Ya, memang tak salah jika isteri ingin jaga kecantikan diri, tapi jangan jadikan itualasan yang paling utama sehingga ada yang sengaja tak nak mengandung! Alasannya takut bentuk badan ‘lari’. Mak ai! Tak kurang juga yang sanggup berhabis wang membuat suntikan dan sebagainya demi kekal cantik.
“Saya nak cantik pun sebab abang. Kalau saya hodoh, abang juga cari lain!” Itu alasan yang sering kali diberikan oleh isteri jika ditegur oleh suami apabila dilihat terlalu berlebih-lebih nak kelihatan cantik.
Yakinkan Isteri
Mungkin ada isteri yang rasa risau sekiranya suami akan tinggalkan mereka jika sudah tidak secantik seperti awal kahwin. Sebagai suami, anda kena ingatkan isteri, perkahwinan anda berdua bukan berlandas paras rupa semata-mata. Memiliki suami kacak atau isteri cantik adalah satu bonus. Tapi, setiap kecantikan itu akan pudar seiring dengan pertambahan usia. Kalau isteri risau dia semakin tua akan semakin kurang cantik, begitu juga suami. Bila sudah berusia, perut mula ke depan dan rambut juga semakin berkurang serta beruban. Jadi, jangan risau. Lebih elok jika anda berdua ‘tua’ bersama…
Selain itu, katakan pada isteri bahawa cinta anda tetap jitu bahkan semakin bertambah utuh selari dengan usia perkahwinan.
Ads
Boleh Tapi Jangan Berlebih
Tak salah jika isteri anda nak jaga kecantikan. Galakkan dan jangan sesekali halang kalau dia nak ke gim atau bersenam. Itu demi untuk kesihatan dia juga. Katakan padanya bahawa anda tak kisah asalkan tidak melampaui batas. Setiap perkara boleh menjadi mudarat jika dilakukan secara berlebihan.
Selain itu, nyatakan dengan tegas pada isteri, tak perlulah nak suntik sana sini sehingga boleh merubah wajah asal. Setakat cucuk vitamin C tu tak mengapalah. Atau membuat rawatan di spa. Tapi kena ingat, sekarang ini perlu berhati-hati agar tidak memudaratkan diri sendiri jika tersilap membuat pilihan produk/perawatan kecantikan.
Ads
Ada juga isteri yang minta izin untuk menyertai kelas zumba dan sebagainya untuk memiliki tubuh yang kurus dan langsing. Tapi jangan terlalu asyik sehingga rumah tangga pula terabai. Kena tahu keutamaan. Janganlah syok berzumba siang malam dengan alasan nak kurus, biar suami sayang. Namun akhirnya kasih sayang suami ‘melayang’ pada wanita lain pula. Ops!
Dia Tetap Cantik Di Mata Anda
Sentiasa katakan pada isteri bahawa dia tetap wanita tercantik bagi ada selamanya. Kata-kata pujian daripada suami mampu menaikkan yakin diri pada isteri. Jangan sesekali bergurau berkaitan dengan bentuk fizikal isteri kerana ia boleh dipandang serius oleh isteri. Jadi, jangan salahkan dia bila dia tiba-tiba berubah menjadi nak obses cantik akibat ‘mulut’ anda sendiri!
Ads
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebagai manusia biasa, kita tidak lepas daripada membuat tanggapan dan persepsi (bersangka). Jika persepsi itu adalah sebuah persepsi yang baik, ia amat digalakkan dalam Islam. Malah dalam sebuah hadis Qudsi,yang maksudnya: Sesungguhnya Allah itu sepertimana yang ditanggapi oleh hamba-Nya.
Maka hadis ini memberikan kefahaman bahawa persepsi yang baik akan menatijahkan kebaikan kepada kita. Begitu juga dengan persepsi yang negatif atau tidak baik pasti juga akan mendatangkan musibah kepada diri kita sendiri, Nauzubillah.
