Adik-beradik kutip duit beli barang dapur, mudahkan urusan mak ayah tiap kali raya. Setiap kali menjelang Aidilfitri, mak ayah pasti sibuk menguruskan persiapan. Dari kemas rumah, tempah kuih, beli baju raya, sehinggalah ke urusan memasak untuk sanak saudara yang bakal bertandang.
Adik-Beradik Kutip Duit Beli Barang Dapur, Mudahkan Urusan Mak Ayah Tiap Kali Raya
Bagi mereka yang sudah berusia, keletihan semakin terasa, tetapi tetap juga mahu memastikan anak cucu dapat menikmati juadah terbaik di pagi Syawal.
Sebagai anak, inilah masanya kita ringankan beban mereka. Salah satu cara yang mudah tetapi sangat membantu adalah dengan bergotong-royong mengumpul duit dalam kalangan adik-beradik untuk membeli barang dapur. Mungkin nampak kecil, tetapi impaknya besar.
Bayangkan kalau setiap seorang adik-beradik menyumbang RM50 hingga RM100, jumlah yang terkumpul mungkin sudah cukup untuk membeli bahan-bahan utama seperti ayam, daging, santan, beras, gula, dan rempah ratus. Bila barang dapur sudah tersedia, mak ayah tidak perlu pening kepala memikirkan bajet dan tenaga untuk keluar membeli.
Lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barang setiap tahun, duit belanja dapur pasti meningkat. Dengan adanya inisiatif ini, mereka tidak perlu berbelanja besar dari poket sendiri, sekali gus boleh menyimpan lebih banyak untuk keperluan lain.
Biasanya, pasar dan kedai runcit akan sesak menjelang hari raya. Kalau boleh, elakkan mak ayah daripada bersesak di tempat ramai. Sebagai anak, kita boleh mengambil alih tugas membeli barang keperluan lebih awal.
Buat senarai barang yang diperlukan dan bahagikan tugas antara adik-beradik. Ada yang boleh beli ayam dan daging, ada yang uruskan bahan kering seperti tepung dan gula, sementara yang lain boleh beli keperluan minuman dan kuih raya. Cara ini bukan sahaja mempercepatkan persiapan, tetapi juga mengelakkan pembaziran kerana semua barang dibeli mengikut keperluan.
Ads
Berkongsi rezeki dalam kalangan adik-beradik bukan sahaja meringankan beban mak ayah, tetapi juga mengeratkan hubungan sesama kita. Kadang-kadang, dalam kesibukan hidup masing-masing, kita jarang berhubung atau berkumpul.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, semua akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap keluarga. Mungkin ada yang lebih mampu memberi lebih, dan ada yang sekadar memberi ikut kemampuan. Tetapi yang penting adalah semangat bantu-membantu, bukan jumlah yang disumbangkan.
Pertengahan puasa, kami dah mula kutip setiap keluarga RM200 untuk tujuan persiapan juadah raya. Ada 2 orang masih belajar jadi kutipan terkumpul RM1,600. Duit tersebut dipegang oleh bendahari kehormat dan setiap pembelian barang-barang kena ada resit.
Ads
2. Tentukan Menu Raya
Menu raya pertama hingga raya ke 3 telah ditentukan dalam whatapps family dan pembahagian tugas telah diberikan. Maknanya untuk semua juadah raya anak-anak dan menantu yang uruskan. Mak jadi mandur dan kalau boleh rehat je biar anak-anak uruskan. Ahli keluarga dah ramai, takkan nak suruh mak juga masak kan???!! Menu wajib raya pertama nasi minyak + ayam masak merah.
3. Bayar Elektrik Untuk Mak Ayah
Raya ke 3 masing-masing akan balik rumah mertua (memang macam tu setiap tahun). Baki duit kutipan akan digunakan untuk bayar bil elektrik dan air. Bayangkan semua nak pakai aircond, hp ada berapa bijik nak charge, laptop, lampu kipas 24 jam sebab ‘bergebang sampai pagi’. Berpuluh-puluh orang mandi entah berapa banyak bil ayor yang kena bayor nanti. Ada baki itulah yang bagi dekat mak untuk simpan atau nak guna. Itulah rutin kalau beraya di rumah mak.
Sekadar berkongsi cerita. Bukan apa, kesian dekat mak ayah kita yang terpaksa keluar duit sendiri untuk tanggung makan minum kita anak beranak. Memang sekali sekala keluar duit, tetapi kalau kita boleh ringankan beban mereka kan lebih baik. Kadang-kadang kita terlepas pandang perkara yang remeh temeh tu. Mungkin tahun ni kita boleh buat perubahan.
Jangan biarkan mak ayah bersusah payah sendirian setiap kali raya menjelang. Sebagai anak-anak, kita boleh berganding bahu untuk memudahkan urusan mereka. Kutip duit dalam kalangan adik-beradik, beli barang dapur lebih awal, dan pastikan segala persiapan berjalan lancar.
Ads
Bukan nilai wang yang penting, tetapi usaha dan kasih sayang yang kita tunjukkan. Raya bukan sekadar tentang baju baru atau juadah mewah, tetapi juga tentang kebersamaan dan kegembiraan keluarga. Semoga dengan inisiatif kecil ini, kita dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna, penuh kasih sayang dan keberkatan.
Ambil tahu dulu aturan nafkah, kelak andai berlaku selisih faham bab duit yang tak mengalir pada mak ayah anda ada jawapan yang kukuh.
Ini bukan nak ajar jadi anak derhaka, tetapi tak nak suami lupa tanggung jawabnya pada mak isteri dan anak-anak. Sebab ada kes suami yang culas bab nafkah bila kaum isteri hari ini sudah pandai cari duit tepi.
Untuk betulkan masalah duit nafkah, jemput renungkan perkongsian saudara Firdaus Shakirin ini. Sila kaut mana yang baik.
Aturan Nafkah Dalam Keluarga
Isteri bukan tak bagi kita bantu ibu bapa kita. Tapi kita sendiri kena sedarlah aturan-aturan tanggungjawab kita, aturan nafkahnya. Siapa yang kita perlu dahulukan, siapa yang kita perlu utamakan. Kalau ikut turutan, siapa digiliran no 1, no 2, no 3 dan seterusnya.
Isteri mana yang tak nak suaminya jadi anak yang soleh?
Nak bagi duit kepada ibu bapa itu adalah tindakan yang dipuji, yang baik, yang digalakkan tapi kita hendaklah tahu aturan tanggungjawab kita, aturan nafkah kita. Step by step yang menjadi keutamaan seorang suami.
Cara “Bersedekah” Mengikut Cara Islam
Isteri bukan nak mempersoalkan kebaikan atau jumlah berapa yang kita bagi kepada ibu bapa kita tu, tapi apa yang ingin isteri nyatakan, suarakan dan nak kita faham adalah, bahagian dia, bahagian anak-anak tu, dah cukup ke belum sebelum kita nak bagi kepada ibu bapa kita?
Kalau tak cukup, kita kena cukupkan dulu sebab kalau ikut aturan dalam kita memberi nafkah, isteri dan anak-anak lebih dahulu daripada ibubapa.
Diri sendiri, isteri, anak-anak, ibu bapa, adik beradik.
Ini aturan untuk kita memberi nafkah, bermula dengan diri kita sendiri, isteri, anak-anak, kemudian baru ibu bapa dan adik beradik. Jika benar ibu-bapa memerlukan nafkah dari kita, maka kita hendaklah menafkahi mereka tanpa mengabaikan isteri dan anak-anak. Dan untuk adik beradik yang lain, tengok keperluan mereka sama ada mereka dah boleh bekerja untuk ada pendapatan sendiri ataupun masih bersekolah.
Isteri susah nak tegur atau sentuh bab ni.
Sebab kita akan anggap dia menghalang kita untuk menjadi anak yang baik, isteri tak menghalang, isteri cuma nak memperbetulkan, bagi kita faham turutan dan aturan tanggungjawab kita.
Soal duit kepada ibu bapa tu, kita ada adik beradik yang lain tak? Yang dah bekerja? Then duduklah berbincang untuk bersepakat akan nilai yang sepatutnya masing-masing bagi pada ibu bapa. Jangan ambil semua, tanggung semua (unless kita ni memang mampu), sebab kalau kita yang melebihkan duit kita sorang saja tu, secara tak langsung, nanti adik beradik yang lain akan lepas tangan atas alasan kita yang kena tanggung ibu bapa kita. Lama-lama kita akan terbeban bila dah biasa “mengajar” adik beradik yang lain untuk “mengambil kesempatan” di atas kebaikan kita.
Kena Bincang Adik Beradik
Ibu bapa boleh bela, jaga dan besarkan 10 anak, tapi belum tentu 10 anak boleh bela, jaga dan bagi bantuan kepada ibu bapa. Ini yang sering kita dengar kan, maka tolong berbincang sesama adik beradik untuk sama-sama ambil tanggungjawab tu, pikul beban bersama-sama. Bahagi sama rata, jangan hadap sorang-sorang, tanggung sorang-sorang then anak isteri sendiri tertekan disebabkan “hak-hak” mereka diabaikan dek kerana kebaikan kita yang “terlebih” tu.
Dan ibubapa juga perlu faham akan kemampuan setiap anak dalam memenuhi dan menjalankan tanggjwb mereka sebagai seorang anak kerana mereka juga ada pasangan dan tanggungjawab lain yang perlu dipenuhi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Syawal inilah waktu terbaik untuk saling bermaafan sesama insan. Mana yang terkhilaf ada dulu, turunkanlah ego itu. Ambil pendekatan untuk melupakan dan memaafkan. Ini sampai selisih pun tak pandang.. aduh! Jangan lah sampai macam tu.
Benar, tak mudah. Lagi-lagi bila hati sudah tersakiti. Namun, memaafkan itulah yang sebenarnya buat hati lapang.. tenang. Rezeki pun senang nak lekat. Bak pesanan Ustaz Farid Rashidi ini bermasam muka ini jangan sampai menjadi punca kita tak jejak syurga. Kerana, jatuh haram hukumnyanya bila bertengkar sesama muslim tanpa alasan syar’ie ini.
Bergaduh Bertahun Lama, Selisih Pun Tak Pandang
Ada sesetengah kes dalam masyarakat kita ini bergaduh sepupu sepapat, ipar duai, adik-beradik hingga terlibat ke anak-anak sekali. Padahal anak-anak tak tahu apapun, terpaksa join sekali.
Disuruhnya jangan bertegur sapa, atau buat tak tahu. Ada berbulan-bulan, malah sampai ada bertahun lamanya.
Selisih di jalanan, pura-pura pandang tempat lain. Andai si dia yang masak, rela tak makan. Sanggup tak nak jumpa jika si dia ada bersama.
Ya Rabbi, kenapa sampai macam itu sekali. Cukup-cukuplah bergaduh, bermasam muka. Hulurkan salam.
Rendahkan ego. Mungkin bulan biasa segan nak bermaafan. Apakata ambil peluang Syawal ini berbaik-baik.
Haram hukumnya bertengkar sesama muslim tanpa alasan syar’ie.
Paling Takut Jadi Punca Tak Jejak Syurga..
Ingat pesan ini, peluk erat sabdaan Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ
Daripada Abu Ayyub al-Ansari ra bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur saudaranya melebihi tiga hari.”
[Riwayat Muslim, no. 2560]
Paling membimbangkan, takut tak masuk Syurga hanya dek kerana perselisihan yang tak berkesudahan itu. Nauzubillahi minzalik.
لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ
Daripada Jubair bin Mut’im ra bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan (silaturrahim).”
[Riwayat al-Bukhari (5984)]
Saudara saudari yang dikasihi Allah SWT, jangan dipendam dendam kesumat. Tak bawa apa-apa manfaat pun.
Pergilah hulurkan salam bermaafan.
Sharelah, biar kita semua tersedar andai ada kekhilafan.
MW : Kalau pun tak dapat nak berdepan, boleh cuba usahakan dulu secara online. Semoga perselisihan faham dapat dirungkaikan dengan tenang.
Perasan tak, kawan kita yang hebat pernah jumpa sekarang adalah kawan yang dahulunya kelas tercorot. Sedangkan kita pula berjaya dalam pendidikan dan berpeluang mendapat pekerjaan yang sesuai dengan bidang yang kita pilih.
Itulah bezanya hebat seseorang yang berusaha untuk menaikkan taraf hidupnya dengan orang yang hebat dalam ilmu pengetahuan dan kerja ‘makan gaji’. Mana satu yang kita inginkan?
Bukan tidak bersyukur tapi itulah hakikatnya. Rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak pandai bukan kehidupan berakhir dengan kemiskinan, sebaliknya deangan usaha yang dia ada telah menjadikan dia seorang yang hebat.
Maah, hebat seseorang itu bukan sebab dia bijak atau pandai tetapi hebatnya seseorang itu bila dia pandai memilih hala tuju hidup.
Ikut iperkongsian daripada Siti Suryani Yaakop tentang apa yang dikatakan seseorang itu HEBAT.
Jadi Orang Besar
Dulu masa sekolah menengah kan, aku pernah jadi Ketua Pengawas. Lepas itu segala jenis benda aku nak masuk. Aktiflah sangat konon-kononnya.
Kawan aku pernah cakap, “Kau satu hari nanti, mesti jadi orang hebat. Orang besar”.
Ye. Betul.
Makbul doa kawan aku.
Memang aku jadi orang besar. Tapi yang besar tu cuma badan aku. Aku rasa dia tak habis cakap. Atau aku memang salah faham.
Hidup Hebat
Itu bab besar. Bab hebat pulak. Hebatkah? Apa hidup hebat bagi aku? Bebas, tenang, gembira. Bebas memilih jalan hidup aku tanpa perlu bersandar pada definisi kejayaan mengikut hala mata orang lain.
Aku ada kawan. Bujang. Hidupnya sibuk dengan kerja amal. Dia tak kisah cerita nak kahwin. Nak sedih belum kahwin. Nak kalut bergetar rusuk. Tidak. Dia mencari bahagia dengan mencipta jalan dan tujuan hidupnya sendiri. Buat kebajikan.
Aku juga ada lagi satu kawan. Masa tengah sambung belajar, dia diuji dengan masalah ibu yang sakit. Komitmennya bertambah. Masa, tenaga, duit. Dia memilih ibu. Akhirnya dia berhenti belajar. Duit bulanan dia tambah bayar pada jururawat khas untuk jaga ibu dia waktu dia bekerja.
Ada kawan yang jadi pelajar terbaik masa di Uni dulu. Bijak. Cantik. Kemas. Disiplin. Tapi, dia tidak memilih ke mana-mana dengan kehebatan dia. Dia tekad memilih menjadi ibu sepenuh masa.
Aku melihat orang yang mampu untuk berada di puncak tapi meninggalkan semuanya kerana punya komitmen dan ujian tanpa disangka.
Dan aku lihat juga orang yang mampu berjaya sebenarnya kalau dia usaha. Tapi dia sendiri tak mahu. Bukan kerana malas usaha, tapi kerana hala tujunya telah berbeza. Haluan hidupnya beralih fasa. Dia memandang hidup dan berjaya dari definisi berbeza dari pandangan kita.
Sedar Diri
Sebab itu kadang-kadang bila nak bagi motivasi pada orang lain, sedarlah.
Jangan sampai nasihat jadi hinaan dan jangan sampai dorongan jadi kutukan.
Jangan sampai suruhan jadi desakan.
Kita tak tahu apa masalah orang lain yang menghalang dia berjaya dengan definisi sempit kejayaan di mata kita.
Atau memangnya apa pandangan dia mengenai hidup yang tak meletakkan dia di tempat yang sama seperti kita.
Jangan sombong bila Allah menguji kita di tempat kita.
Tidaklah menjadi lebih tingginya kedudukan kita dengan memandang rendah pada orang lain yang tidak berdiri serupa.
Kita fikir kita siapa?
MW: Kita jangan pandang rendah pada orang bawah sebab kita tidak tahu dia lebih baik daripada kita nanti.
Air mata terakhir Zara Qairina, bersumpah & nafi mencuri sebelum temui ajal. Inkues kematian pelajar, Zara Qairina membuka kisah memilukan apabila arwah dilaporkan menitiskan...