Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
Perubahan Sikap Anak Dan Tanda ‘Separation Anxiety’
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
Ads
SUKAR BERENGGANG
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
RASA TIDAK PERCAYA
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
TAKUT PADA ORANG LAIN
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
KERAP MENJERIT
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
Ads
SUKA MENANGIS DAN MERAJUK
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
Dengan 5 Cara Ini Ibunya Atasi ‘Separation Anxiety’ Anak
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
VISUAL DIRI SEBAIK MUNGKIN
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Ads
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
TIDAK BERBOHONG
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
PENGGANTI YANG BAIK
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
TIDAK MEMAKSA
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
KUKUHKAN HUBUNGAN
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Selalunya orang bercerita tentang anak lelaki. Karenah anak lelaki semasa kecil dan tanggungjawabnya bila meningkat dewasa. Jarang kita bercakap hal anak perempuan. Baik anak lelaki mahu pun anak perempuan, semuanya mempunyai cara yang berbeza dalam menjaganya.
Ada orang cakap beruntung dapat anak perempuan, esok-esok ada kawan temankan mak di dapur. Ramai anak lelaki pula, boleh jadikan satu team bola sepak. Bila peroleh anak perempuan, sudah tentu inginkan anak lelaki pula. Begitu juga bila ada anak lelaki, mahukan anak perempuan pula.
Ditakdirkan rezeki semua anak permpuan dan semua anak lelaki. Terimalah dengan redha sebab itu rezeki yang Allah berikan. Beruntungnya bila mak ayah mempunyai kedua-duannya. Dari situlah tahu macam mana peel dan perangai anak perempuan dan lelaki cukup berbeza.
Perkongsian daripada Nooraffia Abdullah cukup memberi kesan dan peringatan mak ayah di luar sana tentang cabaran menjaga anak perempuan dan anak lelaki yang memang berbeza.
Anak sulung saya, Allah beri seorang perempuan. Jujur, masa dia kecil-kecil dulu tak rasa sangat cabarannya. Tapi bila dah besar makin terasa cabarannya
Mak sentiasa pesan, ada anak perempuan jangan ambil mudah. Jangan buat tak endah, tanggungjawabnya berat. Tugasnya amat besar Jaga anak perempuan tak sama dengan anak lelaki
Bila ada anak perempuan, jangan dibeli pakaian seksiseksi Bukanlah mahu diajar anak bertudung litup tapi cukup mengajar anak berpakaian sopan. Tidak terdedah sana sini, tidak ketat menonjol. Ajarkan mereka erti malu, pakai yang sopan-sopan Bersederhana menikmati zaman kanak-kanak
Bila ada anak perempuan, tak boleh dibiar tidur sana sini. Harus diajar tidur setempat di dalam bilik. Bahayanya ada di mana- mana dan jangan percaya kepada sesiapa.
Bila ada anak perempuan, ajarkan mereka sentuhan selamat dan ajarlah mereka sentuhan tidak selamat. Jangan biarkan anak berseorangan dan sentiasalah temani mereka. Biar kita susah hari ini daripada menangis di kemudian hari.
Bila ada anak perempuan, ajarkan mereka tentang harga diri dan ajar mereka untuk sayang diri sendiri. Ini kerana diri mereka sangat berharga.
Bila ada anak perempuan, terangkan kepada mereka tentang haid dan kehamilan bila mereka sudah baligh. Usah malu untuk memberi ilmu dan bimbang mereka cari di tempat salah
Bila ada anak perempuan, pilihlah rakan untuk mereka. Kenali juga siapa kawan mereka kerana rakan yang baik menjadi penguat dan rakan yang nakal menjadi pemusnah
Bila ada anak perempuan, selalulah diperiksa handphone mereka. Apa yang dikongsi dan apa yang ditulis. Ambil tahu
Bila tiba saat kau lepaskan mereka dan hidup berjauhan. sentiasa ingatkan mereka Jagalah diri baik baik, jaga maruah diri dan jagalah maruah keluarga. Biarlah orang kata kita kolot atau kita syadid
Bila ada anak perempuan, berdoalah. Mohon dijaga kehormatan diri mereka, mohon dijaga keselamatan mereka.. Moga-moga Allah jaga dan lindungi. Aamiin Allahumma aamiin..
