“21 tahun tinggal bersama mayat isteri.’ Akhirnya lelaki ini bersedia untuk berpisah dengan cinta sejatinya. Ini mungkin caranya untuk menunjukkan rasa cinta dia pada isteri yang telah lama pergi.
Biarpun sedih namun akhirnya lelaki ini membuat keputusan yang terbaik untuk mengebumikan mayat isterinya yang telah meniggal sejak bertahun-tahun lalu.
21 Tahun Tinggal
Cinta sejati menyebabkan warga emas ini tinggal bersama mayat isterinya selama 21 tahun di kediaman mereka di bandar Bang Khen di Thailand.
Bagaimanapun, Charn Janwatchakal, 72, akhirnya bersedia berpisah dengan jasad insan kesayangan itu dan membenarkan ia disemadikan pada 30 April lalu.
Upacara pengebumian dilakukan dengan bantuan Yayasan Phet Kasem Bangkok, malah video dan gambar mengenainya turut dikongsikan di media sosial.
Daripada perkongsian itu, kelihatan Charn menangis dan sama-sama mengangkat keranda isterinya.
Dia juga kedengaran berbicara di sisi jasad, “awak hanya pergi melakukan urusan seketika dan akan pulang ke rumah semula. Ia tidak akan mengambil masa lama, saya janji.”
Ads
Akhirnya Lelaki Ini
Charn tinggal dengan jasad isterinya yang diletakkan dalam keranda di rumah kecil yang kelihatan seperti stor dan tidak mempunyai bekalan elektrik.
Dia menghabiskan banyak masa di rumah itu untuk tidur tetapi akan bercakap dengan jasad isterinya seperti wanita itu masih hidup.
Charn juga mengisi masa lapang dengan memelihara kucing dan anjing di sisi kediamannya.
Charn menghubungi yayasan untuk bantuan menguruskan pengebumian kerana bimbang isterinya tidak mendapat upacara sewajarnya sekiranya dia meninggal dunia.
Yayasan turut membantu warga emas itu mendaftarkan kematian isterinya dan mengambil sijil kematian yang didaftarkan pada 2001.
Difahamkan, tiada tindakan akan dikenakan ke atas Charn kerana menyimpan mayat itu.
Minggguan Wanita : Betul-betul cinta sejati hingga sanggup tinggal bersama mayat isteri selama 21 tahun.
‘Walaupun sedih, kami reda & tak berdendam dengan pemandu.’ Bayi meninggal dilanggar bas. Keluarga ini sedar bahawa kejadian yang berlaku adalah takdir dan mereka tidak berdendam dengan sesiapa.
Memanglah sedih dengan apa yang terjadi, namun sebagai hamba-Nya apa lagi yang dapat dilakukan selain reda dengan takdir yang ditentukan.
Ibu kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, Sepang, reda dengan pemergian anak ketujuhnya itu serta tidak mahu mengambil sebarang tindakan ke atas pemandu berkenaan.
Menurut Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, keluarganya sudah lama menggunakan perkhidmatan pemandu bas berkenaan untuk menghantar anaknya berulang-alik dari sekolah.
Katanya, walaupun sedih dengan kejadian berkenaan, namun dia memahami kejadian itu tidak disengajakan oleh pemandu bas berkenaan.
“Saya belum lagi bertemu dengan pemandu bas berkenaan, sebab dia masih lagi trauma dengan apa yang terjadi. Tapi dia sudah menghubungi saya dan minta maaf atas apa yang berlaku dan saya maafkan.
“Saya pun tidak boleh salahkan pemandu bas, ketika keterangan yang diberikan kepada polis pun saya beritahu supaya pemandu ini tidak diapa-apakan. Tiada dendam pun saya simpan untuk pemandu bas ini, dia pun sudah lama menjadi pemandu bas iaitu kira-kira 25 tahun.
“Saya tiada masalah dengan dia (pemandu bas), begitu juga dengan suami, kita terpaksa reda dan tidak boleh berdendam,” katanya.
Semalam kanak-kanak perempuan berusia setahun empat bulan maut dilanggar bas ketika mengekori kakaknya ke sekolah.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, mangsa keluar rumah dan mengekori kakaknya yang sedang menaiki bas untuk ke sekolah.
Sementara itu, saksi kejadian yang juga kakak ketiga kepada mangsa, Nurul Aishah Mohamad Kassim, 13, dia berada di tangga bas untuk memberikan duit poket kepada adik kelimanya yang ketika itu sudah berada di dalam kenderaan.
“Lepas saya bagi duit pada adik, saya turun dari bas. Saya nampak bas itu bergerak dan melihat Zahida (mangsa) sudah berada di bawah bas. Saya terus menjerit dan mengambil adik yang pada ketika itu sudah terperosok. Tindakan itu diambil kerana saya takut Zahida akan digilis kali kedua dengan tayar belakang bas berkenaan.
“Nenek dan jiran yang mendengar jeritan saya kemudiannya keluar dan bertanyakan apa yang berlaku sebelum jiran menolong kami menghantar Zahida ke klinik berdekatan,” katanya.
Tambah Nurul Aishah, selepas pemandu bas menyedari kejadian itu, dia terus meminta maaf berulang kali kepada nenek dan memaklumkan tidak menyedari Zahida berada di bahagian kiri bas terbabit.
“Selepas meminta maaf, nenek menyuruh pemandu bas itu menghantar murid lain ke sekolah sebelum terlambat. Pemandu bas sangat bertanggungjawab kerana selepas menghantar kesemua murid itu, dia datang ke rumah bertanyakan keadaan Zahida.
“Dia sekali lagi meminta maaf, kerana tidak nampak Zahida dan kejadian itu tidak disengajakan. Mak kata tidak mengapa, dia tak salahkan pakcik ataupun saya. Kami berdua tidak perasan Zahida keluar dari rumah,” katanya.
Mengenangkan keletah adik bongsunya itu, Nurul Aishah berkata, Zahida manja dengan semua orang dan sangat rapat dengan bapa serta neneknya.
“Saya memang rapat dengan Zahida, dia memang suka ‘mengekor’ walaupun ke mana saja saya pergi, saya juga selalu bergurau dengannya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dibawa kepada pihak pendakwaan.
“Pemandu bas berkenaan sudah ditahan semalam dan selesai memberi keterangan kepada polis. Dia juga sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga ini dan diharap mereka tabah berdepan dengan ujian berat ini.
‘Isteri baru meninggal, mengaku suka wanita lain.’ Suami kalau tak tahu hargai, janganlah lupa segala pengorbanannya.
Pengorbanan melahirkan zuriat untuk kalian, berkorban jiwa dan raga menguruskan keperluan anda dan keluarga. Hargailah walaupun sedikit.
Hormatilah kematian arwah buat seketika. Tindakan ayah-ayah yang tergopoh-gapah mencari pengganti menjadikan anda seorang yang tidak miliki rasa empati.
Kongsi Dr Karya Kayra. “ Pernah saya membantu Ustazah menguruskan jenazah seorang wanita muda. Saat wanita itu meninggal dunia usianya baharu 35 tahun.
Usia 35 tahun adalah usia di mana kecantikan wanita akan terserlah sepenuhnya sebagai wanita dewasa.
Tak perlulah saya cerita keadaan jenazah. Saya nak ceritakan tentang suami wanita itu.
Usai kami membantu Ustazah mandi dan kapan. Maka Ustazah menjemput ahli keluarga untuk datang melihat jenazah sebagai pertemuan terakhir di rumah sebelum dibawa ke masjid dan seterusnya dikebumikan di tanah perkuburan.
Anak-anak mereka ada yang remaja dan yang paling bongsu saya lihat sekitar usia 8 tahun. Maka pada firasat kita tidaklah sukar bagi suami itu menguruskan anak-anaknya selepas kematian isteri.
Keesokan harinya saya menerima panggilan telefon. Suami kepada wanita yang meninggal dunia semalam.
Gigih dia kelentong ustazah kesayangan saya untuk dia mendapatkan nombor handphone saya. “Urusan persekolahan anak-anak” alasan lelaki itu. Pastilah ustazah yang lembut dan sentiasa berbaik sangka dengan semua orang memberikan nombor handphone saya.
Pertanyaannya tiada sedikit pun tentang perkara persekolahan anak-anaknya. Saya bayangkan dia mahu tukarkan sekolah anak-anaknya. Tetapi tidak.
Semua soalannya adalah tentang saya.
Sepanjang lelaki itu bertanya, saya hanya diam dan terbayang wajah arwah isterinya yang saya mandikan dan kapankan semalamnya.
Terbayang saat saya mengikat tali kain pada kaki jenazah dan saat saya memasukkan helaian rambutnya ke bahagian bawah kain kapan agar auratnya terjaga.
Apabila lelaki itu menyebut “saya sukalah tengok wajah awak, cantik. Tenang saya rasa.”
Saya memejamkan mata, menarik nafas panjang, berusaha menahan marah dan akhirnya saya berkata:
“Bagaimana awak boleh rasa tenang melihat wajah perempuan lain sedangkan isteri awak baharu meninggal dunia semalam?”
Sebelum sempat dia jawab, saya berkata lagi:
“Awak jangan call saya lagi sampai Kiamat. Assalamualaikum.”
Saya putuskan panggilan dan block.
Di dalam Islam, orang Islam boleh berkabung bagi menunjukkan rasa sedih dengan kematian seseorang yang disayangi selama 3 hari sahaja.
Sedekahlah al-Fatihah, bertahlil bersama orang-orang masjid. Baca al Quran dan sedekahkan pahala bacaan al Quran itu kepada arwah. Kita tidak tahu bagaimana kehidupan insan tersayang kita di alam sana.
Ini baharu beberapa jam isterinya meninggal dunia?? Come on Guyss..
Saya berpakaian serba hitam labuh longgar, bersetokin tanpa secalit mekap kot.
Kejadian itu menyebabkan saya membeli niqab dan memakai niqab setiap kali diajak Ustazah menguruskan jenazah wanita. Selepas musim Pandemik ini, saya akan memakai mask sentiasa seandainya diajak lagi Ustazah untuk membantu beliau sekiranya Ustazah kekurangan pembantu.
Guys..
Seandainya tidak tahu untuk menghargai isteri, at least “jangan terlalu mudah” untuk lupa isteri itulah yang berkorban nyawa melahirkan anak-anak kalian.
Andainya tugas hamil dan bersalin itu ditakdirkan untuk lelaki, pasti kalian takkan mampu menanggung kesakitan bagai 27 tulang patah serentak demi melahirkan zuriat kalian ke dunia ini, jika baharu beberapa jam isteri meninggal dunia, kalian sudah mula sibuk memandang yang lain.
Kesimpulannya…
Jujur saya tidak-mahu bersuamikan lelaki berperangai begitu.
Kayra, Putrajaya.
Mingguan Wanita : Wahai isteri, dalam hidup berkeluarga jangan lebihkan keperluan suami dan anak-anak semata-mata. Sebaliknya utamakan keperluan diri sendiri dahulu, jangan terlalu banyak memberi hingga tiada yang membalas.
Tidak Guna BIJAK, Jika Tidak Beradab! Ibu Bapa Tolonglah Prihatin Perkembangan Minda, Perilaku Anak-Anak.
Sebenarnya bu bapa itu sendiri perlu ada masa untuk keluarga. Bukan balik kerja terus masuk bilik tidur, sekurang-kurangnya ambil masa sedikit untuk lihat keadaan anak itu macam mana, sihat ke tidak, dah makan ke belum ? Dan sebagainya.
Sebagai seorang ibu sudah pasti saya sangat prihatin pada perkembangan minda dan perilaku anak-anak. Malah pada saya anak-anak perlu mengamalkan adab-adab yang baik bukan hanya kepada ibu bapa, tetapi juga kepada sesiapa saja, termasuklah segala perkara di sekeliling mereka.
Walaupun ia tidak berunsur akademik, nilai kesopanan ini adalah tunjang kejayaan menjadi seorang yang bijaksana. Tetapi kita perlu juga menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Malah ada yang berpendapat tidak guna bijak jika tidak beradab.
Bagi mengupas lanjut mengenai isu Anak Bijak Tapi Semakin Kurang Adab, Pakar Keibubapaan dan Ilmu Menguruskan Anak-Anak, Puan Siti Saleha memberi pandangannya mengenai isu ini;
“Umur anak-anak 0-6 tahun. Pada masa ini, Rasulullah s.a.w menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih sayang yang tidak berbatas. Berikan mereka kasih sayang tanpa mengira anak sulung mahupun bongsu dengan bersikap adil terhadap setiap anak-anak. Tidak boleh dirotan sekiranya mereka melakukan kesalahan walaupun atas dasar untuk mendidik.”
“Kesannya, anak-anak akan lebih dekat dengan kita dan merasakan kita sebahagian masa membesar mereka yang boleh dianggap sebagai rakan dan rujukan yang terbaik. Anak-anak merasa aman dalam meniti usia kecil mereka kerana mereka tahu yang anda (ibubapa) selalu ada disisi mereka setiap masa.”
“Umur anak-anak 7-14 tahun. Pada tahap ini kita mula menanamkan nilai DISIPLIN dan TANGUNGJAWAB kepada anak-anak. Menurut hadith Abu Daud, “Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).”
“Pukul itu pula bukanlah untuk menyeksa, cuma sekadar untuk menggerunkan mereka. Janganlah dipukul bahagian muka kerana muka adalah tempat penghormatan seseorang. Allah SWT mencipta sendiri muka Nabi Adam.Kesannya, anak-anak akan lebih bertanggungjawab pada setiap suruhan terutama dalam mendirikan solat. Inilah masa terbaik bagi kita dalam memprogramkan sahsiah dan akhlak anak-anak mengikut acuan Islam.”
“Pada pendapat saya, cara didikan itu terpulang kepada ibu bapa itu sendiri . Ada ibu bapa harini yang mendidik anak untuk mempunyai disiplin yang tinggi, tidak kira dari segi akademik mahupun sahsiah dan sebaliknya.”
“Anak-anak ini perlu dibentuk mengikut acuan sesuai dengan diri anak, memaksa dalam mendidik bukan jalan yang terbaik cuma kalau perlu dipaksa, gunakan cara dan konsep yang betul . Kalau orang lama, mendidik anak supaya menjadi manusia berguna, mereka akan merotan atau menggunakan tali pinggang dan seumpanya, tetapi cara sebegitu untuk dilakukan sekarang agak kurang sesuai kerana kehidupan anak-anak sudah dikelilingi dgn ‘bayangan-bayangan’ hidup yang indah-indah sahaja.”
“Kita tidak boleh memandang perkara ini sebagai masalah yang datangnya dari ibubapa. Pada hari ini, memang yang bekerja bukan sahaja bapa tetapi juga ibu kerana mereka perlu mencari rezeki utk menyara keluarga dan anak-anak. Tetapi disini perlu di jelaskan bahawa, sebuah keluarga yang aman damai, ibu bapa itu sendiri perlu ada masa untuk keluarga.. Bukan balik kerja terus masuk bilik tidur, sekurang-kurangnya ambil masa sedikit untuk lihat keadaan anak itu macam mana, sihat ke tidak, dah makan ke belum ? Dan sebagainya.
“Senario seperti kurang adab ini juga boleh dilihat dalam kalangan anak-anak yang ibubapa disiplinnya tinggi, kenapa saya kata begitu? Kerana apabila ibu bapa terlalu memaksa anak untuk menjadi seorang bijak pandai, mereka terlupa untuk menerapkan sikap-sikap beradab pada diri anak-anak. Itu yang boleh ada keluar dalam akhbar “pelajar sekolah maki cikgu” / “anak tendang bapa” dan lain-lain.
“Sebagai ibu bapa dan orang tua. Kita adalah role model kepada anak-anak kita, kalau kita boleh tunjuk rasa hormat kita pada manusia, anak juga akan ikut sikap kita. Tidak kira di mana-mana pun dan bila-bila masa, sikap hormat menghormati ni juga dituntut dalam Islam, bagaimana mungkin kita nak suruh anak hormat kita sedangkan kita sendiri tiada sikap itu .
“Mengenal. Kita perlu kenal anak kita siapa, siapa dirinya, sikap dia bagaimana, perlu dididik dgn acuan apa ? Kalau acuan donat (caranya mengikut peredaran masa kerana donat itu bulat dan perlu diterap konsep-konsep yang betul dan buang pekara-perkara negatif). Kalau kuih lopis (ada kuahnya, bentuknya agak bersegi. Bermakna ibu bapa tidak perlu tergopoh gapah dalam mendidik anak-anak, beri sedikit pemanis kata agar anak dapat dibentuk dengan sebaiknya) dan lain-lain acuan.
“Sebagai seorang ibu bapa anda mahu utamakan pendidikan yang macam mana? Akademik dahulu atau sahsiah? Mengikut cara siapa? Utamakan hal anak-anak atau hal di tempat kerja?
“Kita laksanakan apa? Laksanakan tanggungjawab kita sebagai ibubapa pada anak-anak. Mengabaikan tanggungjawab bukanlah cara ibu bapa yang bijak, malah boleh menyakiti hati anak-anak itu sendiri. Contohnya, sekiranya sudah berjanji untuk makan bersama, laksanakanlah. Anak-anak mudah untuk terasa sekiranya janji-janji itu datangnya langsung dari ibu bapa dan ibu bapa tidak menepati janji-janji itu.
“Teruskan buat langkah-langkah mula ini, dan terapkan sebaik-baiknya dalam diri ibu bapa dan juga anak-anak. Apa yang diamal sedikit sebanyak akan membantu dalam membahagiakan sebuah keluarga. Macam kita solat, ada rukun-rukun sah nya. Kalau kita amalkan setiap hari mengikut tertib InsyaAllah tiada masalah juga untuk kita amalkan sikap-sikap yang positif dalam mengajar anak-anak untuk lebih beradab di masa akan datang.”
Mingguan Wanita: Anak-anak ikut acuan dari ibu bapa. Didiklah mereka dengan baik.
Bertukar nyawa, niat murni seorang abang selamatkan adik daripada dihanyutkan arus deras berakhir dengan tragedi memilukan apabila dia ditemukan lemas dalam kejadian di Taman Ayer Keroh Heights.