Pelakon Amyza Aznan, 51, berkongsi kisah penuh sebak apabila anak lelakinya, Andre Mikhail Khairul, 19, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga sejak Januari lalu. Meskipun diuji hebat, Amyza Aznan tetap tabah dan positif melihat semangat anaknya yang tidak pernah berputus asa.
Perkembangan Terkini Rawatan Anak Amyza Aznan
Menurut Amyza Aznan, Andre kini telah menyelesaikan dua pusingan rawatan kemoterapi melibatkan lapan sesi secara keseluruhan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Sekarang kami masih menunggu keputusan imbasan Computed Tomography (CT) scan untuk menentukan langkah rawatan seterusnya. Kalau tumor itu sudah mengecil dan boleh buat pembedahan, doktor akan teruskan dengan pembedahan. Baru-baru ini, sementara menunggu keputusan CT Scan, HKL hantar Andre semula ke Hospital Ampang untuk konsultasi bagi prosedur seterusnya,” katanya.
Prosedur Transplant Darah Dan Risiko Rawatan
Tambah Amyza Aznan, sebelum pembedahan boleh dilakukan, pihak hospital mencadangkan agar Andre menjalani prosedur transplant darah pada tulang belakang bagi memastikan keselamatan pesakit semasa rawatan susulan.
“Doktor beritahu prosedur itu penting untuk melindungi saraf dan cecair di belakang tulang agar rawatan selepas ini tidak merosakkan bahagian berkenaan. Ada beberapa lagi pemeriksaan tambahan termasuk ujian jantung di Institut Jantung Negara (IJN). Buat masa ini, kami belum membuat keputusan sama ada mahu meneruskan transplant darah itu atau tidak kerana risikonya agak besar. Antara risikonya termasuk jangkitan kuman dan nauzubillah himinzalik, kes paling serius boleh membawa maut,” jelasnya.
Perkembangan Positif Dan Doa Orang Ramai
Selepas dua kitaran rawatan, perkembangan positif mula kelihatan apabila tumor Andre mengecil daripada 18 sentimeter kepada 14 sentimeter, manakala bacaan penanda tumor menurun daripada 70,000 kepada 50,000.
“Doktor terkejut sebab pada awalnya mereka seperti sudah hilang harapan. Tetapi, saya percaya inilah kuasa doa yang tidak pernah putus daripada semua orang,” kata Amyza Aznan penuh kesyukuran.
Ads
Ketabahan Seorang Ibu
Walaupun berdepan ujian berat, Amyza Aznan bersyukur kerana anaknya masih kuat dan bersemangat menghadapi rawatan. Baginya, semangat Andre menjadi sumber kekuatan utama.
“Dia masih mampu tersenyum… Tak pernah merungut. Cuma bila kena cucuk atau masuk air garam, dia akan cakap sakit sikit. Selain itu, dia tetap kuat,” luahnya sebak.
Dalam masa yang sama, pelakon drama Rindu Kasih ini mengakui bukan mudah mengimbangi tanggungjawab antara kerjaya dan penjagaan anak. Namun, dia bersyukur kerana ada insan sekeliling yang membantu.
“Saya bersyukur ada kawan perempuan Andre yang banyak membantu jaga dia di hospital. Kalau tidak, memang saya tak terkejar. Nampaklah Andre lebih sensitif sedikit, macam manja dan suka makan disuap. Ada satu masa tu, saya datang melawat dia tapi pelik sebab dia tak banyak cakap. Rupanya merajuk sebab saya tak suap dia makan hari sebelumnya,” kongsi Amyza Aznan sambil tersenyum.
Ads
Profesional Dalam Kerjaya
Walaupun hatinya risau terhadap anak, Amyza Aznan tetap profesional apabila berada di set penggambaran. Dia sentiasa berpegang pada prinsip untuk tidak membawa emosi peribadi ke tempat kerja.
“Saya selalu pesan pada diri, semua orang ada masalah. Apabila pergi kerja, letak masalah di tepi. Tak perlu bawa emosi ke tempat kerja atau minta orang faham keadaan kita. Di set penggambaran, saya tetap profesional dan berikan yang terbaik,” katanya tegas.
Doa dan Harapan Amyza Aznan Buat Anak
Sebagai seorang ibu, Amyza Aznan hanya mengharapkan kesembuhan buat anak tersayang dan memohon doa agar Andre terus kuat berjuang melawan penyakitnya.
“Sebagai seorang ibu, saya cuma hendak Andre sihat, panjang umur dan kuat melawan sakitnya. Dialah nyawa saya. Kalau anak demam pun kita dah tak senang duduk, inikan pula sakit seteruk ini,” katanya sebak.
Ads
Walaupun fokus utama kini adalah menjaga anak, Amyza Aznan sudah mula kembali aktif dalam dunia seni selepas melihat keadaan Andre semakin stabil.
“Saya mula ambil kerja balik bila tengok dia sudah kuat dan boleh urus diri. Minggu depan saya akan mula penggambaran drama arahan Heykal Hanifah dan satu lagi naskhah untuk Media Prima Berhad (MPB) arahan Amor Rizan,” katanya menutup bicara penuh ketabahan.
Kahwin 7 wanita serentak dalam sehari, Habib Nsikonnene mahu anak ramai. Kalau di Malaysia, pasti perang besar dan mencatat rekod. Ini kerana belum pernah ada sekali pun pengantin lelaki menikahi tujuh wanita dan berpoligami dalam sehari tetapi ia mungkin satu budaya membanggakan bagi lelaki di Uganda.
Bukan seorang atau dua seperti yang pernah kita baca tetapi Habib Nsikonnene mencatat sejarah apabila menikahi tujuh wanita serentak dalam sehari.
Kahwin 7 Wanita Serentak Dalam Sehari
Memetik laporan Sinar Harian, seorang lelaki Uganda dianggap paling beruntung apabila mengahwini tujuh isteri secara serentak pada minggu ini dan bertekad untuk memiliki anak ramai.
Kisah perkahwinannya tular di platform media sosial di mana ramai netizen ‘kagum’ dengan ‘kehandalan’ lelaki itu memikat tujuh wanita untuk dijadikan isteri.
Habib Nsikonnene, 43, seorang pakar perubatan tradisional telah menghantar kereta untuk menjemput isteri-isterinya dari salon kecantikan sebelum upacara perkahwinan mereka berlangsung.
Perarakan mereka disertai lebih 40 kereta dan 30 motosikal ke majlis perkahwinan diadakan di kampung Namasengere, daerah Kamulli.
Nama tujuh pengantin didedahkan kepada umum. Mereka adalah Aisha, Fatuma, Sharifah, Rashida, Mariam, Saha dan Sinap.
Habib Nsikonnene Mahu Anak Ramai
Difahamkan, semua dinikahkan dalam tempoh satu hari dalam majlis yang berlangsung pada 10 September lalu.
“Saya kenal isteri-isteri ini secara berasingan dan memutuskan untuk mengahwini mereka sekaligus untuk menjadi keluarga besar,” katanya.
Bapa Habib mendedahkan bahawa poligami adalah sah di Uganda dan lelaki di sini mempunyai ramai isteri.
Katanya, datuknya mempunyai enam isteri manakala bapanya lima isteri dan dia sendiri mempunyai empat isteri.
“Anak saya mengatasi semua dalam satu masa,” jelasnya. – Agensi
Berat Badan Elyana Bertambah, semakin berselera nikmati juadah. Selepas menerima perkhabaran gembira dirinya pulih dan bebas daripada kanser limfoma tahap empat Elyana berasa sangat lega.
Bagaikan satu bebanan yang dipikul selama 10 tahun tiba-tiba hilang, Elyana akui dirinya bersyukur kerana doanya dimakbulkan oleh Yang Maha Esa.
Berat Badan Elyana Bertambah
Pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal tidak mahu gembira terlalu awal ini kerana kanser boleh hadir pada bila-bila masa saja. Seperti mana yang dilaporkan Berita Harian, Elyana juga akui berat badannya juga semakin bertambah daripada berat badan hanya 35 kilogram (kg), sekarang sudah mencecah 60 kg.
“Alhamdulillah selepas lebih 10 tahun, doa saya dimakbulkan. Saya rasakan diri ini bagai dilahirkan semula.
“Iya, berat badan saya bertambah. Salah satu sebab adalah steroid dan selera makan saya sudah datang balik.
“Jadi, daripada berat badan hanya 35 kilogram (kg), sekarang sudah mencecah 60 kg. Sejujurnya, saya tidak berpantang makanan dan disebabkan itu, ramai netizen mengecam saya,” ungkap Elyana.
Makan Tetapi Berpada-Pada
Ibu kepada dua cahayat mata Cinta Sumayyah dan Cahaya Ramadhani ini turut berkongsi pada lima tahun pertama menghidapi kanser, dia mengamalkan pantang.
Malah wanita yang kuat semangat ini akui pada waktu itu dia berasa sangat lemah. Malah mentalnya turut terkesan dek kerana dirinya berasa sakit.
“Selepas itu, saya teruskan macam biasa, nak makan apa, saya makan tetapi berpada-pada.
“Sebab bagi saya, semuanya yang diambil berlebihan akan memudaratkan,” ujar Elyana yang turut menjual baju, tudung serta kuih tradisi iaitu semperit sepanjang Ramadan ini.
Cabaran mendidik anak-anak pada zaman sekarang teramat besar. Lebih-lebih lagi dengan teknologi yang serba canggih ini.
Jangan ingat, dengan mengawal anak-anak untuk berada di rumah sepanjang masa, mereka ‘terselamat’ daripada segala perkara negatif yang kita rasa hanya berada di luar rumah saja.
Gadjet
Mak ayah zaman sekarang kena tahu, di dalam bilik pun macam hal boleh jadi selagi di tangan ada telefon bimbit atau gajet yang membolehkan mereka melayari internet! Kalau tak, takkan terjadi kes anak lari dari rumah ikut teman lelaki yang dikenali di laman sembang online sedangkan sepanjang masa berkurung dalam bilik!
Tanyakan kepada mak ayah, pasti rata-rata bersetuju, terlalu sukar untuk mendidik anak-anak zaman sekarang. Sebab itu, ada masanya perlu bersikap tegas dan garang dengan anak-anak. Tak bermakna kalau kita garang, kita tak sayang anak.
Tapi ini semua dilakukan demi untuk mendidik dan membimbing anak-anak di landasan yang betul. Pukul anak, bukan nak menyakiti, tapi untuk bagi pengajaran. Marah anak bukan benci, tapi nak menasihati!
Siapa Lebih Garang?
Siapa lebih garang dalam mendidik anak-anak? Selalunya orang cakap, ayah yang lebih garang. Kalau depan ayah, anak tak berani nak membantah. Baru berdehem, anak dah kecut. Berbeza kalau dengan mak. 10 kali suruh solat pun belum tentu angkat punggung! Namun ada juga si ibu yang lebih garang dalam mendidik berbanding si ayah yang lebih ‘cool’ dan tenang.
Walau bagaimana pun, ada juga ibu bapa yang tidak bersetuju mendidik anak dengan sifat garang kerana kata mereka zaman sudah berubah. Nak didik anak-anak perlu gunakan pendekatan psikologi, lebih berkesan kata mereka. Dah tak relevan corak corak didikan garang dan tegas dengan anak-anak sekarang. Betul ke?
Ikuti kupasan lanjut berkenaan topik “Ibu Atau Ayah, Siapa Yang Garang” di dalam Mingguan Wanita Talkshow di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 esok, jam 11 pagi hingga 12 tengah hari bersama hos Siti Elizad, Erra Fazira dan Norman Hakim, serta tetamu-tetamu istimewa yang akan diundang ke studio.
Sekiranya ingin berkongsi pengalaman, pendapat atau persoalan berhubung topik ini, bolehlah menghubungi talian Teman Wanita Anda di 03 89389647 atau komen terus di ruangan komen yang disediakan. Jangan lupa temu janji kita esok ye!
Che Ta pilih rahsiakan identiti bakal menantu apabila anak sulungnya, Ammar Effendy, selamat bertunang dalam majlis sederhana yang penuh bermakna. Pelakon jelita itu memilih untuk tidak mendedahkan wajah tunang anaknya demi menjaga privasi keluarga.