Suami mana yang tidak bangga dengan pencapaian seorang isteri bejaya menamatkan larian sejauh 10km meskipun sedang berbadan dua!
Perkongsian Alif Satar di laman Instagram miliknya mendapat perhatian apabila berkongsi mengenai pencapaian isteri tersayang, Shadila Halid yang berjaya menamatkan larian sejauh 10km meskipun sedang hamil empat bulan. Menurut Alif lagi, pencapaian tersebut bukan sahaja mengejutkan, malah memberi inspirasi kerana bukan mudah untuk seorang wanita melakukan aktiviti lasak dalam keadaan sedang hamil.
“Keazaman lebih kuat daripada fikiran , dan Shadila membuktikannya dengan penamat yang mantap”, ujar Alif.
“Dia habiskan larian pertamanya sejauh 10km ketika hamil empat bulan. Saya sangat terinspirasi. Tahniah sayang,”katanya.
Bercerita lanjut, Alif berkata Shadila sebelum ini tidak begitu berminat menyertai acara larian. Bagaimanapun, Alif terkejut apabila isterinya secara tiba-tiba mendaftar untuk menyertai sebuah acara larian baru-baru ini.
“Satu pencapaian besar hari ini dan saya sangat bangga. Daripada dulu saya selalu ajak Shadila berlari atau berlatih bersama, tapi dia tak pernah nak ikut.
“Tiba-tiba dia cakap yang dia daftar untuk acara larian itu,”ujarnya.
Ads
Alahan Bukan Halangan
Meskipun sedang hamil, Shadila membuktikan ia bukanlah halangan untuk dirinya menyertai larian tersebut. Walaupun pada mulanya dia sempat berehat selama sebulan daripada latihan akibat mengalami alahan ketika hamil atau morning sickness.
Malah,pada malam sebelum acara berlangsung, Alif melahirkan rasa bimbang sama ada Shadila mampu menamatkan acara larian tersebut.
Ads
Kekuatan seorang wanita tidak hanya diukur pada sejauh mana dia mampu memikul beban, tetapi juga pada tekadnya untuk melangkah ke hadapan walau dalam keadaan yang penuh cabaran. Inilah kisah inspirasi Shadila Halid, yang berjaya menamatkan larian sejauh 10 kilometer meskipun sedang hamil empat bulan.
Di tengah ribuan pelari, Shadila tampil bukan sekadar sebagai peserta, tetapi sebagai simbol ketabahan. Walaupun sarat dengan kehidupan baru yang sedang berdenyut dalam rahimnya, dia memilih untuk terus aktif, membuktikan bahawa kehamilan bukan penghalang untuk menikmati gaya hidup sihat selagi ia dilakukan dengan penuh berhati-hati dan mendapat nasihat pakar.
Untuk rekod, Alif dan Shadila mendirikan rumah tangga pada 15 September 2014. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, 10, Ariana Mecca, 8 dan Muhammad Ali kini berusia enam tahun.
Penyanyi bersuara merdu, Amira Othman, 32, bakal melangkah ke gerbang pernikahan pada Ahad ini bersama lelaki pilihan hatinya, pelakon popular Fattah Amin.
Dalam debaran menjelang hari bahagia, Amira menyifatkan Fattah sebagai seorang lelaki yang baik, namun dalam masa yang sama, dia mengharapkan kesediaan suaminya itu untuk bertolak ansur dan bertoleransi sepanjang melayari bahtera rumah tangga.
“Bagi saya, Fattah memang seorang lelaki yang baik, seorang anak yang baik. Saya yakin jika dia seorang yang baik, apa saja boleh dibawa berbincang tanpa perlu marah-marah atau emosi. Itu kunci keharmonian.”
Tidak mahu terburu-buru membuat andaian, Amira akui dirinya masih belum melalui fasa perkahwinan, justeru lebih berhati-hati dalam menuturkan kata. Baginya, doa orang sekeliling adalah kekuatan terbesar saat ini.
“Alhamdulillah, ketika ini saya masih membuat persiapan. Saya mohon doa daripada semua agar segala urusan dipermudahkan. Mungkin semua ini adalah berkat doa kalian.”
Amira dan Fattah turut mengumumkan tarikh penyatuan mereka pada majlis sidang media pelancaran single duet baharu Rasa & Takdir, nyanyian Amira bersama adiknya, Irfan Haris, di Imperial Lexis, semalam. Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi hubungan mereka yang hangat diperkatakan sejak hujung tahun lalu.
Lebih istimewa, Amira menegaskan dirinya enggan menjadikan pengalaman lalu sebagai beban yang membantutkan langkah ke fasa baharu.
“Tak adil kalau kita biarkan trauma menghalang perjalanan hidup. Saya percaya pada takdir. Allah sebaik-baik perancang. Perkahwinan ini pasti ada turun naik, tetapi itulah perjalanan menuju syurga.”
Menariknya, pelancaran single duet bersama Irfan seakan bertepatan dengan perjalanan hidup Amira sendiri. Lagu yang tertangguh sejak 2023 itu akhirnya diluncurkan pada waktu yang dirasakan paling sesuai.
“Kadang-kadang kita rancang, tapi tak jadi. Mungkin inilah masa terbaik. Lagu ini seolah-olah mengingatkan kami bahawa hidup ini aturan Tuhan. Kita rancang lain, Dia aturkan yang lebih baik.”
Di sebalik senyuman dan cahaya bahagia yang jelas terpancar, Amira hanya mengharapkan agar rumah tangga yang bakal dibina bersama Fattah dipenuhi rahmat dan keberkatan.
Baginya, cinta bukan sekadar rasa, tetapi juga takdir. Dan dalam takdir itu, wujud doa, usaha, dan pengharapan.
Pelakon popular, Fattah Amin sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, malam ini.
Suasana senja yang mendamaikan menjadi saksi kepada sebuah ikatan suci, apabila akad nikah disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Majlis itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga, sahabat dan kenalan rapat pasangan berkenaan dalam suasana sederhana tetapi sarat makna.
Pasangan ini memilih tema Islamik Al-Zauj, yang membawa maksud dua jiwa dipertemukan oleh Allah. Simbolik tema itu dizahirkan melalui dekorasi dan suasana senja yang tenang, seolah-olah menggambarkan perjalanan baharu yang bakal ditempuh dengan keberkatan Ilahi.
Lebih istimewa, tarikh keramat ini dipilih oleh Amira sendiri bersempena ulang tahun kelahiran Fattah. “Perkahwinan ini adalah hadiah terindah buat suami saya,” ujar Amira dengan senyuman penuh syukur.
Dalam majlis itu, Fattah menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas tunai, bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan, simbol kesederhanaan namun tetap memuliakan adat.
Fattah tampil segak dalam persalinan putih rekaan pereka ternama Rizman Ruzaini, manakala Amira menyerlahkan keanggunan dengan busana putih rekaan Teh Firdaus.
Keanggunan mereka seolah-olah lengkap dengan kehadiran para tetamu yang turut mengenakan persalinan serba putih. Putih, yang menjadi lambang kesucian dan kebersihan hati, menjadikan suasana majlis lebih harmoni, damai dan penuh syahdu.
“Alhamdulillah, syukur kerana semuanya dipermudahkan. Terima kasih kepada keluarga, sahabat dan peminat yang sentiasa mendoakan kami,” kata Fattah selepas selesai akad nikah.
Sementara itu, Amira turut meluahkan rasa syukur kerana kini sah bergelar isteri kepada aktor kesayangan ramai itu. “Doakan yang baik-baik buat kami, semoga perjalanan baru ini sentiasa dalam rahmat Allah,” tuturnya penuh kelembutan.
Majlis ini mendapat sentuhan dekorasi daripada Reka Teemor, dengan pengasasnya Faiz sabari dan Rozana Mumtaz menjelaskan bahawa konsep Al-Zauj dipilih bagi menzahirkan hasrat pasangan yang mahukan sebuah majlis berkonsep Islamik, sederhana namun harmoni.
“Al-Zauj membawa makna dua jiwa dipertemukan oleh Allah. Fattah dan Amira memang mahukan konsep Islamik, jadi kami ketengahkan tema ini dengan tambahan elemen senja atau sunset yang menambah keindahan.”
Cahaya jingga senja yang meresap ke dalam majlis memberi simbolik cinta abadi. Indah, hangat, namun tetap menenangkan.
Terdahulu, Fattah mengejutkan ramai apabila mengumumkan bakal bernikah pada 14 September, tarikh sama ulang tahun kelahirannya, ketika pelancaran single terbaru Amira bersama Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir.
Perjalanan cinta ini tentunya tidak sepi daripada ujian. Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Fazura pada 27 November 2017, sebelum berpisah pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, kini berusia lima tahun.
Datin Shahida pesan pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, nasihat yang berkesan kepada anak merangkumi aspek agama dan duniawi seperti mendidik akhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa, menjaga adab, mengajar tanggungjawab, menyokong minat dan bakat anak, memberi kepercayaan, serta menjadi contoh terbaik melalui perbuatan. Penting juga untuk membina bonding yang kuat, bersabar dalam proses mendidik, dan memilih masa serta cara yang tepat untuk memberi nasihat agar ia meresap ke dalam diri anak.
Begitu jugalah yang diamalkan pasangan pempengaruh dan juga ahli perniagaan berjaya Dato’ Seri Aliff Syukri dan isterinya Datin Seri Shahida. Sebagai ibu dan ayah banyak yang dipesan. Malah biasanya seusai solat mereka akan memberi tazkirah pada anak-anak.
Benarlah bukan mudah untuk mendidik anak-anak namun cara Datin Shaheda dan Dato’ Aliff boleh dijadikan contoh buat ibu bapa di luar sana. Sememangnya kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Terbaru video Dato’ Aliff Syukri menyampaikan tazkirah penuh kasih sayang kepada anak-anak meraih perhatian warganet. Ramai terkejut kerana jarang melihat sisi lembut dan mendalam seorang bapa yang ada dalam dirinya.
Kata-kata nasihat yang lahir dari hati itu bukan sahaja menyentuh anak-anak, malah turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian di TikTok yang berjaya mencuri perhatian ramai hingga meraih lebih 2.1 juta tanda suka dan lebih 5 ribu komen itu, terserlah detik penuh keberkatan apabila Datuk Aliff bersama isteri menyampaikan nasihat dan amanat, ketika duduk berhimpun selepas solat Maghrib berjemaah.
Dalam suasana tenang itu, lahirlah tazkirah seorang ayah yang sarat dengan kasih sayang dan nasihat bernilai.
Tatkala itu juga isi hati seorang ayah yang mahu melihat anak-anaknya membesar dengan jiwa yang kuat, hati yang lembut, serta menjadikan agama sebagai pedoman hidup.
Ramai netizen mengakui tersentuh dengan pengakuan tersebut, rata-rata menyifatkan ia sebagai sisi berbeza Dato’ Aliff yang jarang ditonjolkan.
Ada yang mendoakan beliau terus istiqamah membimbing keluarga dengan nilai agama, malah tidak kurang juga yang berkongsi kerinduan terhadap arwah ayah dan ibu masing-masing setelah menonton momen tersebut.
“Mungkin, inilah watak sebenar Dato’ yang anak dia selalu cakap,”
“Kepada ibu bapa luar sana, kaya atau miskin.. ini satu contoh yang perlu ada pada setiap keluarga, kena ada sesi untuk deep talk, tazkirah dan lain-lain.. buatlah setiap bulan ke, 3 bulan sekali ke, 6 bulan sekali ke.
“Bagus Dato’ Aliff motivasikan anak-anaknya ke jalan Allah. Semoga dirahmati Allah selalu dan dimurahkan rezeki,”
Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan agar anak-anak bukan sekadar berjaya dalam pelajaran atau kerjaya, tetapi juga cemerlang di akhirat.
Anak yang mampu berdikari, berperibadi mulia, serta menjaga maruah keluarga adalah doa yang tak pernah putus daripada setiap ayah dan ibu.
Bagi Dato’ Aliff Syukri, ukuran kejayaan tidak hanya terletak pada wang ringgit atau kemewahan hidup. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila beliau dapat membentuk zuriatnya menjadi anak-anak soleh dan solehah, berilmu, berdisiplin, serta tahu menjaga nama baik keluarga.
“Kekayaan mungkin boleh diwarisi, tetapi bukan iman, kerana itulah abah sentiasa ingatkan anak-anak abah untuk jadi anak yang beriman, soleh dan solehah,”katanya.
Menurut bapa asal Kuala Lipis, Pahang itu, beliau menegaskan, kejayaan dunia hanyalah pinjaman, tetapi kejayaan akhirat adalah bekalan yang kekal abadi.
“Solat jangan ditinggal, jangan tunggu disuruh baru nak buat. Ingat, bila abah dah tiada nanti, semua ini jadi kenangan. Keluarga itu satu amanah. Amayan sebagai anak sulung perlu belajar jadi pemimpin, bertanggungjawab, menjaga adik-adik dan perniagaan keluarga. Jadilah seorang yang tegas, bijak, berfikiran luas dan berjiwa besar,” pesan beliau.
Menurutnya lagi, beliau sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak — termasuk memberikan pendidikan terbaik dan keselesaan hidup.
Namun, hanya Allah yang mampu menjadikan seseorang itu anak soleh dan beriman.
“Sebab itu doa abah tak pernah putus, semoga kamu semua jadi insan yang hebat, beragama, dan mendengar kata. Satu hari nanti, bila abah sudah tiada, kamu jugalah yang akan solatkan dan uruskan jenazah abah,” katanya penuh sebak.
Beliau turut berpesan agar anak-anak menjauhi cinta remaja yang melalaikan, pergaulan bebas dan amalan yang boleh merosakkan masa depan.
“Abah tak kisah anak nak berkawan atau keluar ke mana, asalkan jangan tipu. Ingat, orang bahagia adalah orang yang hidup dengan kasih sayang, bukan dengan kebohongan.”
Tentang soal jodoh, beliau menegaskan pilihan pasangan bukan kerana harta atau pangkat, tetapi kerana budi pekerti dan keturunan yang baik.
“Abah dan mama pernah melalui zaman remaja, memang masa tu hati memberontak. Tapi bila dah meningkat usia, baru kita faham bahawa nasihat orang tua semuanya demi kebaikan,” katanya lagi.
Mahu Anak-Anak Jadi Insan Berguna
Inilah percaturan seorang ayah dan ibu, setiap nasihat, doa dan teguran yang diucapkan hanyalah untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang baik, berakhlak mulia, berjaya di dunia serta mulia di sisi Allah di akhirat kelak.
Detik itu akan menjadi satu contoh bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Penemuan mayat wanita dalam beg di sebuah rumah kosong di Pedas dipercayai berkaitan kehilangan Suri sejak 15 Disember. Siasatan diteruskan bagi mengenal pasti identiti dan suspek terlibat.