Ternyata perpisahan cukup menyakitkan. Kehilangan anakanda tercinta secara tiba-tiba adalah dugaan terbesar dalam hidup ibu ini. Bayangkan selama ini kasih sayang tidak pernah berbelah bahagi dicurahkan kepada sang anak.
Namun kini, kematian memisahkan terus Nor Fairuz Sarjit Abdullah, 55, dengan anaknya. Biar pun perit ibu ini redha dengan takdir Allah dan sedar buah hatinya, Nur Ain Atikah Ahmad Junaidi, 28, sudah tiada lagi.
Bukan mudah sebagai ibu untuk mengiyakan takdir Allah. Biar pun berkali-kali memujuk diri bahawa anak hanyalah pinjaman buat sementara dan Allah berhak mengambilnya bila-bila masa. Tetapi hatinya tetap sayu. Pemergian anaknya secara tiba-tiba amat meruntun hatinya sebagai seorang ibu.
Apatah lagi Nur Ain Atikah atau mesra dipanggil Ain tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum pemergiannya. Malahan ketika dia pergi, mereka sekeluarga sedang bergembira dengan berita kehamilan Ain. Sudah tentu sebagai ibu, apabila anak sulungnya mengandung, Nor Fairuz menjadi orang paling teruja.
Ain dan suaminya, Azmel Haji Mohd Zain,30, berkahwin pada 1 Disember tahun lalu. Menurut Nor Fairuz, Ain iaitu anaknya amat menantikan kehadiran cahaya mata. Setelah berkahwin, Ain yang dahulunya seorang jururawat mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengikut suaminya berpindah ke Masai mengikut suaminya bertugas di sana.
Setelah lapan bulan menanti, akhirnya tiba jua berita gembira apabila Ain disahkan hamil lapan minggu pada Ogos yang lalu. Sudah tentu dia sangat terharu dan kami sekeluarga amat gembira dan sering kali bertanya khabar biar pun berjauhan.
“Dia memang seronok ketika beritahu yang dia sudah mengandung sebab dia memang nak cepat dapat anak. Dalam masa yang sama dia dapat tawaran kerja di klinik, saya nasihatkan dia untuk tangguhkan dulu kerana masih baru mengandung.
“Dia akur dengan cakap saya dan katanya mungkin bila kandungan dah cukup empat bulan baru dia start kerja. Masa mula-mula dia buat ujian kehamilan di rumah sahaja dan saya minta dia ke klinik untuk sahkan. Dia pergi ke tiga klinik untuk scan dan doktor cakap kandungan tiada masalah.
“Ain pun teruskan kehidupan macam biasa. Ada kala saya ada call dia, kalau tak sempat saya akan Whatapps dia. Setiap hari kami akan bertanya khabar. Ain memang anak yang baik, dia jenis yang tidak banyak merungut. Sekali pun dia tidak pernah melawan cakap saya dan abahnya,” ungkap Nor Fairuz mulai sebak mengenangkan anak sulungnya yang pergi dijemput Ilahi pada 4 Oktober yang lalu.
Ads
“Saya tahu Ain tenang di sana, dia pergi di hari jumaat bersama bayi dalam kandungan, sudah tentu kematiannya syahid kecil”.- Nor Fairuz.
Perpisahan Sekelip Mata
Jelas di ingatan Nor Fairuz, ketika hari kejadian dirinya yang mulai sibuk menyiapkan tempahan biskut sempena sambutan Hari Deepavali dipagut rasa resah yang tidak berpenghujung.
Naluri keibuannya diserang rasa kurang enak dan hatinya jadi gelisah tidak tentu arah. Ditinggalkan adunan biskut, lalu Nor Fairuz mula menghubungi anaknya Ain. Tidak berjawab.
Lalu dia tinggalkan pesanan di group Whatapps keluarga, masih tiada respon daripada Ain. Resah ibu ini akhirnya terluah tatkala menyantap menu tengahari.
Diluahkan pada suami bahawa anaknya tidak menjawab panggilan dan membalas Whatapps. Dalam masa yang sama dia cuba menghubungi anaknya dan akhirnya panggilannya di jawab orang tidak dikenali yang mengakui dia jiran kepada Ain.
Kala itu seperti ada batu besar menghempap kepalanya apabila jiran anaknya beritahu yang Ain tidak sedarkan diri dan Ain akan dibawa ke klinik. Keadaan yang kritikal membuatkan Ain dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
“Saya cuba hubungi Azmel, (menantu) untuk ketahui perkembangan Ain tetapi dia pun tidak tahu kerana dia tidak dibenarkan masuk. Ain ditahan di zon merah kerana keadaannya kritikal. Saya jadi tidak tentu arah dan akhirnya ambil keputusan untuk hubungi hospital terus.
Ads
“Saya meraung dan hampir rebah apabila saya hubungi hospital dan mereka beritahu anak saya telah meninggal dunia. Rasa dunia saya gelap serta-merta. Suami pula tiada ketika itu, keluar ambil anak balik dari kerja. Saya seorang di rumah, saya menangis dan meraung sekuat hati. Tidak sangka begitu teruk keadaan anak saya dan dia pergi sekelip mata,” ujar Nor Fairuz yang masih terasa kehilangan Ain.
Ain bukan sahaja disayangi keluarga, Ain juga merupakan kawan yang baik pada sahabat-sahabatnya.
Hasil Bedah Siasat
Ain pergi di hari jumaat yang mulia dan dia pergi bersama bayi yang dikandungnya. Tatkala menatap wajahnya di bilik mayat HSI, wajah Ain kelihatan tenang dan tersenyum. Matanya juga sedikit terbuka seolah-olah menanti kehadiran ibunya dan keluarga.
Jelas Nor Fairuz, jenazah Ain akhirnya dikebumikan di Banting setelah berbincang dengan ahli keluarga dan menantunya, Azmel. Walaupun pada mulanya Nor Fairuz tidak mahu allahyarhamah anaknya melalui proses “post mortem”, tetapi bagi merungkai punca sebenar kematian, doktor sarankan agar Ain menjalani.
Hasil bedah siasat, Ain rupanya mengandung luar rahim dan kandungannya yang pecah telah meragut nyawanya. Disebabkan Ain pengsan, jadi tidak berlaku tumpah darah.
Rupa-rupanya pada hari kejadian, Ain masih keadaan sihat dan jalani rutin seperti biasa. Seawal pagi menyiapkan sarapan buat suaminya, kemudian setelah selesai tugas-tugas di dapur dia meminta izin suaminya untuk mandi. Ketika mandi, dia muntah-muntah. Dia mula rasa tidak selesa dan mual setelah dua kali muntahkan segala isi perut.
Setelah diurut, Ain tertidur dan menjelang tengahari apabila dia bangun dia mula mengadu sesak nafas. Melihat keadaan isteri yang tidak keruan, Azmel ambil keputusan untuk membawa isterinya ke klinik. Belum sempat ke kereta, Ain jatuh pengsan. Kemudiannya dengan bantuan jiran, Azmel membawa isterinya ke hospital. Siapa sangka, saat itu Ain tengah bertarung nyawa.
Ads
Kematian Ain cukup memberi impak kepada Nor Fairuz.
Pertemuan Terakhir
Tambah Nor Fairuz, kali terakhir dia berjumpa dengan Ain adalah pada bulan Ogos yang lalu ketika cuti Hari Merdeka. Dia berdua bersama anak bongsunya menziarahi Ain di Johor. Saat itu Ain belum mengetahui yang dirinya mengandung. Ain sekadar berbahasa-basi yang dia sudah lapan hari lewat datang bulan.
