Suami yang baik dan penuh cinta, bila dia dapat tahu isterinya mengandung, perkara pertama yang dia buat mesti tak bagi isteri buat kerja rumah berat-berat. Haa.. samalah halnya dengan Norman Hakim yang melayan isteri, Memey Suhaiza penuh manja.
Ini diakui sendiri oleh Memey, 29 bila mana suaminya itu memenuhi setiap keperluan pentingnya semenjak dia mengandungkan anak ketiga mereka.
“Tq suami. Rutin wajib setiap hari. Cuma sekarang untung sikit sebab tak yah buat sendiri. Semenjak mengandung segala keperluan yang penting suami buatkan.
“Bukan mengada-ngada suruh. Memang tak suruh pun. Sebab kalau ikutkan, saya ligat dan aktif je setiap hari. Tak ada alahan tak ada apa.
“Setiap hari meneruskan aktiviti kerja macam biasa. Penangan amalkan ephyra juga. Alhamdulillah rezeki. Suami nak buat. Tanggungjawab dan nak rebut pahala katanya. Tq love semoga sentiasa dalam lindungan Allah.”
Doa Norman Hakim Buat Memey Dan Baby Dalam Perut
Betullah apa yang Norman buat itu. Bila suami memudahkan urusan isteri dan keluarganya, Allah akan berikan pahala dan memudahkan juga rezeki dan urusan suami itu.
Norman Hakim ini rupanya bukan saja rajin membantu Memey. Dia juga menjaga isterinya dengan baik. Malah bila Memey perlu check up kandungan dengan Dr Zarina Bebe, Norman akan ikut sama.
Macam baru ini, Norman siap kongsi video check up isterinya itu. Memanglah emosi mak ayah yang nak ada baby ini mudah tersentuh.
Dalam video yang dikongsikan semasa 3rd check up untuk trimester pertama Memey Norman sempat mendoakan isteri dan zuriatnya itu.
Ads
“Ya Allah..peliharalah zuriat ini.Peliharalah Ibu yang sedang mengandungkan zuriat ini.Sihat sejahterakanlah kedua2 mereka ini Ya Allah.
“Semoga zuriat didalam kandungan ini akan menjadi hambaMu yang sempurna pada segala sifat dalaman & luarannya, taat kepada segala perintah & laranganMu serta taat kepada kedua ibubapanya Ya Allah.. Aamiin Ya Rabbal Alamiin.”
RASA Itu Tak Pernah Bohong
Masa Norman belum tahu yang Memey mengandung pun dia dah boleh ‘rasa’ perasaan yang sesetengah bakal bapa boleh rasai.
Ujar Norman tak lama dulu, “Tak tau nak cakap macam mana. Tapi macam boleh rasa ‘pembawakan’ tu since 2 minggu (ketika status ini ditulis) yang lepas.
“‘Rasa’ tu tak pernah bohong. Kali ni ‘rasa’ similiar macam masa Marissa Dania dalam kandungan dulu. Lebih kepada diri sendiri yang ‘kena’ berbanding dari ibu yang mengandung.”
Ads
Agak-agak kandungan Memey kali ini Puteri tak? Jomlah kita doakan yang baik-baik untuk kehamilan Memey ya.
Memey Doakan Kehamilan Buat Follower Instagram Yang Menanti Rezeki Anak
Kata Memey, “Semenjak saya mengandung ramai yang kalau terjumpa minta doakan diberi peluang yang sama. Dan sekarang menjadi doa wajib saya setiap kali saya doakan untuk anak dalam kandungan saya.
“Saya doakan juga buat para sahabat ig saya sama ada kenal atau tidak. Supaya Allah perkenankan setiap doa para isteri yang ingin merasai pengalaman ini.
“Subhanallah biar kita sama-sama rasa. Jangan pernah berputus asa. Bersangka baik selali. Semoga dipermudahkan segala urusan dan perancangan kepada semua yang berusaha ke arah ini.
Ads
“Sama-sama kita doakan tau.” Luahnya dalam instagram miliknya.
Memey juga tak lupa bawa anak-anaknya, Muhammad Darwisz Hakim, 4 dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2 ketika check up kehamilan.
“Asyik mummy selalu cerita pasal baby je. Ni bagi tengok sendiri perkembangan adik. Jangan tanya boy ke girl sebab tak nampak lagi. Muka tu antara faham dan tidak jer.”
Rupanya ada peristiwa menyentuh hati jadi waktu check up kedua waktu trimester pertama dulu. “Anak-anak bertuah mummy. Bila mummy tanya Awishz nak adik boy ke girl? Dia jawab : boy.. hehe”
“Tapi part paling tersentuh bila Dr Zarina minta @awishzarisz kurangkan menyusu mummy sebab adik dalam perut pun nak juga. Awishz ‘hi five’ dengan Dr, tanda janji. Adik antara daham dan tidak.
“Semalaman dia cuba untuk ingat janji dia. Tapi bila rindu minta juga sikit. Aduhai, berat hati mummu. Tapi mummy sayang @awishzarisz dan mummy sayang adik baby juga. Doakan mummy sihat selalu.” Amin..
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Dengar pesanan ibu usia 49 tahun ini. Yusni Binti Mintol yang dikurniakan anak autisme. Demi anaknya, ibu ini rela menjadi guru pada anak-anak autisme yang lain selama 12 tahun di National Autism Society of Malaysia (NASOM).
Hayati perjalanan inspirasi ibu yang kini anak autismenya yang dijaga dari kecil itu sudahpun berusia 24 tahun.
Yang mana, anak ini sedang belajar membaca dan menghafal Al-Quran di Akademi Faqeh yang juga merupakan Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi anak istimewa.
Ketika anak autismenya dilahirkan, maklumat berkaitan autisme amat berkurangan. Sungguh pun sumber rujukannya terhad, ibu ini cukup tabah dan kental semangatnya membesarkan anak autismenya, Dinie Edry Bin Badrul Hisham.
“Kami telah menerima seadanya keadaan Dinie. Ketika berusia enam bulan, Dinie diserang sawan. Sejak itu dia kerap keluar masuk di hospital. Disebabkan sering kena sawan itulah, kami mula lihat perbezaan kesihatan Dinie.
“Doktor beritahu, dia mengesyaki anak kami itu mengalami masalah disebabkan tingkah lakunya yang hiper.
“Akhirnya kamu rujukkan pada doktor pakar. Pemeriksaan MRI dilakukan dan hasilnya, Dinie disahkan alami masalah austisme sejak umur dua tahun setengah,” ujar Yusni memulakan perbualan dengan wartawan Mingguan Wanita.
Mengetahui anak mengalami masalah autisme dan ADHD menjadi satu cabaran baru pada Yusni dan suaminya Badrul Hisham pada ketika itu.
“Ketika itu kelengkapan dan maklumat mengenai austisme masih kurang. Kami mendiagnosis Dinie pada usia awal tetapi kami tak dapat intervensi di kawasan tempat tinggal kami di Seremban.
“Jadi kami daftarkan Dinie dengan National Autism Society of Malaysia (NASOM) di Seremban. Umur dia enam tahun barulah Dinie dapat masuk.
“Waktu itu memang sukar mencari maklumat. Demi Dinie saya putuskan untuk berhenti kerja sebagai technical assistant. Saya beritahu suami, biarlah saya jaga Dinie sendiri. Saya sedar, sukar untuk mencari orang untuk menjaga anak istimewa sebegini.
“Sukar sebenarnya membesar dan mendidik anak autisme pada ketika itu. Saya tak tahu dekat mana hendak belajar mengenai autisme.
“Menguruskan Dinie agak sukar kerana dia tidak pandai bercakap. Dia hanya menggunakan gerakan (gesture) sahaja jika mahukan sesuatu. Saya tidak pernah dengar dia mengucapkan perkataan ‘Mama’ atau ‘Papa’ pada ketika itu.
“Macam-macam dah kami tuturkan dekat dia tetapi tidak ada bunyi yang keluar daripada mulutnya.
“Hanya setelah diterima masuk ke NASOM, banyak perubahan telah berlaku pada Dinie. Dia sudah boleh bercakap dan saya bersyukur dengan perubahan tersebut,” tambah Yusni penuh kesyukuran.
Keputusan menghantar Dinie belajar di NASOM juga membuka peluang baru dalam hidup Yusni. Peluang di hadapan mata diterima dengan tangan yang terbuka.
“Hendak dijadikan cerita, pada ketika itu NASOM mencari guru sementara. Saya tanya, bolehkah saya memohon. Setelah ahli lembaga bersetuju, saya telah diterima masuk menjadi guru sementara di NASOM Seremban.
“Jadi guru di sana amat bagus kerana saya dapat tahu cara berkomunikasi dengan Dinie. Saya boleh nampak perkembangan Dinie di depan mata. Tetapi saya tidak mengharap sangat dia mampu melakukan lebih daripada kemampuannya.
“Saya tidak letakkan sasaran tinggi pada Dinie. Cukuplah sekadar dia dapat menguasai kemahiran yang diperlukan dalam menjalani kehidupan seharian.
“Saya juga sering memberikan kesedaran dan cara bagaimana menguruskan Dinie kerana jika ditakdirkan kami telah ada di dunia ini, ada orang yang boleh menjaganya.”
Yusni bekerja selama 12 tahun di NASOM dan baru empat tahun dia berhenti kerja.
Kini dengan masa yang ada dia menggunakan ilmu yang dipelajari dahulu untuk terus mendidik dan menguruskan anak keduanya itu selagi hayat dikandung badan.
“Sekarang saya buat ‘freelance talk’ untuk ibu bapa yang baru sahaja mengetahui anak mereka didiagnosis mengalami masalah autisme.
“Kami juga mempunyai grup Whatsapp ibu bapa anak istimewa autisme di Negeri Sembilan. Tugas saya banyak membantu dari segi apa yang perlu dibuat, persediaan sebelum masuk sekolah dan juga memberi motivasi.”
Akui Yusni, dia sentiasa melibatkan Dinie dalam apa sahaja aktiviti keluarga.
“Kami tidak akan meninggalkan Dinie di rumah seorang diri. Kami juga sering cuba berkomunikasi dengan dia. Walau dia tidak tahu bercakap, Dinie akan cuba memberikan tindak balas.
“Dinie tidak duduk di sudut bermain sendirian. Sebaliknya dia bermain dengan adik-beradiknya juga. Pada mulanya adik-beradiknya sukar menerima keadaan Dinie. Namun lama-kelamaan mereka juga menganggap Dinie itu normal.
“Saya sering menasihati anak-anak lain jangan anggap Dinie itu istimewa. Layan dia seperti orang normal. Saya juga menasihatkan anak-anak agar jangan malu dengan orang kerana Dinie. Saya bersyukur anak dapat faham.”
Sebagai ibu yang berpengalaman dalam membesar dan mendidik anak autisme, Yusni berharap masyarakat lebih menerima kelainan upaya autisme dalam komuniti.
“Memang susah hendak educate people but insya-Allah jika dengan usaha yang tidak mudah putus asa, mungkin akan boleh juga.
“Nasihat saya kepada ibu bapa yang baru ada anak autisme, agar jangan bersedih lama-lama. Jangan denial lama-lama.
“Jangan hendak mencari silap dan juga jangan mencari alternatif yang merugikan masa serta wang kita sebab ini akan melambatkan proses intervensi anak kita.
“Sekarang zaman amat canggih, tidak seperti zaman anak saya. Tiada sumber untuk dirujuk. Carilah terapi yang sesuai untuk anak, jika tidak dapat yang percuma, usaha untuk yang berbayar.
“Insya-Allah akan ada rezeki untuk kita. Jika tidak juga mampu, google dan carilah cara-cara home schooling untuk anak tersebut, jangan tunggu peluang datang tapi cari peluang yang ada.
“Lebih Cepat kita mulakan intervensi, insya-Allah lebih banyak perubahan anak kita akan nampak walau segala terapi tidak akan mengubah autisme pada diri anak kita.
“Tapi sekurang-kurangnya kita dapat cover tiga masalah autisme iaitu dari segi komunikasi, tingkah laku dan juga sosial.”
Yusni berbangga walaupun Dinie tidak cemerlang dalam akademik tetapi dia boleh menghafal dan mengingat terutama perkara berbentuk muzik.
Lagu pertama dia hafal dengan hanya mendengar adalah nasyid kumpulan Raihan walau sebutan tidak berapa jelas sebab Dinie adalah non verbal sebelum usia enam tahun.
Foto: Yusni Mintol
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam keadaan ekonomi yang menyesakkan dada, membuat tabungan satu hal yang perit. Lagi-lagi mak ayah yang jenis pendapatannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Banyak-sikit manapun pendapatan, mak ayah kena belajar menabung.
Siapa kata orang pokai tak boleh menabung. Belajar dulu cara-caranya, jangan cepat sangat mengeluh mak-mak. Mengeluh, putus asa semua itu hasutan syaitan. Lagi banyak kita menyeluh lagi seronok ‘makhluk api neraka’ itu.
Jom mak ayah, kita belajar berdikit-dikit macam mana yang dikatakan menabung cara orang pokai itu. Kalau anda sejenis mak ayah yang banyak duit, jangan kecam tip ini. Ini khas untuk new bie yang baru nak membuat tabungan.
Mak ayah catatkan dekat kertas hutang dan bil bulanan anda satu persatu (jangan ada yang tertinggal). Mana hutang yang perlu diselesaikan dulu, selesaikanlah. Contoh: Hutang rumah, kereta, upah pengasuh, duit minyak, bil api air, Internet, telefon.
Jika ada senarai kehendak, catatkan sebagai ‘Duit Khas’. Buat simpanan. Jangan tambah hutang. Sekatlah keinginan itu. Jangan layan nafsu membeli.
Ini penting. Anda perlu hadkan hutang biar paling kurang cuma dua, contoh hutang rumah dan kereta.
Ia akan ambil masa untuk anda langsaikan satu persatu tapi perlu konsisten menyelesaikannya. Mengelak dari membayar cuma akan membuatkan anda menambah ‘bunga’. Dan ini tak bagus untuk tabungan mak ayah. Keywordnya: JANGAN TAMBAH HUTANG.
Katakan tak mampu sangatlah nak menyimpan. Buka dompet, tengok ada berapa banyak duit seringgit dalam dompet. Keluarkan dan masukkan dalam tabung.
Simpan dan lupakan. Esok tengok lagi, berapa banyak duit seringgit yang ada. Keluarkan dan masuk dalam tabung. Buat sampai hujung bulan. Asingkan dekat satu tempat dan jangan sentuh.
Lakukan langkah yang sama untuk bulan seterusnya. Tengok hasilnya sampai hujung tahun. Bila dah selesai setahun, buka tabung dan tengok hasilnya. Anda pasti terkejut. Keyword: SIMPAN & LUPAKAN.
Bila duit simpanan sebulan dah ada di tangan. Tengok berapa hasilnya. Google harga emas 1 gram berapa? Tukar simpanan kepada emas gold bar 1 gram. Ini salah satu cara nak bagi anda tak guna duit simpanan yang ada.
Ada lagi cara lain yang anda boleh guna. Duit simpanan tahunan yang anda ada itu, tukarlah dengan emas 916 yang boleh beli di kedai. Beli dan pakai. Tak rugi pun sebab harga emas tak turun. Berguna nanti bila keadaan benar-benar mendesak.
Lagipun, kalau dah jadi bentuk emas, mak ayah nak pecahkan jadi ringgit pun malas. Pasti anda akan usahakan cara lain cari duit selagi ada daya. Keyword: JADIKAN EMAS.
Sekarang ini mudah sangat nak bershopping. Lazada lah, shoppe lah.. semua itu hujung jari saja. Itu belum masuk godaan di Facebook dan Instagram, isk.. tak kuat iman memang boleh terbelilah.
Sebab itulah kena sekat keinginan. Beli yang betul-betul perlu saja. Kalau ada barang-barang masih elok dalam rumah itu, rasa-rasa tak nak pakai dah cepat-cepatlah tolak dekat mudah.my tu.
Nanti bila dah lama-lama harga dia pun jatuh. Duit jualan tu. Simpan dalam tabungan. Jangan pula buat joli shopping online. Keyword: BELI YANG PALING…PALING…PALING PENTING SAJA
Kalau tak pakai, susah juga. Ini penyelamat di kala sesak. Ingat! Penyelamat di kala sesak saja ya. Bila tak sesak, janganlah guna. Sayangnya, waktu tak sesak itulah nak gunakan juga kad kredit.
Alasan, tak nak pegang cash. Kad kredit akan mencipta hutang. Rujuk semula tip no. 1. Kita kena kurangkan hutang. Sebab itu, pegang saja cash yang anda perlukan untuk hari itu.
Percaya atau tak, anda sebenarnya boleh buat sistem sampul. Iaitu bawa duit ikut jumlah yang anda perlukan saja. Memang ini cara orang kedekut, tapi sebenarnya inilah juga cara orang pokai. So, apa ada hal kan.. Anda sorang je yang tahu, ya tak?
Tak perlu bawa secara berlebih-lebihan. Ia akan mengundang perbelanjaan di luar jangkaan. Keyword: KAD KREDIT GUNA CUMA KALA SESAK
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Lagi kejadian kanak-kanak terjatuh dari apartment di Kajang Selangor. Cukup tragis kerana anak lelaki berusia 11 tahun itu masih bersuara waktu jatuh dan akhirnya disahkan pergi buat selama-lamanya.