Betapa seronoknya mak-mak bila diberi ‘me time’ untuk tenangkan fikirandan lakukan apa saja tanpa sebarang gangguan daripada anak mahu pun keluarga. Inilah masa untuk mak-mak habiskan masa seorang diri atau bersama kawan-kawan.
Ada sesetengah suami merasakan dengan diberi me time untuk isteri, sudah cukup untuk gembirakan hati isteri. Biarlah hari itu, suami berkorban untuk ganti buat kerja rumah seperti yang rutin isteri lakukan.
Namun, sebagai isteri dan mak-mak, walaupun diberi me time. Hati dan jiwanya mesti ada pada suami, anak dan keluarga. Percayalah. Boleh diberi contoh, me time dengan membeli belah.
Walaupun keseronokan membeli belah, apa yang dibeli bukan untuk dirinya, tapi untuk suami dan anak-anak. Malah, berapa lama sangatlah mak-mak nak ber me time, hati mesti akan teringat pada keluarga.
Bukan tidak percaya pada suami untuk jaga rumah ataupun anak-anak. Tapi, itulah hati dan naluri seorang isteri dan mak, perasan itu mesti tidak dapat lagi, walau jauh sekalipun mak-mak nak ber me time.
Betullah apa yang dikongsikan oleh Mohd Fadli Salleh, me time mak-mak tak akan sama. Sampaikan mak-mak ini dianggap sebagai keajaiban ke 8. Poercaya tak?
“Kalaulah dapat ‘Me Time’ sehari, alangkah leganya.”
Ads
Begitulah antara luahan kaum ibu. Mereka hendakkan masa bersendirian, bebas dari tugas sebagai seorang isteri dan ibu. Sepetang pun cukuplah kata sesetengah mereka.
Tidaklah dinafikan, tugas seorang wanita itu sangat mencabar. Bangun pada subuh hari sediakan sarapan, jemur kain baju yang dibasuh semalam. Kejutkan suami dan anak-anak pula. Mandikan anak-anak dan layan bersarapan.
Pinggan mangkuk lepas makan perlu dibasuh, kain baju bertimbun perlu dilipat. Baru nak rehat sekejap, anak kecil berak. Basuh dan mandikan baby pula. Lepas tu kena masak untuk tengah hari lagi. Basuh pinggan lagi. Kemas rumah lagi.
Wanita Keajaiban Dunia ke 8
Rasanya tidak tertulis segala pekerjaan orang perempuan ini. Mereka memang makhluk ajaib!
Pernah aku katakan suatu ketika dahulu, keajaiban di dunia ini ada 8. Bukan 7 seperti yang diwartakan.
Ya, wanita adalah keajaiban dunia yang ke 8!
Maka tidak hairan jika sesekali mereka mengeluh yang mereka perlukan ‘Me Time’. Untuk rehat dari lelah yang panjang dan untuk tenang seketika dari kesibukan yang tak pernah reda.
Pernah suatu hari aku terbaca seorang rakan wanita aku memuat naik status berbunyi,
Ads
“Yeay!!! Hari ni dapat ‘me time’. Hubby bawa anak-anak keluar sepanjang petang untuk bagi Mummy rehat. Thanks hubby bagi I ‘me time’.”
Begitulah kedengaran gembira sungguh status itu. Komen berderu-deru dari kawan-kawan dia. Semua dengki dia dapat ‘me time’ hari itu.
Selang sejam, rakan aku ini menulis lagi,
“Bosan ah duduk rumah sorang-sorang. Baru sejam anak-anak tak ada dah rasa sunyi. Macam mana la mereka dengan papa dia tu.
Entah dah makan ke belum? Pampers si kecil dah tukar ke belum?”
Aku tergelak sakan baca status itu. Baru sejam dapat ‘me time’, dah teringat anak-anak.
Dah mula bosan dan risau.
