Sebelum ini, pernah viral di media sosial tentang seorang petugas wanita APM dengan selamba menangkap dan memegang ular sawa sebelum menerima bantuan daripada pusat kawalan APM. Kagum dan cukup bangga. Bukan biasa-biasa nie sebab sebelum ini kebanyakkan yang kita tengok anggota lelaki sahaja yang berani dengan binatang seperti ini.
Dalam kesibukannya ini, MW sempat menemubual beliau, walaupun pada masa itu, Diana Kasman sibuk dengan tugas PKP yang dipertangungjawab olehnya. Beliau sempat bercerita tentang kejadian itu.
“Pada hari tersebut, saya dihantar oleh suami untuk ke tempat kerja melalui jalan yang biasa kami lalu. Semasa berhenti kerana lampu isyarat merah di satu simpang, saya terpandang simpang kecil yang mana ada sebuah treler berhenti dan sebuah motosikal di sebalik treler tu.
“Sangkaan suami, mungkin treler itu rosak, saya pula fikir ada kemalangan sebab ada motosikal kat situ. Dalam masa menunggu lampu isyarat bertukar, tiba-tiba saya nampak seorang lelaki dok angkat dahan kayu di belakang treler tu. Bila lampu isyarat hijau, saya toleh ke belakang dan beritahu suami ada ular sawa.
Nampak Panik
“Pada masa itu, saya nampak keadaan agak panik, jadi minta suami pusing dan berikan bantuan sebab masa tu orang dah ramai. Saya turun dan tangkap ular sawa itu, manakala suami tolong tangkap di bahagian ekor. saya tangkap tanpa menggunakan PPE, maklumlah, baru nak ke tempat kerja.
“Adalah rasa sedikit geli sebab sentuhan terus dengan ular. Tapi memikirkan tanggungjawab sebagai anggota APM yang berpengalaman dan ada sedikit ilmu untuk menangkap binatang liar, segala rasa geli tu tolak tepi.
15 Minit Pegang Ular
“Selepas itu, suami cuba hubungi pusat kawalan APM dan kebetulan jarak dengan tempat kerja hanya 2 km saja lagi. Suami maklumkan bantuan lambat sampai kerana anggota dan kenderaan telah digunakan untuk respon kes lain. Nak tak nak, suami terus ke pusat kawalan untuk dapatkan bantuan.
“Lebih kurang 15 minit jugalah saya pegang kepala ular itu. Dalam tempoh menunggu bantuan, saya ada meminta tolong orang awam untuk pegang bahagian ekor sahaja kerana saya tidak boleh bagi pegang bahagian kepala kerana hanya orang yang ada ilmu dan tahu cara sahaja boleh pegang kepala ular. Tapi tak ada seorang pun yang berani.
“Tangan pegang kepala ular, kaki pijak bahagian ekor supaya ular itu tidak melilit. Memang nampak sempoi bila tengok gambar saya pegang tapi sebenarnya agak letih kerana ular itu sangat kuat dan perlu melawan dengan kekuatannya.
Itulah cerita di sebalik gambar viral anggota wanita APM memegang ular sawa.
Bertugas Semasa PKP
Sebenarnya, Diana Kasman juga adalah salah seorang anggota yang bertugas untuk Covid-19. Dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga pusat kuarantin di Hotel Impiana iaitu kawasan Red Zone.
“Saya berkhidmat di APM hampir tujuh tahun dan sebelum PKP, tugas saya seperti biasa. Cuma, ia agak berbeza sekarang ini. Semasa minggu pertama, saya hanya ditugaskan untuk menghantar makanan di pusat kuarantin yang masa itu hanya dua pusat sahaja dibuka. Rutin waktu itu agak sibuk dan saya sendiri tidak sempat makan kerana perlu menghantar makanan dan jaraknya agak jauh antara pusat kuarantin tu.
“Bila PKP disambung, saya diarahkan untuk menjaga bahagian pusat kuarantin yang dibuka di Hotel Impiana. Kat sini memang sibuk dengan kemasukan banyak siri dan perlu bawa tetamu turun dari satu tingkat ke satu tingkat untuk membuat pemeriksaan saringan.
Bergilir Jaga Anak
Oleh kerana, suami beliau juga slah seorang anggota bomba, jadi masing-masing sibuk. Suami di pusat kawalan dan beliau sendiri di pusat PKP. Masa memang agak terhad, sementelah mempunyai anak kecil yang berusia 10 bulan.
“Suami bergilir-gilir menjaga anak tetapi apabila dia bertugas, mak saya akan jaga anak.
Tugasan Diana yang bermula jam 7 pagi dan berakhir jam 12 tengah malam. Sebagai langkah keselamatan diri dan keluarga, apabila suami datang menjemputnya, dia akan sembur dettol dalam kereta dan Diana akan tukar pakaian terlebih dahulu sebelum pulang.
Inilah tanggungjawab dan pengorbanan yang dilakukan oleh frontliner negara untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia untuk perangi Covid-19.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI