Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Ads
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Ads
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Ads
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu lumpuh ini merupakan atlet sukan angkat berat, pernah dinobat tokoh sukan OKU, tokoh pemimpin OKU dan suri mithali OKU. Kekurangan yang ada pada dirinya bukanlah satu alasan untuk dirinya berjaya dalam kehidupan. Sebagai seorang insan kerdil tiada yang dapat melawan takdir Yang Maha Esa. Kita semua pasti diuji, ada insan yang diuji dengan kesusahan dan kemiskinan ketika hidup. Ada yang diuji dengan kesakitan, dihidapi bermacam penyakit ketika hidup. Tidak terkecuali insan yang diuji dengan kecacatan dan lumpuh ketika hidup. Begitu jugalah dengan kehidupan yang melanda wanita yang bernama Sharifah Raudzah Syed Akil, 44 yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan ini.
Ibu Lumpuh Ini Merupakan Atlet Sukan Angkat Berat
Ibu kepada seorang cahaya mata yang pernah mendapat pendidikan menengah di SMK Rantau Panjang seterusnya menyambung pelajaran di Pacifuc Institute of Management, Kuala Lumpur & Pusat Pemulihan Cheras ini diuji demam panas ketika berusia dua tahun. Akibat dari itu ditakdirkan Sharifah Raudzah lumpuh dari aras pinggang hingga kaki. Namun nasib anak kedua dari lapan beradik ini cukup beruntung kerana ditakdirkan bertemu jodoh peneman hidup juga dengan seorang OKU yang rajin dan dedikasi, Mohd Kamaruddin Ibrahim. Mereka dikurniakan seorang anak yang diberi nama Nik Amirul Mukmin yang sudah berusia 17 tahun.
Sumbang Pingat Kepada Negara
“Walaupun pada zahirnya kudrat seorang OKU lumpuh membataskan pergerakan dan pergaulan saya, namun kekentalan semangat membuatkan saya telah menyumbang pingat pelbagai warna (emas, perak dan gangsa) kepada negeri dan negara dalam Sukan Angkat Berat Paragames di beberapa negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia ,Vietnam,Taiwan dan China.
“Saya beruntung kerana menerusi Sukan Angkat Berat saya telah berjaya membuka mata insan lain dengan kejayaan yang saya perolehi. Saya juga telah menerima beberapa anugerah dan penghargaan, antaranya Tokoh Sukan OKU dan Tokoh Pemimpin OKU. Saya juga tela terpilih menerima anugerah Suri Mithali Kategori OKU pada Hari Saidatina Khadijah yang berlangsung baru-baru ini,” ujar Sharifah Raudzah yang turut aktif sebagai sukarelawan kepada NGO kebajikan.
Tekad & Semangat Kental
Sharifah Raudzah juga memgang prinsip siapa yang berusaha dia dapat (apa yang dihajati) dan sesiapa yang sabar dia akan berjaya.
“Yang bulat takkan datang bergolek, Yang pipih takkan datang melayang, itulah prinsip keramat yang terpasak teguh dalam diri saya dan juga suami. Saya tinggal di Kampung Cawas Tanah Merah dan mencari rezeki halalan thoyyiba dengan mengusahakan perniagaan pelbagai jenis kerepek di rumah.
“Suami pula mencari nafkah dengan kemahiran membaiki radio dan televisyen. Malah kami juga memiliki sebuah kereta yang telah diubahsuai untuk kegunaan OKU. Sebagai seorang OKU saya tanamkan azam supaya berdikari. Saya dan suami juga tidak perlu rendah diri kerana dilahirkan sebagai OKU. Paling penting, kita harus bangkit untuk meneruskan hidup. Jangan terlalu berharap kepada bantuan orang lain tanpa berusaha.Tidak perlu meraih simpati tanpa berusaha sendiri,” sambung Sharifah Raudzah .
Sharifah Raudzah juga berasa sangat gembira kerana dikurniakan suami dan juga anak yang begitu baik. Malah suami juga meupakan pendorong utama dalam kejaannya.
“Saya beruntung kerana Allah jodohkan saya dengn seorang lelaki yang begitu memahami dan banyak berkorban untuk memastikan saya berjaya. Anak juga merupakan pendorong dan juga kekuatan saya. Bukan itu saja saya juga bertuah kerana mendapat sokongan penuh dari ibu, bapa, keluarga dan masyarakat. Malah kejayaan saya ini juga saya mau jadikan contoh dan ikutan terbaik buat insan lain,” tambah Sharifah Raudzah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Telah tiba ajalanya, tidak akan terlepas walaupun sesaat. Bayangkan pada mulanya adik yang kelemasan, tetapi dengan ketangkasan seorang abang, adik dapat diselamatkan. Malah mangsa juga dapat selamatkan rakan-rakannya.
Ternyata Allah lebih menyayangi dia, abang “pergi” buat selamatnya selepas selamatkan adik dan rakan. Remaja yang keletihan ini telah hanyut dibawa arus sebelum ditemui lemas.
Mayat remaja lelaki ditemui pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan lemas di Kampung Parit Haji Ali Laut, Parit Raja, dekat sini, hari ini.
Mayat Mohd Naqiuddin Adnan, 16, ditemui di dasar parit pada 8.40 pagi hari ini selepas dia dilaporkan lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya dan empat rakan pada 4.30 petang semalam.
Abang “Pergi” Selepas Selamatkan Adik & Rakan
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, hasil siasatan mendapati pada 4 petang semalam, mangsa turun mandi ke parit berkenaan bersama adiknya, Akmal Muzakir Adnan, 12, dan empat rakannya berusia antara 10 hingga 13 tahun.
“Lebih kurang 30 minit mandi manda, adik mangsa dan dua lagi rakannya dibawa arus sebelum mangsa berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mereka dengan menarik ke tepi parit berkenaan.
“Selain itu, dua lagi rakan adik mangsa yang turut mandi bersama terselamat.
“Akibat keletihan, mangsa kemudian dilihat hanyut dibawa arus dan tenggelam, namun adiknya serta empat rakan tidak berupaya menolong dan mendapatkan bantuan daripada penduduk berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat segera dijalankan sebaik maklumat diterima dengan membabitkan pihak berkuasa dan penduduk setempat, namun mangsa gagal dijumpai semalam.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ini dan pada 8.40 pagi, mayat mangsa dijumpai anggota bomba di dasar parit itu.
Hasil Bedah Siasat, Mangsa Lemas
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana lemas.
“Sehubungan itu, ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dengan pergerakan anak dan tidak membiarkan anak mandi di parit atau sungai dalam keadaan cuaca dan paras air yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Teknik Surface Searching
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, bomba menggunakan teknik ‘surface searching’ dari lokasi mangsa lemas ke arah arus air bertentangan iaitu arah Gate Air dengan jarak lebih kurang 1 kilometer (km).
Beliau berkata, parit berkenaan mempunyai lebar hampir 10 meter (m) dan kedalaman tiga meter (m).
“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan sebuah jentera FRT dan satu utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 8.50 pagi sebaik mayat mangsa ditemui,” katanya.
MW: Besar pengorbanan remaja ini, dia pergi buat selamanya setelah mengorbankan nyawa demi adik yang dikasihi. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkan dia di kalangan orang beriman. Amin. Al-Fatihah.
Masih ramai mak ayah kurang kesedaran bab simpan duit untuk anak-anak, ada yang langsung tak menyimpan sebab habiskan beli mainan anak dengan harapan suatu masa anak ada rezeki lain.
Malah duit raya anak pun, mak ayah tak ambil simpan sebab bagi anak-anak beli apa yang dia suka. Betul ke tindakan kita tu?
Haa… cuba renungkan perkongsian Puan Nurul Kasmadillawati Zakaria tentang kepentingan menyimpan duit untuk masa depan anak-anak.
Simpan Duit Untu Anak
Scroll fb, banyak kali terjumpa posting yang lebih kurang macam ni: Tak perlu simpan duit untuk anak-anak. Anak ada rezeki sendiri. Tak perlu runsing nak sediakan duit, rumah, kereta untuk anak. Anak nak sambung belajar boleh ambil loan atau belajar sungguh-sungguh dapatkan biasiswa. Biar anak hidup sendiri dengan rezeki sendiri. Duit sendiri guna untuk diri sendiri: melancong tengok dunia. Sedekah. Berwakaf. Tak perlu simpan duit banyak atau kumpul harta, bukan boleh dibawa mati. Nanti kita mati orang lain guna harta kita. Yang kita bawa ke akhirat adalah pahala dari harta yang kita belanjakan untuk agama.
Acik tak berapa nak setuju. Betul, duit kita perlu digunakan untuk diri sendiri. Bagus dah ajak orang bersedekah, infak, berwakaf. Tapi jangan sampai kata tak perlu simpan duit untuk masa depan anak dan tak perlu simpan harta sendiri.
Sampai Masa, Siapa Nak Bantu?
Katalah kita langsung tak menyimpan untuk anak, dengan harapan anak boleh hidup sendiri. Macam mana kita buat dulu, bermula dari tak ada apa-apa sampai boleh hidup senang. Mungkin perjalanan hidup kita dipermudahkan. Tapi kita tak tahu kalau ditakdirkan anak kita jadi orang kurang upaya, sakit teruk, ditimpa kemalangan sampai tak boleh bekerja. Macam mana dia nak hidup kalau kita tak bantu?
Kalau kita tak mula menyimpan sekarang, waktu dah tua mana nak dapat duit untuk bantu anak? Kejap lagi ada yang komen kata jangan doa mintak yang bukan-bukan. Baca dengan akal. Ini bukan acik ajak doakan benda tak elok untuk anak. Ini acik bagi contoh supaya faham.
Duit Belajar Anak
Bab anak nak sambung belajar, betullah ada loan dan biasiswa disediakan. Tapi cukup ke duit tu? Kita tak payah bagi duit untuk makan minum, beli buku, bahan projek anak? Katalah anak dapat belajar kat tempat jauh. Nak melawat kita kena naik kapal terbang. Katalah anak dapat belajar kat oversea. Kalau kita tak menyimpan dari sekarang, takkan kita tak nak melawat anak walau pun sekali waktu kat universiti? Paling koman kita nak datang waktu anak konvo. Kalau tak menyimpan dari sekarang, itulah yang jadi bergolok bergadai semata-mata nak berjalan.
Keadaan ekonomi dunia, kita tak tau macam mana. Lagi 10 tahun. Lagi 20 tahun. Tengok harga barang sekarang macam mana. Zaman anak kita nanti entah berapa harga rumah? Nak nak kalau kat bandar besar. Apa salahnya kita beli sekarang kalau mampu? Katalah anak kita ditakdirkan grad waktu ekonomi negara tengah teruk. Peluang kerja tak banyak. Walau pun graduan terpaksa kerja biasa yang tak pakai kelulusan. Sekarang pun banyak keadaan macam ni kan? Salah ke kalau kita sebagai ibu bapa tolong anak sendiri untuk survive?
Tak Rugi Menyimpan
Tak tau orang lain. Tapi pada acik, kita kena seimbangkan di antara dunia dan akhirat. Kumpul untuk di sana, jangan sampai tercicir hal dunia. Sama macam kerjaya. Pulun untuk kerja, jangan sampai keluarga terabai. Tolonglah menyimpan untuk diri sendiri, untuk masa depan, untuk keluarga. Tak rugi menyimpan. Tak nak simpan duit, ada banyak cari lain nak menyimpan.
Pesan wanita ini lagi, di facebook ni apa yang kita baca, tapis dulu sebelum terima. Tak kira walau siapa pun yang menulis.
Semoga bermanfaat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Rita Rudaini dedah sekolah sorok kes buli 'bawah karpet'-"Pelajar senior pukul, ikat pelajar di pokok sampai tak boleh berjalan." Pelakon terkenal tanah air, Rita Rudaini mendedahkan pengalaman pahit apabila salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya menuntut dikatakan terbabit dengan kes buli yang serius, namun cuba ditutup oleh pihak pengurusan sekolah.