Sejak akhir-akhir ini macam jadi trend mak ayah suka cium mulut anak, sebagai tanda kasih sayang yang tidak terhingga.Sebenarnya sayang macam mana sekalipun mak ayah, dilarang untuk cium pada bahagian mulut anak walaupun mereka masih kecil. Ini antara sebab-sebabnya:
3 Sebab Dilarang Cium Mulut Anak
1. Boleh Rangsang Syahwat
Bibir merupakan kawasan sensitif yang boleh merangsang syahwat Dr Charlotte Reznick, seorang penulis, psikologi pendidikan dan anak di Universitas California Los Angeles ,UCLA, berpendapat mengenai kesan buruk jika terlalu sering mencium anak-anak di bibir.
“Ketika seorang anak mencapai 4 atau 5 atau 6 dan pada usia sekitar itu keinginan seksualnya mulai muncul (dan beberapa anak-anak keinginan seksualnya muncul lebih awal, terkadang muncul pada usia 2 atau 3) dan ciuman di bibir akan mendorong keinginan seksual(syahwat) mereka.”
2. Mulut Pindahkan Kuman
Ada bayi yang terkena penyakit kerana sering diciumi bibirnya. Ingatlah bahawa mulut boleh memindahkan kuman melalui ciuman bibir, kerana kuman tersebut boleh masuk ke dalam tubuh.Pelbagai jenis penyakit boleh disebarkan melalui mulut.
3. Rasul dan Sahabat hanya mencium pipi anaknya
Mencium pipi merupakan tanda kasih sayang orangtua pada anaknya, maka hal ini diperbolehkan untuk dilakukan.Namun ada bahagian tertentu yang disarankan untuk mencium anak iaitu pada bahagian pipi, seperti yang pernah dilakukan oleh Saidina Abu Bakar ketika mencium puterinya, Aisyah.
Ads
“Aku masuk bersama Abu Bakar menemui keluarganya, ternyata Aisyah puterinya sedang berbaring kerana diserang sakit panas yang tinggi. Maka aku melihat ayahnya, Abu Bakar, mencium pipinya seraya bertanya: “Bagaimana keadaanmu, wahai puteriku?” (HR. Al-Bukhari no. 3918)
Walaupun tiada hadis khusus berkaitan perkara ini, tapi sebaiknya memang tak digalakkan untuk mencium anak pada bahagian mulut. Cukuplah tunjukkan kasih sayang pada anak dengan pelukan dan ciuman di pipi.
Sebenarnya, ada 4 tempat ciuman dan 2 tempat gosokan yang digalakkan mak ayah lakukan pada anak.
1. Ciuman di kepala adalah CIUMAN KEBANGGAN
Bila kita rasa bangga dengan pencapaian anak kita contohnya dia boleh skor A dalam exam dia cepat-cepat kita cium bahagian tengah kepala anak kita.
Ads
2. Ciuman di dahi adalah tanda REDHA
Bila anak kita buat sesuatu yang buat kita rasa redha dan ikhlas pada anak kita, dahi adalah tempat terbaik untuk kita cium.
3. Ciuman di pipi adalah ciuman RINDU
Bila ambil anak daripada taska atau bila anak baru balik daripada sekolah tempat terbaik nak cium adalah di pipi.
Ads
4. Cium ditangan adalah bila kita rasa KASIH sangat pada anak kita
Ciuman di tangan ni sangat istimewa sebab tu kita kena ajar anak kita cium tangan kita.Untuk menzahirkan rasa hormat dalam diri.
Disamping itu, mak ayah boleh gosokkan dua tempat ini pada anak.
1. Gosok di belakang leher ye kalau anak-anak nampak risau atau tak tenteram.
2. Gosok di dada pulak sangat mujarab untuk kurangkan kenakalan anak-anak. Sambil gosok tu mak ayah boleh cuba selawat atau baca surah surah pendek macam Al Fatihah atau Ayat Kursi.
Semoga bermanfaat!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak-mak yang ada anak lelaki akan ada kemungkinan ini ketika membesarkan mereka. Iaitu menjerit bagai nak rak sebab nak bagi anak lelaki dengar cakap.
Baiklah, menjerit itu tak salah. Cara jeritan itu yang kena diperbetulkan. Pastikan bukan kata-kata hinaan, cercaan atau makian yang keluar dari mulut mak-mak. Bimbang emosi baran yang terbit dalam jiwa anak lelaki mak-mak.
Apa yang mak sebut itu satu doa. Jadi, doakanlah anak lelaki dengan kata-kata yang HEBAT.
Tapi buat mak-mak yang ‘Kaki Menjerit’ dekat anak lelaki, kena terima dengan lapang hati kemungkinan ini. Pertama, anak lelaki akan jadi sedikit terjal dan keras jiwanya. Baran pun iya.
Mereka juga dalam diam akan jadi seorang yang pendendam. Makin banyak jeritan mak laungkan, bimbang makin memendam rasa anak lelaki kita itu.
Lalu apakah cara terbaik nak pujuk anak-anak lelaki yang dah mulai keras jiwa dan raganya itu.
Yang ini memang perlukan KERJA KERAS dan kesungguhan 200 peratus daripada mak-mak.
Sebelum masuk tidur, ajarkan anak doa tidur. Bacakan surah Al Fatihah dan tiga Qul bersama anak-anak. Minta anak doa sama-sama agar lembut hati dan jiwa raga.
Memang bukan mudah ya mak-mak. Anak mungkin akan lari, buat-buat tak nak beri kerjasama. Tapi kitakan mak diaorang, tentu ada cara yang lebih baik yang mak-mak boleh memujuknya.
Nak berkumpul satu keluarga bersolat jemaah untuk lima waktu, pasti agak sukarkan. Jadinya pilihlah waktu terbaik untuk himpunkan keluarga kita.
Biasanya waktu maghriblah paling bagusnya untuk berkumpul. Solatlah berjemaah. Sebab dengan cara ini, hati akan menjadi satu.
Anak lelaki ini tinggi egonya. Melangit betul. Lagi-lagi kalau dah biasa kita jerit-jerit dekat mereka. Cubalah sambil lalu-lalang depan mak-mak tu, usap-usaplah kepala anak lelaki.
Sambil usap itu, doakanlah sekali. Peluk anak kita itu. Tak kisahlah, kalau dia tengah merajuk ke, waktu dia tak nak pun tarik dan peluk.
Kadang dia cuma kekok. Sebab tak biasa bila mak peluk-peluk ni. Tapi percayalah itulah yang mereka dambakan belaian kasih dari seorang mak.
Tiga cara di atas paling ringkas nak buat tapi memerlukan usaha yang begitu kental. Dan tiga cara itulah jika mak-ayah boleh praktikkan akan melembutkan hati anak lelaki. Akan mengurangkan baran emosi mereka.
Anak lelaki ini pewaris pemimpin keluarga. Sebab itulah mereka perlu dilentur emosinya sejak kecil lagi. Susah hatikan bila baca akhir-akhir zaman ini ramai sekali ayah yang gagal menjalankan amanahnya.
Lagi susah hati bila kita tengok anak-anak lelaki kecil-kecil lagi sudah nak jadi HERO.
Jadi mak-mak biarlah kita penat besarkan mereka, biarlah kita letih layan karenah mereka.
Tapi bila besar nanti anak lelaki kita jadi seorang suami yang melindungi anak dan isterinya.
Menjadi anak lelaki yang kasih mak ayahnya
Suami yang sangat menghargai penat lelah isteri.
Ayah yang penuh cinta dengan seikhlasnya anak-anak yang diamanahkan untuknya. Bukan untuk didera, bukan untuk dijadikan tempat melepas baran.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Ramai mak ayah yang terlepas pandang dengan penggunaan gajet dan televisyen pada anak-anak. Tidak kurang juga ramai yang menjadikan dua benda ini sebagai ‘babysitter’ buat anak, ‘umpan’ agar dapat melekakan mereka dan ‘tidak menggangu’ kerja-kerja yang mak ayah sedang lakukan.Tindakan ini amat tidak wajar sama sekali. Pendedahan pada gajet dan televisyen tanpa kawalan, mampu beri kesan buruk pada perkembangan anak-anak terutamanya yang masih dibawah umur 2 tahun.
Pendedahan ini dikongsikan oleh Fac The Kids House sebagai rujukan mak ayah.
Kalau anak anda mengamuk, tantrum dan berlari-lari tak dengar cakap, apa yang anda buat? Umpan dengan gajet betul?
Berapa ramai ibu bapa di sini yang didik anak mereka dengan upin ipin, didi and friends, boboboy dan lain-lain seawal usia 5 bulan keatas? Angkat tangan.
Kajian menunjukkan anak-anak di bawah umur 2 tahun yang di biarkan menonton rancangan di TV akan mengalami efek negatif yang lama pada perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek. Kesan menonton TV pada 2 tahun pertama juga akan mengganggu tidur dan tumpuan anak-anak apabila mereka meningkat dewasa.
Kajian di Malaysia yang ada dilaporkan dalam sebuah mesyuarat ECCE Council baru-baru ini menyatakan bahawa 10 tahun dahulu, kadar masa fokus bagi pelajar di dalam kelas adalah 13 minit. Hari ini, kadar masa fokus telahpun jatuh pada hanya 4 saat.
Ramai guru yang mengadu tentang permasalahan mengawal anak murid dalam kelas, dan inilah antara puncanya; terlalu banyak didedahkan dengan pelbagai jenis gajet, tanpa pengawalan yang serius.
Rajah di bawah (lihat pada gambar)menunjukkan perbezaan antara otak yang normal dan otak yang mengalami rangsangan gajet yang berlebihan tetapi rangsangan stimulasi sensori yang berkurangan.
Buat pengetahuan semua, 3 tahun pertama pertumbuhan otak adalah sangat penting kerana saiz otak adalah dua pertiga saiz otak dewasa. Jika anak-anak mengalami masalah kurangnya stimulasi sensori seperti yang dilihat dalam rajah (ruang-ruang kosong), maka sangatlah rugi besar bila mana sel-sel otak tersebut mati begitu sahaja.
Sebelum anda salah faham, permasalahan ini bukanlah pada apa yang anak-anak lakukan sewaktu menonton televisyen atau sewaktu bermain gajet, tetapi apa yang mereka TIDAK LAKUKAN sewaktu dalam proses tersebut, yang mungkin berjam-jam lamanya (jika tidak dikawal dengan baik).
Perkembangan anak-anak adalah berlandaskan pada bagaimana aktifnya mereka berinteraksi dengan ibubapa atau penjaga dan juga sebanyak mana mereka melihat interaksi ini berlaku. Menonton televisyen atau bermain gajet hanya melibatkan efek 2D yang bukan realiti.
Kajian ada melaporkan, kebiasaannya, ibubapa akan bercakap dalam 940 patah perkataan per jam apabila anak-anak ada bersama mereka. Itupun jika ibubapa tersebut prihatin dan rajin bersembang. Apabila TV di pasang, bilangan patah perkataan ini jatuh hingga ke 770 per jam.
Semakin kurang perkataan yang di sebut, semakin kuranglah pembelajaran perkataan baru. Semakin kurang jugalah kosakata yang boleh disimpan dalam lexical database otak kita. Antara sebab ramai anak yang lambat bercakap juga adalah di sebabkan oleh kurangnya perbualan antara ibubapa dan anak-anak.
Doktor Christakis yang merupakan Direktor pada Center for Child Health, Behavior & Development in Seattle, juga melaporkan bahawa anak-anak yang di bawah umur 3 tahun akan berkemungkinan besar mengalami masalah fokus di sekolah kelak jika diletakkan di hadapan televisyen berjam-jam lamanya.
Malah, dalam kajian beliau mendapati, setiap 1 jam tontonan sehari akan menyebabkan 10% masalah fokus, 2 jam pula akan menyebabkan 20% masalah fokus, jika dibandingkan dengan anak-anak yang tidak didedahkan langsung dengan televisyen. Apa bezanya televisyen dan pendedahan pada gajet yang berjam-jam lamanya dalam satu hari?
Jika betullah kata-kata “you are what you eat” maka, apa yang berlaku adalah “otak anak-anak adalah sebagaimana apa yang dipaparkan pada mereka“. Artikel ini bukanlah bertujuan untuk menyalahkan teknik keibubapaan anda, tetapi untuk kita sama-sama fikirkan cara yang boleh kita perbaiki untuk membantu rangsangan positif pada anak-anak.
Bukan tidak boleh menggunakan gajet atau menonton televisyen, tetapi adalah lebih baik jika anda sentiasa bersama anak-anak dan berkomunikasi dengan mereka untuk menstimulasikan otak mereka.
Gajet atau televisyen bukanlah babysitter buat anak-anak anda. Adalah tidak adil jika anda menyalahgunakan teknologi dengan cara ini. Rata-rata kajian menyarankan kurang dari 2 jam pendedahan pada gajet atau televisyen setiap hari bagi menyeimbangkan pertumbuhan otak anak-anak anda. Adalah lebih baik jika anak anda yang berumur bawah 2 tahun, langsung tidak didedahkan dengan gajet.
Sila share jika bermanfaat.
Disediakan oleh : Assist. Prof. Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli
Deputy Dean, Faculty of Early Childhood Studies, UNITAR