai atas persetujuan bersama. Agak lama saya murung hingga membawa diri ke luar negara menyambung pelajaran. Anak-anak ditinggalkan bersama mak dan ayah di Malaysia. Bukan tak sayang anak, tapi keluarga tak izinkan saya bawa mereka bersama kerana mereka masih kecil dan kasihan saya seorang yang kena jaga nanti.
Syukur, saya mampu bangkit kembali dan lupakan sejarah silam. Tak adil kalau terus nak salahkan diri. Saya bukan perkara tak elok hingga bekas suami cari alasan curang. Dia juga silap! Akhirnya saya buktikan mampu jalani hidup dengan tenang bersama anak-anak.
Selepas enam tahun, saya yakin diri saya seorang wanita yang tabah dan kuat, mampu hidup sendiri tanpa lelaki. Namun, saya tewas juga dengan naluri sebagai wanita normal. Perkenalan saya dengan seorang lelaki telah mencetuskan kembali rasa cinta di hati. Yang menjadi masalah, dia suami orang. Sudah 12 tahun kahwin namun belum dikurniakan cahaya mata. Tapi memiliki seorang anak angkat.
Puas saya cuba tepis perasaan itu kerana saya tak nak lukakan hati wanita lain namun apa daya. Cinta hadir juga di hati ini yang sekian lama sepi. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan matang. Dia tak pernah burukkan isterinya malah mengaku sangat sayangkan isterinya. Perkara pertama yang diberitahu selepas kami serius, dia takkan sekali-kali ceraikan isterinya kini. Bila saya bersetuju untuk berpoligami kelak, barulah kami teruskan hubungan ini.
Puan, saya pernah beritahu keluarga akan hal ini namun keluarga saya membantah. Mereka tak merestui saya bermadu. Kecualilah teman lelaki saya itu menceraikan isteri pertamanya. Puan, saya tak kejam untuk minta teman lelaki saya itu ceraikan isterinya. Dalam masa yang sama, saya sudah sayang sepenuh hati pada lelaki itu dan tak sanggup berpisah dengannya. Dia juga rapat dengan anak-anak. Bagaimana cara saya nak pujuk keluarga saya? Ikutkan hati, mahu saja saya ajak teman lelaki saya itu kahwin rahsia. Apa pandangan puan?
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Ada orang bahagia dengan punya pasangan yang baik, ada orang bahagia hanya dengan anak-anak yang dimilkki, ada orang bahagia dengan kerjayanya, pencapaian akademiknya, kedudukannya. Ada orang bahagia hidup bersendirian dan bersama rakan-rakan yang sama minat dalam menjalani kehidupan “single” dan ada orang bahagia melakukan kerja-kerja amal dan beribadah kepada Allah. Maka konsep bahagian itu relatif antara manusia.
Pandangan kasar orang melihat bahagia itu punya pasangan, anak-anak, keluarga dan harta. Bahagia bagi puan juga berbeza dengan wanita lain. Puan sebelum ini bahagia apabila pencapaian akademik yang puan usaha selama ini membuahkan kejayaan.
Namun di sebalik kebahagiaan itu diuji dengan suami yang mencari wanita lain dengan alasan puan sibuk menumpukan kepada pengajian puan. Puan telah berpisah kerana tidak mampu ada suami yang puan anggap curang bukan?
Konsep curang ini pula perlu ditafsir semula kKerana jika dia berkahwin, mungkin konsep ini kurang sesuai digunakan. Kecuali dia ada hubungan sulit dengan wanita lain, maka itu boleh dikategorikan sebagai curang.
Takdir telah menentukan segalanya hingga puan mampu melupakan kisah itu. Kini puan diuji pula adanya lelaki lain yang cuba untuk memperisterikan puan. Saya ingin bertanya, jika isteri lelaki yang puan maksudkan itu tahu suaminya berhubung rapat dengan wanita lain (puan), boleh tak dia katakan suaminya curang terhadapnya?
Puan, hidup ini ibarat roda. Boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Jika dulu puan benci kepada suami kerana dia curang terhadap puan atas alasan puan tidak memberikan tumpuan terhadapnya, maka tidakkah isteri teman lelaki puan itu boleh merasa perkara yang sama ?
Kadang-kadang kita terlupa, kita pernah berbuat sesuatu yang satu hari kita juga terlibat dengan tindakan yang sama. Ini saya bawa agar puan lebih nampak sesuatu itu dengan lebih terbuka dan ada pertimbangan. Kalau dulu puan tidak mahu berpoligami, kini puan bolehkah menerima poligami?
Baiklah, kita ketepikan dahulu, kerana situasi dan manusia boleh berubah. Sebelum puan mengambil keputusan, elok beberapa perkara puan senaraikan agar lebih jelas untuk mengambil keputusan.
Pertama, apa yang menyebabkan keluarga menghalang puan berkahwin dengan lelaki itu? Kedua, adakah teman lelaki puan telah memaklumkan kepada isterinya bahawa dia mahu mengahwini puan? Adakah puan betul-betul bersedia jika ditakdirkan berpoligami? Cari dulu jawapan kepada persoalan ini. Fikir secara mendalam sebelum buat keputusan. Tidak dinafikan alam rumah tangga berbeza dengan alam perkenalan atau percintaan.
Tapi manusia sering alpa. Semuanya indah ketika bercinta. Namun tiada keputusan betul atau salah yang puan lakukan. Tidak salah untuk menerimanya. Yang salah jika berhubung mesra tanpa ada hubungan yang sah.Tidak salah jika puan menerimanya. Namun, banyak juga bergantung kepada kekuatan diri untuk berhadapan dengannya.
Setelah mengambil semua pertimbangan, dan hati puan bertekad untuk menerimanya, maka saya percaya puan punya banyak kekuatan ke arah itu. Dulu puan berusaha untuk berjaya dalam akademik, berjaya mendidik anak, mampu selama 6 tahun hidup tanpa suami, dan berusaha mendapat berkerjaya yang baik.
Kalau ini puan boleh lakukan, berkemungkinan besar puan boleh berhadapan untuk meyakinkan keluarga, menerima poligami, berhadapan dengan cercaan bakal madu (mungkin) atau boleh empati terhadap perasaannya. Boleh jadi juga dia menerima puan dengan berlapang dada.
Yang penting puan mampu berhadapan dengan segala cabaran dan dugaan. Jika puan belum bersedia, maka cuba jauhkan diri dari lelaki tersebut, kerana semakin lama berhubung dengannya, maka semakin kuatlah ikatan emosi puan terhadapnya. Begitu juga dia. Janganlah pula isterinya pula berkata dia curang!
Jika alasannya kukuh untuk mendapatkan zuriat, maka dia juga mesti berani hadapi kenyataan untuk menyatakan hasratnya kepada isterinya. Namun, jika alasan selain daripada itu, pun dia mesti berani berhadapan dengan respon isterinya. Jangan sembunyi, hidup mesti berterus terang.
Jika ditakdirkan puan tidak nampak jalan untuk meneruskan hubungan itu, cepat-cepat buat keputusan sama ada kahwin terus atau tinggalkan terus. Tiada hubungan rakan atau apa-apa hubungan yang tidak rasmi. Kelak nanti merana diri…Allah pun tidak gemari. Wallahualam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Avatar The Last Airbender jadi perhatian selepas klip filem baharu bocor di media sosial. Seorang lelaki ditahan kerana didakwa akses server secara haram.