Ini cerita ajaib tentang seorang suami, bapa bernama Reduan Mohd Noor, 55. Lelaki yang menetap di Padang Jawa, Shah Alam ini pernah terlantar sebulan di katil hospital akibat penyakit saraf tunjang.
Demi anak isteri yang alami masalah jantung, dia kuatkan semangat. Bangun sampai boleh berjalan perlahan. Wartawan Nazwa Selamat mengunjungi kediaman beliau bagi berkongsi kisah inspirasi untuk suami isteri yang berhadapan ujian seumpanya.
Semangat ‘Ajaib’, Reduan Kini Mampu Berjalan
Setiap insan diberi ujian yang berbeza oleh Allah SWT. Walaupun hati berkata tidak atau belum bersedia untuk hadapinya tetapi inilah kayu pengukur bagi menguji sejauh mana letaknya tahap keimanan seseorang.
Bersama tim PERKESO Klang, penulis berkesempatan berkunjung ke sebuah rumah milik Reduan Mohd Noor, 55 di Padang Jawa, Shah Alam.
Laluan masuk yang tidak rata membuatkan pemanduan terpaksa diperlahankan. Sana sini kelihatan lopak air bertakung, menandakan hujan malam tadi. Barangkali lebat.
Mata memandang ke kiri dan kanan, rumah-rumah lot kampung dibina serba sederhana. Mungkin cukup bagi melepas selesa setelah penat bekerja.
Akhirnya, kami tiba di sebuah rumah yang serba sederhana. Di beranda, kelihatan seorang lelaki sedang duduk menyandar kerusi yang kondisinya sedikit usang.
Salam disambut, namun dia tidak mampu berdiri kerana masalah kesihatan. Penulis bermonolog, mungkin inilah Reduan. Orangnya nampak bersemangat tetapi saiz badannya agak kurus.
Dikatakan, dia mampu berdiri dan berjalan tetapi tidak seligat dahulu. Masalah kesihatan yang menimpanya beberapa tahun dahulu seakan meragut kemampuan untuk bergerak.
“Saya redha dengan apa yang berlaku. Memang pada awalnya bukan mudah untuk menerima tetapi saya kuatkan hati dan percaya, Allah duga sebab dia sayangkan hambaNya. Kehidupan sekarang serba sederhana.
“Dulu, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan. Lama, rasanya lebih kurang 19 tahun. Alhamdulillah, ada caruman dengan PERKESO. Mungkin inilah hikmahnya bila dah terlantar sakit, ada pula bantuan yang dihulur.
Ads
Reduan Jatuh Disahkan Masalah Tulang Belakang
Suatu hari, Reduan jatuh di rumah dan dibawa ke hospital. Doktor kata ada masalah di bahagian tulang belakang (saraf tunjang).
“Disebabkan itu, saya terlantar lebih kurang satu bulan di katil hospital. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu.
“Saya tak mampu lagi keluar mencari rezeki dan saya seolah membebankan anak dan isteri untuk datang menjaga.
“Waktu itulah saya bulatkan tekad untuk segera sihat, paling tidak pun dibenarkan keluar dari hospital. Alhamdulillah, Allah makbulkan walaupun kesihatan tidak sepenuhnya pulih,” ujarnya dengan suara yang perlahan.
Anak Kedua Dan Isteri Ada Sakit Jantung
Sayu hati penulis mendengar cerita Reduan. Seakan sudah jatuh ditimpa tangga. Dia yang sebelum ini diharap menjaga keluarga akhirnya tidak mampu melakukan banyak kerja.
Ads
“Isteri saya tu bukanlah sihat sangat. Dia ada masalah jantung dan sering berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan rutin. Ada juga penyakit kencing manis dan darah tinggi.”
Walaupun sakit, isterinya, Norli Samijan, 48, betah berdikari dan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai 24 jam. Anak yang sulung pun sudah berkeluarga, jadi tidaklah terasa sangat.
“Anak kedua kami yang 23 tahun pun sama. Disahkan masalah jantung dan kencing manis. Waktu umurnya 13 tahun lagi, dia dah ambil insulin untuk kencing manis. Alhamdulillahlah, sebelum saya sakit lagi kami dah bawa dia untuk jalani pembedahan jantungnya.”
“Setidak-tidaknya, saya dapat jugalah tunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan menemankannya di hospital dahulu.
“Kasihan anak kedua saya itu. Dia ada Diploma dari Institusi Pengajian Tinggi Awam di Ipoh tetapi sanggup tak bekerja semata-mata nak menjaga saya di rumah.
“Banyak betul pengorbanannya sampaikan ada ketika saya rasa down sebab tak dapat teruskan tanggungjawab sebagai ayah dengan baik.”
Sampai hari ini, Reduan masih lagi meneruskan rawatan susulan di hospital. Dua bulan sekali, dia akan berjumpa doktor untuk lihat kembali sejarah kesihatan selain melakukan pemeriksaan rutin bagi mengelak timbulnya masalah kesihatan yang lain.
Ads
Saya Tak Mahu Bebankan Mereka
Reduan terdiam seketika. Mungkin mencari kekuatan untuk menyambung bicara. Ujarnya lagi, kalau ikutkan hati dia memang susah untuk bergerak semula tetapi disebabkan semangat yang tinggi untuk sihat demi isteri dan anak-anak maka digagahkan juga.
Bila difikir-fikirkan balik, seperti satu kisah ajaib. Seorang yang hanya mampu terbaring akibat masalah saraf tunjang kini dilihat sudah mampu berjalan meskipun perlahan.
“Saya kasihankan isteri dan anak-anak. Saya tak mahu terus bebankan mereka. Yang pasti, hanya mereka penguat semangat untuk saya terus sihat.
Kadang-kadang saya akan berjalan perlahan ke dapur. Malah ada masanya saya akan buat senaman regangan yang mudah di kerusi ini.
“Memang rasa kebas dari bahu ke kaki masih ada sebab penyakit saya ini melibatkan saraf kan tetapi saya kuatkan dan cuba untuk sihat kembali.”
Semangat Reduan datangnya dari isteri, anak-anak, saudara-mara serta rakan taulan.
“Saya berfikiran positif, yakin dan percaya pada keajaiban Allah SWT. Moga ada sinar baru buat saya dan keluarga kelak.”
Sebelum mengakhiri temubual Reduan sempat memaklumkan yang kawasan rumahnya kerap kali banjir akibat sistem saliran yang tidak sempurna.
Difahamkan juga, kira-kira tiga minggu yang lepas, rumah Reduan dan kawasan sekitar dinaiki air hingga ke paras paha. Masing-masing kelam-kabut meletakkan barang-barang penting ke tempat tinggi.
Penulis : Nazwa Selamat
Foto : Nurul Akmar Azimi
Terima kasih kepada Mohd Nazree Khalid dari PERKESO Klang
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sungguh mulia hati peniaga ikan ini. Bukan keuntungan semata-mata yang dicari. Dalam berniaga ada sedekahnya. Inilah yang diceritakan oleh Saudagar Jalanan terkenal, Ikram Al Banjaritentang seorang lelaki bermotosikal yang mahu membeli ikan di tapak jualan ikan.
Cerita Lelaki Yang Singgah Ke Khemah Jualan Ikan
Ada lelaki yang membuatkan aku menangis dalam hati sebentar tadi.
Ada banyak cerita pahit manis sepanjang kami berjualan ikan sejak kelmarin. Antara yang aku masih terkesan sampai ke saat ini ialah cerita seorang lelaki tadi.
Dia datang singgah ke khemah jualan kami. Meletakkan motosikal betul-betul di hadapan khemah dan terus berjalan ke mari. Kami ‘greet’ seperti biasa. Selepas puas mundar mandir melihat ikan, dia memanggil aku ke tepi.
“Sini jap adik “
“Ya bang? Apa boleh saya bantu? “
“Abang cakap ni jangan marah ya. Nak tanya dulu ni. Ikan Kembung tu dua ringgit dapat berapa ekor ? “
Aku senyum. Aku tersentak.
“Takpa bang. Sekejap ya saya timbang dulu “
Aku ambil beberapa ekor ikan kembung dan letakkan di atas penimbang digital. Aku tekan harga RM5 sekilo. Jawapan yang aku dapat selepas timbang ialah RM2.30 untuk 5 ekor.
“Bang, saya dah timbang tadi. Dapat 5 ekor “
Beliau senyum dengar jawapan aku. Nampak suka betul.
“Ha. Baguslah kalau macam tu. Bagilah 2 ringgit “
Aku bungkuskan 5 ekor tadi dan aku topup ikan ekstra untuknya. Aku bagi lebih lagi untuk beliau.
“Nah bang “
“Terima Kasih dik ya. Terima Kasih banyak. Abang doakan bisnes adik maju.“
Mungkin Abang Tadi Sedang Diuji
Beliau terus ke motosikal dan bergegas pulang. Ini kisah realiti kehidupan yang benar-benar wujud. Mungkin abang tadi sedang diuji. Aku hanya mampu mendoakan apa saja urusan beliau dipermudahkan. Apa pun yang terjadi, tangungjawab sebagai ketua keluarga untuk menyediakan lauk pauk di dapur mesti ditunaikan. Dapur mesti berasap.Aku salute.
Dua ringgit nilainya pelbagai di mata orang. Bagi kita, mungkin itu cuma nilai beli jajan buat anak. Mungkin juga, itu cuma nilai untuk bayar parking di pusat membeli belah. Tetapi, ada orang cuma berbelanja 2 ringgit itulah untuk mengenyangkan semua perut yang ada di rumah.
Begitulah. Hidup mesti terus. Usaha jangan putus-putus.
Kami Masih Berada Di Siini.
Di hadapan Stesen Minyak Petron Putra Heights Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan untuk menjual ikan.
Ikan Kembung RM5 sekilo
Ikan Kerisi RM7 sekilo
Ikan Cencaru RM7 sekilo
Ikan Tongkol Hitam RM11 sekilo
Ikan Mata Besar RM8 sekilo
Ikan Sardin RM7 sekilo
Ikan dari Kuantan, bukan dari Kotak. Tak percaya datang tengok sendiri. Tak jadi beli tak apa, sekurang-kurangnya kita jadi kawan. Tak gitu?
Mak-mak kalau nak beli ikan, jangan datang hari biasa. Seban jualan ikan peniaga berhati mulia ini cuma setiap hari Sabtu Ahad sahaja.
Masih ingat dengan tragedi yang menimpa seorang pelajar perempuan yang hilang kedua-dua kaki akibat digilis lori dalam kemalangan di Sungai Besar, Sabak Bernam, kira-kira dua tahun lalu. Bukan mudah untuk kembali bangkit apabila diuji dengan dugaan yang hebat. Penah sihat sempurna fizikal dan kini berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) ternyata semangat luar biasa remaja ini wajar dijadikan sumber inspirasi.
Bangkit daripada episod hitam, perkembangan terkini remaja perempuan ini telah menjadi seorang atlet paralimpik yang berjaya. Aktif melibatkan diri dalam sukan angkat berat, Siti Nuraisyah Sahrin, 15, berjaya membuktikan beliau mampu berjaya meskipun kini berstatus orang kurang upaya (OKU).
Lebih membanggakan, penglibatan aisyah sejak 2016 itu membawa kejayaan dengan meraih tiga pingat perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Powerlifting Sirkit Akhir Kebangsaan 2016, 2017 dan suku pertama 2018.Bukan itu sahaja, Aisyah yang lebih mesra dengan panggilan Ecah merupakan wakil tunggal Selangor dan peserta termuda dalam pertandingan itu.
Berkat Sokongan Ramai
Siapa sangka selepas tragedi yang menimpanya pada 18 Januari 2016, mengubah kehidupannya apabila menjadi atlet sukan yang mengharumkan nama negara.
Ecah memberitahu kehidupannya berubah berkat sokongan keluarga, rakan-rakan dan guru sekolah.
“Ibu bapa, kawan-kawan dan cikgu sekolah banyak bagi kata-kata semangat. Mereka selalu nasihatkan saya jangan sesekali putus asa,” katanya.
Ecah berkata, dia tidak mahu tragedi yang menimpa dirinya mendatangkan kesedihan kepada orang ramai.
“Ketika kejadian, saya sedar kaki tiada dan tidak pernah rasa trauma hingga sekarang,” katanya.
Miliki Semangat Luar Biasa
Bapa tirinya, Roslan Sardi berkata, dia kagum dengan semangat luar biasa Ecah yang tidak pernah berasa sedih dengan tragedi menimpanya.
“Saya bersyukur ALLAH kurniakan Ecah kekuatan dimana dia boleh hadapi musibah ini dengan tenang dan dapat terima kekurangan diri.
“Ecah cepat pulih, kalau orang lain dah meraung tapi Ecah tak menitiskan air mata langsung..memang dia seorang yang kuat,” katanya.
Mengakhiri temubual itu, Roslan menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak OKU agar tidak malu sebaliknya menonjolkan anak untuk masa depan yang cerah.
“Jangan anggap anak ini memalukan keluarga kerana mereka sebenarnya boleh berjaya. Jadi, kita perlu bawa dia ke depan dan jangan berasa malu.
“Beri anak ini semangat dan harapan agar dia boleh maju dan menjadi seorang yang berjaya,” katanya.
Tabahnya remaja ini, ternyata punyai semangat yang luar biasa meskipun pernah diuji dengan dugaan yang hebat.Buat wanita lain yang pernah menghadapi ujian, jangan sesekali bersedih dan berputus asa. Lupakan episod duka, Teruslah bangkit mengejar impian dan cita-cita.
Penyanyi lelaki popular Shah Indrawan atau lebih dikenali dengan nama glamornya Tomok, dan isteri Rahayu Abbas, cukup bertuah kerana miliki tiga orang anak. Anak-anak pasangan ini sememangnya menjadi perhatian pengguna media sosial selepas beberapa video yang memaparkan nyanyian dan kepetahannya bertutur dalam bahasa Inggeris dimuat naik di laman Instagram milik Tomok.
Ikut Kesesuaian Anak-Anak
Tomok dan Ayu juga menerangkan dalam mendidik anak-anak mereka tidak memaksa malah kedua-dua anak mereka mempunyai karektor yang berbeza.
“Didikan yang kami terapkan kepada Arrian dan Andra cukup berbeza. Saya tak memaksa ikut kesesuaian anak-anak. Mereka ini punya karakter yang berbeza, saya tak banyak masa untuk ajar anak sebab sibuk dengan dunia seni. Jadi isteri, yang lebih dominan menjaga dan memberi pendidikan kepada mereka,” tambah Tomok.
Ayu pula ketika ditanya menjelaskan dalam mengajar anak-anak dia sama juga seperti ibu bapa yang lain;
“Saya tak ada pengalaman dalam mengajar jadi saya banyak pelajari tentang didikan anak-anak menerusi bahan bacaan. Saya kumpulkan bahan-bahan bacaan ilmiah tentang keibubapaan dan pembelajaran awal pendidikan kanak-kanak dan juga sumber Internet bagaimana untuk membentuk anak-anak kita dari situ saya ambil mana yang boleh diterapkan dan bersesuaian dengan anak-anak saya. Kiranya trial and error. Saya tidak memberi tekanan dan memaksa anak-anak untuk belajar sebab tak nak ganggu proses pembesaran mereka.”
Tomok juga menjelaskan sebagai seorang bapa dia punya cabaran tersendiri dalam membesarkan anak-anak.
“Sebagai seorang bapa saya tidak punya banyak masa dengan anak-anak. Tapi bila saya berada di luar KL saya akan sentiasa hubungan isteri untuk memantau perkembangan anak-anak,” celah Tomok yang turut meminta pandangan dari kedua ibu bapa dan mentua dalam mendidik anak-anak.
Dalam menghargai isterinya yang banyak berkorban masa menjaga anak-anak yang tersayang. Tomok pada kebiasaannya akan memberi ganjaran dengan membawa isteri dan anak-anak bercuti.
“Selain bercuti saya juga sering bantu isteri dengan memandikan anak-anak atau menukar lampin pakai buang anak-anak. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan bebanan kerja Ayu.
7 Tips Tomok & Ayu Dalam Mendidik Anak-Anak
1.Berbual-bual
Berbual-bual dengan anak walaupun pada ketika itu mereka masih belum boleh bertutur dengan baik lagi ada kelebihannya. Walau pun masih belum mengerti, minda anak-anak sebenarnya seperti span yang menyerap apa yang dilihat dan didengari. Dia sebenarnya sedang menajamkan kemahiran berbahasa dan komunikasi. Lebih banyak bercakap kepada mereka, lebih baik.
2.Mengagah
Mengagah bayi adalah salah satu komunikasi awal yang boleh dilakukan kepada anak. Selain merangsang, ia juga menggalakkan deria pendengaran. Bayi yang berumur enam bulan atau tujuh bulan akan mula mengesan dan memusing ke arah bunyi itu. Menjelang usia setahun, bayi sudah mula mengenalpasti lagu kesukaannya dan cuba menyanyikannya.
3.Membaca Buku
Ramai yang tahu, buku jambatan ilmu. Tapi ramaikah yang membacakan buku kepada anak walau pun masik belum mengerti? Membacakan buku sejak awal lagi boleh membantu mengajar bayi tentang interaksi, komunikasi dan konsep tentang bentuk, warna, abjad, memori, nombor dan tatabahasa dalam cara yang menyeronokkan.
4.Kad Imbasan
Perkenalkan kad imbasan sejak awal melancarkan sebutan dan meningkatkan penguasaan tatabahasa. Mula-mula baca dan sebutkan apa yang ada pada kad. Lama kelamaan anak-anak akan menyebutnya sendiri dan kemudian mengejanya, seperti Ayu lakukan kepada Arrian.
5.Bermain
Biarkan anak-anak seronok bermain dengan permainan mereka. Ketika bermain, mereka akan mengeksplorasi, berimaginasi dan menajamkan motor halus. Ia juga merangsang skil kognitif dan penyelesaian masalah. Aktiviti mewarna dan menconteng juga salah satu cara bermain yang digalakkan untuk si manja!
6.Aktiviti Fizikal
Berenang, bermain di taman permainan dan berjalan memberikan anak-anak peluang untuk aktiviti yang dapat menggunakan otot dan anggota badan. Ia dapat menguatkan otot, keseimbangan dan sokongan tubuh. Selain itu, ia juga merangsang keyakinan diri kanak-kanak. Aktiviti seperti melompat, berlari, memanjat, berguling dan merangkak merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor kasar mereka.
7.Menyanyi
Dedahkan bayi kepada lagu kanak-kanak untuk merangsang pendengaran dan apabila anak mula mennyanyikannya, ia menggalakkan aktiviti pada kedua-dua belah otak. Anak-anak juga jadi lebih ceria dan gembira.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suasana sebak di Konvokesyen UniSZA apabila ibu terima skrol diploma arwah anak yang meninggal dunia dua minggu sebelum tamat pengajian – hadiah terakhir Airel buat ibunya.