Ajal, maut, jodoh semuanya adalah ketentuan daripadaNya. Tak kiralah apa juga peringkat usia baik muda atau tua, ia bukanlah penghalang seseorang bertemu jodoh dan disatukan bersama insan tersayang. Usia yang sudah menjangkau 80-an tidak menjadi penghalang kepada Hussain Abdul Rahman, 84, untuk sekali lagi mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan hatinya, Kamsiah Adam, 66. Kedua-dua mempelai yang juga pelajar Pusat Pendidikan Al Barakah di sini itu selamat dinikahkan di surau di pusat berkenaan semalam.
Sekali Lafaz
Hussain ketika ditemubual berkata, dia baharu sahaja mengikuti pengajian di pusat pendidikan itu tiga bulan lalu dan bertuah dapat dipertemukan pasangan hidupnya itu.
“Saya berterima kasih dengan cadangan yang dimulakan oleh Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim yang melihat saya keseorangan, jadi dia mencarikan jodoh.
“Perkahwinan ini kerana mahu menambah ibadah dan diharap dengan doa semua, kami akan lebih aman dan tenang untuk beribadah di sini (Pusat Pendidikan Al Barakah),” katanya yang sah menjadi suami Kamsiah dengan hanya sekali lafaz.
Hussain yang berasal daripada Pontian, Johor berkata, perkahwinan itu adalah kali ketiga dan kini mempunyai tujuh orang anak, 17 cucu dan seorang cicit.
Katanya, dia pernah belajar di Makkah selama lapan tahun dan menjadi Penyelia Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor serta berpengalaman menjadi imam di Masjid Universiti Islam Antarabangsa (UIA) selama 12 tahun.
Ads
“Mudah-mudahan saya dipanjangkan umur, dapat mencari ketenangan dalam beribadah dan dapat mengikuti lebih banyak ilmu pengajian berkaitan agama yang ada di sini,” katanya.
Niat Untuk Menjaga Suami
Pasangannya, Kamsiah pula berkata, tempoh perkenalannya tidak lama dan menerima pasangannya itu kerana Allah kerana melihat Hussain mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Saya pernah belajar berkenaan Fisioterapi di Australia, saya jadi tergerak hati untuk menerima apabila melihat keadaan dia yang sakit lutut, saya berniat mahu menjaganya,” katanya yang mempunyai tiga anak dan empat cucu.
Berasal daripada Taiping, dekat sini, Kamsiah sebelum ini menetap di Kuala Lumpur namun kini sudah menjadi penghuni Pusat Pendidikan Al Barakah sejak tiga tahun lalu.
Ads
Sementara itu, Ustaz Kazim berkata, perkahwinan itu adalah yang keenam membabitkan pelajar dan penghuni di institusi berkenaan.
Ads
“Alhamdulillah hari ini kita dapat satukan mereka berdua, saya bersyukur Al Barakah bukan setakat tempat pengajian tetapi juga tempat menjalinkan hubungan silaturahim.
“Perkahwinan ini mencatat rekod di sini, kerana Hussain adalah pelajar yang paling ‘senior’ di Al Barakah,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat pasangan warga emas ini. Semoga saling menjaga diantara satu sama lain, serta saling mempertingkatkan amal ibadah bersama-sama.
Sumber: Bharian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ujian yang menimpa Farahatul Naqueah Abdul Samad, 30, atau lebih dikenali dengan nama Farah Samad, bukan calang-calang. Kehilangan ayah dan ibu pada usia masih 20-an dan perlu menjaga enam orang adik yang masih kecil tentunya bukan suatu tugas yang mudah.
Kuatnya wanita ini tetap menjalankan tanggungjawab besar yang perlu dipikul secara sendirian. Didikan agama yang dibekalkan oleh ayah dan ibu untuk dirinya pasti menjadi salah satu asbab yang menjentik hatinya lalu terpanggil untuk mendalami ilmu Al-Quran yang penuh dengan rahsia istimewa.
Ikuti Kehidupan Selebriti Yang Berubah Ke Jalan Allah
Berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Nilai, Negeri Sembilan, Farah yang merupakan seorang pengasas Akademi Abqary Home Tuition, dalam masa yang sama membuat pekerjaan sambilan sebagai Content Writer dan juga blogger mula tertarik untuk mengenali lebih mendalam tentang Kalam Allah apabila sering mengikuti perkembangan selebriti-selebriti kegemarannya yang kini berubah ke arah kebaikan.
“Dulu saya suka ikuti perkembangan hidup selebriti-selebriti, salah seorangnya adalah Wardina Saffiya. Saya ikuti perkembangan dia daripada dia berhijab dan seterusnya mendalami ilmu Al-Quran, sehinggakan dia boleh terangkan satu-satu ayat dalam Al-Quran dengan sangat jelas. Keadaan itu buatkan saya terinspirasi. Saya rasa saya nak jadi seperti dia, nak berubah ke arah kebaikan jadi seperti Wardina. Itu yang buat saya rasa nak mendalami Al-Quran dan berubah menjadi seorang muslim yang lebih baik.
“Selain ikuti perkembangan selebriti tanah air, saya ingat lagi suatu masa dahulu pelajar saya pernah ajak ke satu program menampilkan speaker dari serata dunia seperti Nouman Ali Khan dan ramai lagi di Putrajaya. Di sana bila speaker hebat bercerita tentang kisah-kisah dalam Al-Quran buat saya rasa makin seronok nak baca Al-Quran. Di sana saya nampak Mizz Nina, Natasha Hudson dan ramai lagi selebriti yang turut hadir.
“Selepas program tersebut, saya hadiri pula program yang dikenali sebagai Bidadari. Bagi saya program tersebut memang sangat bagus, ia mengajak kita untuk kenal dengan lebih dekat tentang Islam, tentang bagaimana untuk menjadi seorang muslimah yang hebat dan banyak lagi. Saya memang terinspirasi sangat macam mana selebriti-selebriti Malaysia boleh berhijab berubah ke arah kebaikan. Mereka sertai usrah, kelas Al-Quran dan hadiri majlis-majlis ilmu, itu buat saya rasa Kitab Allah itu bukan setakat untuk kita membacanya sahaja malah di sebaliknya terdapat banyak lagi rahsia yang Allah nak sampaikan kepada kita. Pokok pangkalnya kita sahaja yang mahu atau tidak untuk mendalami Al-Quran,” ceritanya tentang bagaimana dia mula tertarik untuk terus mendalami ilmu Al-Quran.
Sejak kecil wanita ini sudah mula belajar mengaji, seawal usia 10 tahun dia sudah khatam Al-Quran. Sehingga ke hari ini, sudah lebih lima kali dia berjaya khatam dan ingin terus belajar dan membaca untuk menggali lebih banyak ilmu daripada kitab suci Al-Quran. Surah Maryam, An Nur dan Al Insan antara surah yang sering menjadi pilihan Farah untuk diamalkan selain Al Waqiah dan juga Al Mulk.
“Saya sebenarnya sudah kehilangan ayah ketika berumur 22 tahun dan ibu pada usia 24 tahun. Memang emosi saya tidak stabil ketika kehilangan keduanya dalam tempoh dua tahun selang saja. Alhamdulillah ada seorang sahabat yang tenangkan hati saya. Menurut sahabat itu, perjalanan hidup saya ini hanyalah sebahagian dari ujian yang pernah Maryam lalui. Sejak itu saya mula mencari surah Maryam dan membaca terjemahannya. Saya dalaminya melalui penceritaan dalam Al-Quran tentang bagaimana ujian dan dugaan yang dilalui oleh Maryam. Surah ini mengajar saya tentang kebesaran Allah, jika Dia inginkan sesuatu berlaku, maka terjadilah ia.
“ Dalam Surah An Nur pula banyak mengajar dan memberi inspirasi kepada saya untuk selalu berbuat baik, selalu mengejar kebaikan dan selalu pelihara diri daripada membuat perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Manakala Surah Al Insan pula banyak bila dekat kelas taranum saya tengok maksud dia sangat-sangat memberi kesan yang mendalam kepada saya. Ayat inmengajak kita untuk pelihara solat, pelihara apa yang menjadi tanggungan kita dan banyak lagi.
“ Bila saya sedih teringat arwah mak dan abah saya akan baca ayat dan terjemahan ini. Ia tentang faedah keutamaan untuk menjaga anak-anak. Dalam situasi saya adalah menjaga adik-adik saya. Ini antara surah yang banyak menjadi amalan saya. Selain tiga surah tersebut, saya amalkan juga Surah Al Waqiah, Al Mulk turut saya amalkan dalam kehidupan seharian,” kongsinya tentang surah yang dijadikan amalan.
Istikharah Al-Quran
Setiap manusia ada ketikanya terasa ingin mengadu, mencurahkan rasa atas segala permasalahan yang melanda, Farah Samad juga tidak terkecuali. Namun dia memilih untuk mengadu kepada Yang Maha Esa untuk setiap ujian dan dugaan yang dihadapi dengan melakukan Istikharah Al-Quran. Baginya ia lebih menenangkan dan membuatkan dirinya terasa dekat dengan Sang Pencipta.
“Kita bila ada masalah mesti nak cerita dekat kawan-kawan atau orang yang kita rapat. Bila orang tu faham masalah kita, kita akan rasa sayang kerana mempunyai kawan sepertinya, rasa seronok sangat kawan dengan dia. Macam itu juga dengan Al-Quran. Sesungguhnya Allah tahu semua apa yang berlaku kepada kita, para hamba-Nya. Jadi sebaiknya mengadulah kepada Dia kerana Dia Maha Mengetahui Segala-galanya. Apa yang lebih hebat bila Al-Quran berjaya ubah kehidupan setiap kali saya buat Istikharah Al-Quran.
“ Buat solat sunat dua rakaat habis solat duduk bertenang dan buka Al-Quran dan cuba baca maksud di sebaliknya. Itulah Istikharah Al-Quran. Kita akan dapat rasa apa yang ingin disampaikan kepada kita kena dengan apa yang kita alami ketika itu.
“Pengalaman saya sendiri, saya sedih sangat dan teringat dengan arwah mak dan abah. Bila buka sahaja Al-Quran rasa seperti Allah tahu apa yang saya sedang sedihkan.Bila baca surah tertentu terasa seakan satu aura yang tak dapat digambarkan meresap ke badan saya sebagai peringatan untuk diri saya. Dari situ saya dapat rasakan Allah tahu apa yang saya rasa, apa yang perlu pada ketika itu dan Dia bagi jawapan terus melalui Al-Quran sahaja. Dengan cara itu saya rasa dekat sangat dengan Allah. Bila setiap situasi yang mendatang tu kita terus bercerita kepada-Nya dengan Istikharah Al-Quran.
“ Kena rajin baca tafsir Al-Quran supaya kita lebih memahami dan tahu tentang maksud dalam Kalam Allah itu. Insya-Allah ia akan mengubat semula hati kita yang sedang bersedih dan rasa kecewa. Bila buat istikharah Al-Quran, saya dapat jumpa penyelesaian dalam kehidupan. Saya tak perlu takut sebab saya ada Allah. Walaupun saya dah tiada siapa-siapa lagi di dunia ini selain adik-beradik saya. Dengan Al-Quran ia banyak beri saya rasa redha dengan apa yang Allah aturkan untuk saya. Alhamdulillah.”
“Secara peribadinya setelah belajar mendalami ilmu Al-Quran saya rasa lebih tenang dan tak takut dengan hari mendatang. Bagi saya bila kita dekat dengan Al-Quran kita rasa dekat dengan Allah. Berserah kepada Allah dan redha dengan apa yang Allah tentukan kepada kita. Insya-Allah hidup akan lebih tenang dan mendamaikan.
“Jangan pernah malu kalau nak belajar Al-Quran. Biasa yang malu sebab rasa rendah diri tapi percayalah bila selalu baca kita akan dapat perbaikinya dan akan dapat membacanya dengan lancar. Yang sibuk atau uruskan famili cari masa untuk mengaji. Mengaji satu muka surat sehari pun dah ok. Hidayah itu milik Allah, Dia akan bagi pada orang yang selayaknya. Jadi marilah kita membaca Al-Quran dan cari lagi rahsia-rahsia dalamnya yang Allah ingin sampaikan kepada kita. Insya-Allah,” akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Amalan berbekam ternyata mempunyai banyak kelebihan yang tersendiri. Selain sunnah Nabi yang telah diamalkan semenjak ribuan tahun dahulu, amalan berbekam ini merupakan rawatan alternatif yang dipercayai berkesan dan baik untuk kesihatan diri.
Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat. Diperkuatkan dengan beberapa hadis sahih yang menjelaskan mengenai rawatan bekam, ia dikatakan sebagai kaedah yang boleh membantu mengubati segala penyakit.
Bekam sudah wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun dahulu dan pada zaman Nabi Muhammad SAW para pengamal menggunakan tanduk kerbau atau sapi, tulang unta dan gading gajah.
Orang-orang di Eropah pula dikhabarkan menggunakan lintah sebagai alat berbekam. Pada satu masa, 40 juta lintah diimport ke negara Perancis untuk tujuan itu. Lintah-lintah itu dilaparkan tanpa diberi makan. Jadi bila ditempelkan pada tubuh manusia yang sakit, dia akan terus menghisap darah tadi dengan efektif. Setelah kenyang, lintah tersebut tidak berupaya lagi untuk bergerak, lantas jatuh dan mengakhiri penghisapannya.
Bekam kering juga disebut sebagai bekam angin, metod bekam ini adalah menyedut permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah dari dalamnya. Bekam ini biasa digunakan untuk mengatasi rasa nyeri yang disebabkan oleh reumatik dan rasa nyeri yang terjadi di punggung.Bekam jenis ini akan meninggalkan bekas bekam berupa lebam warna merah kehitam-hitaman pada tempat yang dibekam dan akan hilang beberapa hari kemudian.
Bekam basah adalah sebuah metod bekam yang dilakukan dengan melakukan bekam kering dulu kemudian permukaan kulit yang dibekam dilukai dengan jarum yang disterilkan, kemudian disedut dengan menggunakan alat cupping set dan hand pump untuk mengeluarkan darah kotor melalui luka yang dibuat dengan jarum tadi.
Biasanya dilakukan selama 3 hingga 5 minit dan tidak boleh lebih dari 9 minit. Penyedutan darah dapat dilakukan sebanyak maksima 7 kali dan tidak boleh lebih. Biasanya pada bahagian yang disedut akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih.Selepas berbekam, pada 3 jam yang pertama tidak boleh terkena air dan bekam cara ini juga tidak boleh kerap dilakukan dan diunjurkan jarak waktu selama 3 minggu sekali.
Kadang disebut sebagai Fire Cupping, seperti namanya bekam ini menggunakan medium api sebagai bahan untk membuat ruangan hampa pada alat penyedut. Bekam ini dilakukan dengan gelas yang direkabentuk khusus untuk membuat ruang hampagas pada kawasan bekam. Udara di dalam gelas dibakar dengan menggunakan kertas atau kapas terbakar dan kemudian gelas akan ditempelkan ke permukaan kulit.
Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya.
Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik.
Kesemua faedah yang dinyatakan di atas adalah bergantung kepada individu. Ada yang mengalami salah satu atau pun sebahagian darinya. Rawatan hendaklah dibuat beberapa kali sehingga menampakkan hasil.
Sepertimana kaedah perubatan lain, bekam juga mempunyai kesan sampingan sekiranya tidak dilakukan dengan kaedah yang betul. Antara kesan sampingan yang boleh timbul ialah jangkitan kuman serta penularan penyakit yang disebabkan oleh peralatan yang tidak disteril.
Kepada yang ingin mencuba kaedah rawatan bekam hendaklah terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat dari pengamal perubatan tradisional serta doktor anda. Umumnya, individu yang tidak digalakkan untuk berbekam ialah wanita mengandung, wanita haid, wanita yang kerap keguguran, individu yang terlalu lemah, orang tua uzur, pengidap kanser darah, pengidap tekanan darah rendah serius dan pengidap penyakit kulit serius.
Norida Barudin
Pen.Peg. Belia dan Sukan S38
Semoga bermanfaat perkongsian ini. Selain sunnah nabi, berbekam sangatlah digalakkan untuk menjaga kesihatan diri.
Berita penahanan Datuk Seri Najib Razak petang Selasa mendapat liputan yang meluas. Tidak kurang ada yang berkempen agar melakukan solidariti untuk bekas Perdana Menteri Malaysia yang keenam ini. Susulan penangkapan Datuk Seri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Selasa , anak perempuannya Nooryana Najwa,30 atau lebih dikenali dengan nama panggilan ‘Gina’ ada meluahkan perasaannya berhubung perkara itu di Instagram (IG) miliknya.
Nooryana memuatnaik gambar ayahnya yang sedang mendukung anaknya, Adam Razak sambil memandang gambar keluarga ayahnya itu. Dalam status luahan berbahasa Inggeris yang ditulis lewat malam Selasa di Instagramnya, Nooryana meminta rakyat Malaysia meluangkan masa bersama-sama mengingati jasa ayahnya yang selama ini telah 42 tahun berkhidmat, hanya berfikir demi rakyat.
“Tiada insan yang lebih baik, penyayang dan lemah lembut seperti lelaki ini. Dia mempunyai kekuatan mental dan emosi yang tinggi berbanding orang lain. Walaupun menghadapi ujian getir hari ini, dia tetap mampu tersenyum, ketawa dan memberi kami pelukan.. Bimbangkan keluarga lebih daripada risaukan dirinya sendiri.”
“Selama 42 tahun, beliau (Najib) memikirkan rakyat sebaik bangun tidur sehinggalah tidur malam semula. Marilah kita memikirkan tentangnya kali ini disaat beliau sangat memerlukan kita ketika ini.”
“Anda boleh menilai seseorang itu jahat, tapi Allah yang lebih mengetahui. Jika ini boleh berlaku kepada pemimpin kita, ia boleh berlaku kepada sesiapa saja dalam kalangan kita, namun kami percaya Allah tidak tidur,” tulisnya.
Anak sulung daripada dua beradik itu turut mencatat luahan hatinya berserta dengan hashtag #freenajib #respectcivilliberties #thestruggleisreal #pray4dsn”.
Terharu dengan luahan seorang anak kepada ayahnya ini. Walau siapa pun ayah kita, apa pun kesalahan yang telah dilakukan. Jangan pernah ada benci dan dendam.Dia tetap seorang ayah yang hebat dari kaca mata seorang anak.
Terdahulu, Najib ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada pukul 2.35 petang Selasa.Bekas Perdana Menteri ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk perintah tahanan reman pada pagi Rabu.
Beberapa jam selepas ditahan, satu video mengenai luahan hati Najib dimuatnaik ke laman Twitter dan Facebook bekas perdana menteri itu. Dalam video itu, Najib menerima hakikat bahawa beliau tewas dan akur keputusan rakyat.Malah, beliau turut memohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia.