
Tiga belas KV Lahad Datu didapati bersalah bunuh rakan, tuduhan curi RM85 jadi punca pergaduhan. Berpunca dari tuduhan mencuri RM85 duit rakan seasrama ketika bersekolah di Kolej Vokasional Lahad Datu membawa kepada kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan Mac tahun lalu.
Dikatakan perselisihan faham terjadi apabila dua remaja kehilangan duit RM50 serta RM35 dan mangsa kemudian dituduh sebagai pencuri seterusnya mengakibatkan perselisihan faham itu yang membawa kepada kematiannya selepas dibelasah teruk.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :–Pelajar Vokasional Meninggal Dibelasah, Tular Screenshot Pembuli “Siap Pakaikan Baju Sekolah Pada Arwah..”
Bergari ke mahkamah, 13 remaja lelaki ini didakwa bunuh pelajar Kolej Vokasional
Kes Buli Dalam Kalangan Pelajar, Ini Antara Kes Yang Pernah Menggegarkan Negara
Ketika itu dilaporkan arwah Nazmie Aizzat ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di atas lantai bilik asrama di Kolej Vokasional pada 6.50 pagi dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan selepas dipukul.
Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol ketika membacakan keputusan memutuskan 13 tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Beliau berkata, berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah berpuas hati bahawa 13 tertuduh bertindak secara bersama dengan niat bersama hingga menyebabkan kematian mangsa.
Katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Pembelaan tertuduh sama ada berupa penafian total, alibi, pengakuan separa atau menuding kepada pelajar lain didapati bercanggah dengan bukti saksi bebas serta tidak munasabah.
“Hujahan pembelaan bahawa tertuduh hanya mahu memberi pengajaran (teach a lesson) kepada mangsa adalah tidak berasas kerana kecederaan yang dialami terbukti cukup parah dan secara semula jadi membawa maut.
“Isunya bukan sama ada tertuduh berniat untuk membunuh, sebaliknya sama ada kecederaan yang disengajakan itu sudah memadai dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.
“Bukti perubatan jelas menunjukkan ia memang membawa maut,” katanya.
Duncan berkata, alasan provokasi juga tidak terpakai kerana apa yang berlaku bukan reaksi spontan, sebaliknya serangan berlarutan dan berulang kali.
Beliau turut menolak hujah bahawa mangsa mungkin terselamat sekiranya menerima rawatan segera kerana keterangan pakar hanya menyebut ia satu kemungkinan, bukan kepastian.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk prosiding hukuman sementara menunggu laporan akhlak daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat mengikut peruntukan Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 15 April lalu, pasukan pembelaan menutup kes selepas memanggil 18 saksi pada perbicaraan peringkat bela diri dengan semua 13 remaja terbabit memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam, Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima tertuduh lagi diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI