Memang ada benarnya ada sebab, sebaiknya isteri sewakanlah rumah sendiri kepada bakal suami nanti selepas memulakan kehidupan bersama.
Zaman sekarang tak dinafikan ramai golongan isteri yang berpendapatan lebih besar daripada suami. Ada yang telah memiliki rumah dan kereta sendiri sebelum mendirikan rumahtangga.Bukan kata nak berkira namun, janganlah pula isteri menanggung suami di rumah sendiri.
Ini kerana urusan tanggungjawab nafkah kewangan sangat penting dalam rumahtangga dan perlu suami patut tunaikan walaupun berpendapatan kecil.
Hadamkan perkongsian daripada Ustazah Sharifah Zahidah ini sebagai panduan;
Soalan daripada wanita ini sangat bijak. *Baca screenshot dulu sebelum baca post ini.
Jawapan ringkas telah saya jawab dalam mesej kepada beliau. Jawapan terperinci ingin saya lanjutkan di ruangan ini untuk diambil manfaat buat wanita lain (jika ada manfaatnya).
Ads
Mengapa perlu sewakan rumah sendiri kepada bakal suami?
1. Untuk menutup pintu-pintu pertikaian yang pasti akan berbangkit bila cuaca rumahtangga diuji mendung.
Antaranya,
– Soal kegagalan suami menafkahi tempat tinggal buat isteri.
– Isteri akan terdorong untuk merasakan pengorbanan dia selama ini sia-sia dan mula mengungkit bantuannya yang menyediakan rumah buat suami.
– Suami akan merasa selesa kerana perbelanjaan paling utama dan mahal (rumah) adalah terletak di bahu isteri. Sedangkan belanja dapur dan utiliti adalah lebih kecil berbanding perbelanjaan tempat tinggal.
– Ketaatan isteri akan sukar dimiliki di saat isteri yang terlebih memberi dalam soal nafkah. Jangan dicabar soal ini.
Mula-mula ikhlas, tapi kalau isteri terlebih berhempas pulas sebab dari awal menanggung beban ini, buat segala macam dropship dan jadi ejen cookies, tupperware bagai demi melunaskan bayaran – dan suami merasa bahagiannya telah ‘setel’ – maka di sini akan retak bergoyahnya sebuah rumahtangga.
Pesan saya sekali lagi, jangan dicabar soal ini. Isteri yang terlebih memberi dalam rumahtangga akan sukar memberi ketaatan pada suami yang tetap ceria selamba berada di takuk lama, dibantu dan disuap segalanya.
Ads
Ini bakal menjadi permulaan kepada kisah-kisah ngerinya dalam rumahtangga. Tutup ruang ini serapatnya. Buat perjanjian bertulis dan persefahaman yang benar-benar jelas dalam hal ini. Isteri mesti membantu, tapi biar kena caranya.
Sebab kedua, mengapa perlu sewakan rumah kepada suami jika anda miliki rumah sendiri seperti dalam kisah ini;
2. Untuk Menjemput Berkah Dalam Rumahtangga
– Ya, di saat seorang suami – dalam gaji kecilnya masih tetap saja berusaha menafkahi isteri yang lebih tinggi gajinya, ini adalah satu bentuk KEMULIAAN yang besar buat suami kerana menjunjung perintah ALLAH melebihi logik akal atau nafsu yang terdorong untuk memberontak. Wibawa atau haibah seorang lelaki sebegini di mata seorang isteri – adalah tinggi dan jauh dihormati – berbeza dengan wibawa seorang suami yang langsung tidak mencuba bahkan terus meminta bantuan dari isteri semata-mata.
– Allah berjanji, bahawa “rahmatNYA adalah begitu dekat dengan orang yang berbuat baik” (dalam konteks ini; si suami melaksanakan kewajipan dengan baik).
Maka, tindakan isteri memberi ruang suami menafkahi tempat tinggalnya membantu suami menjadi golongan MUHSININ yang akan mendekatkan seluruh keluarga kepada rahmat ALLAH inshaALLAH. Ianya tidak kejam, ianya adalah membantu suami berperanan mengikut acuan yang ALLAH ciptakan.
NYATAKAN secara jelas berapa jumlah yang sepatutnya ditanggung suami dalam bentuk sewaan. Dan bahagian lain yang ditanggung isteri itu, biarlah menjadi rahsia isteri sendiri dalam baktinya terhadap suami pula. Tapi secara hukumnya, suami TELAH TERSELAMAT. Isteri juga telah melakukan sesuatu perbuatan mulia dengan jalan yang juga selamat.
– Di saat rahmat ALLAH memasuki rumahtangga kita, ALLAH akan aturkan perjalanan rumahtangga kita dalam sakinah dan mawaddah. Isteri akan mudah mentaati suami, melayaninya dan menjadi isteri penyejuk mata, bukan jadian singa atau naga.
– Lama kelamaan, gaji suami yang lebih kecil – akan menjadi lebih besar dari sang isteri. Atau, jika tak besar pada angka di kertas, akan menjadi berkah dan cukup buat seisi keluarga. Soal rahmat ALLAH, bukan hal yang boleh dibicarakan dari sudut akal dan logik semata. Asas kepada menjemput rahmat ALLAH dalam rumahtangga, adalah taat perintahnya. Suami, taati kewajipan menafkahi. Isteri, taati suami yang telah berusaha menafkahi.
Ads
Jangan menanggung suami di rumah sendiri. Tetapi buatlah cara ini. Suami tidak terbeban. Isteri juga tidak boleh menuntut nafkah tertunggak atau membangkitkan bantuan ini sebagai pertikaian di kemudian hari.
Kerana ruang-ruang pertikaian dan keculasan tanggungjawab telah tertutup rapat dan masing-masing suami isteri memainkan peranan.
Isteri, telah memudahkan urusan suami. Membantunya dengan memberi sewa yang murah sesuai dengan kemampuan suami.
Suami, telah menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang. Tetap menafkahi walau isteri bergaji lebih tinggi.
Tentang berapa sewaan yang sepatutnya diletakkan, terpulang pada kita hendak menentukan setelah berbincang dengan pasangan. Hanya kita tahu berapa gaji suami, berapa perbelanjaan diperlukan dan sebagainya. Berbincanglah.
Yang penting, jangan sesekali ambil beban nafkah dari bahu suami secara mutlak. TETAPI RINGANKANLAH DENGAN JALAN YANG BIJAK DAN MENUTUP KEMUNKINAN-KEMUNGKINAN buruk di masa akan datang. Win win situation supaya suami tetap menjadi suami, kita sang isteri tetap menjadi seorang isteri.
Lakukan secara REAL BISNES. Bukan perjanjian asal boleh.
Semoga ALLAH memudahkan segala urusan kita.
Sharifah Zahidah
1 September 2022
#sebelumsenja
Mak ayah cukup lemah bila anak menangis. Nak-nak kalau ke pasar raya dan merengek-rengek nak mainan. Tak beli, habis satu ‘shopping mall’ dengr jeritan dia.
Begitulah, mesti mak ayah akan turuti dan cepat-cepat pujuk bila anak menangis. Sedangkan cara yang kita buat ini adalah salah. Seakan-akan kita akan layan apa kemahuannya. Nanti boleh naik lemak.
Siapa yang tak sayang anak. Tapi kalau asyik layan kemahuannya setiap kali anak menangis, ini dah salah cara mak ayah nak mengajar anak disiplin dan adab.
Biarlah anak menangis, nanti lama-lama dia akan tahu, tak semua kemahuannya dituruti. Bukan tak boleh tapi ada masanya. Inilah yang diajarkan oleh Mohd Fhais Salim dalam perkongsiannya.
Pada mulanya bayi menangis sebab itu cara dia komunikasi dengan kita. Dia nangis sebab nak bagitahu kita dia lapar, haus, sakit, ngantuk dan nak dukung. Itu normal.
Malah, ini juga satu benchmark yang kemahiran bercakap seawal usia 2 tahun tu penting.Supaya dia boleh berkomunikasi dengan cara yang lebih sihat selain menangis.
Semakin dia membesar, menangis bukan lagi cara untuk komunikasi sebaliknya dia dah jadikan menangis sebagai teknik manipulasi.
Selalunya nak mainan, gajet, ais krim dan apa sahaja yang dia berkenan, dia akan guna teknik manipulasi ni.
Ini bahaya! Sekali kita turutkan memberi apa anak nak “selepas” dia menangis berkali kali anak akan ingat paten kelemahan kita.
Hah, sedialah anak akan buat paten yang sama berulang ulang kali sampai kita naik jelak.
Sebab tu la kalau anak cuba buat teknik manipulasi dengan menangis, biarkan je dia menangis!
Mak Ayah Kena Tegas
Serius! Biar dia menangis.
Asalkan tak ada mudarat, bebas dari bahaya, walau mata sembab sekalipun biarkan. Sembab senang hilang tapi sikap besar kepala susah giler nak hilangkan, huh!
Kena tegas sikit, kalau dah kata No mean No. Jangan bolak balik dalam mengajar tentang displin & adab pada anak anak ye.
Lagipun itu sahaja cara untuk ajar anak tentang “Frustration Tolerance”, lama kelamaan nanti anak faham bahawa menangis bukan cara untuk mendapatkan apa yang dia mahu.
Frustration tolerance ini la yang banyak beri manfaat pada kemahiran kemahiran lain seperti :
self control urus diri berunding tolak ansur displin minta izin, tolong hormat orang
Dan banyak lagi kemahiran penting penting.
Jadi ibu ayah semua, jangan cepat kecut perut bila nampak anak menangis ya. Cool, anak sedang test kita ni tegas atau lemah. Tu je!
Mingguan Wanita : Sekali sekala boleh sebagai ganjaran. Tapi kalau dah bagi umpan dengan menangis, tak boleh dilayan sangat. Nanti, esok-esok mak ayah juga yang susah.
Komunikasi dalam rumah tangga tak boleh dipandang ringan bahkan antara perkara paling utama dalam perkahwinan. Semua perkara walau pun hal yang kecil atau dianggap remeh, perlu dibincangkan di antara suami isteri. Kalau masing-masing asyik memendam saja, itu yang boleh jadi makin besar dan bertambah serius.
Kuncinya KOMUNIKASI!
Antara kunci utama dalam tiap perhubungan adalah KOMUNIKASI, lebih-lebih lagi dalam hubungan suami isteri. Sangat berbahaya sebuah perhubungan andai tidak dapat menjalinkan komunikasi dengan berkesan.
Maksudnya, tiada perbincangan dua hala di antara pasangan terbabit. Banyak masalah dipendamkan dan tidak diberitahu kepada pasangan. Kalau rasa tak puas hati pada sesuatu perkara yang dilakukan pasangan, tak pernah nak luahkan dan sudah tentu dia pun tak sedar silapnya.
Makin lama memendam, rasa tak puas hati itu makin merebak dalam hati. Lama-kelamaan boleh jadi masalah lebih besar hingga mencetuskan pertengkaran hebat. Tentu kita tak nak jadi macam tu kan?
Semua Dipendam, Alasan Tak Nak Bebankan
Ada suami yang tak suka kongsi masalah dengan isteri dengan alasan tak nak susahkan isteri atau buat isteri terbeban. Pada saat getir hari ini, suami dipotong gaji dan tak diberitahu pada isteri. Bila isteri minta perbelanjaan bulanan seperti biasa, suami merungut dan marah-marah dan kurangkan belanja bulanan. Isteri yang tak tahu perkara sebenar anggap suami mula berkira soal beri wang belanja. Mula fikir yang bukan-bukan tentang suami.
Bayangkan kalau ia berterusan. Tidakkah hubungan itu makin keruh dan bermacam salah faham boleh timbul nanti?
Tidakkah dalam kes ini, jalan terbaik adalah suami berterus terang tentang situasi sebenar kewangan keluarga yang sedang dihadapi? Bawa isteri berbincang sama-sama untuk cari penyelesaian. Tentu isteri akan sedaya upaya untuk bantu sama-sama buat bajet untuk keluarga.
Normal lah kalau pasangan kita ‘diintai’ oleh orang lain. Walau pun tak dilayan, tapi ada yang memerhatikannya. Bila melibatkan orang ketiga, biasanya pasangan tak kira suami atau isteri akan lebih suka sembunyikan. Alasannya tak nak pasangan cemburu. Tapi, cuba bayangkan kalau pasangan ternampak mesej yang tak sepatutnya yang dihantar oleh orang tersebut? Tidakkah timbul salah faham. Silap hari bulan, perang besar jadinya.
Seeloknya, kalau ada yang ‘lain macam’, berterus terang dengan pasangan. Tak timbul soal cemburu. Ya, mungkin dia cemburu tapi jauh di sudut hati, dia akan berbesar hati kerana kita sanggup berterus terang dengannya.
Jangan Ambil Mudah soal Komunikasi
Apa juga perkara dalam rumah tangga, jangan ambil mudah. Pasangan kita sepatutnya menjadi sahabat kita yang paling akrab. Tempat untuk kita berkongsi apa saja masalah. Ini tidak, lebih percayakan orang lain daripada pasangan sendiri.
Bila ada masalah, lebih suka minta pandangan orang lain berbanding bersemuka dan berterus terang dengan pasangan. Dibimbangi, orang yang memberi nasihat itu hanya memburukan lagi keadaan kerana dia tak berada di tempat kita.
Kalau marah atau kecil hati dengan suami/isteri, terus terang saja. Mungkin kita tengok dia seolah-olah tak ambil peduli pun, tapi sebenarnya di sudut hati, dia sudah maklum akan apa yang kita telah beritahu. Kalau hal yang sama berulang kelak, dia sedar dan tahu apa perasaan yang kita rasa terhadap hal itu.
KOMUNIKASI teramat penting! Tolong jangan pandang remeh soal komunikasi. Tak mengapa kalau bertekak dan bertengkar waktu itu, asalkan masing-masing meluahkan ketidakpuasan hati. Kena ingat, orang tak boleh ‘baca’ fikiran kita, begitu juga kita. Jadi, berkomunikasilah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tragedi Bayi 11 Bulan Maut Dalam Kemalangan Rempuh Lembu
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan maut dalam pangkuan ibunya selepas kereta dinaiki keluarga itu terbabas akibat merempuh sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, Bera, malam tadi. Kejadian tragis kereta rempuh lembu ini mengundang rasa pilu dalam kalangan masyarakat tempatan.
Perjalanan Beli Susu Bertukar Tragedi
Memetik Berita Harian dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, mangsa, Nur Adriana Amira Mohamad Norismail, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Bandar 32 akibat kecederaan parah di kepala. Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata kemalangan berlaku apabila kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu bapa mangsa, Mohamad Norismail Sani, 22, bersama isterinya, Nik Nur Aini Azierah Che Azeman, 21, sedang dalam perjalanan dari arah Kepayang menuju ke Kerayong untuk membeli susu anak mereka.
Lembu Melintas Tiba-tiba Di Tengah Jalan
“Siasatan awal mendapati ketika tiba di lokasi, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum melanggar haiwan berkenaan dan terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Kejadian kereta rempuh lembu itu berlaku dengan pantas tanpa sempat pemandu mengelak.
Menurut beliau, bayi berkenaan masih berada dalam pangkuan ibunya ketika kejadian dan tidak tercampak keluar dari kenderaan. “Dua daripada tiga lembu yang dilanggar mati di tempat kejadian manakala seekor lagi cedera,” katanya.
Punca Kemalangan Akibat Kecuaian Dan Haiwan Berkeliaran
Tambah Zulkiflee, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan ketika melalui kawasan berkenaan. “Pihak polis bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bera turut mengadakan operasi menangani masalah lembu dan kerbau berkeliaran di jalan raya pada malam sama, namun kejadian berlaku lebih awal sebelum operasi bermula,” katanya.
Isu Keselamatan Jalan Raya Di Kawasan Luar Bandar
Kes tragis ini sekali lagi membangkitkan isu keselamatan di jalan luar bandar yang sering menjadi laluan haiwan ternakan berkeliaran pada waktu malam. Penduduk tempatan menggesa agar tindakan lebih tegas diambil terhadap pemilik haiwan bagi mengelakkan kejadian kereta rempuh lembu berulang dan meragut nyawa pengguna jalan raya yang tidak berdosa.
Tragedi ini menjadi peringatan kepada semua pihak tentang pentingnya tanggungjawab dan langkah keselamatan di kawasan luar bandar, terutama pada waktu malam yang sering menjadi laluan haiwan berkeliaran.
Seorang ibu tabah, Siti Nur Shafiqa Suraini, berdepan dugaan apabila anaknya disahkan menghidap Acute Necrotising Encephalopathy of Childhood (ANEC) akibat jangkitan Influenza A. Kisah penuh pengorbanan dan harapan seorang ibu.