Anak Tahun Dua Patah Hidung & Retak Tulang Mata. Ibu Mahu Tindakan Tegas Isu Buli Sekolah

Share

Lagi kes buli berlaku! Hati seorang ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak kecil pulang dari sekolah dalam keadaan wajah lebam dan hidung berdarah!

Itulah yang dialami Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, apabila anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun mendakwa menjadi mangsa buli sekumpulan murid sekolah pada 30 Julai lalu.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/anak-bertarung-nyawa-retak-tempurung-kepala-ditolak-di-sekolah-ibu-rayu-doa-orang-ramai/

Lebih memilukan, insiden yang berlaku sejurus tamat kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu menyebabkan tulang hidung mangsa patah, sehingga dia terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurut Rifka Amelia, anaknya memberitahu dia diserang beramai-ramai oleh beberapa murid. Kedua-dua tangannya dipegang, sebelum ditolak, ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi sehingga terjatuh ke tanah, lalu mukanya terhantuk kuat.

“Saya panik bila nampak dia pulang dalam keadaan hidung berdarah dan muka lebam. Saya terus bawa ke klinik swasta. Pemeriksaan X-ray mengesahkan tulang hidungnya patah,” luahnya ketika ditemui di pekarangan HSNZ.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/pemergian-syamsul-haris-utm-janji-kerjasama-penuh-keluarga-tuntut-keadilan/?

Bukan Kali Pertama

Rifka Amelia turut mendedahkan ini bukan kali pertama anaknya cedera akibat perbuatan murid lain.

“Jun lalu, dia pernah cedera di mata akibat dibaling batu, tapi saya tak buat laporan polis. Kali ini saya nekad ambil tindakan undang-undang. Saya tak mahu murid lain jadi mangsa seperti anak saya,” tegasnya.

Pihak sekolah difahamkan telah memanggil ibu bapa murid terlibat untuk berbincang pada Isnin lalu.

“Ada yang sudah minta maaf secara bersemuka atau mesej, tapi masih ada murid terlibat yang saya dimaklumkan belum dikenakan tindakan,” ujarnya.

Terima Laporan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor

“Siasatan awal mendapati insiden dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek. Kes telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

Isu ini menjadi peringatan buat semua ibu bapa dan pihak sekolah bahawa buli bukan sekadar gurauan kasar, tetapi boleh membawa kecederaan serius, malah meninggalkan trauma yang panjang kepada anak-anak.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/https://www.kosmo.com.my/

Published by
Rosmah Idayu