“Kebetulan anak bongsu saya ingin ke Johor Bahru untuk jumpa kawan-kawan dia, jadi saya ikut sekali. Ketika itu Ain tidak banyak bercakap dan memang perangai dia begitu. Jadi saya tidak pelik dengan situasi itu.
“Ketika di sana, dia minta saya buatkan biskut Makmur untuknya katanya dia teringin. Jadi saya ajak dia buat sama-sama dan dapatlah dia makan biskut Makmur. Sebelum balik ke sini, dia salam dan peluk saya. Kemudian dia menangis. Saya pelik sebab sebelum ini dia tak pernah menangis.
“Dia katakan dia sedih saya dah nak balik dan tinggalkan dia. Terus saya tanya dia, dia ada masalah atau tak gembira ke. Dia kata dia baik-baik sahaja dan sedih bila tengok saya nak tinggalkan dia. Saya pujuk dan tak nak dia sedih-sedih,” rupa-rupanya itulah kali terakhir pertemuan Nor Fairuz dan anaknya.
Cuba Untuk Redha
Tenyata belajar untuk menerima kenyataan dan redha dengan takdir Allah bukan sesuatu yang mudah buat Nor Fairuz. Setiap kali terkenangkan kenangan bersama Ain, pasti air matanya berjuraian. Biar pun berkali-kali mencuba menghapus kesedihan, berjuta-juta kali perasaan hiba itu hadir.
Bacaan surah Al-Fatihah, surah Al-Ikhlas sentiasa menjadi peneman Nor Fairuz setiap kali memori bersama Ain menggamit memorinya. Setiap hari, ibu ini juga sentiasa berdoa pada Allah agar kurniakan kesabaran, keikhlasan dan ketenangan dalam menerima kehilangan penghuni pertama rahimnya.
“Setiap kali sedih, saya pujuk hati bahawa anak adalah pinjaman Allah. Terima atau tidak saya perlu redha. Tetapi sebagai manusia biasa, hati saya sentiasa berbolak balik. Setiap kali hiba, anak bongsu saya akan memujuk, suami saya banyak menyokong saya. Kita sebagai perempuan mudah, bila sedih terus menangis.
“Saya tak tahu bagaimana perasaan sebenar suami dan menantu saya, mereka cuba sembunyikan perasaan sedih. Saya harap kami sekeluarga dapat terima ketiadaan Ain selepas ini. Saya juga berharap berjumpa seorang ustazah atau ustaz yang dapat menunjuk jalan terbaik untuk saya lupakan rasa sedih ini,” ujarnya yang masih kematian hiba dengan anaknya, Nur Ain Atikah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Terima Kasih Cikgu! Kejutan Yang Tidak Disangka-sangka Buat Guru Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2023
Minggu pertama sesi persekolahan sudah sampai ke penghujung dan pada Isnin lalu, iaitu hari pertama sesi persekolahan telah terakam banyak momen indah.
Sebagaimana lazimnya, minggu pertama adalah tempoh yang sangat sibuk bagi warga pendidik dan pentadbir sekolah. Ingin mengambil peluang terbaik ini, satu program komuniti santuni guru telah dianjurkan oleh Mingguan Wanita bersama rakan kolaborasi SABELLA.
Dan sesungguhnya ini merupakan idea dan inisiatif mulia pengasas SABELLA iaitu tuan Sufian Sulaiman dan isteri, puan Siti Fatimah.
Terima Kasih Cikgu, Julung Kali Diadakan
Ia adalah usaha kecil dengan menyumbangkan cenderahati sebagai tanda penghargaan buat para pendidik. Tanpa pernah harapkan balasan, para guru selama ini telah banyak berkorban masa dan tenaga mendidik anak bangsa.
Program ini melibatkan beberapa buah sekolah di Lembah Klang dan ia adalah julung kali dijalankan oleh SABELLA yang berkolaborasi bersama Mingguan Wanita.
Simbolik kepada program menyantuni para guru ini, ia dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 Shah Alam (SMK Seksyen 19) dan Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang disusuli ke 15 buah sekolah lain secara berperingkat.
Program dengan elemen kejutan ini telah menarik perhatian para pelajar yang menyaksikan penyerahan cenderahati seusai perhimpunan pagi di hari pertama persekolahan.
Apa yang menarik, kehadiran selebriti terkenal iaitu Izzue Islam benar-benar di luar jangkaan para guru. Cukup meriah dan majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPN Selangor iaitu Datin Hajah Nor Faridah A. Bakar.
Sarat dengan emosi gembira dan terharu, semua guru SMK Seksyen 19 yang diketuai oleh Pengetua, puan Rohana binti Jaafar berterima kasih dengan inisiatif ini. Dalam satu temuramah semasa acara berlangsung, beliau menyatakan rasa terkejut dan teruja saat usul ini disampaikan,
“Saya terkejut dan teruja. YDP PIBG, Haji Hashim Anang sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada warga sekolah SMK Seksyen 19. Ini adalah satu inisiatif yang dibuat sempena pembukaan sesi persekolahan baru ini. Saya mewakili seluruh warga SMK Seksyen 19 ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak SABELLA. Saya yakin ini akan menjadi memori yang indah selari dengan pengoperasian sekolah yang baharu,” ujar beliau.
“Sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/24 ini, harapan pihak sekolah bagi sesi pengoperasian sekolah yang baharu ini agar seiring dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara negara sejahtera,” tambahnya mengakhiri komentar.
Mingguan Wanita turut mendapatkan pandangan YDP PIBG SMK Seksyen 19 tentang program ini. “Terima kasih kepada Mingguan Wanita dan rakan kolaborasi, SABELLA bermurah hati menyantuni guru-guru SMK Seksyen 19. Seperti yang sering dilagukan ‘Biarku menjadi lilin memberikan cahaya’ begitulah ibarat kehidupan seorang guru. Berkorban demi memberikan ilmu anak bangsa”
“Guru tidak pernah mengharapkan hadiah atau penghargaan. Justeru jika ada pihak yang bermurah hati seperti usaha SABELLA ini, pastinya ianya menyuntik semangat dan motivasi kepada mereka. Cabaran para guru di SMK Seksyen 19 memang besar. Kami mendidik 2600 pelajar termasuk 200 pelajar istimewa menerusi program pendidikan khas (PPKI),” ulasnya lagi.
Manakala dalam masa sama acara serupa dijalankan yang mana turut diserikan dengan kehadiran bekas Ratu Hijabista iaitu Wan Nur Aqilah Shahirah atau Qila.
Cikgu-cikgu Sangat Teruja
Dalam satu temuramah ringkas bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teluk Panglima Garang (SK TPG) iaitu puan Junaidah beliau menyatakan kesyukuran dengan program yang julung kali diadakan ini. Ia sesuai dengan konsep PIBKS iaitu kerjasama baik antara pihak sekolah, persatuan ibubapa dan komuniti swasta (PIBKS).
“Kami teruja dan sudah tentu ini akan eratkan lagi hubungan kedua belah pihak iaitu sekolah dan swasta,” jelasnya lagi.
Sementara itu di hari dan waktu lain pula, program ini turut mendapat perhatian Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu YBhg. Pn Hajah Norhayati binti Haji Ab Wahab.
Beliau bersama pegawai jabatan hadir ke Sekolah Kebangsaan Danau Kota 2 bagi menghadiri program takbir di sekolah berkenaan.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat Mingguan Wanita dan SABELLA yang telah merancang dan menganjurkan Projek Komuniti Santuni Guru yang amat bermakna buat semua warga pendidik,” ulas beliau.
Apa pun juga, ternyata program ini disambut baik oleh para guru berikutan ia mampu menjadi penyambung hubungan baik bersama komuniti. 17 buah sekolah dengan hampir 1500 guru terlibat dalam program Komuniti Santuni Guru oleh SABELLA ini. Tahniah buat semua.
MW: SABELLA memang terkenal dengan pakaian tanpa gosok. Dalam zaman semuanya nak cepat dan mudah, memang inilah yang dicari oleh kita para wanita yang sibuk dengan urusan kerja harian. Tak hairanlah dengan lebih 240,000 pengedar di seluruh Malaysia, Sabella lebih mudah memenuhi permintaan.
Dapatkan baju raya Rahmah SABELLA serendah RM5 di Karnival Hari Raya Sabella bermula 26 Mac ini.
Seperti watak Rapunzel, Brunette Aliia Nasyrova, 27 tahun yang berasal dari Rusia tetapi kini menetap di Latvia memiliki rambut sepanjang 90 inci setelah tidak memotongnya selama dua dekad!
Menurut Aliia, ukuran berat rambutnya dianggar sebanyak 2kg iaitu sama berat dengan kucing peliharaannya. Selain itu, rambutnya yang panjang itu juga mengambil masa selama satu jam untuk disikat dan tempoh sehari diperlukan untuk mengeringkannya secara semulajadi.
Suami Aliia, Ivan Balaban menyatakan bahawa dia begitu selesa dengan kepanjangan rambut isterinya dan menganggap rambut isterinya sebagai ‘ahli ketiga di dalam keluarga’.
Untuk itu, Ivan akan memberikan sedikit ruang di atas katil mereka untuk meletakkan rambut Aliia.
Rambut Berat
Walaupun kelihatan selesa dengan rambutnya, Aliia mengakui bahawa rambutnya yang berat seringkali menyebabkan kesakitan pada bahagian tengkuknya.
“Rambut saya sangat berat sehingga saya boleh membandingkannya dengan berat kucing saya,” kata wanita 27 tahun yang dilahirkan di Samara, Rusia.
Sementara rambut Aliia menjadi tarikan orang ramai apabila mereka keluar, Ivan menyatakan bahawa dia amat berbangga dengan keputusan Aliia untuk tidak memotong rambutnya.
“Saya akan memberikan ruang yang agak banyak khas untuk rambut isteri supaya saya tidak akan merosakkannya secara tidak sengaja ketika tidur. Saya juga sering bercakap dengan rambut Aliia. Kadangkala saya akan meminta ia untuk ketepi sedikit,” ujar Ivan yang sangat menyukai rambut isterinya.
Tertarik Karakter Rapunzel
Menurut Aliia, dia mula mendapat inspirasi untuk membela rambutnya setelah menonton karakter dongeng Rapunzel. Dia mengakui bahawa dia amat tertarik dengan karakter animasi wanita yang memiliki rambut panjang.
Aliia turut menyatakan bahawa dia akan mengikat rambutnya menjadi tocang setiap kali keluar bagi mengelakkan sebarang masalah.
Disebabkan memiliki rambut yang lebih panjang berbanding ketinggiannya, Aliia sering memijak rambutnya secara tidak sengaja. Justeru, dia tidak akan sesekali keluar rumah dengan melepaskan rambutnya.
Aliia juga selalu memuat naik gambar rambutnya yang panjang di Instagram tetapi ianya tidak begitu digemari oleh segelintir individu.
Mereka sering melontarkan pendapat negatif tentang rambut Aliia tetapi ianya tidak dipedulikan olehnya.
“Ada orang yang meminta saya untuk memotong, menjual atau membuang rambut saya”.
Rambut Terpanjang Di Latvia
Aliia menyatakan bahawa dia tidak merancang untuk memotong pendek rambutnya dalam jangka masa terdekat dan percaya bahawa dia memiliki rambut yang terpanjang di Latvia.
Bagi memastikan penjagaan rambut, Aliia menyatakan akan memotong rambutnya pada setiap bulan bagi membuang hujung rambut yang terbelah.