MW: Begitulah bezanya besarkan anak perempuan dan anak lelaki. Sebagai mak ayah, kita kena peka sebab semua ini adalah tanggungjawab mak ayah yang akan ditanya esok nanti.
Cuti sekolah adalah peluang terbaik untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, dan tiada yang lebih istimewa daripada merasai pengalaman menaiki kapal persiaran mewah sebagai alternatif pengalaman percutian hujung tahun yang menarik.
Antara percutian di atas kapal persiaran yang dtawarkan ialah melalui Hwajing Travel & Tours. Ia melakar sejarah membanggakan apabila diiktiraf sebagai perintis menyewa Kapal Persiaran Antarabangsa yang pertama berpangkalan di Malaysia oleh Malaysia Book of Records baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan secara rasmi di atas kapal persiaran Costa Serena, yang belayar selama tiga hari dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang bermula pada 13 hingga 15 Disember 2024.
Lakar Sejarah
Momen bersejarah ini terlakar sebaik sahaja Costa Serena berlabuh di Pelabuhan Terminal Pier Cruise, Pulau Pinang pada 14 Disember lalu. Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh YBhg. Dato’ Yeoh Soon Hin, Timbalan Pengerusi Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia) kepada Kenny Cheong, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours. Majlis penuh bermakna itu turut dihadiri wakil-wakil terkemuka Malaysia Book of Records dan para tetamu kehormat.
“Pencapaian yang diiktiraf hari ini secara signifikannya menjangkaui industri pelancongan kapal persiaran di Malaysia, yang turut membuktikan komitmen agensi ini dalam meningkatkan kesalinghubungan dan menawarkan pengalaman pelayaran bertaraf dunia.
Kami memuji aspirasi Hwajing Travel & Tours selaku penyewa kapal persiaran antarabangsa pertama yang berlabuh di Malaysia. Bukan sahaja menjadi hab pelayaran serantau tetapi juga dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan mempromosikan keindahan negara di mata dunia,” kata YBhg. Dato’ Yeoh.
Dengan pelancaran laluan pelayaran Itali Costa Serena pada awal tahun ini, Hwajing Travel & Tours bukan sahaja dapat merancakkan sektor pelancongan pelayaran di Malaysia tetapi menyokong usahawan tempatan di sekitar kawasan Pelabuhan Klang.
Ia juga merupakan satu-satunya kapal persiaran yang belayar dari Pelabuhan Klang ke Phuket pada bulan Disember yang menawarkan percutian yang lebih mengujakan, selesa dan pada harga yang rendah!
Menyentuh soal makanan pula, restoran di Costa Serena menyajikan pelbagai masakan Itali dan Asia yang asli, daripada bufet mewah hinggalah kehangatan piza Itali di Pizzeria Pummid’Oro dan ais krim gelato yang lazat di Gelataria Ciccolateria Amarillo. Jangan risau, makanan yang disediakan sudah mendapat pengesahan halal untuk memastikan keselesaan tetamu sepanjang pelayaran tersebut.
Tetamu dijanjikan pengalaman ‘berlayar ala Roman’ di atas kapal Itali itu sambil menikmati pelbagai pengalaman masakan, rekreasi dan hiburan. Tetamu juga boleh bersuka ria di Pesta Karnival Venice atau menyelusuri gelongsor air Water Chute Slide dan pelbagai lagi aktiviti yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur.
Demi memaksimumkan masa di setiap lokasi persinggahan di Phuket dan Pulau Pinang, susunan jadual pelayaran turut mengambil kira kelancaran keluar masuk tetamu. Malah tetamu juga berpeluang mengunjungi kota Ho Chi Minh selepas singgah di Phu My, Vietnam, sebelum meneruskan percutian yang santai ini ke kota pelabuhan ikonik, Hong Kong.
Untuk maklumat lanjut tentang influenza dan vaksinasi, sila berjumpa doktor anda,
Inisiatif pendidikan ini dibawakan oleh Sanofi Malaysia
‘Bekerja seorang tanggung isteri, empat anak.’ Bila utamakan keluarga, insyallah cukup semua. Paling penting dahulukan yang mana lebih utama.
Seorang suami jika dia mengutamakan isteri dan anak-anak daripada kepentingan sendiri insyallah berkat dan murah rezekinya. Ikuti perkongsian Puan Siti Suryani Yaakob ini dan fahami apa yang cuba disampaikan:
Bekerja Seorang
Di tempat kerja saya ini ada seorang ‘abang’. Abang tak abang juga pasal lagi berapa tahun nak pencen sudah dia.
Abang ini seorang saja yang bekerja. Isteri dia suri rumah. Ada anak 4 orang. Dari dulu sampai sekarang memang dia seorang saja yang bekerja cari rezeki untuk keluarga.
Kadang saya teruja nak belajar dari orang-orang macam ni. Macam mana dengan bekerja seorang diri dapat tanggung keluarga. Dan cukup semua. Siap ada dua buah rumah pula lagi. Kisah begini lebih dekat dengan realiti. Kisah kebanyakan kita sehari-hari.
Isteri dan keluarganya adalah paling atas buat dia lebih dari semuanya.
Di office, dia makan biasa-biasa. Kadang beli nasi dengan kuah kari saja. Ada masa nak sedap sikit letak ayam satu. Banyak masa dia makan apa yang ada. Janji perut kenyang dia kata.
Tapi setiap hari Isnin dia akan bercerita. Semalam makan udang celup tepung di Kuala Selangor. Ada masa pagi-pagi datang kerja dia bagitahu ada kedai Western yang sedap. Semalam dia ke sana dengan anak isteri. Sebab isteri ajak pergi.
Bila Utamakan Keluarga
Rupanya dia tak makan sedap di office sebab dia nak makan sedap dengan keluarga dia. Untuk dia tak apalah yang biasa-biasa. Supaya dia boleh bagi untuk keluarga yang extravaganza.
Kalau buat makan-makan di luar yang tak mampu dia bawa semua, dia rela tak pergi. Dia kata tak sampai hati nak makan sedap tanpa ada anak isteri. Lepak-lepak lepas kerja tu memang tidak ada. Nak balik cepat. Nak tengok di rumah ada apa kena buat.
Kalau isteri sakit dia cuti. Biar demam biasa pun. Katanya macam mana nak tinggal. Nanti siapa yang nak masak. Tak akan isteri yang sakit itu pula nak masak. Takkan dibiar dia seorang hendak urus anak.
Saya ceritakan kisah ini supaya kita perhati. Dalam saat ramai berkisahkan suami kena sediakan emas. Suami kena sediakan duit sebanyaknya. Suami kena bagi harta benda.
Di TikTok dan media sosial merata-rata orang tunjuk hadiah dan mewah yang suami bagi pada isteri. Lalu kadang mengusik kentalnya hati kita yang rasa sudah cukup serba-serbi.
Kadang suami kita usaha bekerja bagi rezeki buat semua. Buat kita. Dan ada juga keluarga dia. Kadang sudah buat berbagai cara. Tapi rezeki dia cukup seperti itu sahaja. Secukup rasa. Tak mewah tapi ada semua.
Tapi dia ada banyak nilai baik. Yang kecil-kecil. Yang kadang masa dia tiada baru kita terasa betapa besarnya nilai kecil yang dia buat pada kita. Benda yang kadang tak nampak. Sebab dia bukan bentuk material.
Dan dia atas semuanya…
Yang mencari rezeki adalah kita. Tapi yang memberi kecukupan adalah Dia. Yang beri bahagia itu bukanlah pada banyaknya. Tapi yang beri bahagia itu adalah pada berkatnya. Berkat pada dua-dua hati yang saling berusaha bahagia membahagia.
Kisah inspirasi tentang Shamsuri dan isterinya yang menerima cahaya mata ke-13, membuktikan bahawa rezeki anak ramai adalah anugerah penuh keberkatan. Ketabahan dan kasih sayang pasangan ini menjadikan keluarga besar mereka sumber kekuatan.