Ambil Pil Perancang Keluarga Lebih 5 Tahun Antara Punca Berlaku Kanser Serviks!
Gambar Sekadar Hiasan

Berdasarkan statistik Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), lebih 1,000 wanita disahkan menghidap kanser serviks atau pangkal rahim setiap tahun termasuk menyerang wanita muda seawal usia 30-an.

Situasi ini membimbangkan kerana setiap tahun, terdapat kematian pesakit kanser serviks yang dikatakan berpunca daripada kelewatan mengesan sel kanser yang merebak sehingga ke peringkat akhir. Walhal, vaksin HPV jika diambil berupaya dapat mencegah 90 peratus insiden kanser serviks.

Pakar Perunding Onkologi dan Radioterapi Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Shazril Imran Shaukat mengupas dan mendalami isu berkaitan kanser serviks.

Dr Shazril Imran Shaukat Pakar Perunding Onkologi dan Radioterapi Hospital Pantai Sungai Petani,

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Kanser Serviks?

Kanser serviks merupakan ketumbuhan barah yang berasal daripada sel tisu abnormal yang tumbuh di bahagian pangkal rahim. Pangkal rahim atau serviks adalah kawasan di antara rahim dan faraj.

Bagaimana Kanser Serviks Boleh Terjadi?

Kanser serviks terjadi selepas proses berpanjangan perubahan sel dari sel tisu serviks biasa ke sel abnormal yang bukan barah, kemudian ke sel pra kanser (Cervical intraepithelial neoplasia CIN), dan akhir sekali baharulah menjadi sel kanser.

Tempoh ini kebiasaannya mengambil masa panjang sehingga kadang-kala mencecah kepada 10 tahun atau lebih, disebabkan itu, sekiranya pesakit mengesan lebih awal berlakunya sebarang kewujudan perubahan tidak normal di serviks.

Langkah-langkah pencegahan efektif boleh diambil sebelum ketumbuhan abnormal menjadi kanser. Peluang pengesanan awal sangat baik, berbeza dengan kanser-kanser lain.

Apakah Faktor Dan Punca Berlakunya Kanser Serviks?

Kanser serviks berpunca daripada virus Human Papillomavirus HPV jenis onkogenik seperti HPV 16 dan 18 yang wujud dalam badan manusia. Perlu diketahui, terdapat lebih 100 jenis atau strain virus HPV namun hanya 14 strain yang mempunyai hubungkait dengan kanser serviks.

IKLAN

Jenis atau strain yang berupaya menjadikan kanser diistilahkan sebagai onkogenik. Difahamkan, kira-kira 70 peratus kanser serviks berpunca daripada HPV 16 & 18.

Antara faktor lain yang boleh berisiko kepada kanser serviks ialah seperti mengamalkan gaya hidup tidak sihat sebagai contoh wanita merokok atau bertukar pasangan kelamin.

Dari segi melahirkan anak, wanita yang melahirkan anak sebelum usia 17 tahun berisiko lebih tinggi untuk kanser serviks berbanding dengan melahirkan anak pada usia umur 25 tahun.

Pengambilan pil perancang keluarga melebihi lima tahun juga merupakan salah satu faktor kepada berlakunya kanser serviks di mana di dapati 10 peratus daripada pesakit kanser serviks berkait dengan pengambilan pil perancang keluarga.

Pengambilan pil perancang perlu disertai dengan kaunseling oleh doktor atau pakar perubatan, tidak boleh diambil begitu sahaja supaya doktor atau pakar dapat menilai jenis kaedah perancang keluarga yang sesuai untuk pesakit berdasarkan latar belakang dan keadaan kesihatan pesakit.

Apakah Gejala Kanser Serviks?

  1. Tompokan darah atau pendarahan antara dua waktu haid (intermenstrual bleeding),
  2. Berlaku tompokan darah atau pendarahan selepas hubungan kelamin (post-coital bleed),
  3. Sakit ketika melakukan hubungan kelamin (dyspareunia),
  4. Tompokan darah atau pendarahan pada waktu selepas putus haid (post-menstrual bleed),
  5. Terdapat bendalir abnormal keluar dari bahagian faraj,
  6. Sakit pinggang, sakit belakang berpanjangan tanpa diketahui sebab dan memerlukan penyiasatan rapi doktor pakar selain rasa sakit berpanjangan ketika datang haid.

Kesemua gejala ini perlulah mendapat rawatan doktor dengan segera dan menjalani pemeriksaan imejan dan biopsi (sampel tisu) sebelum ditentukan seseorang pesakit menghidap kanser serviks.

Bagaimana Untuk Mencegah Kanser Serviks?

Vaksin HPV adalah salah satu cara pencegahan yang efektif. Sejak tahun 2010, vaksin telah diberi kepada semua pelajar berusia 13 tahun bagi mengurangkan risiko kanser serviks.

Vaksin HPV mampu mengurangkan risiko kanser serviks sebanyak 90 peratus. Selain daripada itu, elakkan merokok dan juga elak asap rokok. Golongan ibu yang mengamalkan pil perancang keluarga haruslah mendapat nasihat doktor serta kaunseling bagi mengelakkan risiko.

Sejauh Mana Keberkesanan Ujian Saringan?

Saringan yang dilakukan dapat mengesan kanser pada peringkat awal atau pada peringkat pra kanser. Saringan pap smear boleh dilakukan ke atas wanita berusia antara 20 hingga 65 tahun manakala saringan HPV DNA boleh dilakukan pada usia antara 30 hingga 59 tahun.

Matlamat saringan pap smear dan ujian HPV DNA adalah untuk mengesan sel pada tahap abnormal bukan kanser dan pra kanser supaya dapat mencegah dari berubah kepada sel kanser.

Pada tahun 2018, seramai 1,682 pesakit baharu diagnos menghidap kanser serviks di Malaysia berdasarkan statistik Globocan Pertubuhan Kesihatan Seduania (WHO) dan terdapat 944 kematian dicatatkan tahun yang sama.

Apakah Terdapat Kajian Terbaharu Mengenai Rawatan Dan Perubatan Untuk Penyakit Kanser Serviks?

Kajian kanser senantiasa dijalankan di seluruh dunia secara konsisten. Kanser pada tahap awal secara amnya boleh dirawat melalui kaedah pembedahan manakala kanser serviks pada tahap kedua dan ketiga ialah melakukan kemoradioterapi disusuli dengan brakiterapi. Ada sesetengah kanser tahap dua yang masih di peringkat awal, boleh juga dirawat dengan kaedah pembedahan.

Pesakit kanser tahap empat boleh dirawat melalui kemoterapi atau radioterapi atau kedua-duanya. Terdapat juga peranan terapi bersasar (targeted therapy) dala kanser tahap empat. Rawatan Kanser tahap ini dilakukan dengan matlamat paliatif bukan seperti tahap satu hingga tiga di mana matlamat rawatan adalah untuk penyembuhan.

Bagi tahap keempat, maksud matlamat paliatif adalah matlamat rawatan adalah untuk kawalan penyakit selama mana yang mungkin beserta dengan tujuan membantu pesakit untuk mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik. Lebih awal tahap, lebih tinggi harapan untuk sembuh sepenuhnya.

Kajian Sentiasa Dijalankan

Kajian sentiasa dijalankan dalam bidang kanser serviks, di mana ada kajian memberi impak dan sebaliknya. Peningkatan kefahaman rawatan radioterapi misalnya semakin canggih di mana kebolehan rawatan memberi dos rawatan yang tinggi dapat meningkatkan keupayaan penyembuhan seperti yang terbukti dalam kajian saintifik besar seperti Interlace trials dan sebagainya.

Rawatan radioterapi terkini seperti Intensity Modulated Radiotheraphy (IMRT) atau Volume Modulated Arc Theraphy (VMAT) juga terbukti mengurangkan kesan sampingan rawatan dengan signifikan.

Rawatan brakiterapi semakin tepat di mana dahulunya rawatan brakiterapi adalah berpandukan xray atau CT, kini boleh dijalankan secara imbasan masa-semasa (real-time) Image Guided Brachytherapy (IGBT).

Dahulu kita merawat berpandukan gambar kurang jelas bagaimanapun, kini kita merawat dengan gambaran jelas dan meningkatkan ketepatan rawatan.

Info Penting

Setiap wanita perlu menjalani vaksinasi HPV selain saringan ujian pap smear setiap tiga tahun sekali jika bacaan yang diperolehi normal dan ujian HPV DNA sebanyak lima tahun sekali.

Elakkan merokok atau terdedah kepada asap rokok, elak gaya hidup berisiko tinggi serta banyakkan aktiviti riadah dan senaman.