Kecantikan

5 Resepi Cantik Dengan Daun Sirih Untuk Mak-mak 30-an, Amoi Jamu Kongsi Hasilnya

Share

Resepi cantik dan langsing Amoi Jamu atau nama sebenarnya Amanda Tan menggunakan daun sirih ini disediakan khusus untuk pembaca website Mingguan Wanita. Katanya inilah antara rutin amalannya. Dan 5 resepi cantik dengan daun sirih ini juga bermanfaat untuk rawatan kulit, mengatasi bau badan dan masalah angin dalam badan.

Untuk menyiapkan resepi cantik dengan daun sirih ini, saya ambil sedikit masa. Kerana tunggu aloe vera gel yang biasa digunakan. Kebanyakan farmasi atau kedai habis stok. Saya cari merata-rata di Guardian, Watson, Caring Farmasi dan Aeon tapi tiada.

Jadi kena cuba dulu jenama yang baru sebelum perkenalkan kepada pembaca. Itu yang ambil masa sedikit. Syukur jenama aloe vera yang baru ini kualitinya baik dan harga pun berpatutan. Senang juga di dapati di mana-mana farmasi.

5 Resepi Cantik Dan Sihat Dengan Daun Sirih

Daun sirih sangat kaya dengan antioksidan, bersifat anti-bakteria. Justeru itu, mampu menghambat pertumbuhan bakteria. Jom kita terokai beberapa cara menggunakan daun sirih untuk penjagaan luaran dan dalaman.

Resipi berikut boleh diamalkan ikut keperluan individu. Lain badan lain keperluan. Anda sendiri faham keperluan anda sendiri. Inilah resepi perkongsian peribadi Amanda Tan untuk pembaca Mingguan Wanita.

 

Pertama : Masker Untuk Rambut Sihat, Kuat Dan Bersinar

Sirih x 5 helai
Aloe Vera gel x 1 sudu besar
Limau purut x 2 biji

Caranya :

√    Cuci beberapa helai daun sirih.
√    Tumbuk lumat dengan limau purut. Tapiskan dan asingkan hampasnya.
√    Campurkan dengan aloe vera gel.
√    Sapukan rata pada rambut dan biarkan 15 minit. Cuci bersih.
√    Amalkan seminggu 2x atau ikut keperluan

Fungsi :

  • Membersihkan kulit kepala.
  • Menghilangkan bau hapak.
  • Menebalkan rambut.
  • Mengatasi rambut kering.
  • Mengatasi kelemumur.

 

Kedua : Kulit Sihat, Wangi Dan Berseri

Sirih x 5 helai
Limau purut x 3 biji

Caranya :

√    Cuci beberapa helai daun sirih.
√    Rebus 1 periuk air dengan daun sirih. Tutup dan biarkan sejuk.
√    Campur air rebusan daun sirih dengan jus limau purut.
√    Guna air ini sebagai cucian terakhir selepas mandi. Biarkan kering.
√    Tidak perlu bilas dengan air.
*Boleh digunakan untuk mencuci rambut.

Fungsi :

  • Menyah toksin dari kulit.
  • Antibakteria.
  • Mengurangkan bau badan.
  • Membersihkan dan mencantikkan kulit.

Ketiga : Penjagaan Dalaman Wanita

Sirih x 5 helai
Manjakani x 3 biji
Bunga cengkih x 1 sudu kecil
Kunyit hidup x saiz ibu jari

Caranya :

√    Cuci bersih beberapa helai daun sirih dan manjakani. Cuci dan hiris kunyit.
√    Rebus dengan 3 cawan air. Biar sejuk dan minum suam suam.
√    Amalkan sebulan sekali selepas datang haid.
*Tidak sesuai untuk wanita mengandung.
*Boleh diamalkan 1 minggu lepas bersalin, dan bayi bebas jaundis / kuning.
*Untuk kegunaan lelaki, sila KELUARKAN manjakani.

Fungsi :

  • Menghilangkan bau amis dari darah haid.
  • Mengatasi masalah keputihan.
  • Bagus untuk yang lepas bersalin untuk ketat bahagian Miss V.
  • Bagus untuk menyah toksin dari badan.
  • Mengurangkan bau kurang enak peluh.

 

Keempat : Tangas Basah

Sirih x 5 helai
Manjakani x 3 biji
Kepingan Asam Jawa x 5 keping
Garam bukit x 1 sudu teh kecil

Caranya :

√    Cuci bersih daun sirih, manjakani dan asam jawa.
√    Rebuskan kesemua bahan sehingga mendidih.
√    Diletakkan di bawah kerusi berlubang.
√    Pakai kain batik menutupi seluruh badan.
√    Duduk bertangas selama 20 minit.
√    Kemudian cuci bersih dengan air suam.
*Tidak sesuai untuk wanita mengandung
*Boleh diamalkan selepas kering darah nifas untuk yang lepas bersalin.
*Anak dara boleh buat sebulan sekali selepas haid untuk mengeluarkan sisa sisa darah haid.
*Kalau tiada kerusi berlubang, berdiri kangkang atas periuk. Pastikan kain batik tutup sampai ke lantai untuk mengekalkan wap.

Fungsi :

  • Mengatasi masalah keputihan.
  • Mengetatkan kembali otot Miss V lepas bersalin.
  • Mengecutkan kembali rahim setelah bersalin.
  • Membersihkan kawasan keintiman selepas haid.
  • Mengekalkan keanjalan kulit sekeliling.
  • Mengurangkan bau kurang enak.
  • Mengeluarkan sisa darah haid.
  • Mendetoxkan badan melalui peluh.
  • Mengharumkan bau badan.
  • Anti kuman untuk kulit.
  • Menyegarkan kulit dan menaikkan seri wajah.

 

Kelima : Masker Kulit Untuk Jerawat

Sirih x 5 helai
Madu x 1 sudu teh kecil
Tepung beras x 3 sudu besar

Caranya :

√    Pastikan kulit muka dicuci bersih sebelum memakai masker.
√    Cuci bersih beberapa helai sirih.
√    Tumbuk lumat daun sirih dan tapis kan. Asingkan hampas sirih. Campurkan perahan daun sirih , madu dan tepung beras. Kalau pekat, boleh tambah air sedikit.
√    Aduk rata dan sapukan kepada kulit yang bersih.
√    Biarkan 20 minit dan cuci bersih dengan air.

Fungsi :

  • Madu dapat mengangkat kotoran yang terperangkap di pori-pori kulit sekaligus dapat melembabkan kulit.
  • Daun sirih bersifat antibakteria dan antiseptik dapat membasmi bakteria yang menyebabkan ketumbuhan jerawat.
  • Madu melembapkan kulit dan mematikan bakteria di atas permukaan kulit.

Sumber/Foto : Amanda Tan (Gary Amanda)

IKLAN