Ads
Begitulah lazimnya naluri seorang ibu. Mana mungkin dia dapat lupakan anak-anak dan tanggungjawab walau sendirian. Itu baru sepetang, belum seharian.
Agaknya kalau seharian, ‘me time’ itu akan bertukar menjadi ‘mengamuk time’.
“Abang! Kenapa pinggan tak berbasuh?” “Kenapa baju anak dari semalam saya keluar tak bertukar!” “Apasal rumah bersepah!”
Tak dapat aku bayangkan kerana sehari ‘me time’, seminggu amukan bergema.
Wanita. Begitulah fitrah mereka. Walau diberi ‘me time’, ingatan mereka tetap pada suami dan anak-anak.
Jadi tak payah nak ‘me time’ sangatlah. Kau orang ini makhluk ajaib.
Ya, wanita adalah keajaiban dunia yang ke-8!
#MFS
– Sentiasa kagum dengan makhluk ajaib ini.
MW: Bayangkan kalu dapat ber me time di rumah dan anak-anak ke sekolah, mahunya tak sabar nak tunggu anak pulang. Tapi, bila anak pulang, lain pulak ceritanya. Itulah mak-mak kan!
Sensitifnya perkataan ‘berpoligami’ itu pada mana-mana isteri. Kerana, menyebutnya memang mudah. Tapi bila sudah melaluinya.. banyak timbang tara hati isteri yang perlu diambil kira.
Sebab itulah wahai suami, apabila kalian sudah memilih, memutuskan untuk berpoligami, maka berusahalah untuk menjadi seorang lelaki yang bijak dalam menuturkan kata-kata. Agar tiada hati-hati yang terluka.
Pesan Puan Marliya Ramli ini dalam maksudnya kerana berpoligami ini bukan semata-mata tenta anda dan isteri. Tetapi adanya hati keluarga yang perlu dijaga sama.
Bukan Saja Hati Isteri.. Mengutamakan Hati Keluarga
Terkadang tu kan…
Bila kita buat sesuatu memanglah halal tetapi menitiskan airmata isteri tercinta. Maka… ini bukanlah sebuah trofi yang perlu dibangga. #apeni
Cukuplah…
Dah alang-alang buat, teruskan hidup. Jangan lagi bersuara apa-apa.
Bila sesiapa tanya hanya perlu bagi reaksi samada:
diam. Atau paling teruk cuma jawab no komen. Itu saja! Mulut tutup! Ketap bibir usah berbicara. Zip!
Tak payah nak buat ayat bertemu di bawah payung langit kaabah atau dipuja oleh deretan 18 wanita. Yang ke-19? Hebatnya aura hingga tidak mampu menolak katanya…. Allahu….
Nak buat, buatlah. Itu hak peribadi dan hak mutlak anda. Mana boleh dilarang sesiapa.
T.E.T.A.P.I…
Bila seseorang suami berpoligami ianya bukan tentang dia dan isteri semata-mata.
Ada hati anak yang perlu dijaga, ada hati mertua pertama yang perlu dipelihara dan ada hati ipar duai yang memerhati.
1) Poligami yang tidak adil hingga memecahbelah keluarga
2) Ditipu wang oleh seseorang yang amat dipercayai
Sebab kedua-dua ini pernah akak lihat secara direct. Terlalu dekat dua perkara ini di hati akak. Bekas dan parutnya terlalu berbisa di jiwa.
Dengan rendah diri akak memohon maaf dua tiga hari ini akak membawang dengan emosi. Akak tahu follower dan pembaca lama akak memahami akak bagaimana. Lagipun akak bukan menulis sehari dua. Bertahun-tahun sudah jemari ini menulis dan jiwa ini dihentam segala.
Apapun, akak tidak sempurna. Ambil manfaat yang baik-baik dan segala yang buruk sememangnya sebab akak manusia biasa yang terlalu banyak kejahatan juga kelemahan. Maafkan akak sentiasa ya!
