Betul, hanya mak-mak akan tahu ragam anak macam mana. Kalau anak belum bangun, rasa nak kejut. Tetapi kalau anak sedap bermain, kita pula rasa nak minta masa bertenang.
Itulah simptom mak-mak yang ada anak kecil yang tengah sedap membesar. Macam yang Puan Nurulaa Mustofa kongsikan, pasti semua mak-mak dah lalui situasi ini.
Nah, jemput baca.
Anak.
Ads
Masa anak tengah hyper, banyak akal, banyak ragam, terasa diri sendiri dengan hulk tu dah macam kembar seiras, cuma maybe mak hulk kaler hijau. Koff koff. Tapi bila anak takde, maashaaAllah. Sunyinyaa Allah je yg tahu. Masa tu baru terasa betapa hebatnya penangan anak.
Korang yang ada anak depan mata, masa anak-anak buat perangai, layaaaaan jelaa. Nikmat tu. At least laa kan, kalau ditakdirkan Allah, korang bangun pagi nak pegi kerja, hantar anak-anak ke pengasuh atau nursery, dan sepanjang anak-anak kat nursery, Allah takdirkan berlaku sesuatu yang tak diduga (Nauzubillah) kepada korang atau anak-anak.. At least… last korang jumpa diorang pagi tadi. Masih berbekas ciuman kat dahi diorang, masih melekat bau badan anak-anak kat baju yang diorang pakai dalam bakul baju kotor korang.
Ads
Kalau untuk yang long distance ni? Last jumpa anak seminggu yang lepas. Last cium anak-anak seminggu yangg lepas. Last main mainan sama-sama seminggu yang lepas. Masa berpisah anak menangis-nangis nak ikut. Hari-hari video call, anak nangis-nangis nak ikut kita. Kalau Allah takdirkan sesuatu jadi pada kita atau anak, kali terakhir moment dengan anak adalah seminggu yang lepas. Last pesanan saya dekat anak-anak masa sebelum gerak ke KL ialah, ibu pergi dulu. Nantiiiii insyaAllah ibu balik ye. Dalam hati, entah bila ibu dapat jumpa korang lagi. Entah dapat entah tidak.
Sayangnya pada anak ni susah nak cerita. Untuk orang yang masih belum ada rezeki dikurnian anak, saya doakan korang dipermudah urusan. Asyik sayang anak je, habis tu suami, mak, ayah? Sayang tu abstrak. Macam ada orang cakap, kau sayang isteri kan? Tapi kalau wife kau berak, kau sanggup cium punggung dia? Tapi kalau anak? Sanggup kotttt. Sebab nak tau dia betul-betul berak atau tak.
Ads
Kalau peluru hidup datang mencurah-curah pun mesti korang sanggup tadah badan kan? Masa Malaysia lawan Arab Saudi kat stadium Shah Alam haritu, kan masa last-last tu ada ‘pertunjukan’ bunga api. Masa tu saya dan Dina ada kat tempat vvip. Mula-mula okey je sbb flares tu di baling dekat kawasan yang jauhhh dari kami. Lama-lama ada orang baling mercun roket tu menghala ke arah khemah vvip. Lepas satu satu. Masa tu Allah je yang tau betapa kuatnya jantung berdegup. Tak fikir panjang, terus peluk Dina rapat-rapat dan amik kain selimut dia, angkat dan lari turun. Dalam fikiran, kalau mercun datang, biar kena aku jangan kena anak. Yesss. Itu baru mercun beb. Bukan peluru hidup macam kat Syria, Palestine dlan lain-lain. Nangisss!
Hmmm. Besarnya nikmat dunia yang Allah bagi ni. Sungguh, kita hanya manusia. Bukan Maha Penyayang pun. Sesungguhnya kasih sayang Allah itu kepada hamba-Nya lebih hebat dari kasih sayang seorang ibu kepada anak. Yang ada anak depan mata, cepat-cepat cium anak, peluk anak. Belum tentu esok lusa anak-anak tu Allah izin ada depan mata kita.
Sabarlah duhai hati. Allah tak letih menguji kerana Allah tak letih menyayangi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Rasanya masih ramai mak ayah yang masih tak sedar keburukan beri anak main gajet lama sangat, dan kali ini pendedahan pengalaman seorang ayah sendiri yang mana dalam tak sedar dia nampak perubahan negatif dalam diri anaknya.
Andai ada mak ayah di luar sana yang masih ambil jalan mudah bagi diamkan anak, jemput renungkan seminit dua perkongsian saudara Syamsul Rijal Jamil dan buatlah pilihan terbaik.
Kesilapan besar saya dalam mendidik anak adalah dengan memberikan dia TABLET (TAB). Ketika itu anak saya Muhammad Jibriel Emand baru berusia setahun setengah. Tujuan awal “kononnya” supaya dia :
1) Mudah mengenal huruf dan belajar melalui software interaktif pintar yang menarik dan menyeronokkan;
2) Emand ini sub-modality nya adalah “kinestetik” iaitu jenis anak sangat sangat lincah, aktif dan memang langsung tak boleh duduk diam. Maka dengan adanya TAB, dunia dilihat menjadi aman seketika kerena dia leka bermain TAB tersebut (terutamanya di meja makan);
Pada usia beliau 3 tahun, dia sudah boleh men “download” game-game yang beliau suka dan dengan jarinya yang kecil itu dia sudah mampu untuk “create new folder” bagi mengisi game baru yang telah dimuatnaik.
Sewaktu umur beliau 4 tahun, dia sudah bermain “Zombie Plant” pada “level” yang tinggi. Beliau akan menjadi “tutor” kepada ibunya bagaimana cara bermain dengan betul. Sebelum bermain dilevel yang lebih tinggi, Emand akan belajar dulu teknik-teknik baru melalui “You Tube” yang kami sendiri pun tak tahu masa bila dan macamana dia boleh tahu tentang “You tube” tu.
Pada usia 6 tahun, beliau mula bermain “strategic war game” yang “complicated” dan tahu sangat banyak terminology gamers yang ada.
Adakah ini suatu pencapaian yang dibanggakan ?
TIDAK !
Suatu malam saya terjaga sekitar jam 2 pagi untuk ke tandas dan sangat terkejut apabila dia begitu asyik bermain gamenya didalam kegelapan bilik tidur !
Selain itu kami juga menyedari perkara-perkara berikut :
1) Dia menjadi sangat tidak sabar bila apa yang diingini tidak kesampaian. Dalam game atau alam maya nak dapat sesuatu cepat dan senang, jadi di alam sebenar juga bagi dia harus begitu.
2) Watak anak yang ceria, aktif dan menghiburkan tiba-tiba berubah menjadi watak pemalu dan tidak suka bergaul. Dia sudah mula masuk dalam dunia game beliau dan terasa kekok bila berdepan dengan manusia lain;
3) Emand menjadi mudah sangat nak merajuk dan terasa hati serta mudah menangis. Anak-anak yang kurang bersentuhan dan berinteraktif dengan orang lain akan terasa seperti dipulau dan tidak disayangi.
4) Wataknya mudah bertukar agresif dan memukul ibunya jika tidak mendapat apa yang dipinta. Kalau ingin menang dalam game, anda harus membunuh musuh atau halangan anda dan mengambil apa yang anda inginkan. MAKA itulah yang dia buat.
5) Ujian mata yang dibuat di sekolah tadika beliau menunjukkan tanda-tanda rabun sedang berlaku.
Melihat kepada perkembangan yang menakutkan ini, kami telah mencuba banyak cara dan apa yang paling jelas adalah, kami MESTI mengurangkan masa yang diambil untuk bermain game-game kesukaanya .
1) Hanya 5 minit siang dan 5 minit malam untuk bermain. Jika dia melanggar lebih dari 5 minit maka dia akan kehilangan masa bermain selama 3 hari. 1 hari tanpa handphone atau tab cukup memberi sengsara bagi hidupnya.
2) Aktiviti luar yang lebih banyak. Emand dibawa lebih kerap untuk berbasikal, melakukan aktiviti luar yang lebih lasak dan dihantar ke program “survival” agar dia kembali berkomunikasi dengan orang lain.
3) Dia dihantar menjalani latihan karate supaya bila badannya letih keinginan nak bermain game itu sedikit berkurangan.
4) Saya gunakan sifatnya yang semulajadi aktif dengan menambah aktiviti yang lebih mencabar seperti berlumba dilitar motocross pada usia beliau 5 tahun sehinggalah sekarang.
5) Beliau juga tahu jika disekolah terdapat sebarang aduan dari guru atau markah peperiksaan beliau jatuh ke gred C, maka beliau akan kehilangan peluang bermain game selama 2 bulan.
6) Kami berikan dia LEGO yang dia suka bagi mengisi masa lapangnya. LEGO adalah gaming yang sangat baik untuk ransangan minda dan kreativiti. Tahap kesukaran LEGO itu saya tambah pada setiap binaan yang telah lengkap.
Alhamdulillah terdapat banyak peningkatan yang berlaku namun apa yang berlaku pada Emand terjadi pada ramai anak-anak kecil yang lain.
Teknologi sepatutnya membawa kemajuan dan peningkatan mutu hidup NAMUN, ia misti dikawal dan digunakan sesuai pada umur dan masa. Jangan diulangi kesilapan saya.
Jangan sammpai anak-anak anda ketagihan bermain TAB dan GADGET hingga menjahanamkan mata, otaknya dan yang paling bahaya adalah jiwanya.
Biarlah dia menangis dimeja makan, biarlah dia berlari di Shopping Mall, biarlah dia menjerit dan meraung sekuat hati didalam kereta sewaktu anda sedang memandu kerana semuanya itu hanya seketika. Itulah masa yang paling manis dan indah ketika dia masih kecil dan akan menjadi saat yang akan dirindui.
Usah kerana inginkan anak itu tenang dan terkawal maka TAB itu dihulurkan, takut- takut nanti kita pulak yang tak akan senang dan gulana sampai ke mati.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam rumahtangga amat memerlukan kerjasama diantara suami isteri, baik dalam urusan kerja rumah mahupun anak-anak. Lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang ramai dan masih kecil-kecil.Pertolongan dan bantuan daripada suami sendiri amatlah diharapkan.Keletihan dan kepenatan tidak dapat digambarkan buat wanita yang bergelar isteri dan ibu jika terpaksa menguruskannya sendiri seorang diri.
Sesuatu yang perlu di semat dalam fikiran para suami ialah anak ramai bukanlah bukti kelakian. Mohon jangan ‘mendera’ emosi isteri, inginkan anak ramai namun tidak sedikit pun ingin membantu membuat kerja rumah apatah lagi mengupah pembantu. Isteri bukan ‘robot’, bila jiwanya sangat penat mahupun dalam keadaan tekanan dan kemurungan, boleh menyebabkan bertindak diluar batasan.
Aku nak buat confession mengenai sesuatu yang aku lakukan 3 tahun lepas. Aku tau aku akan dikecam, mungkin ada insan baik hati yang akan bagi kata nasihat, ada insan yang kesian akan doakan yang baik-baik. Tapi aku redha kalau dikecam. Sebab apa aku dah buat memang berdosa tapi aku terpaksa. Confession aku buat sebab viral ada seorang ustaz cakap anak ramai bukti kelakian dan kesuburan wanita. Aku tak setuju sangat.
Aku buat perkenalan dulu supaya kalian dapat menghakimi aku secara keseluruhan. Aku seorang wanita berumur pertengahan 30an dan beranak 6. Aku dah masuk 8 tahun kahwin. Maksudnya aku beranak 1 tahun sekali.
Dulu aku kerja. Gaji boleh tahan la. Aku dulu sekolah asrama, belajar sampai degree. Dapat anak kedua, suami aku suruh aku berhenti kerja jaga anak. Sebab bayaran pengasuh mahal, katanya. Dia suruh duduk rumah, jaga, susukan anak, banyak dapat jimat duit. Dia mampu. Dia janji akan bagi aku nafkah, apa saja aku nak. Awal-awal memang dia tunaikan janji. Masuk anak keempat, janji mula dilupakan. Bila aku minta duit, macam peminta sedekah. Kena bebel dulu. Baru bagi. Itupun setengah daripada apa yang aku minta.
Baju baru? Baju dalam baru? Kasut baru? Dah lama aku tak bau barang baru. Kulit muka pon menggerutu sebab aku tak ingat bila terkakhir aku buat facial. Dulu masa bergaji aku selalu pergi spa dan facial. Suami aku kerja sendiri. Gaji ikut rezeki. Tak tetap. Tapi dia memang rajin cari duit. Bawak lori, tolong kawan niaga pasar malam, bazar. Tapi akibatnya keluar kerja sebelum matahari naik. Balik kerja bila dah tenggelam.
Bab jaga anak, dia boleh diharap. Tapi bab tolong buat kerja rumah, dia memang tak sentuh langsung. Semua aku buat sendiri. Tapi dia tak bising kalau baju berlonggok, rumah sepah. Cuma aku yang sakit mata. Jadi aku gagahkan diri buat. Malam-malam kalau suami dah balik, dia layan anak-anak. masa tu aku ambil untuk uruskan hal rumah.
Kalau mertua dan ipar, mereka dinegeri lain. Mereka tak campur sangat urusan kami sekeluarga. Tapi mereka keluarga besar. Suami ku ada 8 adik beradik. Ibu bapa aku dan meninggal dunia masa aku ada anak 1. Sakit tua. Mula-mula ayah, lepas tu ibu. Aku ada seorang adik lelaki, dia sekarang ambil master. Belum kahwin. Kami tak rapat. Biasa-biasa je.
Aku tak pakai apa-apa penghalang kehamilan. Aku mahu. Tapi suami tak izinkan. Dia suka anak ramai. Meriah, katanya. Lagipun dia rajin layan anak. Aku sungguh penat tapi aku bodoh, ikut kata suami membabi buta. Sampailah takdir, aku mengandung anak ke-7.Tepat anak ke-enam ku 1 tahun 2 bulan. Aku mengandung lagi.
Aku nangis. Aku tak sanggup. Aku letih sangat. Aku baru 30-an tapi aku nampak macam nenek orang. Aku dah beruban. Aku rayu suamiku supaya bagi aku masa untuk diri aku tapi ayat dia ’mak saya dulu boleh je. Besar elok je saya adik beradik. Takde siapa takde urut lah orang dulu-dulu’. Aku stress. Aku rindu kawan-kawan aku yang sekarang dah lost contact. Aku takde orang nak luah. Aku pernah juga luah aku penat kepada suami. Aku minta dia ingat janji-janji dia masa aku berhenti kerja. Dia tuduh aku tak bersyukur. Tak bersyukur dia masih lagi setia, balik rumah setiap malam walaupun selepas penat seharian kerja. Dia kata aku tak reti berterima kasih sebab muka aku tak pernah senyum.
Aku sedih. Aku bagitahu, aku penat. Senyum pun tak larat. Bukan aku tak bersyukur. Tapi tolong la. Aku penat. Dia diam je. Setiap kali lepas gaduh, dia akan diam. Takde penambahbaikan. Naikkan sikit duit rumah pon dia tak buat. Dia tak bagi aku uruskan duit. Barang dapur, dia beli. Yuran tadika anak, dia bayar. Pampers, dia beli. Aku tak ada duit. Aku buat sedikit online bisnes, jadi agent doorship, hasil tu aku buat main kutu, dan simpan sikit-sikit.
Aku mengandung anak ke 7. Aku menangis melihat urine test yang aku curi-curi suruh jiran ahmoi aku beli. Aku kira-kira bila last period, maksudnya baru mengandung 5 minggu. Aku tiba-tiba jadi moody sangat. Dengan anak-anak aku jadi garang sangat. Dengan suami aku dah pandai gaduh lempar barang. Aku tak bagitau aku mengandung. Aku tak bagitau sesiapa aku mengandung. Hari-hari aku lompat bintang, naik turun tangga, tak makan, supaya badan aku lemah dan tak mampu mengandungkan anak ini. Aku jadi benci dengan semua orang. Termasuk diri aku. Aku pernah menangis pukul 2 pagi diluar rumah sambil pukul-pukul perut.
Selepas 2 minggu. Aku tak tahan. Aku tengok duit simpanan aku ada 3 ribu. Aku simpan diam-diam hasil doorship, kutu. Dengan duit tu aku beli baju dalam baru, spender baru, aku jimat-jimat. Satu hari, aku tekad. Aku nak gugurkan kandungan ini. Aku ada jiran cina yang sosial. Aku panggil dia ahmoi. Aku tahu sebab dia selalu bawa laki lain-lain balik rumah. Dia je manusia yang berborak dengan aku ditaman ni. Wanita-wanita lain semua jenis membawang. Aku taknak kisah hidup aku jadi bahan bawang mereka.
Aku beranikan diri tanya dia pernah gugurkan kandungan tak. Dia tanya kenapa tanya soalan pelik. Aku terus terduduk depan dia, nangis macam orang tak siuman. Aku meraung-raung cakap aku dah taknak anak. Aku tak larat. Aku penat.. Suami aku tak faham. Tau nak anak banyak tapi semua aku yang buat. Dia pujuk aku. Dia bagi aku satu alamat. Dia kesian tengok aku menangis. Dia kata dia tolong.
Aku guna duit simpanan aku upah satu bibik harian untuk seminggu. Kebetulan suami aku ada job bawa lori ke Kelantan. Katanya tak balik 2-3 hari. Lepas tu aku dengan ahmoi pergi klinik tu. Aku berdebar, tapi aku tekad. Doktor tu scan, ada janin berusia 7 minggu, dia pon bagitau prosedur (aku tak nak cerita details) apa dia akan buat. Dan harga. Harga tu aku mampu bayar jadi aku setuju je.
Cukuplah kalian tahu aku menangis teruk sambil minta maaf semasa prosedur. Aku cakap aku tak mampu. Ayah dia tak menolong. Aku penat, aku stress. Semua selesai.
Suami aku balik, aku cakap aku period pain. Bibik tu aku pakat dengan dia tipu suami aku cakap tu bibik jiran, bercuti tak bawa bibik. Bagi pinjam seminggu. Suami aku diam je. Tapi dia tak selesa ada bibik kat rumah. Dia keluar dengan kawan pergi memancing (ni sebab dia taknak upahkan aku bibik. Dia tak selesa ada orang asing dalam rumah).
Seminggu lepas procedur tu, doktor ada suruh datang untuk check betul ke dah takde. Aku angkut semua anak-anak dan ahmoi ke klinik. Anak-anak aku bising dalam klinik, ahmoi tolong jaga sementara aku check dengan doktor. Doktor kata dah takde. Aku nangis lagi. Dia kata dia faham. Bukan kali pertama ada wanita datang kata tak ready pregnant sebab anak kecik, suami tak menolong, atau tak mampu. Aku diam je. Dia suruh aku pakai alat pencegah kehamilan. Aku kira-kira duit aku ada lagi. Aku setuju. Aku pakai alat. Doktor kata tahan 5 tahun.
Hal ni 3 tahun lepas. Sekarang anak-anak aku dah besar sikit. Aku pon boleh simpan duit lebih banyak sebab boleh buat lebih banyak kerja. aku berniaga online. Tak harap suami lagi. Dia tau aku berniaga, lagi lah dia jadi kedekut. Aku dengan suami dingin. Aku bosan dengan dia. Hubungan kami atas katil je. Aku tak risau lagi sebab dah pakai alat. Dia tak berubah langsung. Masih ditampuk lama.
Aku sampai sekarang sedih dengan apa aku buat. Rasa dosa. Tapi kalau aku tak buat, aku yang meroyan. Aku hari-hari minta ampun. Semoga Allah ampunkan aku. Aku sayang anak-anak yang aku ada. Biarlah ayah mereka macam tu. Aku nak didik mereka supaya tak jadi macam ayah mereka.
Akhir kata, anak ramai bukan ukuran kelakian atau kesuburan. Tapi tanggungjawab. Tanggungjawab bukan hanya bagi sperma. Tapi membesarkan, didik, nafkah. Isteri pon manusia. Kami bukan kilang anak. Lepas tu harap semua kami buat semua. Aku kadang-kadang rasa benci dengan suami. Tapi aku sabarkan diri dengan alasan sekurang-kurangnya dia tak pukul aku dan anak-anak. Tahan je la selagi nyawa dikandung badan. Aku harap wanita diluar sana lebih bijak. suami tak izinkan pakai pencegah kehamilan tu, lantakkan. Bukan badan mereka yang penat. Pakai je senyap-senyap.
Harap kalian tolong doakan dosa aku diampunkan. Suami aku berubah. Anak-anak aku membesar jadi manusia bertanggungjawab.
– Insan Berdosa
Mingguan Wanita mengharapkan semoga para suami,mendapat pengajaran daripada perkongsian ini. Bantulah isteri yang kepenatan, sama-samalah menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri yang berada dalam keadaan sangat kepenatan dan kemurungan mampu bertindak diluar batasan dan akal fikiran. Buat wanita ini, menggugurkan kandungan tetap satu dosa.Apa pun teruslah berdoa dan meminta keampunan daripadaNya.Semoga diberi kekuatan dan ketabahan dan menguruskan keluarga dan anak-anak.
Mendapat perkhabaran bahawa dirinya berbadan dua buat kali ketujuh membuatkan dia rasa cukup teruja, gembira dan bahagia kerana dapat merasai nikmat mengandung dan pertambahan ahli keluarga baru. Malah sepanjang perjalanan kehamilan Sity Warhana Sa’yan kelihatan normal dengan tiada komplikasi berat yang melanda. Keterujaan bakal menimang cahaya mata jelas terpancar pada pasangan ini, namun berita yang diterima ketika usia kandungan 36 minggu ternyata membuatkan pasangan ini sedikit gusar.
“Sepanjang hamilkan Jannah, doktor tidak dapat kesan sebarang kelainan. Semuanya nampak normal. Daripada awal kehamilan, perkembangan Jannah dalam kandungan sentiasa normal, kecuali pada minggu ke-36. Berat bayi dalam kandungan saya dikesan menurun dari 2.8kg kepada 2.6kg. Begitulah minggu seterusnya bila purata penurunan sekitar 200gm seminggu berlaku. Saya mula rasa bimbang tetapi tetap yakin bahawa bayi yang saya kandung akan sihat,”ujar ibu kepada 7 cahaya mata ini.
Anak yang dikandung selama 40 minggu ini, dilahirkan dengan kelainan kromosom trisomi 18 atau turut dikenali sebagai Sindrom Edward. Sesungguhnya keajaiban itu kuasa Maha Pencipta, nyawa si kecil yang diberi nama Sity Nur Jannah yang sudah berusia setahun lebih masih lagi utuh hingga ke detik sekarang. Meskipun doktor pernah meramalkan hayat Jannah tidak lama namun benarlah ajal maut itu di tangan Allah Yang Maha Esa.
“Cukup usia kandungan 40 minggu pada tarikh 8 Mei 2017, saya terpaksa lahirkan bayi yang dikandung dengan bantuan ubat indius oleh doktor di Kajang Plaza Medical Centre, Kajang. Doktor bimbang dengan corak penurunan berat badan bayi yang berlaku setiap minggu. Syukur, mudah saya lahirkan Jannah. Sakit kontraksi hasil cetusan ubat indius pun tidak lama.
“Bayi yang saya lahirkan terlihat sempurna, panjang dan lilit kepala bayi saya normal, cuma doktor terkejut dengan berat yang cuma 2.2kg. Terus bayi saya dibawa ke NICU bagi mendapatkan bantuan oksigen kerana gagal bernafas sendiri.”
Rawatan pakar
Melihat kepada keadaan kesihatan bayi yang semakin merosot, doktor menyarankan Jannah di bawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan pakar. Seakan lupa diri masih berpantang, demi bayi yang baru dilahirkan Sity Warhana dan suami membawa anak kecilnya untuk mendapatkan rawatan pakar yang sewajarnya.
“Seorang doktor pakar kanak-kanak menyatakan bahawa kondisi bayi saya agak kritikal dan mencadangkan kes ini segera dirujuk kepada doktor pakar di Hospital Kajang. Tanpa berlengah, pagi itu juga saya terus ke hospital Kajang. Kalau ikut teori, doktor kata peluang untuk bayi saya hidup sangat tipis. Boleh bertahan dua hari sahaja.
“Syukur, pada hari ketiga Jannah masih lagi bernyawa, doktor cadangkan sampel darah bayi saya diambil untuk menjalani ujian kromosom di LPPKN. Selepas 14 hari, ujian mengesan kromosom Jannah trisomy 18. Menurut doktor hayat anak saya tidak lama memandangkan ada masalah jantung dan saluran paru-paru berlubang. Saluran pernafasan juga sempit. Selepas berbincang, saya dan suami mahu bawa pulang anak kami ke rumah kerana doktor jangkakan dia hanya boleh bertahan paling lama pun, dua bulan. Siapa tak sedih mendengar makluman doktor pada saat itu. Tapi saya dan suami perlu kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Perkembangan terkini Jannah
Sehingga kini Jannah masih lagi menerima rawatan fisioterapi tanpa had umur dari Hospital Kajang di samping turut menjalani rawatan di Kardiologi Pediatrik, ENT Pediatrik, Ortopedik Pediatrik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau lebih dikenali sebagai HUKM sebelum ini.
“Jannah masih dapatkan rawatan daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Hospital Kajang di samping pemeriksaan jantung oleh doktor pakar jantung kanak-kanak di Hospital Canselor Tuanku Muhriz atau HUKM . Doktor pakar kardiologi kanak-kanak di PPUKM mendapati, dahulu VSD dan PDA adalah sebesar 1sm. Sewaktu umur Jannah empat bulan, echo yang dilakukan sekali lagi menunjukkan PDA sudah tertutup manakala VSD pula 5mm, Syukur!
Kuatnya si kecil Jannah ditambah dengan usaha dan semangat serta sokongan ibu dan ayah, perkembangan positif yang ditunjukkan Jannah sedikit sebanyak membuatkan hati Sity Warhana dan suaminya lega. Siapa sangka si kecil yang dahulunya dikatakan hanya mampu bertahan selama dua hari, diikuti dua minggu dan seterusnya dua bulan sehingga kini nyawanya masih dikandung badan. Namun menurut Sity Warhana, dia dan keluarga sudah bersedia menerima segala kemungkinan yang akan berlaku kelak.
“Alhamdulillah, Jannah kini semakin aktif. Walaupun perkembangan tidak sama seperti bayi yang sebayanya, Jannah banyak tunjukkan perubahan positif. Dia sudah boleh meniarap. Berat juga makin bertambah dari semasa ke semasa. Kalau dahulu Jannah hanya boleh makan dan minum menggunakan ryles tube disebabkan masalah jantung, kini dia sudah boleh makan dan minum menggunakan sudu atau shrink. Saya dan suami sangat bersyukur melihat perubahan tersebut.
“Ketika Jannah dilahirkan doktor ramalkan dia hanya mampu bertahan selama dua hari, kemudian dua minggu dan seterusnya dua bulan. Saya dan suami sebenarnya sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku kepada Jannah suatu hari nanti. Apa yang kami tahu adalah untuk memberikan rawatan yang terbaik untuk anak kami selebihnya kami serahkan pada yang Maha Esa.
“Menjaga anak seperti Jannah memang memerlukan lebih pemerhatian. Jannah tak boleh dibiarkan selesema atau batuk. Bimbang keadaan tersebut akan memburukkan lagi kesihatannya. Jadi saya akan sentiasa pastikan pengudaraan dalam keadaan baik selain memastikan kebersihan dalam rumah. Anak-anak saya yang lain juga memahami keadaan adik mereka yang tidak sihat. Mereka sangat memahami dengan keadaan kami jadi anak-anak yang lain tak banyak bagi masalah buat saya dan suami,” ujarnya lagi.
Setiap ibu bapa pasti mahukan anak-anak mereka sihat dan membesar dengan baik. Sity Warhana dan suami juga tidak terkecuali. Namun dengan ketentuan Ilahi, dugaan yang sedang dialami dihadapi dengan penuh keredaan. Tidak pernah putus harapan dan semangat dalam menghadapi hari-hari mendatang, setiap ujian yang menimpa dilihat dalam sudut positif oleh pasangan ini.
“Mempunyai anak seperti Jannah buat saya dan suami belajar banyak benda baharu. Sudah semestinya semua ibu dan ayah mahukan anak-anak yang sihat dan membesar dengan baik, tapi untuk Jannah kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Tapi kami tak pernah putus asa dan doa untuk kesihatan anak kami itu. hadirnya dia bukan setakat seorang puteri buat saya dan suami tetapi lebih kepada amanah Allah yang datangnya dari syurga,”akhirinya sayu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dihempap blok konkrit tiba-tiba, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan intelektual atau autisme sempat memohon agar ibu tidak memarahinya sebelum maut.