Hal berkaitan persepsi ini juga telah diperingatkan oleh Allah SWT dengan kalamnya yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Begitu jugalah halnya dalam mendidik anak-anak. Pelbagai persepsi akan menerjah fikiran kita setiap kali berhadapan dengan mereka. Ada kalanya ianya sangkaan yang baik malah tidak lepas juga persepsi atau sangkaan yang tidak baik.
Persepsi yang tidak baik inilah yang wajar kita hindari ketika bersama dengan anak-anak. Jika persepsi yang ini hanya bermain di benak pemikiran kita sahaja mungkin kurang mudaratnya, namun persepsi akan mempengaruhi tingkah laku kita terhadap anak-anak.
Contohnya, jika kita mempunyai persepsi bahawa anak yang sulung rajin, maka kita akan kerap dan senang untuk meminta bantuan dan pertolongan daripadanya. Hal yang berlainan dengan anak yang tengah kerana pada tanggapan kita, anak yang tengah ini malas dan pasti mengecewakan jika meminta bantuan daripadanya.
Dua keadaan ini adalah hasil daripada tanggapan yang ada dalam pemikiran kita. Ia mungkin betul dan mungkin juga tidak betul. Namun, anak-anak telah pun menerima hukumannya iaitu melalui layanan berbeza yang kita berikan kepada keduanya.
Rakan penjaga yang saya hormati, inilah hakikat kehidupan yang harus ada titik perubahannya. Kita tidak mungkin keluar 100% daripada norma ini namun kita mampu untuk mengurusnya dengan mengubah persepsi, tanggapan, sangkaan atau yang lebih buruk lagi label kita terhadap anak-anak dengan doa.
Sungguh Allah tidak pernah salah dalam memberikan janjinya, Rasul juga tidak pernah silap memilih kata-katanya. Allah berjanji dalam kalam-Nya: “Wahai hamba-Ku mintalah daripada-Ku, pasti akan Ku kabulkan permintaanmu”.
Rasulullah s.a.w juga berpesan: “Doa itu adalah senjata umat Islam. Maka gunakanlah senjata yang kita ada dalam usaha mendidik dan membentuk peribadi anak-anak yang baik, soleh dan solehah.”
Setiap kali kita mula mempunyai sebuah tanggapan dan persepsi yang negatif kepada anak-anak kita, kita cepat-cepat gantikannya dengan mendoakan yang baik-baik untuknya.
Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui.
Dalam setiap masa ketahuilah bahawa apa sahaja yang anak-anak kita tunjukkan daripada perilaku mereka, ada sesuatu yang Allah ingin ajarkan kepada kita yang bertanggungjawab menjaga dan mendidik mereka. Ia juga merupakan teguran manja daripada-Nya.
Anak-anak ini fitrahnya amat suci. Malah bagi anak-anak yang belum mencapai akil baligh mereka belum mempunyai dosa. Tidakkah sebenarnya kita yang banyak dosa ini yang lebih layak diberikan peringatan daripada diri mereka yang suci?
Oleh yang demikian, doakanlah mereka dengan doa yang baik-baik. Doa ibu adalah penawar kepada segala kesakitan anak-anak.
Doa ibu didengar Allah dan doa ibu punca keberkatan dalam kehidupan anak. Justeru, gunakan senjata itu untuk harta kita yang paling berharga di dunia, moga dia juga bisa mendoakan kita sewaktu tiada lagi talian hayat yang dapat membantu kita melainkan doa daripada anak-anak yang soleh kelak.
Rakan penjaga yang saya hormati, jika persepsi boleh mempengaruhi tindakan maka doa yang ikhlas juga boleh menatijahkan tingkah laku yang positif ketika melayani anak-anak kita. Hasilnya nanti, anak-anak akan juga memiliki persepsi dan tanggapan yang sentiasa positif untuk dirinya serta keluarganya, insya-Allah..wallahualam.
Penulis : Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (Usim) merupakan kolumnis majalah Mingguan Wanita ruangan Permata Hati
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Buat mak ayah,didiklah anak sebaiknya dengan cara yang betul. Kawallah emosi tatkala berhadapan dengan anak-anak. Tegurlah dan perbaikilah sikap anak-anak mengikut peringkat usia mereka.Seharusnya ketegasan mak ayah itu perlu, namun hendaklah bertempat.
Tidak dapat dinafikan sebagai mak ayah, adakalanya kelakuan anak-anak memang mampu menguji kesabaran yang maksima.Ketika ini, pertimbangan dan kewarasan fikiran harus didahulukan berbanding mainan emosi.Anak-anak perlukan teguran melalui kasih sayang, secara baik, bukannya melalui herdikan mahupun tengkingan yang mampu mencalar emosi dan perkembangan mereka.
Semoga secebis perkongsian oleh Ustaz Ws Adli W Muhammad ini mampu dijadikan pengajaran dan iktibar buat kita.
Ada orang tanya saya, bagaimana cara terbaik untuk mendidik anak. Saya tidak layak menjawab soalan begitu. Yang saya boleh katakan, saya bukanlah bapa yang baik, yang boleh dijadikan contoh kepada yang lain.
Ada satu peristiwa yang benar-benar sehingga kini mengganggu diri saya. Setiap kali dikenang, saya tidak malu katakan bahawa saya menangis. Pernah juga saya teresak-esak tidak dapat menahan betapa sesalnya saya berbuat perkara tidak baik dalam mendidik anak saya, Safiyyah. Apalah beban yang perlu ditanggung pada usianya yang hanya berumur empat tahun ketika itu.
Ceritanya begini.
Sejak Safiyyah mempunyai adik, dapat dilihat bahawa dia banyak cemburu. Safiyyah ini sejak lahir tidak pernah meragam besar, hanya kecil-kecil sahaja ragamnya seperti mahukan susu, mahu tidur dan mahu berjalan di luar rumah. Budaknya diam, tidak banyak bercakap. Melainkan apabila diacah oleh kami dan saudara mara.
Di dalam rumah kami, Safiyyah mempunyai motor beroda tiga berkuasa bateri yang boleh ditunggangnya di dalam rumah. Yang saya perasan, apabila adiknya Riyadh, ketika itu sudah berusia 2 tahun mahu bermain bersama, akan ditolak adiknya. Yalah, padanya itu harta dia. Budak-budak. Banyak kali saya lihat, Safiyyah suka menolak adiknya itu apabila cuba menaiki motornya.
Sampailah suatu hari pada waktu senja, mereka bergaduh pasal motor tu. Safiyyah seperti biasa akan jadi pemenang, menolak adiknya sehingga jatuh terduduk. Riyadh menangis besar.
Saya yang masa itu mahu ke bilik air untuk mandi, naik marah. Memarahi Safiyyah sunguh-sungguh dengan mengatakan padanya, dia seorang kakak yang kedekut, suka cari pasal, bencikan adik dan paling saya ingat sampai sekarang “Abah tak akan cakap lagi dengan Safiyyah”.
Kau bayangkan kawan, saya berkata kasar begitu kepada anak kecil yang baru berusia empat tahun. Safiyyah menangis. Tersedu-sedu dan membawa diri ke bilik wan (nenek) nya. Berjalan penuh sayu, menunduk sambil tangan kanan mengesat-ngesat air mata yang jatuh berjurai di pipinya. Sayu, teramat sayu dan pilu.
Saya terus dalam keadaan marah masuk ke bilik air. Mulut masih lagi membebel. Selesai mandi saya kembali ke bilik. Sudah sahaja memakai pakaian, saya pun bersedia untuk keluar dari bilik menuju untuk bersolat maghrib di ruang tamu. Ketika mahu keluar,di dinding, bersebelahan pintu bilik, Safiyyah duduk di situ.
Dengan kedua-dua tangan memeluk lutut yang mana lututnya itu di paras dadanya, kepalanya tertunduk, dan dia kemudian memujuk saya dengan mengangkat kepala memandang ke arah saya, perlahan suaranya tersedu-sedu memanggil “Abah, abah, Safiyyah ni”.
Itulah Safiyyah. Kena marah macamana pun, tak sampai seminit dia akan cuba mengambil hati saya dengan menunggu di pintu bilik. Banyak kali sudah dibuatnya begitu.
Itulah perkara paling bodoh saya lakukan dalam hidup saya hari itu. Saya langsung tidak menyahut panggilan Safiyyah, dan lebih malang bagi Safiyyah, saya tidak langsung menghiraukannya. Terus membentang sejadah dan bersolat maghrib, dalam keadaan marah hanya reda sedikit.
Safiyyah pula, kekal duduk bersandar di dinding, dengan harapan saya akan memujuknya.
Tidak. Saya terus tidak melayannya. Keluar dari rumah, untuk ke masjid pula, saya terus dengan ego bodoh saya terhadap anak kecil itu, tidak memandang dan melayannya.
Ketika saya bergerak ke masjid dengan menaiki motorsikal, saya sempat memandang ke arah pintu cermin, kelihatan Safiyyah memandang sayu ke arah saya. Saya pula, kekal tidak pedulikannya.
Kalian tahu, hari itu anak kecil bernama Safiyyah ini diuji perasaannya pada usia begitu dengan sikap sombong dan bodoh bapanya, iaitu saya.
Sungguh, pandangan sayu Safiyyah hari itu, masih kekal dalam ingatan saya.
Di masjid, sebelum Ustaz Jauhari memulakan kuliahnya, beliau suka bermula dengan mukadimah berkaitan isu-isu semasa. Entah kenapa hari itu, beliau memberi peringatan dan pengajaran berkaitan mendidik anak dengan betul.
1. Mendidik anak bukan seperti mendidik orang dewasa, perlu belaian dan kasih sayang yang berlebihan daripada walinya dan ibunya.
2. Tarik minat anak-anak dengan ilmu agama, sirah nabi.
3. Tegur anak dengan baik, bukan menengking, memboikot malah menarik muka mahupun tidak bertegur sapa beberapa hari.
4. Rujuk cara nabi Muhammad melayan anak-anak.
5. Anak kalau bergaduh sesama, itu biasa. Bagi masa untuk mereka suaikan diri, bagi peluang semua merasa dan bagi menang-menang, bukan sorang menang, sorang kalah.
6. Anak merajuk, ambil hati anak. Bukan dibiarkan begitu sahaja dengan dunia rajuknya.
7. Dengarkan anak dengan bacaan al Quran dari bibir kita sendiri, perlahan-lahan anak ini akan jadi anak yang patuh pada arahan kita, lembut hatinya mendengar kata.
Saya termenung. Semasa itulah saya sedar, betapa bodoh dan sombongnya tindakan saya terhadap Safiyyah. Tindakan paling bodoh diambil untuk budak seusia begitu. Ya Tuhan, ampuni aku.
Mengikut marah saya, saya lupa perasaan Safiyyah yang masih kecil. Saya lupa betapa dia perlukan kasih sayang saya. Saya lupa, betapa dia suka duduk di atas riba saya. Saya lupa, bahawa umurnya ketika itu baru empat tahun. Saya silap, bukan itu didikan untuk Safiyyah pada usianya begitu. Saat itu, hati saya mendesak untuk pulang segera, bertemu dan memeluknya erat sepuas-puasnya.
Selesai solat isyak, saya lekas pulang. Hati saya memberontak, mahu terus berjumpa dengan puteri si jantung hati saya. Sesampainya di rumah, isteri membuka pintu, kemudian berkata pula dalam sayu,
“Kasihan Safiyyah. Dia sudah tidur, menangis tidak henti-henti. Abang ni, nak marah ke budak pun, janganlah sampai begitu sekali sikapnya. Tak layan ke dia, tak pandang ke dia, tak tegur ke dia. Apalah yang dia tahu pada umurnya begitu. Dunianya hanya kegembiraan, dunianya hanya penuh permainan yang menyeronokkan. Dunianya, sudah pasti ada cemburu pada adik-beradiknya. Kita pun begitu kan dulu-dulu?”
Saya terduduk di atas sofa. Menghadap wajah Safiyyah yang sedang lena di atas toto, dibentang di ruang tamu. Wajah comel itu, sayu dan menyimpan rindu buat ayah yang baru sahaja memarahinya tanpa memikirkan tahap usianya, tanpa memikirkan bahawa Safiyyah itu anak perempuan, yang memerlukan kelembutan dalam asuhan berbeza dengan lelaki.
Saya, bertegas tidak bertempat. Itu semua mencipta tindakan bodoh dari diri sendiri.
Saya perlahan turun dari sofa dan merapati Safiyyah. Mengusap-ngusap kepalanya, menyentuh lembut pipinya. Ketika jari saya menyentuh tapak tangannya, seakan dia tahu ketika itu saya yang menyentuhnya, cepat dia menggenggam dengan jari kecilnya. Erat. Lama bagai tidak mahu dilepaskan.
Saya sebak. Menyesal dengan tindakan melulu saya, menyesal dengan dosa yang telah saya lakukan kepada Safiyyah. Entah kenapa saya hari itu, menuruti kata syaitan memenuhi nafsu amarah, meninggi ego kononnya saya betul lakunya.
Wahai kawan,
Anak ini anugerah agung kurniaan Allah. Didiklah mereka dengan jalan dan ajaran yang betul dan benar. Tegurlah mereka, perbaikilah sikap mereka mengikut usianya, berikanlah kasih dan sayang sepenuhnya selagi berpeluang. Kawal emosi kita ketika berhadapan dengan mereka. Berikan masa untuk mereka bermanja dengan kita, luangkan masa untuk bersama bergurau senda bermain.
Saya pernah tersasar dalam memperbaiki sikap anak. Betapa sakitnya dan perasaan sesal itu kekal terpahat dijiwa sehingga sekarang. Tak pernah pudar walau sesaat.
Anak menghadirkan berkat dan rahmat buat kita, menambah rezeki keluarga. Tidak pula mereka membebankan kita, apatah lagi menyusahkan hidup kita.
Hadir mereka membawa keindahan dalam kehidupan berkeluarga. Indah jugalah hendaknya cara didikan kita, kelak harapannya apabila membesar setiap tahun, mereka mengikut segala didikan dan ajaran yang baik-baik, dan dapat menempuh alam kehidupan penuh cabaran dengan berpandukan jalan-jalan disukai agama dan masyarakat.
Mereka, pengirim doa bahagia kita di sana, asuhlah sebaiknya.
WS Adli,
Belajar dari kesalahan dan kesilapan diri.
Pelakon Jasmin Hamid bukan saja hebat di layar perak. Sebagai anak sulung dalam keluarga, wanita cekal ini hebat menjadi tulang belakang adik-adik. Dalam sibuk menjayakan pengambaran Lara Aishah, Jasmin Hamid tetap dengan rutin ke hospital menjaga ayah yang sakit waktu itu. Dia juga menjaga kedua-dua PINTU SYURGA nya dengan baik sekali.
Kedua-dua ibu bapa, Jasmin Hamid sudah dijemput Ilahi. Pulang ke perkampungan abadi. Bakti yang dicurahkannya dan adik-adik semasa hayat arwah Baba dan Mamanya masih ada, sebaik-baiknya menjadi iktibar untuk semua. Ini kerana seperti pesannya agar menghargai menjaga kedua PINTU SYURGA biar sesibuk mana pun kerjaya seorang anak itu. Kerana bila kedua-duanya sudah tiada, rutin inilah yang begitu dirindui.
“Pics ni kiriman dari sahabat saya yang turut menziarah masa Arwah BABA saya sakit. Diambil tanpa pengetahuan saya. Katanya dah lama dia simpan pics ni dan baru sekarang dikirim pada saya sebab takut saya sedih.”
Walau hatinya sebak, Jasmin percaya yang dirinya perlu kuat. “Saya harus kuat dan redha dengan ketentuan Allah.”
Cerita tentang gambar kiriman teman itu, akuinya waktu itu di penghujung hayat arwah Babanya yang dah sakit teruk.
“Memang besar dugaan menjaga ibu bapa yang sakit. Menduga kesabaran kita. Mereka umpama anak kecil. Tapi inilah saat yang saya rindukan. Mandikan arwah Baba, suap makan dan siapkan arwah Baba. Kemudian saya pergi kerja. Balik dari kerja, terus pergi hospital untuk jaga arwah Baba. Itulah rutin kami adik-beradik.”
“Masa ini saya tengah shooting drama Lara Aishah. Walaupun hati tak tenang memikirkan arwah Baba yang sedang sakit, saya harus lunaskan kerja saya. Allah datangkan ujian lagi buat kami sekeluarga. Sedangkan arwah Mama baru 3 bulan meninggal masa ini selepas 3 tahun sakit.”
Dalam perkongsian itu, Jasmin turut mengucapkan rasa terima kasih kepada ‘keluarga’ Lara Aishah. Yang sentiasa memberi sokongan moral padanya yang harus bekerja dan menjaga arwah Babanya yang sedang sakit.
“Kami adik beradik bergilir-gilir jaga arwah Baba sampailah arwah Baba hembuskan nafas terakhir di rumah. Arwah Baba jatuh sakit selepas 3 bulan arwah Mama meninggal. katanya dia rundu sangat dengan arwah Mama. Inilah dia kasih sayang hingga ke Jannah.”
Tahun 2016, Allah telah tamatkan perkhidmatan saya dan adik-adik bilamana ALLAH menjemput kedua PINTU SYURGA kami mengadapNya.
“Dunia kami jadi gelap pada masa tu. Tapi sebagai orang yang beriman, kita harus redha dengan ketentuanNya. Kami rindu untuk terus berbakti pada PINTU SYURGA kami. Namun kami BERSYUKUR kerana Allah beri kami peluang untuk berbakti sehingga akhir hayat PINTU SYURGA kami.”
Kami bersyukur kerana ALLAH menjemput kedua PINTU SYURGA kami dalam keadaan tenang dan pulang pada hari yang baik. Allah telah tamatkan penderitaan PINTU SYURGA kami di atas dunia ini dari terus menanggung kesakitan dan SAKIT yang Allah turunkan itu sebagai pencuci dosa hambaNya di atas muka bumi ini.
Mohon ALLAH tempatkan kedua PINTU SYURGA kami dan seluruh umat Islam yang pulang lebih dulu dari kita, di dalam syurgaNYA tanpa HISAB.
Pada uols yang masih ada PINTU SYURGA, jagalah PINTU SYURGA mu. Kejarlah PINTU SYURGA mu. Jangan jadikan alasan kerjsa sampai terpaksa abaikan PINTU SYURGA mu. Kalau orang lain boleh berbakti pada pintu syurga mereka. Kenapa kita tidak? Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Jangan jadikan alasan BUSY untuk tidak bersama mereka. Selagi kita hidup, kerja tidak akan habis.. Cari masa untuk bersama mereka. Bukan duit yang mereka minta tapi kasih sayang dan perhatian anak-anak yang di perlukan terutama bila mereka sedang sakit.
Lembutkan hati untuk terus berbakti pada PINTU SYURGA. Bahagiakan mereka. Kejarlah PINTU SYURGA mu sementara ada peluang.
√ Kalau tak dapat jenguk mereka, selalu call mereka bertanya khabar. Jadikan rutin
√ Pasti akan sunyi bila PINTU SYURGA dah tak ada nanti, sebab saya dah melaluinya.
√ Jangan putus berdoa untuk PINTU SYURGA kita. Allah Maha Mendengar.
“Mohon Allah kuatkan semangat ku untuk menempuh ujian darimu bagi menggantikan tempat kedua orang tua ku untuk adik-adikku. Sekarang akulah IBU dan akulah AYAH buat adik -adikku. Allah tidak akan menguji seseorang itu di luar kemampuan hambaNya. Aamin.”
Simpati dengan apa yang berlaku, niat murni pencinta haiwan nak selamatkan kucing jadi tragedi apabila dia terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir empat meter.