Selain itu, Aliia turut menerima banyak produk penjagaan rambut secara percuma menyebabkan dia boleh mengurangkan kos penjagaan rambutnya.
Apabila ditanya mengenai pengalaman buruknya sepanjang memelihara rambut tersebut, Aliia menyatakan bahawa rambutnya pernah dilekatkan dengan gula-gula getah sewaktu dia menonton wayang ketika kanak-kanak.
Ekoran tragedi itu, Aliia terpaksa memotong gumpalan rambut yang telah rosak.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana memiliki rambut dengan kepanjangan yang luar biasa, Aliia menyatakan bahawa dia tidak akan memotong rambutnya.
Pemilik nama sebenar Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akui lebih selesa memilih untuk memberi sepenuh tumpuan dengan anak-anak dan rumah tangga dan mengetepikan dulu perihal minat berlakon.
Isteri kepada ahli politik, Datuk Seri Bung Moktar Radin ini juga memperlahankan rentak dunia lakonan demi tumpuan kepada rumah tangga yang dibina.
Kali terakhir, Zizie berlakon menerusi drama Hero Seorang Cinderella yang diterajui Nur Fazura dan Fattah Amin pada tahun 2017. Jiwa anak seni ini tidak pernah padam untuk berkarya dalam lakonan namun tatkala perasaan rindu itu menjelma Zizie sering memikirkan soal anak-anak yang memerlukan perhatian seorang ibu.
Wanita yang juga ibu cahaya mata kepada Naila Nurjenna, 5, Aaric Zayn Izette, 3, Aadam Zac Izette, 3, Aaleph Zeke Izette, 3, dan Aalisa Belle Izette, 1 ini berkongsi di entri Instagram tentang kisahnya yang keluar bekera dan pulang rumah lewat.
Zizie Bahagia Dengan Anak-anak
Malah Zizie juga akui meninggalkan anak-anak untuk keluar bekerja merupakan perkara yang paling sukar dilakukan sejak bergelar seorang ibu.
“Sejak bekerja ni selalu balik lambat. “Ingat nak surprise kan anak2 last2 diorg yg surprise kan kita! “Mcmana eh mommy2 yg kena bekerja tinggalkan anak2 kat rumah? “Pengalaman baru utk saya. “Susahhh ooooo. “Like myself, kejap2 check cctv. “Minta nanny hantar video setiap masa. “Mcmana nak berlakon balik mcmni. “Jawabnya, lambatttt lg!!!” tulisnya.
Pengalamannya yang kini mula keluar bekerja dan pulang rumah lewat adalah antara yang paling sukar dilakukan.
Menurut Zizie, meninggalkan anak untuk keluar bekerja adalah perkara yang paling berat. Malah hasratnya untuk kembali berlakon seperti dulu perlu dilupakan buat sementara waktu.
Semasa berada di luar, dia sering meneliti CCTC dan meminta pembantu rumah menghantar video setiap masa. Malah anak-anaknya juga setia menunggunya pulang.
Selain itu Zizie juga berkongsi entri di Instagram yang mana dirinya memahami perasaan ibu-ibu yang bekerja dan terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah. Namun bagi Zizie bila pulang dan diserbu anak-anak merupakan antara pengalaman paling manis.
“Paling best bila balik rumah anak2 serbu. “Hilang segala penat. “Time ni jugak diorg akan mengadu itu ini. “Nikmat yg tak boleh dibeli dgn wang ringgit. ”
Seperti yang pernah ditemubual bersama MW sebelum ini, Zizie juga akui dia berasa seronok mempunyai anak yang ramai. Dan baginya kebahagiaan dengan anak-anak adalah penting.
“Apabila anak saya sihat, ceria dan cergas, saya sebagai seorang ibu akan rasa bahagia melihat mereka,” luahnya.
Kehilangan insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk ditanggung oleh seorang isteri. Itulah yang kini dilalui oleh Datin Seri Zizie Ezette, 47, apabila pemergian...