Bila dengar ada anak menangis atau menjerit-jerit di pusat membeli belah, kita cepat mudah kasihan. Mungkin sebab apa yang dia nak tak dapat dan mak ayah pula buat tak tahu saja.
Bagi yang tak nak anak menangis dan mudah kasihan akan terus bagi apa yang anak nak. Bimbang bila anak ‘melalak’ mahunya satu mall dengar kan. Ini belum lagi dengar suara-suara sinis orang.
Anak tantrum ni, bukan hanya di pusat membeli belah sebab tak dapat apa yang dia inginkan tapi boleh jadi di merata-rata tempat. Salah satu anak bersikap begini, sebenarnya dia nak tarik perhatian mak ayah.
Ada tip dan pesanan daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan terutamanya bila anak tunjuk tantrumnya. Mak ayah uruslah dengan sebainya.
“Bangun! Kalau tak, Mama tinggalkan Adik dekat sini!”
Ramai mak ayah tak tahu cara tangani perilaku anak-anak. Mereka tak tahu apa perlu dilakukan, terutamanya bila anak tunjuk tantrum ketika di tempat awam, atau di majlis keramaian.
Tantrum adalah cara anak-anak mengambil perhatian kita, dan memberitahu bahawa mereka mahukan sesuatu. Oleh kerana mereka tak tahu cara yang sesuai, sebilangan anak-anak menggunakan cara ganas, atau sering disebut sebagai menunjuk perasaan.
Ada yang menangis berguling-guling di lantai, menjerit-jerit hingga tegang urat leher, menghentak barangan, malah ada yang memukul mak ayah serta diri sendiri.
Jika anak kalian berkelakuan begini, maka:
1. TAK USAH MARAH:
Dalam keadaan begini, anak tidak akan dengar apa yang anda marahi dan nasihat padanya kerana emosi dan pemikirannya pada masa itu adalah tidak rasional.
Anda harus kekal tenang. Jika anda turut naik marah, maka anak-anak ini mendapat signal bahawa emosi marah ini adalah cara yang betul untuk meminta.
Ads
Yalah, mak ayah mahu anak hentikan tantrum dan cara yang digunakan untuk sampaikan mesej itu adalah melalui marah.Jika kita perasan, ia tak beza daripada kelakuan anak kita tu. Dia nak sesuatu, dan dia gunakan emosi marah anda berontak. Sama, kan?
Jadi tak usah marah, apatah lagi memaki atau gunakan kekerasan fizikal. Silap hari bukan anak kita ikut gunakan kekerasan fizikal ketika tantrum kelak.
2. TAK USAH TURUTI:
Adakalanya mak ayah malas hendak melayan karena tantrum anak, maka mereka hanya turuti sahaja kemahuan dan permintaan anak. Hentikan amalan ini.
Amalan ini akan menyebabkan anak merasakan apa yang dilakukan itu adalah perkara lazim dan efektik untuk menyampaikan dan mendapatkan kemahuan.
Mereka tak akan sedar bahawasanya memberontak itu adalah salah, dan selesa melakukannya di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.
Malah, amalan menuruti kemahuan anak ketika tantrum adalah sesuatu yang menggalakkan lagi anak ulang kelakuan itu.
Jadi tak usah menuruti kemahuannya ketika anak sedang tantrum jika tak mahu ia menjadi sebahagian daripada keperibadiannya.
3. ABAIKAN TANTRUM ANAK:
Perkara terbaik untuk mengatasi masalah komunikasi ini adalah tak mengendahkan perlakuan tantrum anak anda dengan syarat-syarat berikut:
Ads
Berada di kawasan selamat
Tiada objek yang berbahaya
Anak tidak mencederakan diri
Jangan beri perhatian: jangan pandang, jangan pujuk, jangan bercakap dengannya. Ini beri mesej pada anak bahawa kelakuannya tidak akan dilayan.
Jika anda di rumah, tinggalkan bilik/kawasan di mana anak sedang tantrum. Teruskan aktiviti anda sebelum itu. Namun, pastikan anak selamat.