Tapi… Ketahuilah bahawa…
Matlamat penulisan akak masih kekal sama. Ianya khas untuk keluarga dan wanita. Kita berada di zaman wanita yang bersuara dianggap jahil dan derhaka.
Maka… apa pilihan lainnya?
Pilihan lainnya terpaksalah kita membina persiapan diri. Andai langit tak cerah esok, sekurang-kurangnya payung ada di tangan.
Selamat malam semua sahabat yang akak sayangi.
Salam sayang
Sumber/Foto : Marliya Ramli
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dimadukan, diceraikan wanita sedarlah kehilangan suami kecil berbanding nikmat tubuh badan Allah pinjamkan. Bila perempuan tawar hati, kebahagiaan rumah tangga akan mula hilang serinya.
Jika hatinya tidak bahagia pastinya akan berasa diri sangat kerdil dan disisihkan. Namun sedarlah bahawa kehilangan suami adalah kecil berbanding dengan nikmat sempurna tubuh badan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Insan bernama isteri ini membawa aura tersendiri. Jika dirinya dianiaya dan ditinggalkan di tidak boleh terlalu leka sebaliknya perlu bangkit membuktikan kebolehan diri dan terus kuat mengubah nasib tanpa insan bergelar suami. Semangat dan tekad wanita perlu ditanamkan dalam diri demi anak-anak tersayang. Pastinya mereka tidak akan biarkan anak-anak hidup merempat jika tidak ada suami di sisi.
DIMADUKAN, DICERAIKAN Wanita Sedarlah KEHILANGAN SUAMI Kecil
Seperti mana perkongsian wanita kuat dan juga pempengaruh di media sosial, Puan Dzuriasikim Dzulkefli punya perkongsian yang boleh memberikan manfaat kepada wanita yang berhadapan dengan masalah rumah tangga dan ditinggalkan suami.
WANITA, USAH MENANGIS. BACA 13 LANGKAH UNTUK BANGKIT.
Tidak kira apa status anda, wanita adalah kaum yang lemah lembut hati dan jiwanya serta mudah tersentuh perasaan.
Bertenang dan baca ini:
SEKIRANYA DIUJI DENGAN PERPISAHAN, DIMADUKAN ATAU APA DALAM RUMAHTANGGA.
PERKARA PERTAMA YANG HARUS ANDA LAKUKAN…
Hitung dan bersyukurlah atas berapa banyak nikmat yang kita masih ada. Walaupun sebaiknya bersyukur ini dilakukan pada setiap hari (di kala senang dan susah), namun ramai yang terlupa untuk melakukannya bukan?
Cuba bayangkan jika pada suatu pagi kita bangun tanpa kedua belah tangan atau kedua belah kaki. (Pejam mata dan bayangkan…).
Atau tanpa nikmat penglihatan kedua belah mata. Bukankah kita akan mula berkata…
“Ya Allah, hamba bermohon kepada Mu Ya Allah. Hamba lupa akan nikmat Mu Ya Allah. Kembalikan kedua belah kaki ku Ya Allah.”.
Kerana saat itu mungkin baru kita akan sedar bahawa kehilangan suami adalah kecil berbanding dengan nikmat sempurna tubuh badan yang Allah pinjamkan kepada kita.
Count every single thing that we still have… Anak-anak di hadapan mata. Pernafasan tanpa bantuan, jantung yang masih berfungsi, malah.. memiliki rambut dan kuku itu pun nikmat!
Jangan lupa akan itu semua.
MasyaAllah tabarakallah.
INGAT ALLAH
Ingat Allah. Usah menangis keterlaluan siang dan malam. Apa lagi merintih memohon simpati dengan orang lain. Menangis tidak akan dapat merubah nasib kita.
Selalu saat kita terlalu bersedih, kita berasa seolah-olah bahagia tidak akan datang lagi. Dan di saat kita bahagia, kita berasa seolah kita tidak akan menangis semula. Selalu cepat terlupa bahawa bahagia dan derita itu juga pinjaman dari Allah.
Sabar adalah sebaik-baik ubat hati. Dan Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu.
Bersangka baik selalu.
LIHAT MATA ANAK-ANAK
Jika punya anak, usah diabaikan hanya kerana kita berasa kita ini sedang tertekan. Usah kita layan kesedihan kita sehingga kita abaikan tanggungjawab. Anak-anak sangat memerlukan kita. Bangkit dan peluk mereka semua. Biar 10 atau 12 orang anak sekalipun. InsyaAllah akan ada rezeki buat mereka. MasyaAllah, anda kena yakin dengan rezeki Allah. Dia Maha Memberi. Dan Dia memberikan sesuatu dengan sungguh luarbiasa.
PILIH KAWAN
Pilih dengan siapa anda berkawan. Ada ramai wanita yang tersalah memilih kawan serta memilih jalan yang salah untuk hilangkan derita. Apa lagi ketika mereka dalam keadaan baru berpisah dengan pasangan. Baru putus tunang. Baru ditinggalkan.
Jika hati kita lemah, kita akan mudah terikut dengan rakan-rakan. Pilih kawan-kawan yang positif, membina dan berkualiti. Tidak selalu mengingatkan kita tentang masa silam hingga timbul dendam dan kesedihan. Yang tidak suka menyalahkan orang lain serta menghasut minda kita untuk melakukan perkara yang tidak baik.
“Tapis” rakan termasuk di media sosial.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
JIKA ADA YANG MENJAUHKAN DIRI
Saat kita susah, itu adalah perkara biasa. Yang luarbiasa adalah ketika rakan dan saudara masih mahu bersama kita ketika susah.
Sahabat Rasulullah Muhammad SAW, Sayyidina Ali Bin Abi Thalib Radiallahu anh. Ilham menuturkan, ketika Sayyidina Ali ditanya salah seorang sahabat terkait siapa yang dimaksud teman-teman dan sahabat Ali.
“Ya Ali kulihat sahabat-sahabatmu begitu setia sehingga banyak sekali, berapakah sahabatmu itu?”.
Sayyidina Ali menjawab,
“Nanti akan kuhitung setelah aku tertimpa musibah.”
Begitulah jawapan Sayyidina Ali.
Letakkan kebergantungan kita hanya kepada Allah. Orang yang meletakkan kebahagiaan diri pada orang lain dan bukan Allah ini akan mudah kecewa. Kasih manusia berubah-ubah. Sedang kasih Allah tanpa syarat. Allah mencintai tanpa ada kenapa dan mengapa.
BETULKAN NIAT
Betulkan niat dalam diri dan terhadap orang lain. Perlu ada alignment dalam diri dan ini adalah sangat penting dalam hidup. Tidak kira samada dalam urusan perhubungan keluarga, sahabat, perniagaan, pekerjaan atau apa sahaja….
The power of Niat. Sama-sama kita semak dan perbaharui niat setiap hari. Pastikan apa yang ada dalam minda selari dengan mata, lidah dan hati. Jaga mulut dari mengata, jaga hati diri dan hati orang dan jauhi sifat bersangka-sangka, jaga mata agar sentiasa melihat kebaikan dalam setiap perkara. Jadi mata lebah dan bukan mata lalat.
Sebab syaitan memang selalu menggunakan cara halus untuk pesongkan niat kita. Akhirnya pergantungan kita kepada Rabb akan tergelincir sedikit demi sedikit.
TINGKATKAN DIRI
Cuba baca buku-buku yang boleh memberikan inspirasi dan semangat. Jika tidak mampu untuk membeli buku, cuba buat carian di internet dan baca kisah kejayaan ramai wanita hebat dunia dan bagaimana mereka berjaya bangkit semula dalam hidup. Jika tidak mampu beli data, anda boleh cuba menggunakan wifi percuma yang disediakan di kebanyakan tempat awam. Sentiasa penuhi masa dengan perkara berfaedah dan elakkan dari termenung.
FORGIVE AND FORGET
Cuba sebaik mungkin untuk lupakan kisah silam. Anda perlu melangkah ke hadapan. Melihat ke belakang tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Cari kekuatan itu and you need to move on.
APAKAH ANDA PUNYA IMPIAN?
Fikirkan apa cita-cita anda sebelum ini. Inilah masa terbaik untuk anda memenuhi segala impian anda. Cari jalan dan usah sesekali putus asa. Sekiranya ramai yang memburukkan anda kerana bergelar janda, kerana putus tunang, kerana ditinggalkan pasangan, kerana dimadukan… pekakkan telinga sahaja. Jika tiada teman rapat, ingat selalu bahawa kita ada Allah.
Hidup ini biarlah dipuji tak terbang, dihina tak tumbang.
JADI KUAT!
Cuba kawal minda anda. Letakkan masalah peribadi dalam satu “kotak” berbeza. Sentiasa senyum bila berhadapan dengan orang sekeliling terutama anak-anak. Usah sesekali menyalahkan atau memburukkan orang lain (contohnya bekas pasangan) atas apa yang berlaku. Usah salahkan takdir Allah!
Abu Hurairah ra, ia berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, Allah berfirman,
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِى بِى
_”Aku sesuai dengan sangkaan hamba pada-Ku.”_
(Muttafaqun ‘alaih)
Seburuk manapun bekas pasangan anda, dia tetap ayah kepada anak-anak anda. Usah heret anak-anak ke dalam emosi. Minda anak-anak yang positif dan ceria akan mempengaruhi keperibadian serta pencapaian akademik mereka.
CARI REZEKI YANG HALAL
Jika sukar meninggalkan anak untuk keluar bekerja atau mencari rezeki, usahakanlah sesuatu dari rumah sahaja. Ambil upah jahit butang baju pun tidak mengapa. Ada banyak pekerjaan yang boleh dilakukan selagi kita mahu berusaha. Upah yang diperolehi itu nanti bolehlah dibelanjakan sedikit dan simpanlah juga (walau sedikit untuk kecemasan dan untuk mengejar impian yang ada). Susah sedikit tidak mengapa… belajarlah untuk berdikari.
Sabar sedikit. Ianya mungkin akan memakan masa. Orang yang sabar pasti akan memperoleh kemenangan. Bertahanlah. Saya yakin anda boleh!
JATUH CINTA LAGI
Usah mudah jatuh cinta pula. Belajar dari kesilapan lalu. Jika mahu bernikah lagi, pilihlah pasangan dengan lebih berhati-hati. Sebaiknya anda berikan sedikit ruang untuk diri sendiri. Tingkatkan penjagaan dan kualiti diri. Pastikan anda tampil bersih, berseri, kemas dan rapi walau seteruk manapun kesedihan anda. Utamakan kebahagiaan diri dan anak-anak (jika ada). Ingat, alam perkahwinan tidak sama dengan alam bercinta. Langsung tidak sama seperti dalam kisah Cerekarama atau Sinetron. Usah tersilap langkah untuk kali kedua.
SABAR, DOA DAN TAHAJJUD
Saya suka ingatkan. Usah putus asa untuk berdoa. Jangan lupa bertahajjud. Sehina manapun kita di mata manusia, hanya Allah sahaja yang menentukan untuk menerima segala amal dan doa kita. Percayalah, tidak akan sia-sia untuk bangun pada setiap malam dan bertahajjud.
Solat Tahajjud adalah solat malam, makna Tahajjud adalah solat yang dikerjakan setelah tidur. Waktunya terbentang mulai setelah Isya’ hingga sebelum Subuh, dengan didahului tidur. Dan waktu paling utamanya adalah di sepertiga malam yang terakhir.
“Dan pada sebagian malam hari, solat tahajud-lah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji”
(QS. Al Isra’: 79).
“Doa di saat tahajud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran.”
(Imam Syafie)
Saya terjumpa kedua ayat ini dulu yang membuatkan saya bangkit! Jangan lupa untuk bersihkan hati. Maafkan orang sekeliling. Jangan berdendam. Yakinlah dengan Tuhan. Strong women never give up,” kongsi Dzuriasikim Dzulkefli.
Isteri mana yang tak risau kalau suami berperangai ‘pelik’, suka menghilangkan diri tanpa dapat dikesan jejaknya. Pantang bergaduh, berhari-hari malah berbulan-bulan dia ‘hilang’ dan akhirnya akan muncul secara tiba-tiba.
Terasa diri tak dihargai selayaknya sebagai seorang isteri, ditinggalkan umpama tiada perasaan. Malah lebih malang, nafkah pun tak diberikan.
Ikuti luahan rasa seorang isteri yang dijawab oleh kaunselor & penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, yang juga merupakan kolumnis ruangan Ya Tuhan dalam majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang isteri yang telah menjalani hidup berumah tangga selama 13 tahun lamanya. Suami itu adalah pilihan hati saya sendiri.
Sempat Bermadu
Sebenarnya pada awal perkahwinan, saya merupakan isteri kedua dan selama setahun saya sempat hidup bermadu. Ketika itu suami adil bergilir-gilir di antara rumah saya dan isteri pertama. Namun jodoh suami dan isteri pertamanya tidak panjang dan mereka bercerai. Akhirnya saya satu-satunya isteri suami.
Puan, terus terang, lebih banyak air mata yang tumpah sepanjang perkahwinan kami, berbanding gelak ketawa. Namun, demi sayang, saya tetap cuba mempertahankan rumah tangga yang dibina atas dasar cinta ini. Suami bekerja sendiri tapi saya tak pernah merungut dan sedia hidup bersederhana.
Perangai Pelik
Puan, suami saya ada satu perangai pelik, suka menghilangkan diri tanpa khabar berita. Sepanjang itu dia takkan akan jawab telefon atau SMS/whatsapp saya. Kami tak pernah bertengkar teruk. Bila saya menasihatinya tentang sesuatu perkara, andai dia terasa, dia secara tiba-tiba saja akan menghilangkan diri selama berhari-hari.
Keadaan ini berlaku sejak tujuh tahun lalu. Puas saya fikirkan kenapa tapi saya tak dapat cari jawapannya. Paling lama, tahun lalu, selama tiga bulan dia menghilang tanpa berita. Sepanjang tempoh itu, segala perbelanjaan ditanggung oleh saya sendiri.
Suami juga tidak pernah ambil endah tentang hal lain sehingga abang saya meninggal dunia pun dia tidak muncul. Bila saya whatsapp, tak dibalas walau pun saya tahu dia sudah membacanya. Selang beberapa hari, hanya dibalas dengan ‘ok’. Agaknya kalau saya meninggal pun dia takkan ambil kisah.
Pejabat Agama
Akibat ditinggalkan selama tiga bulan, saya merujuk kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan mereka minta saya membawa suami bersama untuk sesi kaunseling tapi sudah pasti tidak dihiraukan oleh suami. Saya juga pernah ke mahkamah syariah tapi melihatkan proses yang rumit, membuatkan saya putus harapan untuk menegakkan hak saya.
Kini, ketika saya menulis kepada puan, suami sudah sebulan menghilang. Puas saya cuba hubungi tapi tidak diendahkannya.
Saya amat tertekan dengan keadaan ini dan saya inginkan nasihat untuk saya keluar daripada masalah ini. Sabar saya sudah hilang kerana selama ini saya sudah terlalu banyak memendam rasa. Air mata menjadi teman setia. Tapi sampai bila harus saya bersabar andai dia tidak juga berubah?
Sebenarnya sikapnya yang suka menghilang itu pernah dilakukan ketika bersama isteri pertama sehingga bekas isterinya menuntut cerai secara fasakh kerana dia tidak pernah hadir ke mahkamah. Apakah itu juga yang patut saya lakukan?
Keluarga saya tidak tahu akan masalah saya ini kerana saya tidak suka berkongsi kisah rumah tangga hingga boleh memburukkan suami pula. Dengan ibu mentua pula, pernah saya mengadu tapi saya pula dipersalahkan kerana dia terlalu percayakan anaknya itu.
Puan, selama ini saya banyak bersabar dan tak putus-putus berdoa agar saya diberikan pertunjuk terhadap kemelut yang saya sedang alami ini. Namun saya semakin tertekan. Apakah tindakan sewajarnya yang boleh saya ambil? Bantulah berikan saya nasihat.
Isteri Tertekan, Kuala Langat Selangor.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assaalamualaikum puan yang dirahmati Allah….
Perjalanan hidup dalam alam berumah tangga pasti ada pelbagai ujian dan rintangan. Ada orang dikurniakan pasangan yang punya tanggungjawab, penyayang dan mengambil berat hal isteri dan anak-anak. Makan, pakai , tempat tinggal dan kenderaan disediakan mengikut kemampuan yang ada. Kebanyakan isteri bukan sangat mengharapkan suami menyediakan pakaian, makan, tempat tinggal dan wang yang mewah untuknya. Memadai punya tanggungjawab, ambil berat, dan menyayangi anak isteri pada setiap waktu. Ikatan kasih yang ditunjukkan akan menjadikan isteri semakin setia dan kasih.
Setia
Mengikut teori, majoriti isteri lebih setia terhadap suami berbanding suami terhadap isteri (namun ini bukan satu yang tepat seratus peratus). Hatta hingga suami sakit, isteri akan setia menjaganya hingga ke akhir hayat. Setia walaupun suami mengabaikannya dan anak-anak atau mengambil kesempatan terhadap kesenangan isteri. Asalkan dia tidak ditinggalkan, demi anak-anak khususnya.
Bukan mudah untuk menangani suami yang ada sejarah hidupnya sendiri. Sekadar nasihat dan bimbing dia belum pasti berjaya..kerana situasi itu telah sebati dalam hidupnya, malah sifat keegoan mereka yang kuat. Kehilangan suami untuk beberapa tempoh masa mesti ada sebabnya kenapa dia menghilang. Sudahkah puan mengetahui punca dia menghilang? Sebagai seorang isteri, saya rasa puan pasti tahu ke mana dan apa yang dia buat. Jika tidak diketahui, cuba cari maklumat dari rakan-rakannya, saudaranya, malah boleh juga bertanya daripada bekas isterinya. Biasanya orang yang sebegini ada aktiviti yang dia lakukan. Mungkin juga berkaitan dengan dadah (maaf), aktiviti santai bersama rakan-rakan (mungkin judi, lepak-lepak, clubbing), atau aktiviti yang tidak langsung memberi faedah kepada diri, malah yang memberi kemudharatan pada dirinya. Mungkin juga ada wanita lain.
Puan tidak perlu membuat penafian pada diri sendiri terhadap apa aktivitinya yang dibuatnya. Mungkin ia memudaratkan diri dan keluarga. Lihat pada kewangannya, adakah digunakan secara yang betul dan diberi kepada keluarga atau lebih banyak dihamburkan kepada aktiviti yang tidak berfaedah? Perceraiannya dengan isteri pertama dahulu, adakah disebabkan dia tidak mahu dimadukan atau kerana keterlibatan suami dia dengan aktiviti yang memudaratkan?
Ubat Jiwa
Dalam kemelut menghadapi ujian dalam hidup, dalam Quran surah al-Baqarah ada menyebut…hadapilah ujian hidup yang kamu hadapi dengan SABAR DAN SOLAT. Mungkin saya atau orang lain senang berkata. Tapi itulah ubat untuk merawat jiwa. Banyakkan zikir mohon pertolongan Allah. Bangun setiap malam mohon bantuan Allah. Banyakkan solat..membaca al-Quran…kerana dari sini puan akan ketemu ketenangan. Ianya memerlukan usaha yang istiqamah (berterusan) dan membina kekuatan dalam. Kata alim ulama, kekuatan dalaman diperolehi dengan membanyakkan solat malam. Ini adalah makanan rohani, inilah ubat “kuat” kepada ujian hidup….. vitamin kepada kekuatan dalaman untuk menghadapi kemelut dalam ujian hidup. Jika kuat di dalam, maka apa jua ujian dalam hidup dapat dihadapi dengan tabah.
Cuba dapatkan jawapan kepada ‘misteri’ kehilangan suami daripada sumber yang saya sebutkan. Apabila puan telah mendapat jawapan kepada persolan ini, puan boleh beri kata dua kepadanya adakah dia mahu hidup dengan puan atau meneruskan aktivitinya? Beri dia pilihan. Pilihan ini diberikan setelah puan menasihatinya dan membimbingnya, malah telah sekian lama mendoakan perangainya untuk berubah. Jangan takut kepada “kehilangan”.
Mungkin pilihan yang minta dibuat ini menjadikan dia sedikit gentar. ( Namun mungkin tidak). Lihat kepada “jaraknya”. Sejauh mana tindakan puan memberi kata dua itu memberi kesan kepadanya, hanya puan yang tahu. Lagi puan tunjukkan sifat takut terhadap kehilangannya, maka selagi itu dia berani dengan aktivitinya yang suka menghilangkan diri. Jika puan sudah tidak mampu menanggung kerenahnya, maka puan boleh cuba – katakan kepadanya jika awak (abang) pergi kali ini, maka awak tidak perlu balik lagi selepas ini. Ini mungkin gertakan yang mungkin dia tidak kisah atau boleh jadi juga dia rasa terancam.
Kuat
Apa jua reaksinya puan mesti kuat. Kuat menghadapi ujian hidup. Seperti yang saya katakan, jangan takut kepada kehilangan jika itu yang ditakdirkan (itu pun setelah puan menasihati, membimbing dan bersabar dengan karenahnya). Saya pernah mempunyai klien yang mempunyai suami yang baran dan ego yang tinggi. . Alhamdulillah dengan kebijaksanaannya “mengurus keadaan”, membina kekuatan dalamannya selama beberapa tahun, bersabar dan melakukan aktivitinya sendiri dengan tidak menumpukan perasaan dan emosinya terhadap suami, kini dia sudah mampu menjalani kehidupannya dengan agak baik, walaupun dia masih tidak mendapat apa yang dia harapkan daripada suami.
Puan juga boleh menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika tidak sangat menumpu kepada suami, kurangkan pergantungan emosi dan perasaan terhadap suami, pelbagaikan aktiviti yang bermakna dalam kehidupan, sibukkan diri dengan aktiviti yang diminati atau yang menambah pendapatan, seperti berniaga secara kecil-kecilan, mencari peluang berniaga atau aktiviti riadah, kemasyarakatan yang akan menjadikan puan lebih sibuk sehingga puan tidak sangat memikirkan tentang dirinya. Cuba cipta keadaan “bukan puan yang mencarinya…tetapi dia sendiri yang akan kembali ke pangkuan puan”, semuanya bergantung kepada bagaimana puan menangani kerenahnya, mengurus emosi puan, dan menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baik aktiviti. Bergantung harap kepada Allah..bukan kepada manusia.. Insya Allah puan akan mendapat ketenangan. Wallahualam…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Shu Shukri "sekolahkan" Hafidz Roshdi, "dah kalah tu kalahlah, nafkah anak sesen pun tak bagi. Hari ini, di instagram storiesnya, pempengaruh Nurul Shuhada Mat...