
“Kami reda dengan ketentuan ini dan mohon semua agar mendoakan kesihatan dan keselamatan permata hati kami.”
Itulah ungkapan penuh sebak daripada Zaidah Tamjis, 62, ibu kepada Dr Siti Hawa Apandi, 36, yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akibat jangkitan paru-paru.
Ibu Wakil Terima Anugerah Cemerlang UMPSA Bagi Pihak Anak
Zaidah hadir bersama suaminya, Apandi A Hadi, 62, untuk mewakili anak mereka menerima Anugerah Hadiah Kecemerlangan Inklusif Abdullah bin Ummi Maktum (Kategori Pascasiswazah) sempena Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Sabtu lalu.
Dr Siti Hawa yang merupakan bekas Presiden Kelab OkUMPSA (DAMAi) sebenarnya baru sahaja menamatkan pengajian di Fakulti Komputeran dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Namun, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk hadir menyambut detik bersejarah itu.

Perjuangan Penuh Pengorbanan Seorang Anak Istimewa
Zaidah yang menerima anugerah tersebut bagi pihak anaknya berkata, perjuangan Siti Hawa menamatkan pengajian amat luar biasa dan penuh pengorbanan.
“Saya bersyukur apabila impiannya untuk menggenggam PhD tercapai walaupun kali ini dia tidak dapat naik ke pentas untuk menerimanya sendiri.
“Apa yang kami harapkan kini dia selamat dan segera sembuh,” ujarnya.
Siti Hawa sejak kecil menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) — sejenis gangguan saraf yang menyebabkan otot semakin lemah hingga menyukarkan pergerakan tanpa bantuan.
Sokongan Ibu Menjadi Kekuatan Anak
Sepanjang menuntut di UMPSA, Zaidah sentiasa setia menemani anaknya, sama ada di asrama mahupun di kuliah, sejak dari pengajian diploma hingga ke peringkat doktor falsafah.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada semua ibu bapa yang mempunyai anak istimewa supaya tidak pernah berhenti menyokong cita-cita mereka.
“Jangan sesekali berputus asa,” katanya penuh makna.

Inspirasi Kecekalan Dan Kecemerlangan Akademik
Walaupun serba kekurangan, semangat juang Siti Hawa tidak pernah luntur. Beliau pernah meraih Diploma Sains Komputer (2010) dengan PNGK 3.79, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) pada 2013 dengan PNGK 3.88, Sarjana Sains Komputer (2016) dan akhirnya PhD.
Kecekalan luar biasa itu menjadikan beliau inspirasi ramai apabila turut menerima Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU) Peringkat Negeri Pahang 2024 serta Anugerah Khas Belia Kerajaan Pahang 2024.
Selain aktif dalam akademik, beliau juga dikenali kerana keberaniannya memperjuangkan hak golongan OKU melalui media sosial.
Dr Siti Hawa merupakan salah seorang daripada 4,259 graduan yang diraikan pada majlis konvokesyen berprestij itu.
Sumber: Sinar Harian
Tulis Tesis Di Atas Katil Hospital, Pensyarah Tabah Tamatkan PhD Walau Hidap Kanser Tahap Empat
Gadis Hilang Kaki Terkena Kipas Bot Di Caribbean Terharu Genggam Ijazah Sarjana
Tak Sempat Tengok Anak Bawa Balik Ijazah, Gadis Bangga Tunaikan Impian Ayah Jadi Doktor
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!