Jika anda di tempat awam, cuba bawa anak ke tempat yang kurang orang seperti di lorong antara kedai atau ke dalam kereta. Biar mereka.
Biasanya, jika tak diberi perhatian, mereka akan berhenti setelah 10 minit kerana kepenatan mencuba dapatkan perhatian.
4. ABAIKAN KATA ORANG:
Orang persekitaran akan mengkritik serta mengecam perbuatan mak ayah mengabaikan perilaku anak. Namun, ketahuilah apa yang dibuat adalah perkara terbaik buat anak.
Jangan makan hati bila kawan-kawan kritik. Jangan makan hati jika emak dan mentua sindir. Jangan juga biarkan pasangan kita “kasihan” atau mudah kasihan pada anak.
Lagipun orang dulu pun ada gunakan cara begini. Bila anak tantrum mereka akan kata “Kau mengaruklah situ sorang-sorang” dan kemudian buat tak tahu.
Sebagai pihak ketiga(penonton) pula, tak usahlah kita berprasangka buruk pada ibubapa yang sedang mendidik anak-anak mereka.
Ads
Tak perlu masuk campur dengan menawarkan untuk beri apa yang budak itu mahu, atau sibuk memburukkan ibubapa berkenaan.
5. RASIONALISASI:
Ini langkah yang hanya boleh dilakukan setelah anak bertenang serta berhenti menunjukkan perasaan. Ketika ini emosinya dah stabil dan pemikirannya dah sedikit waras.
Pada waktu ini, barulah tunjukkan empati dan kasih sayang. Peluk anak dan tanya elok-elok apa dia mahu. Beri masa anak untuk beritahu apa kemahuannya.
Jika perkara yang dia minta itu tak boleh ditunaikan segera, berilah alasan yang rasional. Namun, jangan sesekali janji perkara yang tak mampu kita tunaikan.
Jika perkara yang diminta tu boleh ditunaikan segera, maka tunaikan dan perlu beritahu anak bahawa cara meminta begini adalah cara yang sihat (betul).
Terakhir sekali, nasihatkan dia bahawa perilaku tantrum adalah perilaku yang tak elok dan ia tak akan membuatkan kemahuannya ditunaikan.
Semoga bermanfaat! Semoga dipermudahkan urusan mak ayah dalam mendidik anak-anak!
Mingguan Wanita : Inilah cara nak didik anak. Jangan dilayan atau jangan dimanja. Kalau permintaan itu tidak melampau, tiada masalah pun buat mak ayah, demi anak-anak.
Menjadi impian mak ayah nak tengok anak-anak cemerlang dalam pelajaran, belajar di sekolah asrama terbaik untuk mereka. Namun, tak semua anak direzekikan untuk jejak sekolah berasrama penuh.
Sekuat mana pun anak berusaha, jika bukan rezekinya, anak terus bersekolah di sekolah harian biasa. Mak ayah, usahlah kecewa hingga memberi tekanan pada si anak. Sebaiknya, berikan sokongan dan galakan.
Guru Bimbingan dan Kaunseling di KPM, Abdul Muiez Ruslee ini pun ada anak-anak yang dapat bersekolah di sekolah berasrama penuh. Bila mana, abang dan kakak bersekolah di asrama, adik pun mahu ikut jejak. Tapi, rezekinya sekadar bersekolah di sekolah biasa.
Tetapi anak inilah yang nampaknya lebih mengungguli macam-macam jawatan di sekolah.
Patutkah Hantar Anak Ke Sekolah Pilihan Saya?
Kalau tanya saya, dah tentu saya nak anak masuk sekolah yang bagus-bagus. Sebab dalam kepala ni, mungkin sekolah bagus, hasilnya nanti juga bagus. InsyaAllah.
Antara yang menjadi impian saya ialah, untuk hantar anak masuk ke kelas tahfiz.
Sampailah satu ketika, saya terfikir. Patutkah saya hantar anak ke sekolah pilihan saya, sedangkan anak saya sendiri tak mampu. Ya betul, mak ayah memang akan rasa puas dan bangga bila anak dapat masuk sekolah impian. Tapi, bagaimana pula perasaan anak?
Anak saya ni agak lemah dalam hafazan. Jika saya paksa juga dia untuk berada di sekolah yang saya nak, sudah pasti saya akan membunuh minat dan harapan dia sendiri.
Masa permohonan sekolah khas dibuka, saya dah cakap awal-awal yang tak nak hantar anak ke SBP. Sesuailah mengikut tahap dia.
Begitu juga dengan MRSM. Kami hanya memilih MRSM Premier. IGCSE kami letak di pilihan kedua dan ketiga.
Begitulah bila Allah dah tetapkan. Apa yang kita elak, itu yang dia dapat.
Saya tertarik dengan satu status yang ditulis oleh Puan Emma Baser di dalam satu private group. Saya olah dan kongsikan di sini dengan izin beliau.
Abang Kakak Masuk Asrama, Adik Cuma Ke Sekolah Biasa
Ibu bapa rasa anak layak ke SBP, MRSM dan sekolah berasrama penuh lain, tetapi anak tak dapat tawaran.
Semua bergantung pada rezeki.
Anak saya yang nombor satu. Dapat Sekolah Agama Bantuan Kerajaan berasrama. Sebulan di sana, dia dapat MRSM IGCSE. Saya terima MRSM dan siap bayar semua.
Check in di asrama, anak saya termenung panjang. Saya tanya dia balik. Adakah dia nak teruskan di MRSM atau balik ke sekolah lama?
Dia cakap mummy dah bayar semua yuran MRSM, jadi dia tak nak kecewakan saya. Saya cakap, duit saya boleh usahakan. Jadi dia tak perlu risau. Saya nak dia enjoy waktu dia belajar.
Keputusan dibuat, saya bawa dia balik ke sekolah lama. Nasib baik saya tak mintak berhenti lagi. Memang rezeki dia di sekolah lama. Mukanya kembali ceria. Alhamdulillah tahun ni dah tingkatan 5 dan bakal menjadi Hafizah. Semoga dia berjaya mengejar impian menjadi doktor dengan quran tersemat di dada.
Sudah Rezeki Anak Kekal Di Situ..
Yang kedua pula, anak lelaki. Dapat sekolah biasa aliran KAA berasrama. Sebulan dia di KAA, keputusan SBP pun keluar. Anak saya tak dapat tawaran. Seminggu lepas itu, MRSM keluar tawaran dan anak saya dapat.
Disebabkan dia memang lebih kepada aliran bahasa inggeris, saya biarkan dia buat keputusan sama ada nak terima atau tidak. Dia terima MRSM dan sekarang sudah tingkatan 4. Yang ini lain pula ceritanya.
Kenapa? Dia dibul1. Bukan buli fizikal, tetapi mental. Disuruh macam-macam oleh senior. Anak saya pemegang tali pinggang merah hitam taekwando. Bayangkan, dia boleh saja kalau nak ‘kick’ orang yang buat dia, tapi saya pesan jangan sebarangan ‘kick’ orang. Dia tahu tentang peraturan ‘u touch u out’.
Lama saya layankan dia. Saya report dekat cikgu, report dekat warden. Sampai saya pernah cakap dekat warden, “Cikgu nak saya dapat balik anak saya dah berbungkus ke baru cikgu nak ambil tindakan?”
Bila dah dapat pembuli tu, anak saya pula cakap, “Mummy tak payah jumpa senior tu.”
Dia kesian pula dekat pembuli tu. Bapa dia dah meninggal dan mak dia masuk hospital. Jadi, dia kesian. Saya nak tukarkan dia ke maktab lain tapi dia tak mahu. Sudah rezeki dia kekal di situ sampai tingkatan 4.
Tak Ada Rezeki Anak Untuk Masuk Asrama
Yang kecil lelaki, tengok kakak abang duduk asrama dia pon nak juga. Tapi tak ada rezeki untuk dia jadi orang asrama.
Kecewa? Mula-mula ya. Tapi saya cakap dekat dia, mungkin kalau dia masuk asrama nanti mummy tak ada kawan kat rumah. Siapa nak temankan nenek bila mummy abah keje? Dia cakap, tak apa nanti dia boleh tolong mummy dekat rumah.
Sekarang dia tingkatan 2 sekolah menengah biasa belakang rumah. Tapi dia yang lagi sibuk daripada kakak dan abangnya. Semua jawatan dia sapu dekat sekolah.
Jadi, mak ayah. Berlapang dada ya. Rezeki setiap anak lain-lain.
Ya, saya sangat setuju dengan status puan ini. Ada beberapa perkara yang saya dapat lihat.
1. Emak ayah, tidak perlu memaksa anak untuk masuk ke sekolah impian mak ayah. Mak ayah boleh berikan panduan, pandangan, pendapat dan input yang berkaitan serta hala tuju anak-anak. Penghujungnya, kegembiraan anak-anak jauh lebih utama.
2. Jika tidak dapat tempat idaman, itu bukan penamat segalanya. Rezeki anak-anak telah ditetapkan. InsyaAllah sudah pasti Allah telah siapkan lakaran kanvas yang terbaik buat mereka.
3. Belajar di mana pun, semuanya berbalik kepada kekuatan dalaman anak-anak. Jika anak kita kuat beruasaha dan pandai mengambil peluang, di sekolah biasa pun mereka mampu melakar kecemerlangan.
4. Berdoa. Semoga anak kita dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat.
Semoga anak-anak kita akan terus gembira walau di mana sahaja mereka berada.
Dalam dunia serba moden ini, memang mencabar sungguh mak ayah hendak membesarkan anak-anak.
Dari kecil dibesarkan penuh kasih sayang, diberi makan, pakaian dan tempat tinggal, namun bila besar berbeza sekali perangainya.
Anak zaman sekarang kebanyakannya pantang ditegur, ini pantang larang anak-anak kena jaga. Mak ayah jangan lupa selalu berpesan dan jaga enam perkara penting ini.
Ikuti perkongsian Ustaz Khairul Anuar Basri ini dan hadam baik-baik ya mak, ayah.
Anak Zaman Sekarang Memang Tak Boleh Ditegur
Anak-anak zaman sekarang ni, daripada cara mereka react bila tak puas hati dengan kita sebagai ibu bapa, memang boleh dipanggil sombong!
Walaupun makanan kita yang bagi… Tak ada anak-anak yang mak bapak bagi berlapar tak makan.
Walaupun pakaian kita sediakan. Tidak ada anak-anak yang mak bapak bagi telanjang bulat tak pakai baju.
Biar pun tidur atas tilam empuk kita bagi juga. Tak ada anak-anak yang mak bapak bagi tidur bawah matahari atau berselimutkan embun bila malam.
Sombong!
Marah Sikit Nak Melenting
Tegur sikit nak melenting. Marah sikit nak menjawab. Tarik kemudahan sikit, dia punya acuh tak acuh bila kita tanya sesuatu itu, macam apa ntah.
Sombong!
Seingat saya zaman saya kecil dulu, mendengus dengan hentak kaki bila protes tu kira sudah maqam si tanggang dah tu. Memang teruklah akan dikerjakan mak atau ayah saya.
Tapi anak-anak sekarang, hentak kaki dan mendengus itu kira level paling rendah sudah itu. Menjawab, berdebat, menjerit dekat ibu bapa sudah jadi mainan pulak dah.
Dulu Bila Kena Marah, Menangis Minta Maaf
Dulu, bila kena marah, tak angkat muka. Bila kena pukul, tak cukup tanah menangis minta maaf.
Anak-anak sekarang, kena halau dengan mak ayah keluar rumah, dia akan keluar rumah. Jangan main-main dengan mereka. Bodoh sombong tak boleh bincang punya.
Tak ada rasa bersalah langsung. Bila kita buat tak tegur sebab kita marah dan kecil hati, dia boleh buat macam biasa saja. Macam tidak ada apa-apa yang berlaku.
Itu belum kira pakat dengan kawan-kawan duduk kutuk ibu bapa lagi itu. Luah perasaan tak puas hati dekat media sosial dan dalam group WhatsApp. Benda sudah jadi macam meraka tak salah apa-apa. Macamlah kita ibu bapa ini tak tahu apa yang mereka buat.
Apa benda lagi yang kami mak ayah ini tak bagi dekat kamu? Semua benda sudah bagi. Yang minta, yang tak minta. Semuanya dibagi yang paling baik.
Cuma kadang-kadang kami marah bukan sebab kami benci. Tapi kalian tu kadang-kadang melampau sangat. Tak tahu nak bersyukur dengan segala nikmat dan kebebasan. Sampai dah naik atas kepala kami dah.
Diberi handphone untuk mudahkan kerja sekolah, diguna handphone pada benda-benda tak berfaedah. Siang malam pagi petang mengadap handphone.
Kalau cari bahan bacaan dan video bermanfaat tak apalah juga. Tapi tik tok sana, youtube sini. Semua yang tak ada faedah. Allah…
Instagram sana, facebook sini. Dengan kawan-kawan bergelak ketawa dari pagi sampai ke pagi esok depan handphone. Apa halnya ini?
Bila tarik balik sekejap handphone, tarik muka. Muncung mulut tu sampai boleh simpul.
Itu belum kira dia punya cakap, dia punya perkataan. Fuuuhhh… bisa berbisa, tajam menikam. Kadang-kadang boleh menitis air mata kita sebagai mak ayah tu..
Diberi kebebasan berkawan dengan jiran-jiran, sampai lupa nak balik rumah. Sampai lupa mana sempadan. Diperingat jangan itu dan jangan ini, dilanggar saja arahan sesuka hati.
Anak-anak Hilang Hormat
Mana hormat pada ibu bapa kamu? Mana adab kamu dengan mak ayah kamu?
Jangan sombong sangat ya. Kalau tak ada ibu bapa yang tak sehebat kamu itu, yang kolot ni, kamu tak ada pun dekat atas dunia ni. Jangan sombong.
Suatu hari kalau kamu susah, mak ayah ini juga yang akan kamu cari. Kami tak akan buang kamu walau satu dunia sekalipun benci dekat kamu.
Ini Pantang Larang Anak-Anak Kena JAGA
Dalam Al-Quran Surah Al-Isrā’ ayat 23 dan 24 Allah sebut, anak-anak bila berdepan dengan ibu bapa mesti jaga 6 perkara : Buat sehabis baik dengan ibu bapa. Jangan berkata ‘ah’ atau mendengus sekali pun. Jangan membentak apa lagi menengking. Bercakap dengan ibu menggunakan perkataan yang paling mulia. Rendahkan dan hinakan diri di depan ibu bapa. Doakan ibu bapa agar beroleh kasih sayang Allah sebagaimana ibu bapa memberi kasih sayangnya yang tiada tolok bandingan kepada kita sewaktu kita masih kecil.
Ini adalah enam rukun. 6 pantang larang. Ini 6 perkara anak-anak wajib jaga dan pelihara.
Biar Anak Menangis Sekarang
Mak ayah semua…
Jangan takut jangan segan hendak pesan dekat anak-anak. Jangan malu jangan rasa bersalah nak marah atau pukul anak untuk mengajar.
Hari ni biarlah mereka menangis sekejap sebab tak suka dengan apa yang kita buat pada mereka. Jangan nanti esok kita pula menangis tak berkesudahan dengan apa yang mereka lakukan pada diri sendiri dan pada kita.
Mencabar Mendidik Anak Zaman Sekarang
Memang betul, mendidik anak-anak zaman ini maha hebat cabarannya. Maha azab kepayahannya. Tapi kena banyak sabar dan bertawakal pada Allah.
Kena banyak-banyak baca doa yang Allah ajar pada kita dalam Surah Al-Furqan ayat 74 :
‘Rabbanā hablanā min ajwājina wa zurriyyātina qurrata a’yun waj’alnā lil muttaqīna imāmā’
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami) dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”
Mak Ayah Kena Rajin Bangun Malam
Mak ayah kena rajin bangun malam. Solat tahajud. Menangis. Mengadu dan merayu kepada Allah. Minta diselamatkan daripada fitnah anak-anak ni.
Ibu bapa boleh jadi ujian bagi anak-anak. Anak-anak juga ujian bagi ibu bapa.
Biarlah kedua-duanya lulus ujian di dunia. Agar dapat berhimpun akhirnya di syurga. Selamanya. #KAB
MW: Semoga anak-anak kita menjadi anak yang berguna di dunia dan akhirat.
Anak ketiga baru dilahirkan, belum sempat rasa kasih sayang seorang ayah, tapi wanita ini telah diceraikan suaminya ketika dalam pantang.
Soal jodoh ini ketentuan Tuhan, namun tidakkah ada sekelumit rasa sedih di hati suami menceraikan isteri yang baru saja melahirkan anak. Yang baru saja menyabung nyawa lahirkan zuriat untuknya.
Wanita Ini Diceraikan Dalam Pantang
Berat sungguh ujian buatnya. Dugaan buat seorang ibu beranak tiga di Flat Taman Semarak di Nilai, Negeri Sembilan, apabila dia diceraikan suami ketika masih dalam pantang.
Keadaan itu menyebabkan wanita berusia 26 tahun tersebut berdepan tekanan, malah buntu memikirkan bagaimana mahu membesarkan tiga anaknya berumur empat dan dua tahun serta bayi berusia 17 hari.
Wanita kelahiran Sabah itu telah diceraikan suaminya pada Khamis lalu selepas 13 hari melahirkan anak lelakinya.
Menurutnya, dia tidak menyangka diceraikan hanya kerana menegur suaminya yang membiarkan buku temu janji klinik anaknya koyak.
Anak Baru Dilahirkan, Belum Sempat Rasa Kasih Sayang
“Saya tak tahu kenapa hanya disebabkan masalah kecil itu dia terus menceraikan saya dengan talak satu.
“Yang saya paling sedih kerana anak kami baru saja dilahirkan dan belum sempat merasa kasih sayang seorang bapa,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya.
Mengulas lanjut katanya, penceraian berkenaan merupakan kali kedua selepas kali pertama pada 2018, bagaimanapun dirujuk semula ketika masih dalam tempoh edah.
Jelasnya, sepanjang empat tahun mendirikan rumah tangga dengan suaminya itu, mereka tidak mempunyai banyak masalah.
“Saya rasa mungkin dia tertekan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana tak dapat bekerja seperti biasa dan kemuncaknya bila dia terpaksa menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari kerana positif Covid-19,” katanya.
Wanita tabah itu berkata, dia tidak lagi mahu mengenangkan apa yang berlaku dan mahu membuka buku baharu demi anak-anaknya.
Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi masalah kepadanya ketika ini adalah untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti kerana selama ini bergantung sepenuhnya kepada suami.
Kesusahan Wanita Ini Mendapat Perhatian
Keperitan hidup ini mendapat perhatian beberapa pihak, antaranya menerima kunjungan Pengurus Semarak Resource Centre, Muzaliza Musa. Semarak Resource Centre merupakan pusat komuniti flat berkenaan.
Sementara itu, menurut Muzaliza, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut turun padang untuk melihat keadaan keluarga itu dengan lebih dekat, dalam masa sama beliau turut mengalu-alukan bantuan dan sumbangan daripada mana-mana pihak untuk meringankan beban keluarga tersebut.
“Dari segi barangan makanan dan keperluan, ia mencukupi buat masa ini tetapi apa yang jadi kebimbangannya ialah bayaran bulanan sewa rumah dan bil utiliti yang perlu ditanggung selepas ini,” katanya.
Mingguan Wanita : Bagi mereka yang mahu membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 1562-2636-2529 atas nama Nurmila. Semoga sedikit sebanyak bantuan daripada mak, ayah dapat mengurangkan beban keluarga ini.
Siti pesan, Umairah jangan lupa mak ayah. Sebagai ibu saudara dan juga Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi nasihat cukup bermakna buat penyanyi...