Pasangan pengantin yang cukup sepadan dan berpakaian cantik duduk bersanding di atas pelamin nan indah. Jalinan kasih yang disemai sejak usia 20 tahun diikat kemas dan akhirnya bersatu di sebuah majlis yang penuh gilang gemilang.
Pada tanggal 20 Disember lalu bertempat di Hotel Royale Chulan Damansara, pelakon cantik yang terkenal menerusi drama Titian Cinta, Farah Nabilah, 27, sah menjadi suri hati kepada juruterbang, Mohamed Amirul Yunus, 28, dengan sekali lafaz tepat jam 9.04 malam.
Mas Kahwin RM77, 777.77
Farah menerima RM1,000 sebagai mas kahwin, manakala RM77, 777.77 sebagai wang hantaran dengan iringan hadiah tujuh dulang hantaran berupa cincin, telekung dan senaskah al-Quran, kek, set penjagaan diri dan muka, minyak wangi, telefon pintar dan jam tangan.
Amirul juga menerima balasan tujuh dulang hantaran berupa sebentuk cincin, sehelai kemeja, senaskhah al-Quran, seutas jam tangan, telefon pintar, set wangian dan penjagaan diri.
Farah sebelum itu menerima sebentuk cincin daripada ibu Amirul sebagai simbolik upacara pertunangan kira-kira jam 8.50 malam, disaksikan 300 tetamu yang hadir terdiri daripada keluarga, rakan taulan dan pihak media.
Pasangan itu berkenalan kira-kira tujuh tahun lalu menerusi rakan baik mereka yang juga pelakon, Izara Aishah.Pasangan berkenaan dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Saipuddin Ahmad, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Daerah Petaling, Mastori Marsidi.
“Alhamdulillah, perkahwinan ini menjadi permulaan fasa dan tanggungjawab baharu untuk saya dan suami. Moga semuanya dapat dipermudahkan,” ungkap Farah sambil menjeling manja pada suami yang duduk di sebelah.
Simbolik Angka Tujuh
Ditanya mengenai simbolik angka tujuh, Farah berkata, itu merupakan angka kegemarannya dan tidak sangka perhubungan cinta mereka juga sudah menjangkau ke usia tujuh tahun.
“Tujuh merupakan nombor kegemaran dan secara tak sangka perhubungan kami juga masuk tahun ketujuh.
“Kami ambil masa yang lama untuk mendirikan rumah tangga kerana kerjaya masing-masing dan saya kira ini adalah masa yang sesuai untuk kami mendirikan rumah tangga,” jelasnya.
Farah turut memberitahu kepercayaan dan kesetiaan mengukuhkan lagi percintaan antara mereka.
Ads
“Hubungan saya dan Amirul sebenarnya terjalin secara jarak jauh kerana komitmen kerjaya. Saya sibuk dengan urusan seni, manakala dia pula menjalankan tugas sebagai juruterbang. Jadi, selalu juga dia berada di luar negara.
“Hanya kepercayaan dan kesetiaan terhadap satu sama lain yang mengukuhkan percintaan kami berdua,” katanya yang turut ditunangkan dengan pasangannya pada majlis sama.
“Alhamdulillah, tercapai juga hasrat saya untuk mendirikan rumah tangga pada usia 27 tahun. Apatah lagi, mak saya pun dah tanya bila dia boleh timang cucu memandangkan saya merupakan anak sulung dalam keluarga,” luah Farah yang ayu mengenakan busana, konsep tradisional Melayu sentuhan Rizalman.
Bergilir-Gilir Tinggal Rumah Keluarga
Di Rumah Keluarga Berbicara mengenai kehidupan berumah tangga, Farah dan Amirul akan bergilir-gilir tinggal di rumah keluarga mereka, sebelum berpindah ke kediaman sendiri Mac depan.
Katanya, mereka juga tidak merancang bulan madu kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja dan beberapa majlis resepsi yang akan berlangsung.
“Setakat ini, kami belum bincang untuk berbulan madu di mana, memamandangkan Amirul sibuk dengan tugasnya dan saya juga sudah ada tawaran berlakon Januari ini.
“Buat masa ini, kami mahu selesaikan majlis resepsi yang akan berlangsung pada 28 Disember dan 5 Januari nanti.Amirul dah tidak sabar untuk menikmati nasi kandar di Pulau Pinang. Mungkin itu akan jadi bulan madu ekspres kami terlebih dahulu,” katanya yang tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.
Ads
Tak Pernah Dedah Kisah Kekasih
Heroin yang turut terkenal dengan lakonannya dalam drama bersiri, Cik Reen Encik Ngok Ngek ini juga memohon maaf kerana sebelum ini merahsiakan hubungan cintanya daripada pihak umum.
“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana merahsiakan hubungan kami daripada umum. Ini kerana ibu bapa saya tidak mahu saya terlalu menghebahkan perkara yang masih belum pasti.
“Bila dah masuk fasa lebih serius, barulah saya maklumkan kepada semua,” katanya.
Berkawan sejak tujuh tahun lalu, Farah berkata, mereka telah diperkenalkan oleh Izara Aishah, namun hanya rapat selepas dua tahun mereka berkawan.
“Pada mulanya saya jual mahal tetapi dia tidak berputus asa dan akhirnya dapat menambat hati saya. Bagi saya, apa yang penting dia berjaya menambat hati ibu bapa saya. Malah saya juga menjaga hubungan dengan baik sehinggalah kami selamat bernikah.
“Dengan tidak mendedahkan tentang hubungan kami. Baik buruk antara kami berdua sahaja yang tahu. Saya rasa itu penting untuk menjaga hubungan. Bila orang luar tahu itu yang akan jadi masalah” jelasnya.
Singkir Gosip Nakal
Ditanya tentang cabaran dan ujian untuk mengekalkan hubungan percintaan yang agak lama, Farah menerangkan Amirul tidak percaya pada gosip nakal.
Ads
“Setakat ini Alhamdulillah dia terima semuanya secara positif. Dia pernah berkata gosip hanyalah gosip. Dan bila kita ada kepercayaan dekat masing-masing, gosip macam mana pun takkan rosakkan hubungan kami. Saya suka berterus terang. Sebelum gosip tu sampai ke pengetahuan media, saya akan beritahu dia terlebih dahulu sebelum dia terbaca di mana-mana.
“Paling saya kagumi dan mengapa dia sangat istimewa di mata saya, adalah kerana kesabaran yang ada pada diri dia. Dia tak pernah halang saya bergiat aktif dalam bidang seni dan lebih galakkan jika saya raih populariti,” ungkap Farah yang sangat kagumi Amirul yang begitu menghormati kedua orang tua Farah.
Farah juga menerangkan setiap kali mahu membawa Farah keluar, Amirul akan duduk bersembang dahulu dengan ibu bapanya.
“Amirul seorang lelaki yang gentleman. Dia seorang yang serius membawa hubungan ini bermula dengan restu dari orang tua. Sebelum keluar dia akan pastikan, dia tanya kalau saya keluar ni dah beritahu ibu bapa saya dulu atau belum. Setiap kali dia datang rumah tak pernah datang dengan tangan kosong. Dari pertama kali sampailah dah tujuh tahun ini, dia selalu berborak dengan ibu bapa sebelum bawa saya keluar,” kata Farah.
Teruskan Karier Seni Selepas Berkahwin
Teruskan Karier Lakonan Pelakon cantik dan berbakat besar ini memberitahu lagi, dia tetap meneruskan karier seni walaupun sudah bergelar isteri.Bagaimanapun ujar selebriti berusia 27 tahun itu, segala tawaran berlakon akan dibincang dan dipersetujui terlebih dahulu oleh suaminya.
“Kalau tak berlakon pun, saya mungkin akan lebih terarah kepada dunia pengacaraan. Tetapi saya tidak akan sesekali meninggalkan dunia lakonan, ia minat saya.
“Cuma saya akan berbincang dahulu jika ada tawaran yang datang dan jika suami setuju baharulah saya akan menerimanya,” ujarnya sejurus ditemu bual selepas majlis pernikahan berlangsung.
“Saya harap akan dapat menjadi isteri yang baik kepada Amirul. Dan supaya saya diberi kesabaran yang tinggi untuk menempuh baik buruk rumah tangga.” ujarnya.
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh pelakon Farah Nabila ini. Ingin ketahui lebih lanjut, baca sambungannya di dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Januari, volume 1 yang kini telah pun berada di pasaran.
Agak-agak ada tak peminat anak saudara Anzalna Nasir, si kembar The Angguns atau nama sebenar mereka Anggun Darleesa dan Anggun Darleena Mohd Azwan di kalangan pembaca MW?
Haaa… sebelum Anzalna post gambar dan video mereka dalam IG, The Angguns ini dah ada pengikutnya sendiri. Malah mereka juga telah mendapat beberapa tajaan.
“Sebaik The Angguns ini dilahirkan, keterujaan followers semakin bertambah. Ramai yang mahu menaja mereka. Saya tahu setiap hari ada sahaja orang yang akan menghantar barang atau produk untuk menaja The Angguns.
“Saya tahu The Angguns ini ada peminat kerana apabila kami keluar bersama, sudah pasti The Angguns menjadi tumpuan.”
“Kelahiran mereka ini amat menggembirakan keluarga kami. Kehadiran mereka menceriakan keadaan. Kalau pada ketika itu kita ada masalah dan tiba-tiba The Angguns ini ada di hadapan mata, seperti terlupa masalah yang sedang dihadapi. Sejak adanya The Angguns ini ia telah mengubah hidup kami semua. Ia juga telah merubah perangai emaknya, Diana.
Bila Tengok ‘Anak Buah’, Bukan Senang Nak Besarkan Anak
Akui Anzalna, kehadiran anak-anak buahnya itu boleh dikatakan sebagai cara melatih dirinya bergelar ibu pada suatu hari nanti.
“Saya perhatikan mereka dan saya sedar agak susah juga untuk membesarkan anak. Sekurang-kurangnya saya boleh belajar daripada pengamatan itu. Saya dan suami sebenarnya memang sengaja menghabiskan tahun-tahun awal perkahwinan untuk kami berdua sahaja.
“Malah emak mentua saya juga pernah berkata, biarlah kami berdua nikmati masa berdua ini dahulu. Tidak perlu tergesa-gesa menambah ahli keluarga dan tidak perlu tertekan untuk segera menimang cahaya mata.
Tak Sedia Ada Anak Atau Macam Mana?
“Saya bukannya tidak mahu anak tetapi mahu habiskan masa berdua terlebih dahulu. Ditambah pula kami berdua jenis yang suka travel. Pada tahun lepas kami telah menghabiskan masa travel ke beberapa buah Negara berdua. Pada tahun ini kami berharap dapat travel berdua lagi,” akuinya lagi dia dan suami tidak ada masalah dalam hal berkaitan anak.
“Kami sebelum kahwin telah melakukan pemeriksaan kesihatan sepenuhnya. Tidak ada masalah pada kami berdua. Cuma kami belum ada rezeki untuk mendapat anak. Lagipun saya selalu sibuk dan tidak fikir serius mengenai anak.”
Anzalna dan suaminya Hanif dikategorikan sebagai pasangan suami-isteri yang sama cantik dan sama padan. Berikutan dengan itu jugalah sudah pasti ada cabaran perlu dihadapi dalam memastikan rumah tangga sentiasa bahagia.
“Kami berdua mempunyai perangai yang sama. Jadi apabila dia buat benda yang saya tidak suka, dia tahu saya tidak suka. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu kami boleh saling faham-memahami. Apabila kami telah memahami diri masing-masing, itu yang menyukarkan kami untuk bergaduh. Itulah yang buat kami bahagia,” ujarnya.
Jelasnya lagi, suaminya tidak pernah menghalang dia untuk melakukan apa sahaja. Namun sebagai seorang isteri, Anzalna tidak pernah melupakan tanggungjawab sebagai isteri untuk melayan suaminya itu sebaik mungkin.
“Saya suka memasak. Malah saya suka mencuba resipi yang terdapat Facebook. Boleh dikatakan masa cuti saya gunakan untuk memasak. Suami saya pula jenis makan ikut masa sebab itu saya suka memasak,” tambah Anzalna.
Akhirnya penantian selama 11 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin untuk hamil dimakbulkan Allah SWT di usia 38 tahun. Tanggal 13 Oktober lalu, Siti Nurhaliza membuat pengumuman khas dalam sesi santai bersama rakan media. Anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini nyata begitu teruja berkongsi pengalamannya hamil anak sulung.
Berita ini disambut gembira semua tetamu yang berada di pekarangan rumahnya di Bukit Antarabangsa. Tentunya berita ini juga diraikan dengan penuh kesyukuran oleh peminat Siti Nurhaliza.
Tiada kata lain yang dapat diucapkan oleh Siti dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58.
Mereka bersyukur dengan anugerah terindah ini dan memohon semua pihak mendoakan yang terbaik.
Fokus Pada Kehamilan
Akhirnya teka-teki ‘kehilangan’ penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sejak empat bulan lalu daripada radar industri hiburan tanah air terjawab apabila Siti Nurhaliza sendiri memberitahu bahawa penyepiannya selama ini adalah kerana mahu memberi fokus pada kehamilan sulungnya.
“Tiada sebab lain selain mahu memberi fokus kepada kandungan ini. Jika mahu menyanyi, sampai bila-bila pun saya boleh menyanyi tetapi anak merupakan kurniaan Allah SWT yang sangat saya impikan.
“Alhamdulillah, saya percaya pada rezeki bahawa suatu hari nanti saya akan dikurniakan cahaya mata. Berkat kesabaran, akhirnya selepas 11 tahun menanti dan berusaha, saya diberikan rezeki yang teragung ini.
“Jika ada yang kata saya tidak berusaha sebenarnya ini adalah salah satu usaha saya dan suami mendapatkan cahaya mata iaitu melalui rawatan kesuburan. Kehamilan sebelum ini normal kerana saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah cuma mungkin ketika itu saya alami keguguran kerana kurang rehat. Justeru untuk mengejar masa kerana usia saya 38 tahun, saya jalani rawatan kesuburan. Selepas kali ketiga melakukan rawatan, barulah saya hamil,” jelasnya yang kelihatan cukup ceria.
Tiga Bulan Terperap Dalam Bilik
Menceritakan lebih lanjut mengenai rawatan tersebut, Siti Nurhaliza memberitahu selama tiga bulan dia hanya duduk di dalam bilik sahaja.
“Selepas melalui rawatan tersebut, sampai sahaja di rumah saya dibawa naik ke atas rumah dengan menggunakan kerusi roda ke dalam bilik. Mula-mula bosan juga sebab saya dah biasa bekerja tapi demi mendapatkan zuriat, saya akur. Doktor nasihati saya supaya rehatkan emosi, jangan stres dan tidak boleh banyak bergerak.
“Inilah pengorbanan dan usaha saya untuk dapatkan cahaya mata. Oleh itu, saya terfikir untuk turut berkongsi dengan mereka di luar sana yang sukar untuk hamil tentang rawatan yang telah saya lalui ini. Mudah-mudahan lebih ramai lagi ibu-ibu yang akan peroleh cahaya mata,” katanya yang akan bekerjasama dengan pusat rawatan tersebut.
Hilang Selera Makan
Setiap ibu hamil pasti akan yang mengalami pelbagai alahan mengikut kekuatan tubuh badan sendiri. Siti Nurhaliza juga tidak terkecuali dengan perkara tersebut. Jelasnya, selepas hamil dia merasakan kulit wajahnya berubah menjadi kasar sehinggakan dia tidak mahu untuk bertemu dengan orang lain kecuali keluarganya sendiri.
“Selain itu, saya kurang makan pedas dan saya tidak boleh sentuh langsung kuetiau. Saya juga tidak masuk dapur kerana alahan yang dialami. Di awal kehamilan, saya hilang selera makan sehingga berat saya turun. Tapi saya paksa diri untuk makan kerana saya ada gastrik. Kini berat saya semakin bertambah, sekarang sudah cecah 70 kg.
“Begitu juga dengan emosi, memang banyak perubahan yang berlaku. Kadang-kadang, saya tak ada mood,”ujarnya yang tidak lekang dengan senyuman di bibir.
Pun begitu, tambah Siti Nurhaliza, dia gembira kerana telah dapat lalui pengalaman sebagai ibu hamil yang disifatkannya cukup indah.
“Selepas hamil barulah saya dapat rasa sendiri betapa besarnya pengorbanan seorang ibu itu. Walaupun sukar tapi cukup indah. Saya kagum dengan ibu-ibu yang mempunyai ramai anak,” jelasnya.
Impi Anak Perempuan
Bercerita mengenai impian jantina anak, Siti Nurhaliza memberi bayangan inginkan anak perempuan.
“Jika anak perempuan, saya akan letak nama bermula dengan Siti, itu wajib,” katanya sambil ketawa.
Malah Datuk K juga telah menyediakan nama untuk anak mereka itu tetapi belum didedahkan lagi sehingga jantina anak itu betul-betul diketahui. Siti Nurhaliza turut berkata dia tidak akan merahsiakan jantina anak dalam kandungan.
“Selepas buat pengumuman ini barulah saya lega kerana dapat berkongsi cerita dan pengalaman dengan ibu-ibu hamil dan bakal-bakal ibu nanti. Setiap perkembangan saya akan kongsikan di media sosial jika perlu,”katanya.
Mengikut jangkaan doktor, Siti Nurhaliza akan melahirkan cahaya mata pada bulan Mac 2018. Pun begitu sehingga kini dia belum lagi memutuskan untuk bersalin di hospital mana.
Siti Tidak Boleh Berenggang- Datuk Seri Khalid
Sementara itu, sebagai suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau mesra dengan panggilan Datuk K turut mengulas bahawa ini merupakan hajat yang sudah lama mereka impikan.
“Lebih kepada Siti, saya mahu dia rasa pengalaman menjadi wanita hamil. Setakat mengandung ini, dia tak banyak kerenah cuma tak boleh lama berpisah. Siti sering tanya jam berapa nak balik ke rumah. Doakan agar semuanya berjalan lancar, bayi sihat dan sempurna.
“Proses kehamilan akibat rawatan kesuburan memerlukan Siti banyak berehat dan menjaga kesihatan agar masalah keguguran seperti sebelum ini tidak berlaku. Siti juga terpaksa diangkat setiap kali mahu naik atau turun dari tingkat atas rumah.
“Nak turun bawah pun saya angkat Siti. Bila dia berjalan pun susah, terbongkok-bongkok dan terpaksa berjalan perlahan-lahan. Sampai begitu sekali. Alhamdulillah kini bila kandungan empat bulan, barulah dia boleh bergerak dengan sempurna,” jelasnya sambil tersenyum.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kehidupan Joy Revfa sering diintai ramai pengikutnya di Instagram apatah lagi baru-baru ini kemulut rumah tangganya mendapat perhatian ramai. Perkahwinan Joy dan suaminya yang juga penyanyi kerohanian, Hafiz Hamidun menjadi perdebatan di medium sosial dan kemudiannya Joy telah memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan. Ikuti secara eksklusif luahan perasaan Joy tentang kemelut yang berlaku dalam kehidupannya.
“Mungkin Allah S.W.T. beri rezeki yang mengalir dan keberuntungan tanpa henti pada saya tetapi ada benda lain yang Allah nak uji. Saya takut jika tidak diberi hidayah langsung dari Allah untuk terus bersujud dan beristiqamah.
“Saya bimbang lebih hanyut kerana itu saya tidak henti berusaha mengumpul ilmu-ilmu terus ke jalan Allah. Tentang status pula masih di bawah keputusan mahkamah. Saya sendiri tidak boleh memberi penjelasan kerana dikhuatiri akan mengganggu proses mahkamah. Namun begitu, hikmah yang saya dapat lihat dan rasai daripada pengalaman ini, saya sangat bersyukur dan berdoa kepada Allah semoga segala proses ini dipermudahkan. Doakan saya,” ujar Roy memulakan bicara.
Jadi Mangsa Kutukan Netizen
Pada awal kemelut perkahwinannya, Joy menjadi mangsa kutukan netizen. Ditanya bagaimana dia menghadapi setiap komen dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya, Joy tenang mengatur bicara.
“Saya bersikap terbuka tentang apa yg telah dilontarkan oleh netizen sama ada positif atau negatif. Saya juga bersyukur apabila ramai netizen di luar sana akhirnya telah mengetahui perkara sebenar.
“Sedikit sebanyak perkara ini membuka mata banyak pihak terutama dalam mengetahui hak-hak sebagai seorang wanita dan isteri yang teraniaya dan dizalimi. Kita bercakap tentang perkara ini dari sudut ilmu fikah yang mana pada saya ia amat-amat penting kita sebagai seorang isteri perlu mengetahui dan celik ilmu hal-hal yang berkaitan dengan soal perkahwinan.”
Tak Mampu Menolak Kententuan Allah
Sekuat-kuat wanita, pastinya mereka tidak mampu mengharungi masalah yang berhadapan seorang diri. Joy juga akui fobia dengan kemelut yang melanda perkahwinannya.
“Ya benar, saya sedikit fobia dengan apa yang terjadi. Namun saya tidak mampu menolak ketentuan Allah. Wanita mana yang tidak mahu bahagia? Wanita mana yang tidak mahu tangannya dipimpin oleh suaminya ke syurga? Wanita mana yang tidak mahu menjadi isteri solehah dan taat pada suami serta dibimbing ke jalan yang diredhai Allah?
“Namun, saya percaya kepada Rukun Iman yang ke 6 iaitu percaya kepada Qada’ dan Qadar. Saya percaya Allah ada ‘hadiah’ yg lebih baik dan indah untuk saya di penghujungnya,” ujar ibu kepada Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.
Arryan Penguat Semangat
Walaupun kini bersendirian, kehidupan perlu diteruskan. Bagi diri Joy sokongan keluarga sangat diperlukan.
“Sokongan dari keluarga dan sahabat rapat banyak membantu saya berdepan dugaan ini. Kata-kata semangat dan dorongan mereka buat saya jadi insan yang lebih tabah dan matang berdepan ujian hidup. Saya bersama dengan orang-orang yang positif dan sentiasa dekatkan jiwa dan diri kepada Allah untuk pemuliharaan hati kita dan kebergantungan kepada Nya.”
Berbicara mengenai anaknya, Arryan Firdaus, Joy mengakui gembira dengan kurniaan Allah. Arryan menjadi penghibur hatinya di kala gembira dan waktu berduka. Dialah yang menjadi penguat semangat Joy.
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, namun Joy tidak pernah mengabaikan buah hatinya ini. Dia berusaha membahagi masa antara anak dan perniagaan.
“Saya hantar Arryan ke tadika untuk merangsang mindanya, saya juga mahu dia bergaul dengan teman-teman. Pada waktu malam atau ketika cuti, saya akan membawa Arryan beriadah. Ini sebahagian cara kami meluangkan masa bersama,”terang ibu muda yang cukup peramah dan murah dengan senyuman ini.
Buat anda yang tidak begitu kenali wanita ini, Joy Revfa merupakan Pengasas Empayar Kosmetik Merve Cosmetics yang mempunyai aura luar biasa. Sebelum berjaya dalam perniagaan, Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin yang mempunyai kelulusan dalam bidang kecantikan pernah menjadi jurusolek profesional di Indonesia termasuk menata rias artis popular, Bunga Cinta Lestari hingga ke Jerman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Black hadiahkan kereta mewah idaman isteri. “Kadang-kadang kita terlalu mencari yang sempurna, sampai terlupa untuk hargai yang selalu ada di sisi” Inilah ungkapan penuh...