Pernah tak keluar jalan mana-mana, tetiba ada orang tegur kita ni anak ramai? Apa jawapan yang dibalas dan perasaan dalam hati?
Haaa… jangan sentap dengan soalan bab anak, fikirlah dari sudut positif untuk tenangkan hati atau anda boleh renungkan perkongsian cerita daripada saudara Lutfi Lokman ini…
Hati Terusik Ditegur Anak Ramai
“Teruk sangat ke kita anak ramai?”
Soal isteri saya mengadu dalam kereta ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Eh. Kenapa cakap macam tu?”
Hati kecil saya berasa tidak sedap.
“Takdelah, tadi dekat shopping mall, orang berbunyi ‘Ee.. Ramainya anak dia’, ‘1,2,3,4,5 tu dia ramainya’, ‘Kahwin muda mak ni, anak berderet’, kenapa mereka bunyi macam tu?” soal si perempuan ini lagi.
Hatinya tidak tenteram mungkin dengan teguran-teguran seperti itu. Ditambah dengan pandangan masyarakat melihat beliau membawa sejumlah anak ke hulu ke hilir.
Saya berfikir sejenak untuk memberikan kata terbaik.
“Oh, mereka seronok tu. Seronok tengok kita dengan sejumlah penumpang yang ramai. Seronok melihat kemeriahan anak-anak. Tak apalah. Allah jadikan semua itu terbaik. Anak ramai ke, tak ada anak ke, anak sorang ke, itu semua aturan yang Allah dah tetapkan. Masing-masing ada kelebihan dan kebaikan. Jangan duk susah hatilah pasal anak berderet ke. Anak berlambak ke, Anak terborong ke. Semua itu rezeki. Ataupun lepas ni…”
Saya tidak meneruskan jawapan, kerana saya tahu jawapan itu tidak memuaskan hati beliau. Lantas, fikiran saya menerawang ke beberapa bulan yang lepas.
Ads
Ditegur Sebab Anak
Saya teringat peristiwa ketika menunggu isteri di Klinik Kesihatan Semenyih.
Di hadapan saya ada seorang makcik. Sekejap-sekejap dia berpaling kepada saya di belakang. Saya diamkan sahaja. Akhirnya mungkin tidak tahan untuk bertanya beliau bersuara.
“Anak ke ni? kembar ya? berapa semua?”
Bertalu makcik tu tanyakan saya.
“Err, tak jual kak,” saya buat lawak sambil tersengih bodoh tapi kacak.
“Panggil acik dahlah. Saya dah tua,” beliau tersenyum.
Lalu kami meneruskan perbualan.
Ads
Beliau mempunyai 2 orang anak. Yang sulung perempuan telah berkahwin dan tinggal berasingan di Puchong. Manakala yang bongsu lelaki tingkatan 1 tinggal bersama beliau.
Suaminya kerap outstation kerana menguruskan perniagaan. Tinggallah beliau bersama anak lelaki tunggalnya di rumah.
Diulit kebosanan, beliau mengambil upah menjaga anak jiran untuk tinggal bersama sebagai peneman.
“Acik sunyi sangat. Rindu betul pada anak. Rasa menyesal anak sikit. Walaupun rumah tu ada si adik tapi yerlah balik sekolah dia asyik dengan henponnya. Sibuk nak keluar dengan kawan. Tinggallah kita sorang-sorang. Kalau si kakak tu ada datang, cerialah sikit rumah ni. Tapi..” beliau memandang jauh ke hadapan. Dari raut wajahnya seolah-olah tersembunyi pelbagai rahsia hati.
“Dia pun kenalah ikut suami. Ada masa suami kata balik jenguk mak, dia ikutlah. Kalau suami sibuk, dia tak boleh kata apa,”
“Acik kalau call, acik tak tanya anak nak datang bila. Acik akan call menantu. Sembang dengan dia dan tanya kalau ada free nak makan di rumah bagitahulah, acik nak masak. Acik sebenarnya harap sangat diorang balik jenguk acik. Tapi yerlah masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Bukan salah mereka. Emak acik dulu pun dah nasihat acik, nanti kalau anak engkau dah berumahtangga, jangan ganggu mereka. Biarlah mereka susah senang dan buat hal sendiri.
Kalau mereka ingat, adalah rezeki engkau. Anak perempuan ni bila dah berkahwin dia milik suaminya. Untung kalau menantu tu baik dengan kau. Cam gitulah emak acik pesan. Acik pegang sampai sekarang. Tapi nak, hati ni tak kuat. Kadang-kadang nak sangat mereka ni semua ada di tepi. Nak tengok depan mata. Tu jer,”
Panjang lebar makcik tersebut bersyarah dan meluahkan perasaan kepada saya.
Saya dah menangis sambil kesat hingus. Terus teringat pada emak dan emak mertua. Itulah mungkin perasaan mereka dengan anak mereka.
Ads
Pandangan Mak-mak Tentang Anak Ramai
“Untung kau nak, muda-muda anak dah ramai. Biarlah. Kau jagalah anak kau ni. Besarkan mereka. Nikmati saat ini. Waktu akan berlalu dengan cepat. Apabila sampai masanya, mereka akan pergi tinggalkan kau. Didik mereka betul-betul ya,” tambah makcik tersebut. Wajahnya kelihatan letih selepas mencurahkan perasaan dan isi hatinya.
Saya mengangguk. Isteri saya tiba dan bersalaman dengan makcik tersebut lalu kami berpisah setelah selesai urusan masing-masing.
Cerita yang akan saya simpan buat rujukan anak-anak dan kita semua.
Saya harap isteri tersayang membaca coretan ini dan bersyukur lalu usah pedulikan sangat kata orang. Paling teruk pun sakit hati jer. Ia tidak menjejaskan anggota badan kita yang lain. Kot-kotlah patah tangan ke, kaki terkoyak ke itu lainlah.
Lalu saya sambung dengan tenang,
“… kita tak payah keluar pergi ke shopping mall dah ya. Kita duk rumah diam-diam je tak payah jumpa orang. Ok?”
Pergaduhan bermula.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila mana lihat fizikal isteri boleh berjalan ke sana ke mari, sihat, malah boleh memasak dan mengemas seperti biasa.
Suami anggap, isteri itu sihat dan tidak apa-apa. Hakikatnya, tahap kesihatan isteri bukan semata dilihat pada fizikal. Tetapi, kesihatan emosi isteri juga satu hal yang perlu diambil kira.
Sebagaimana yang dikongsikan Firdaus Shakirin agar ramai terutama suami ambil tahu berkenaan depresi, anxiety dan stress seorang isteri. Kerana, tahap kesihatan sebegini tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
Ada ujian yang perlu dijalani, dan sebaiknya dapatkan rawatan agar isteri dapat dibantu.
Depression Anxiety Dan Stress Seorang Isteri
Kebanyakan isteri bila ambik ujian DASS, keputusannya sama ada mild (ringan) atau moderate (sederhana)…ada segelintir yang dapat severe (teruk).
Jarang isteri dapat scoring NORMAL
Kenapa? Dan kenapa tak ramai isteri yg normal? Kenapa isteri ada kemurungan, ada kerisauan, ada kebimbangan dan ada tekanan…?
Kerana apa yang mereka lalui seharian…kerana apa yang mereka alami dengan pasangan… kerana apa yang mereka rasa dalam perasaan…kerana apa yang mereka selalu fikirkan.
Belum Tentu Suami Mampu Memahami
Banyak yang tak terluah dalam hati dan fikiran isteri.
Walaupun ada suami, belum tentu suami mampu memahami…belum tentu suami rasa nak dengar keluhan dan luahan hati si isteri…belum tentu suami terasa nak layan apa yang ingin isteri ceritakan.
Asyik-asyik dituduh ikut perasaan.
Menangis sendirian, ikut perasaan…merajuk sendirian, ikut perasaan…berleter, marah pun ikut perasaan…bila dah terlalu banyak yang di pendamkan, bila dah terlalu banyak yang disimpan, bila dah terlalu banyak perkara yang tak diselesaikan, masalah baru dan masalah lama bercampur aduk, perbuatan dan layanan pasangan lagi.
Isteri Boleh Memasak Dan Mengemas Bukan Bermakna Dia OK
Mana tak nya isteri tu jadi kemurungan dan tertekan.
Kita tak pernah letak diri sendiri di kedudukan orang perempuan, fikir dan rasa apa yang orang perempuan rasa…kalau kita alami dan lalui apa yang mereka lalui, kita pun tak tahan.
Depression bukan gila… anxiety bukan gila… stress juga bukan gila.
Isteri yang mengalaminya menderita dalam diam dengan apa yang ada di hadapan mereka, sekeliling mereka… mereka perlukan bantuan untuk menyihatkan semula, menstabilkan semula minda dan emosi mereka supaya mereka boleh terus positif dengan hidup mereka.
Ambik tahu tahap kesihatan mental isteri sama…dia sihat, dia boleh memasak dan mengemas bukan bermakna DIA OK.
Buat Ujian Dass
http://ujiandass.com/
Cer try buat, bawah tu ada scoring dia untuk setiap tahap depression, anxiety, dan stress.
Mingguan Wanita : Kadang kita rasa diri kita okay, tapi sebenarnya tidak. Jika ada rasa berbeza, segeralah dapatkan rawatan ya wahai isteri.
Doa merupakan salah satu jambatan perhubungan kita dengan Yang Maha Esa. Ia menjadi simbol kehambaan dan pengharapan yang tinggi kepada-Nya. Sebagai hamba, tiada satu perkara pun yang mampu kita lakukan tanpa bantuan dan perkenan Allah.
Didikan Anak
Apatah lagi dalam hal mendidik permata hati, ia adalah tanggungjawab yang besar maka kepada Dialah kita seharusnya bergantung harap dan meminta bantuan. Selaku hamba, doa tidak seharusnya berlaku mengikut konteks tertentu bahkan ia seharusnya menjadi umpama perbualan harian kita dengan-Nya.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Universiti Sains Islam Malaysia, juga penulis tetap ruangan PERMATA HATI di dalam Majalah Mingguan Wanita.https://www.facebook.com/mingguanwanita/
Tahu Tujuan
Dalam melaksanakan pendidikan buat anak-anak, kita harus tahu apakah target dan tujuan pendidikan ini dilakukan. Ke mana arahnya dan di mana destinasi akhirnya. Ia harus datang daripada amanah dan tanggungjawab serta tujuan manusia itu dijadikan di muka bumi Allah.
Justeru, ia sudah tentu untuk mengembalikan hamba kepada pengakuan Penciptanya, iaitu untuk menjadi hamba dan khalifahnya yang soleh. Jadi inilah yang seharusnya menjadi inti pati utama doa kita sehari-harian. Oleh itu, sudah menjadi kemestian untuk mendoakan anak-anak kita menjadi hamba dan khalifah Allah yang soleh.
Perbaiki Diri
Doa ini harus sentiasa diucapkan agar ia dapat membentuk sebuah kerangka khusus dalam minda kita untuk menyediakan sebuah pendidikan yang bakal menyiapkan anak-anak kita ke arahnya.
Bukan itu sahaja, ucapan yang dilakukan acap kali ini akan mempengaruhi tindakan dan tingkah laku kita untuk melakukan perkara tersebut. Misalnya, menyediakan persekitaran yang baik agar potensi fitrahnya dapat dikembangkan.
Berusaha
Ini kerana potensi fitrah ini adalah potensi yang baik dan menghala kepada hakikat kejadian manusia iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya yang soleh.
Dalam konteks ini, kita juga akan berusaha untuk memperbaiki diri agar dapat menunjukkan contoh yang baik juga buat anak-anak.
Sejajar dengan itu, segala keperluan ke arah menyiapkan anak-anak menjadi anak yang soleh juga akan segera disiapkan seperti keperluan fardu ain iaitu solat, mengaji, menjaga aurat dan sebagainya di samping tuntutan fardu kifayah agar dia juga bersiap untuk menjadi khalifah yang baik.
Kongsi Doa Dengan Anak
Selain daripada itu, doa ini juga harus dikongsikan dengan anak-anak. Biarkan mereka mendengar dengan jelas doa yang kita titipkan buat dirinya. Ini kerana doa yang kita ucapkan tersebut akan membentuk persepsi dalam minda anak-anak tentang diri mereka.
Jika acap kali didengari, persepsi ini akan menjadi kepercayaan dalam minda bawah sedarnya dan mempengaruhi tingkah lakunya ke arah perkara yang diucapkan. Apatah lagi apalagi disokong dengan persekitaran yang seiring sudah pasti matlamat yang disasarkan akan lebih mudah dicapai dengan izin Allah SWT.
Percakapan Adalah Doa
Antara situasi yang sesuai untuk mengungkapkan doa tersebut ialah ketika mereka bersiap untuk tidur, bangun pagi, ketika ke sekolah dan beberapa lagi situasi lain yang difikirkan sesuai. Boleh juga jika ingin memanggilnya dengan jolokan “anak soleh mama” contohnya kerana percakapan juga merupakan doa.
Panggil Anak Dengan Panggilan Baik Juga Doa
Oleh yang demikian, amat penting bagi kita untuk sentiasa mengucapkan perkara yang baik-baik di hadapan anak-anak dan memanggilnya dengan panggilan yang baik-baik kerana semua yang diungkapkan terutama oleh kita penjaga mereka merupakan sesuatu yang serius bagi diri mereka.
Ucapan atau gelaran tersebut akan diingati dan di simpan ke dalam minda bawah sedarnya dan membentuk persepsi tentang diri dan kehidupannya.
Jika sebelum ini kita kerap memanggil anak dengan panggilan yang kurang baik dan melabelnya sebagai nakal, pemalas atau sebagainya maka kita sebenarnya harus menginsafi perkara tersebut dengan beristighfar kerana apa yang dinyatakan ini adalah sesuatu yang bersalahan dengan matlamat mendidik anak-anak kita.
Kasihanilah mereka dengan mewujudkan persekitaran yang terbaik untuk perkembangan diri mereka, yang kini amat bergantung dengan kita dan persekitaran yang kita sediakan. Apa yang ada dalam persekitaran mereka kini bakal membentuk diri mereka kelak. Maka doakanlah dan berkatalah yang baik-baik agar matlamat mendidik anak-anak kita sejajar dengan tujuan penciptaan mereka yang telah pun dinyatakan oleh Allah. wallahualam.
Isteri zaman sekarang garang, kasar dan tidak lagi lembut seperti sebelum kahwin. Fenomena isteri yang kelihatan garang, kasar dan tidak selembut isteri zaman dahulu bukanlah sesuatu yang berlaku tanpa sebab.
Isteri Zaman Sekarang Garang, Kasar Dan Tidak Lagi Lembut Seperti Sebelum Kahwin
Kudrat wanita tidak sama dengan lelaki. Keletihan mereka, baik fizikal mahupun emosi, juga berbeza. Hakikatnya, ramai wanita hari ini memikul beban dan tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding apa yang sepatutnya ditanggung oleh seorang isteri.
Isteri bukan sahaja memainkan peranan sebagai isteri dan ibu, malah dalam kebanyakan kes, mereka turut keluar bekerja mencari rezeki. Mereka membantu membayar bil, perbelanjaan rumah tangga, dan pelbagai keperluan lain. Apa yang mereka lakukan seringkali melebihi had kemampuan dan tenaga yang mereka miliki.
Maka, bagaimana mungkin mereka boleh sentiasa berlembut jika yang diperlukan ketika itu adalah kekuatan dan ketabahan untuk terus bertahan dalam kehidupan yang mencabar? Isteri kelihatan garang kerana tekanan. Mereka tidak lagi berlembut kerana tuntutan keadaan.
Tekanan hidup dan desakan tanggungjawab itulah yang membentuk siapa mereka pada hari ini. Jika seorang suami benar-benar memahami, sudah tentu dia akan cuba mengurangkan beban yang ditanggung oleh isterinya. Sayangnya, ramai lelaki memiliki seorang wanita, namun tidak ramai yang benar-benar memahami hati dan perasaannya.
Mereka tidak menyedari apa yang dilalui oleh isteri—kenapa dia menjadi garang, kenapa dia bersikap kasar, kenapa dia mudah marah, dan kenapa dia sering beremosi. Jangan tunggu hingga dia ‘meletup’ baru kita mahu sedar akan segala yang dipendamkan selama ini.
Sejujurnya, dia tidak pernah meminta untuk suami menggantikan tempatnya sepenuhnya—menjaga anak, mengemas rumah, membasuh pakaian atau memasak. Apa yang dia perlukan hanyalah faham dan penghargaan. Fahami dirinya, hargai segala usahanya agar semua yang dilakukan itu tidak terasa sia-sia.
Itu sahaja… adakah itu pun terlalu susah?
Cubalah bantu meringankan kerja-kerja rumah, jangan diletakkan semua beban di atas bahunya. Kekuatan fizikal dan mental lelaki dan wanita tidak sama. Wanita lebih mudah beremosi kerana mereka melalui kepayahan, keletihan dan tekanan yang tidak selalu dizahirkan.
Jangan dipersoalkan ke mana hilangnya kelembutan seorang isteri, kerana fitrah wanita itu memang dicipta sebagai makhluk yang lemah lembut. Namun, jika dia terlalu berlembut, kita pula mudah memperlekeh dan memijak maruahnya.
Ayuh kita sama-sama, sebagai suami, bantu isteri. Isteri itu bukan hamba, dan kita juga bukan tuannya. Perkahwinan adalah perkongsian—saling memahami, saling membantu, dan saling menghargai.
Ibu bapa arwah Wan Ahmad Faris tak pernah putus asa 'berjuang' tuntut keadilan. Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.