Sebenarnya ada 12 perkara yang jika dilakukan ketika menziarahi pesakit kanser boleh membuatkan mereka ‘down’. Niat yang baik untuk menziarahi pesakit kanser dan bertanya khabar mereka mungkin boleh menjadi perkara yang membuatkan mereka sedih, murung dan bertambah sakit. Waktu berziarah yang sepatutnya diterima dengan lapang dada dan gembira, menjadikan pesakit rasa terkilan dengan soalan-soalan yang diajukan. Jadi sebelum ingin melawat pesakit kanser, baik kawan-kawan, saudara mara mahupun ahli keluarga mohon fahamkan dulu perkara-perkara ini iya.

Berikut merupakan perkongsian pandangan peribadi dan pengalaman oleh Liza Ariffin yang merupakan pesakit kanser sebagai panduan;

“Sejak bergelar pesakit/survivor kanser ni saya perasan ada beberapa perkara yang sahabat/saudara-mara/pelawat kurang tahu bila menziarahi pesakit. Ya, saya faham niat tu baik (terimakasih kerana berziarah), tapi kadang-kadang ada beberapa perkara yang pesakit akan rasa ‘down’ bila pelawat buat. Saya minta maaf kalau ada yang terasa, saya cuma menulis berdasarkan pengalaman saya dan rakan-rakan senasib.”

1. Beritahu Dahulu Sebelum Datang

(JANGAN) berziarah tanpa memberitahu terlebih dulu.Kadang-kadang bila ada pelawat datang (terutamanya ke rumah pesakit) tanpa memberitahu terlebih dulu boleh membuatkan pesakit dan keluarganya jadi tertekan. Sebab biasanya bila tetamu datang semestinya tuanrumah mahu rumah dalam keadaan terbaik, bersih dan cantik, dan mungkin ada hidangan untuk tetamu. Bila tetamu hadir tanpa ‘prior announcement’ pesakit dan keluarga akan rasa malu jika rumah dalam keadaan bersepah dan tidak bersedia menerima tetamu.

Dan kalau boleh jangan lah duduk lama-lama di rumah pesakit, kecuali lah anda mahu membantu lipat baju, cuci pinggan, memasak makanan, jaga anak-anaknya atau lain-lain bantuan tenaga.

2. Elak Tanya Punca Penyakit Kanser

(JANGAN) bertanya mengenai punca penyakit kanser pesakit. Sesungguhnya tiada siapa tahu kenapa kanser tu wujud dan aktif dalam badan pesakit. Sedangkan orang yang tak merokok pun boleh dapat kanser paru-paru, kanak2 belum baligh pun boleh dapat kanser rahim, etc etc..

3. Tunjukkan Empati

(JANGAN) bertanya banyak soalan mengenai diagnosis kanser pesakit (kecuali sebagai informasi untuk diri sendiri) dan kemudian menyoal pesakit tentang simptom-simptom yang ada di badan pelawat tu sendiri. Pesakit BUKAN doktor, dia pun tak tahu. Dan kalau boleh tunjukkan empathi anda pada pesakit, bukan pentingkan diri sendiri nak tahu pasal penyakit di badan sendiri..duhhhh.

4. Jangan Buat Kesimpulan Sendiri

(JANGAN) buat kesimpulan sendiri punca pesakit sakit. Contohnya, ‘Kau kena kanser serviks ni sebab kau banyak kali kahwin kot?’..Ada ka patut buat kesimpulan macam tu? Doktor pun tak boleh nak beritahu punca sakit tu.

5. Jangan Jadi Doktor Tak Bertauliah

(JANGAN) jadi doktor tak bertauliah dan menyuruh pesakit berpantang macam-macam. Ada yang kata pesakit tak boleh makan ayam. Ada yang kata tak boleh makan daging merah. Ada yang kata tak boleh makan soya, makanan laut, makanan bergula, makanan bergaram, makanan bergluten, tak boleh minum susu, kopi, dan lain lain. Habis tu pesakit nak makan apa? Pesakit pun perlu tenaga untuk melawan penyakit.

IKLAN

12 Perkara Ini Akan Buat Pesakit Kanser Rasa ‘Down’, Mohon Fahamkan Dulu Sebelum Datang Ziarah!

6. Tunjukan Sifat Prihatin Jangan Promosi Produk

(JANGAN) sibuk mempromosi produk ubat/supplement/herba alternatif kepada pesakit dan keluarga. Tunjukkan sifat prihatin pada pesakit jangan pula ambil kesempatan ke atas pesakit itu. Awak doktor pakar onkologi kah?

7. Datang Waktu Sihat

Jika anda ada sakit (walaupun sekadar selsema) JANGAN ziarah pesakit kanser, terutamanya yang sedang atau sudah menerima rawatan. Sistem immunisasi badan pesakit sangat lemah, anda mungkin sekadar selsema, tapi selepas anda pulang pesakit mungkin akan demam berminggu-minggu.Juga jangan bersalam atau memeluk pesakit jika anda baru sembuh dari sakit. Kuman yang masih ada di badan anda boleh menyerang pesakit dengan lebih teruk.

8. Jangan Cerita Kematian Pesakit Kanser Lain

(JANGAN) bercerita mengenai pesakit kanser lain yang anda kenal dan sudah meninggal dunia atau kanser berulang. Pesakit boleh kemurungan mendengar cerita anda. Kalau nak bercerita mengenai pesakit lain yang sudah sembuh ‘no problem’.

9. Jangan Bandingkan Kesan Rawatan Pesakit Kanser

(JANGAN) bandingkan kesan rawatan pesakit kanser lain dengan pesakit yang anda sedang lawati tu. Setiap jenis penyakit kanser, setiap tahap penyakit, setiap ciri-ciri pesakit menyumbang kepada kaedah rawatan dan kesan rawatan keatas pesakit.

IKLAN

Contohnya, jangan cakap, ‘Abang aku dulu kimo tak botak pun, apasal kau botak eh? Agaknya kau kurang minum air atau kurang mandi kot?’
*tepuk dahi mokcik dengar orang cakap macam ni..

Ada orang pernah cakap dengan saya, ‘Ye ke kau buat kimo (sebab kanser) ni? Aku tengok kau makin gemuk je? Orang lain kena kanser jadi kurus.. ‘ Ada ka patut? Rasa macam nak lempang laju2..nasib baik masa tu takde tenaga ?..

10. Jangan Persoalkan Tempat Rawatan Pesakit

(JANGAN) persoal kenapa pesakit buat rawatan di hospital A, sedangkan hospital B lebih murah. Ada sebab-sebabnya pesakit memilih hospital A.. Anda tak berada ditempat beliau, anda tak mungkin faham. *kecuali lah jika anda yang tanggung kos rawatan beliau ?.

11. Tak Perlu Bertanya Peringkat Berapa Kanser Tersebut

(JANGAN) bertanya stage berapa kanser pesakit. Ini seolah-olah anda mahu meneka bila pesakit akan mati. Stage cuma penting bagi doktor yang merawat untuk menentukan rawatan, anda siapa?

IKLAN

12. Jangan Berziarah Terlalu Lama

Akhir sekali jika berziarah di wad hospital, ziarah lah di waktu melawat, jangan bising, jangan terlalu lama (20 minit sudah cukup), jangan makan (berkelah) di depan pesakit jika beliau tak boleh makan, jangan bercerita perkara negatif di depan pesakit walaupun ketika beliau tidur atau tidak sedar. Ceriakan pesakit, jangan hibakan dia.

*saya faham niat anda berziarah itu baik, niatnya untuk menggembirakan pesakit bukan? Jadi jangan lah pula anda buat pesakit sedih dan tertekan ya..

Nota Tambahan:

  • Ramai yang bertanya saya apa yang boleh dilakukan jika berziarah pesakit kanser. Terimakasih kerana bertanya. Sebenarnya, selain dari yang ‘jangan’ tu semua boleh insyaAllah.
  • Lagi baik lagi kalau dapat bantu mana yg patut, bantu dari segi tenaga, contohnya tolong ke kedai belikan groceries, bantu siramkan pokok-pokok di laman, bantu kalau pesakit perlukan pertolongan untuk ke bilik air, dan lain lain.
  • Atau kalau nampak pesakit perlukan bantuan kewangan mungkin boleh bantu beliau dapatkan info untuk memohon bantuan dari Makna, Baitulmal, Socso etc, sebab biasanya pesakit akan buntu dan tak terdaya untuk berusaha sendiri.
  • Mungkin juga boleh usahakan dapatkan bantuan susu Ensure/Prosure dari badan-badan amal (untuk pesakit yang sudah tak boleh makan/minum seperti biasa).
  • Yang terbaik sekali, kalau boleh ceriakan pesakit, cerita lah tentang hal yang boleh menggembirakannya.

Ini semua sekadar cadangan. Boleh difikirkan lagi yang bersesuaian dengan keadaan pesakit.

#lizasdiary #fightcancer #bekindbegood

Semoga perkongsian ini bermanfaat, kongsikan agar lebih ramai yang faham dan sedar perkara ini sewaktu datang berziarah. Apa yang penting adalah jaga tutur kata kita, cakap perkara yang positif dan doakan yang baik-baik untuk pesakit kanser, agar mereka berasa gembira dan lapang dada menerima kehadiran kita sewaktu berziarah.

Sumber: Liza Ariffin

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI