Usianya sudah mencecah 48 tahun namun pelakon yang pernah popular menerusi filem Pasrah dan Ghazal Untuk Rabiah, Wilma Muhammad tetap anggun.
Mengimbas kembali kisahnya yang pernah diceritakan kepada Mingguan Wanita, sebagai seorang isteri dan ibu sudah pasti Wilma mahukan yang sempurna dan terbaik untuk anak-anak dan suami.
Namun wanita ini sentiasa mendidik anak-anak agar mengamalkan kesederhanaan dan mengelak dari pembaziran.
Bekas peragawati yang pernah membawa watak seksi dan menggoda satu ketika dahulu mengubah cara hidupnya untuk menjadi Muslimah sejati selepas berkahwin dengan arwah suami pertamanya, Mahir Effendi.
“Selepas berkahwin, saya tinggalkan industri hiburan sebab nak fokus dengan kehidupan berkahwin dan mahu tukar cara hidup, mahu lebih fokus pada suami dan anak-anak dan keluarga pada masa itu.
“Bila saya pakai tudung semua terkejut. Mana tidaknya, dari seorang yang seksi dan kemudiannya berubah 360 darjah. Arwah juga tidak memaksa saya memakai tudung sebaliknya mendidik untuk saya berhijhab.
“Lagipun saya memang nak tukar cara hidup dari tersangat seksi dalam filem dan mahu dekat diri dengan Allah.
“Bahagia itu datang bila kita letakkan Allah sebagai Cinta Utama dan Abadi. InsyaAllah, Yang Maha Esa akan bagi ketenangan dan rahmat.
“Saya juga selalu berdoa supaya Allah kekalkan dan kuatkan iman saya untuk terus istiqomah,” luah Wilma Muhammad yang kini bahagia bersama suami kedua yang juga seorang ahli perniagaan dan anak-anak.
Memandangkan semua anak-anaknya sudah besar, Wilma tidak mempunyai masalah untuk bekerja. Anak-anaknya juga cukup memahami kerjayanya dalam lakonan.
“Saya bersyukur kerana suami dan anak-anak faham dengan kerja saya. Bila tak ada sesi penggambaran saya akan luangkan masa dengan mereka.
“Paling penting dalam mendidik anak-anak saya utamakan agama. Selain itu saya juga sering pupukkan nilai cinta dan displin pada mereka.
“Sebelum keluar bekerja biasanya saya akan pastikan keperluan semuanya dah sedia dan teratur,” akhiri Wilma yang tidak akan membantah jika anak-anak mahu terlibat dalam bidang seni.
Dikurniakan peluang hamil pada usia 42 dianggap sebagai rezeki tak terduga oleh bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim.
Berkongsi berita gembira mengenai dirinya yang kini berbadan dua, Azrinaz berasa sangat bersyukur diberi kesempatan miliki seorang lagi zuriat.
Tambah Azrinaz, dia sama sekali tidak menyangka akan dikurniakan seorang lagi cahaya mata selepas melahirkan anak ketiga, Areesya Malaykha pada 15 September 2019.
Menerusi perkahwinan kedua bersama Fairos, Azrinaz dan suami dikurniakan Areesya yang kini berusia 17 bulan.
Azrinaz dan Fairos Khan Abdul Hamid mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2018.
Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Azrinaz mengakui kandungannya kini sudah memasuki usia 7 bulan atau 30 minggu dan dia bersyukur.
“Ini bukan throwback, Apa yang ada lihat sedang berlaku sekarang. Merah jambu atau biru, apa yang harus dipuja, ini adalah anak keempat saya.
“Alhamdulillah syukur. ALLAH merahmati saya dan suami dengan memberi kesempatan untuk memiliki seorang lagi zuriat pada usia begini,” tulisnya menerusi Instagram miliknya.
Untuk rekod, sebelum ini, Azrinaz pernah mendirikan rumah tangga dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan dikurniakan dua cahaya mata, Pengirah Muda Abdul Wakeel, 15, dan Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah 13 tahun.
Trend hamil pada lewat usia kian menunjukkan angka peningkatan setiap tahun di negara-negara maju terutamanya di negara-negara di Eropah Barat, Australia, New Zealand, Kanada dan di Amerika Syarikat. Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan sebanyak 165% dari tahun 2000 hingga tahun 2013 bagi kelahiran dari para ibu yang berusia 50 hingga 54 tahun! Malaysia juga tidak ketinggalan walaupun jumlah wanita hamil pada lewat usia adalah sangat kurang berbanding negara-negara tersebut.
Ikuti tip hamil lewat usia bersama Dr. Maiza Tusimin, Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, UPM, juga merupakan Pakar Kesuburan.
Sumber/Sumber Foto: Instagram Azrinaz Mazhar Hakim
Tiada istilah cepat mahupun terlambat dalam urusan berkaitan jodoh. Semuanya ketentuan tuhan dan dianugerahkan pada waktu yang paling tepat. Pelakon drama bersiri Gerak Khas yang terkenal dengan watak Detektif Lim, Mohd Farid Amirul Hisham Wu Abdullah, mengakhiri zaman bujang pada usia 55 tahun apabila selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan, Norhayati Abdullah, 39, di sini, pagi semalam.
Sah dengan sekali lafaz, pasangan yang sudah enam tahun menyulam cinta itu dinikahkan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini, disaksikan enam tetamu. Farid bersyukur majlis akad nikah lancar biarpun terpaksa berdepan dugaan kecil.
“Lebih membuatkan saya terharu apabila kami terserempak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di JAWI.
“Beliau sempat mendoakan saya dan isteri,” katanya.
Memilih bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Farid terpaksa berdepan beberapa dugaan.
“Mengikut perancangan awal, abang ipar yang menetap di Kelantan sepatutnya menjadi wali.Namun, disebabkan PKP dan larangan merentas negeri, kami terpaksa membuat rancangan lain. Kami meminta abang ipar yang menetap di sini, untuk menjadi wali.
“Disebabkan itu, kami terpaksa menghantar surat permohonan nikah yang baharu,” katanya.
Bagaimanapun, kata Farid, abang ipar itu pula cedera akibat terjatuh dari pokok, sebelum majlis pernikahan.
“Pada mulanya, kami fikir ingin teruskan sahaja rancangan asal membawa abang ipar di Kelantan menjadi wali.
“Namun, memikirkan perlu isi borang baharu dan prosedur agak leceh, kami teruskan juga. Kami terpaksa meminta kebenaran JAWI membawa seorang lagi tetamu untuk memapah abang ipar,” katanya.
Bukan itu sahaja, Farid berkata, tarikh pernikahan mereka terpaksa dipercepatkan tiga hari.
“Jika tidak, mungkin impian bernikah tahun ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh yang tidak diketahui berikutan tiada kekosongan slot akad nikah akibat PKP.
“Agak kelam kabut apabila JAWI memaklumkan tarikh pernikahan terpaksa dipercepatkan.
“Selain itu, kami juga dikehendaki menjalani ujian calitan di hospital kerajaan dan tidak dibenarkan melakukannya di hospital swasta.
“Ujian calitan pula perlu dilakukan dalam tempoh tiga hari, jika tidak laporan dianggap tidak sah,” katanya.
Namun, Farid menganggap semua itu sekadar dugaan dan tidak tertekan.
“Bagi saya, tidak perlu bebankan fikirkan dengan terlalu memikirkan rintangan. Apa yang penting, majlis pernikahan lancar,” katanya.
Berkongsi detik perkenalan dengan isteri, Farid memberitahu, dia mengenali Norhayati ketika melakukan penggambaran di tempat pasangannya itu bekerja.
Farid berkata, sikap isteri yang penyabar, memahami dan tidak banyak kerenah menambat hatinya.Farid juga tidak menganggap keputusan berkahwin pada usia 55 tahun sebagai terlambat, sebaliknya percaya ketentuan Tuhan.
“Semua ini ketentuan Allah. Saya sentiasa berpegang kepada ayat di setiap kesempitan mungkin ada kemudahan.
“Pada mulanya saya mengaku, ada terfikir, andai ada rezeki menimang zuriat, anak masih kecil. Sedangkan umur semakin meningkat.Tapi, lama-kelamaan saya malas hendak fikir lagi. Saya tidak mahu serabut pemikiran dengan perkara-perkara ‘toksik’.
“Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya yang belum memutuskan mahu menganjurkan majlis resepsi selepas PKP tamat.
MW: Tahniah diucapkan buat ‘Detektif Lim’ dan isteri atas perkahwinan ini. Meskipun mengakhiri zaman bujang pada usia 55 tahun, sesungguhnya segala urusan jodoh adalah rahsia dan ketentuan Allah. Selamat berbahagia!
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang calon SPM yang dihempap pokok kelapa, apa yang menyedihkan apabila ibunya datang melihat jasad anak bongsunya dalam keadaan berbungkus kain di atas jalan selepas motosikal dinaiki bersama rakan dihempap sebatang pokok di Kampung Permatang Pasir, Gunong.